home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN 
			MALAYSIA (RTM) 
Tarikh/Date 	: 	01/07/83 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI 




Bismillahir rahmanir rahim.

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saudara-saudari Muslimin-muslimat yang dihormati sekelian, Allahu Akbar,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd.

Wataala dan bersyukur kita kepada Allah kerana dengan pada keesokan hari
setelah kita berjaya berpuasa selama satu bulan.

2. Kegembiraan Hari Raya ialah kerana kita telah berjaya dalam jihad yang
lebih besar dari peperangan mempertahankan umat Islam. Nabi Mohammad
s.a.w. telah bersabda sewaktu pulang dari peperangan bahawa jihad yang
lebih besar yang menunggu mereka yang kembali dari medan perang ialah
peperangan melawan nafsu. Sudah tentu jika kita berjaya dalam peperangan
yang besar ini maka sepatutnyalah kita gembira dan kita rayakan hari
kemenangan ini.

3. Hadith ini menekankan tentang betapa pentingnya melawan nafsu. Jika
mengawal nafsu adalah begitu penting dalam Islam tentulah ada
sebabnya. Ibadat dalam Islam, termasuklah ibadat puasa, bukanlah suatu
ritual yang kita amalkan tanpa sebab atau semata-mata untuk membezakan
agama kita dari agama lain, atau untuk kita pamirkan betapa kita berpegang
kepada agama kita, atau untuk semata-mata mendapat pahala dan ganjaran di
akhirat. Ibadat dalam Islam jelas mempunyai tujuan untuk menjadikan umat
Islam umat yang mulia, umat yang berjaya, umat yang bahagia. Jika pada
hari ini umat Islam berada dalam keadaan yang daif, dijajah oleh orang
lain, lemah dan mundur, sebabnya bukanlah kerana keadaan ini dituntut oleh
agama Islam, tetapi sebaliknya ialah kerana kita tidak menimba sepenuhnya
ajaran-ajaran yang terdapat dari ibadat dalam Islam. Ramai kita yang lebih
utamakan rupa bentuk Islam dan tidak isi kandungannya. Ramai kita yang
berpuas hati jika kita mudah dikenal sebagai orang Islam, walaupun untuk
menentukan ini, kita membelakangkan seruan Islam ke arah kebaikan, ke arah
persaudaraan dalam Islam, ke arah kebahagiaan dan kejayaan.

4. Sebaliknya jika kita renungkan akan ibadat dalam Islam tidak dapat
tidak kita akan sedar akan segala ajaran yang terkandung di dalamnya. Dan
jika kita menyerapkan ajaran ini dalam kehidupan kita, sudah tentu kita
akan mendapat banyak nikmat daripadanya. Ibadat puasa yang baru sahaja
kita amalkan adalah di antara ibadat yang terpenting yang mempunyai banyak
pengajaran untuk kita hidup dan mati dengan lebih sempurna.

5. Yang pertamanya ibadat puasa mengajar kita tentang kebaikan membendung
nafsu. Semua jenis kejahatan dan kegagalan berasas dari kegagalan melawan
nafsu. Jika kita sakit umpamanya kita dikehendaki pantang dari berbagai
jenis makanan dan kegiatan. Nafsu kita terhadap yang dilarang perlu kita
bendung jika kita ingin kesihatan. Dalam menjalankan tugas kita nafsu
mendorong supaya kita malas. Jika kita tidak lawan nafsu, maka sudah tentu
kerja kita tidak akan sempurna. Penerimaan rasuah juga berasas kepada
nafsu. Kawalan nafsu seperti yang kita lakukan diwaktu berpuasa, jika
diserapkan ke dalam kehidupan harian kita, tentulah dapat menghindar kita
dari terlibat dengan rasuah. Dalam perniagaan, jika kita melawan nafsu
daripada menguasai kita dan kita tidak mungkir janji, tidak tamak, tidak
menipu, maka kejayaan kita adalah lebih terjamin. Banyak lagi contoh
kebaikan yang boleh didapati dari tidak membenar nafsu menguasai
diri. Kita tahu semua ini, tetapi kawalan nafsu yang kita amalkan di waktu
berpuasa, kita tidak teruskan kepada kehidupan harian kita. Oleh itu kita
tidak mencapai kejayaan yang sepenuhnya, atau kita gagal terus.

6. Pelajaran yang kedua yang boleh didapati dari ibadat berpuasa ialah
hikmat berkorban. Korban adalah satu amalan yang penting dalam Islam dan
di waktu berpuasa kita mengorbankan sebahagian dari kelazatan hidup
kita. Dengan ini kita sepatutnya menjadi manusia yang lebih insaf dan
lebih bersyukur akan nasib yang baik yang kita dapati. Kita juga akan
insaf akan penderitaan saudara-saudara kita yang tidak begitu bernasib
baik. Sudah tentu masyarakat yang tahu bersyukur dan insaf akan menjadi
masyarakat yang lebih bertimbang rasa dan tenang. Masyarakat seperti ini
tetap akan mendapat lebih banyak nikmat dan kebahagiaan dari masyarakat
yang angkuh dan mudah lupa segala nikmat yang mereka telah terima.

7. Jika pada hari ini orang Islam berada dalam keadaan yang tidak tenang
dan tidak bahagia, bersengketa sesama sendiri, daif dalam segala bidang,
dihina dan ditindas oleh orang lain, sebabnya ialah kerana mereka tidak
insaf dan tidak bersyukur. Apabila mereka merdeka dan dapat memerintah
diri sendiri mereka tidak lagi menghargai kebebasan mereka. Sebaliknya
mereka mencari bermacam-macam isu supaya berlakulah perpecahan di kalangan
mereka. Dengan itu peluang keemasan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu
Wataala untuk memperbaiki kedudukan mereka diketepikan, bahkan disalahguna
sehingga kemajuan dan kebahagian hidup mereka tidak tercapai. Mereka tidak
sanggup membelakangkan sedikit kepentingan diri, iaitu berkorban, untuk
kebaikan masyarakat Islam keseluruhannya, yang mana ini akan membawa
kebaikan yang lebih berkekalan kepada mereka. Dalam kesibukan mereka
dengan memenuhi kehendak semasa diri sendiri, maka hilanglah peluang untuk
mengukuhkan benteng pertahanan mereka buat masa depan. Inilah peristiwa
yang kita lihat di Asia Barat dan di lain- lain tempat di mana orang Islam
berada.

8. Kesabaran menjadi ajaran yang ketiga yang boleh didapati dari ibadat
puasa. Cuma orang yang sabar sahaja yang boleh membendung kemahuan mereka
sehingga tiba masa mereka berbuka puasa. Jika kita jadikan kesabaran ini
sebagai sebahagian dari sifat kita sepanjang masa, nescaya kita akan
menjadi manusia yang lebih berjaya.

9. Tiap-tiap satu usaha memerlukan kesabaran. Tidak ada keuntungan atau
kebaikan yang boleh dicapai dengan serta merta. Semuanya memerlukan
pelaburan fikiran, tenaga dan lain-lain lagi dengan berpanjangan sebelum
hasil yang berkekalan dicapai. Jika kita menuntut ilmu, kesabaran adalah
perlu. Jika kita berniaga, kesabaran adalah penting. Jika kita mahu
sesuatu, kesabaran adalah perkara utama. Jika kita ingin bangunkan negara,
atau meninggikan maruah dan kehormatan, kita terpaksa bersabar.

10. Tetapi kita dapati jarang sekali kita menunjuk kesabaran. Kita hendak
semuanya hari ini juga. Kita tidak boleh tunggu-tunggu lagi terutama
apabila kita hendak sesuatu dari pihak lain. Justeru itu kita kerap kali
gagal kerana persiapan kita tidak mencukupi atau sikap kita tidak begitu
menarik. Sebelum kita mempelajari dengan mencukupi sesuatu kecekapan, kita
sudah cuba mengguna kecekapan itu. Kadang-kadang kita anggap masa untuk
mempelajari sesuatu sebagai pembaziran dan kita tidak mempelajarinya. Dan
kita tidak fikir panjang lagi jika ditawar upah yang lebih baik sebelum
kita layak menerima sesuatu tugas. Oleh itu, kerap kali urusan dan usaha
kita tidak membuahkan hasil yang diharapkan dan kita serta masyarakat
kecewa.

11. Kebersihan juga menjadi satu pelajaran dari ibadat
berpuasa. Kebersihan yang dimaksudkan termasuklah kebersihan hati,
tubuh-badan dan alam sekeliling. Tetapi kita hadkan kebersihan ini kepada
tahap yang minima dan perkara tertentu sahaja. Kita tidak perluaskan
amalan kebersihan kepada alam di sekeliling kita. Kita tidak panjangkan
tabiat baik ini di luar bulan puasa dan dalam lain-lain kegiatan
kita. Oleh itu, kita tidak mendapati banyak manfaat yang sepatutnya kita
dapati dari amalan kebersihan dalam ibadat puasa.

12. Banyak lagi hikmat yang terdapat dalam dan daripada ibadat
puasa. Semuanya boleh menolong mengatasi banyak masalah kehidupan
kita. Bahkan kemajuan dan kejayaan kita dalam kehidupan sehari dapat
dicapai dengan lebih mudah jikalau segala ajaran dari ibadat puasa dapat
kita teruskan sepanjang masa dan kita tidak jadikan puasa sebagai satu
ritual agama Islam untuk mempamirkan ke Islaman kita.

13. Kerajaan sedang berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang
mengamalkan asas-asas Islam kerana kita percaya ianya akan membawa
kebaikan kepada semua pihak, sama ada orang Islam atau bukan Islam. Kita
mencuba usaha ini dengan penuh kesabaran kerana kita tahu akan kesan buruk
yang akan datang dari tindakan yang tergesa-gesa yang didorong lebih oleh
nafsu daripada kehendak ajaran Islam sendiri. Kita telah elak paksaan
kerana paksaan tidak secucuk dengan agama Islam. Banyak
perubahan-perubahan yang telah kita usahakan dengan cara pujuk dan
hikmah. Memang benar kita tidak berjaya sepenuhnya tetapi Insya-Allah di
mana kejayaan dicapai ianya akan lebil kekal.

14. Tetapi negara tidak menjadi negara semata-mata kerana adanya
Kerajaan. Negara wujud kerana adanya rakyat dan masyarakat. Jika Kerajaan
sahaja yang berusaha, tetapi rakyat cuma menonton di pinggir, mustahil
perubahan- perubahan yang ditujukan akan tercapai. Rakyatlah yang perlu
bertindak dan mengamalkan segala kebaikan sebelum matlamat dapat dicapai.

15. Jika segala ajaran yang kita perolehi dari ibadat berpuasa diteruskan,
jika kita membendung nafsu, sedia berkorban, sabar dan bersih fikiran dan
tubuh-badan serta sekitar kita, sudah tentu kita akan mencapai kejayaan
yang lebih bagi diri kita, bagi masyarakat dan bagi negara kita. Jika kita
mundur sekarang, jika umat Islam berporak- peranda, jika kita terpaksa
bergantung pada orang lain, sebabnya ialah kerana segala kebaikan yang
kita lakukan di waktu berpuasa kita anggap sebagai ritual ibadat semata-
mata. Kita harapkan ganjaran bagi diri kita sendiri di akhirat, tetapi
tidak anggap kebaikan yang dituntut di waktu berpuasa sebagai satu
pelajaran dan latihan untuk kehidupan harian kita yang lebih
sempurna. Justeru itu kita tidak teruskan sifat-sifat yang baik yang kita
amalkan di waktu berpuasa. Apabila tamat sahaja bulan puasa kita balik
kepada tabiat yang asal, tabiat yang tidak dapat membawa kejayaan kerana
ianya bercanggah dan bertentangan dengan prinsip-prinsip agama yang kita
anuti.

16. Negara kita Malaysia ditakrifkan sebagai negara yang sedang
membangun. Kita belum lagi sampai ke tahap negara yang sudah maju. Tetapi
kita suka meniru amalan-amalan buruk penduduk negara yang sudah maju. Jika
mereka suka mengambil tindakan yang mengancam masyarakat sebagai satu cara
untuk mendapat tuntutan mereka, kita juga anggap cara itu sebagai hak bagi
kita. Jika negara yang maju suka berehat lebih dari bekerja, kita juga
mahu berehat. Jika negara maju mempunyai kemudahan-kemudahan awam yang
terbaik sekali, kita juga mendesak supaya kemudahan-kemudahan ini
diadakan.

17. Bahawa negara kita adalah negara yang sedang membangun dan tidak mampu
mengadakan kemudahan tersebut, kita tidak mengambil kira. Kita sering
dipengaruhi oleh fikiran dan falsafah orang-orang dari negara maju tanpa
mengambilkira kesesuaian falsafah itu. Sebaliknya kita tidak mengambilkira
bahawa kemajuan negara maju dicapai setelah beratus tahun mereka berusaha,
bekerja kuat dan mengikat perut. Kita mahu kemewahan mereka tanpa usaha
dan korban mereka. Kita hendak semua dengan percuma.

18. Sikap dan sifat ini adalah bertentangan dengan pelajaran yang kita
amal dan kita dapati dari ibadat puasa. Balasan yang baik cuma datang
selepas berusaha, selepas berkorban dan selepas bersabar. Pelaburan adalah
penting untuk mendapat ganjaran baik di dunia atau di akhirat. Ganjaran
yang didapati selepas usaha dan korban akan lebih dihargai kerana ia
adalah satu hasil usaha kita dan bukan sesuatu yang datang bergolek
percuma.

19. Yang harus kita ingat ialah dalam pembangunan negara, kita masih di
peringkat berusaha dan berkorban, iaitu peringkat berpuasa. Oleh itu kita
patutlah memikul beban kita dengan hati yang tabah dan sabar. Segala
ganjaran yang sudah didapati oleh orang lain adalah hak mereka. Ganjaran
yang sama di dunia dan di akhirat akan menjadi hak kita selepas kita
berkorban dan berusaha, insya-Allah. Tuhan tidak akan menghampakan kita,
jika kita jujur dan insaf akan apa yang sudah pun ada pada kita, dan kita
berusaha dan bertekun untuk kebaikan yang bertambah.

20. Balasan yang akan datang mungkin tidak dalam zaman kita. Mungkin
segala usaha kita akan mengambil masa berpuluh atau beratus tahun. Kita
tidak harus keciwa kerana Allah Subhanahu Wataala sudah janjikan balasan
bagi orang Islam di akhirat. Apa yang kita lakukan ialah satu jenis jihad
dan jihad tidak bergantung kepada ganjaran di dunia. Oleh itu kita harus
sabar, walaupun kita tidak merasai hasil dari usaha kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan 

21. Pada esok hari kita akan merayakan kemenangan kita melawan
nafsu. Perayaan ini cuma bermakna jika amalan puasa kita menjadikan kita
umat yang lebih sabar, lebih sanggup berusaha dan berkorban untuk kebaikan
di masa hadapan. Janganlah kita anggap hari raya semata-mata sebagai hari
untuk bergembira, hari memenuhi kehendak hati dan nafsu kita, hari
melupakan segala korban yang telah kita lakukan pada bulan
puasa. Sebaliknya teruskanlah sifat-sifat dan amalan baik yang telah kita
amalkan selama sebulan berpuasa. Insya-Allah kita akan hidup lebih
bahagia, kita akan menjadi insan yang lebih insaf dan kita akan mendapat
balasan di akhirat kelak.

22. Ini tidak bermakna bahawa suasana Hari Raya harus muram. Hari Raya
Aidilfitri dikurniakan kepada kita sebagai satu ganjaran. Juga Hari Raya
ialah hari kedamaian, hari kita bersalam-salaman, memohon maaf dari kawan
dan lawan, melupakan segala buruk sangka dan salah faham antara kita
sesama kita.

23. Justeru itu Hari Raya harus memperkenalkan kebaikan di kalangan orang
Islam. Kita harus menerima kawan dan lawan tanpa mengambilkira anutan
mereka. Orang yang bukan Islam juga harus mendapat layanan dan
persahabatan kita pada hari yang bahagia ini. Oleh itu terimalah segala
kunjungan dengan hati yang terbuka, dengan wajah yang berseri.

24. Bagi orang bukan Islam pula, saya harap mereka akan bersama-sama
menyambut hari ini. Tidak ada masa lain yang "good-will" melimpah di
kalangan orang Islam selain dari Hari Raya. Di hari inilah yang patut kita
semaikan bibit-bibit perpaduan kaum yang kita idamkan untuk negara
kita. Lebih ramai orang bukan Islam melawat orang Islam di Hari Raya,
lebih baiklah persahabatan yang akan terjalin di negara kita. Saya yakin
semua orang Islam akan membuka pintu rumah dan pintu hati mereka kepada
semua rakan mereka pada hari yang mulia ini. Islam adalah agama kedamaian
dan Hari Rayalah yang kita harus buktikan sifat damai dalam Islam
sepenuhnya kepada semua pihak, kepada yang Islam dan yang bukan
Islam. Berilah makna kepada "Assalamualaikum" (Peace be with you) dengan
sepenuhnya pada hari yang mulia ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, Saudara-saudari sekelian 

25. Saya berdoa agar kita dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri ini dengan
sempurna. Bagi pasukan keselamatan kita, saya berharap mereka akan tabah
hati, walaupun terpisah dari anak isteri dan keluarga pada hari raya ini.

Insya-Allah pada Hari Raya yang akan datang mereka akan berada dengan
keluarga. Negara terhutang budi kepada askar dan polis kita yang
menjalankan tugas supaya kita semua dapat merayakan Hari Raya dalam
keadaan terlindung dan terpelihara.

26. Bagi pihak Kerajaan dan bagi pihak diri saya juga, saya mengucapkan
Selamat Berhari Raya kepada semua Muslimin dan Muslimat. Bergembiralah
pada hari kemenangan ini.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd.

 



 


 











 
Google