home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	19/06/83 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS MAKAN MALAM KELUARGA 
			UTUSAN MELAYU 




Saudara-saudara yang dihormati sekelian.

Majlis pada malam ini membawa seluruh anggota keluarga Utusan Melayu dalam
satu suasana meriah untuk bersuka-suka dan bermesra sesama sendiri. Orang
ramai biasanya tidak tahu bahawa usaha mengeluarkan sesebuah akhbar
memerlukan begitu ramai tenaga pekerja yang perlu mengendalikan
berbagai-bagai aspek tugas. Biasanya seseorang tidak memikirkan selain
daripada apa yang dapat dibacanya apabila dia mendapat naskah akhbarnya
setiap pagi.

2. Di dalam kehidupan moden di mana saluran komunikasi menjadi satu alat
yang penting bagi membolehkan seseorang mengetahui tentang
peristiwa-peristiwa di sekelilingnya ataupun peristiwa-peristiwa yang
berlaku di dunia, akhbar menjadi satu keperluan seharian. Ramai dari kita
yang ketagih dengan akhbar dan jika sesuatu pagi kita tidak mendapat
naskah kita, kita akan merasa seolah-olah hidup kita pada hari itu tidak
lengkap. Begitulah yang dialami oleh kebanyakan kita.

3. Pengeluaran sesebuah akhbar memerlukan tenaga yang ramai yang
kebanyakannya pula memerlukan pengalaman dan kemakmuran. Sesebuah akhbar
yang berjaya bergantung kepada tenaga pekerja yang bertanggungjawab dan
mempunyai sifat profesionalisme yang tinggi. Bagi kita di Malaysia, Utusan
Melayu merupakan satu akhbar yang begitu panjang sejarahnya. Utusan Melayu
adalah salah satu saluran utama yang menggemblengkan semangat nasiolisme
Melayu dan telah bersama-sama memainkan peranan di dalam memperjuangakn
kemerdekaan negara dan membela nasib masyarakat Melayu.

4. Utusan Melayu telah menjadi salah satu perusahaan akhbar dan percetakan
yang terbesar di negara kita. Kumpulan Utusan Melayu bukan sahaja
mengeluarkan akhbar tetapi juga majalah dan buku, dan bagi menyesuaikan
dengan keadaan masa keluaran Kumpulan Utusan Melayu tidak lagi terhad
kepada penerbitan yang bertulisan jawi malah yang bertulisan
rumi. Demikian juga bagi memenuhi selera pembaca yang semakin meningkat
dan meluas ilmu pengetahuannya, ruangan-ruangan tertentu telah diubah
suaikan.

5. Sesebuah akhbar mempunyai peranan yang penting di dalam sesebuah
negara. Sesuatu keadaan boleh menjadi keroh hanya dengan tindak-tanduk
sesebuah akhbar. Turun naik seseorang juga banyak bergantung kepada
akhbar. Itulah sebabnya kadang-kala seseorang begitu takut untuk
mendekatkan diri kepada masyarakat wartawan. Ini bukanlah bermakna bahawa
wartawan tidak bertanggungjawab. Tetapi, sebagaimana juga di dalam apa-apa
kumpulan tentu terdapat seorang-dua yang sama ada oleh sebab sifat cuai
ataupun kerana motif-motif tertentu boleh menjejas imej profesionalisme
sesebuah penerbitan.

6. Sedikit sebanyak wartawan di negara kita terpengaruh dengan dunia luar,
khususnya pengaruh Barat. Di Barat sememangnya terdapat tokoh-tokoh
wartawan yang berkelibar tetapi tidak kurang pula terdapat mereka yang
hanya bermati-matian membuat kecaman terhadap sesiapa juga kecuali dirinya
sendiri. Saudara-saudar tentu tahu tentang cerita-cerita mengenai
wartawan-wartawan yang setiap masa mengitip hinggakan sanggup
membongkarkan hal-hal peribadi seseorang sehinggakan hidup orang lain
tidak lagi bebas dari intipan mereka. Sebenarnya gambarn seperti ini
menunjukkan tingkah-laku orang gila dan bukan dari keluarga wartawan
professionlisme.

7. kita masih bernasib baik kerana masyarakat kita masih mempunyai
nilai-nilai timur yang mementingkan kehormatan orang lain. Apa-apa juga
konsep professionalisme kita mestilah berteraskan kepada nilai-nilai mulia
ini. Masyarakat kita adalah masyarakat yang mementingkan kebaikan dan
profesionlisme kita juga dalam apa jua bidang aktiviti kita mestilah juga
berpandukan kepada usaha memupuk kebaikan. Saya yakin perkara ini telah
diterima sebagai asas panduan wartawan-wartawan kita. Kita tidak harus
hanyut dengan pengaruh wartawan-wartawan liar, asing yang mungkin
berpendapat bahawa menggunakan alat media massa untuk kebaikan umum
sebagai propaganda. Kita harus bertanyakan diri kita apakah hanya
mencari-mencari keburukan itu bukan propaganda.

 



 


 











 
Google