home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BANGUNAN IBU PEJABAT PERNAS, JALAN 
			RAJA LAUT, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date	: 	01/07/83 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS PELANCARAN OPERASI BANK 
			ISLAM MALAYSIA BERHAD, 




Yang Berhormat Menteri-Menteri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan
sekelian.

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah
kurnia dan izinNya, dapat kita sekelian berkumpul di majlis yang bahagia
ini, untuk sama-sama menyaksi dan merestui pelancaran operasi salah satu
institusi terpenting di negara kita, iaitu Bank Islam Malaysia Berhad.

2. Kita bersyukur, kerana pada hari ini, segala usaha dan titik peluh
berbagai pihak, yang dipertanggungjawab untuk mengkaji dan melaksanakan
projek Bank Islam ini, telah membuahkan hasil yang konkrit. Majlis pada
hari ini menandakan kejayaan peringkat pertama; kejayaan ini hanya satu
cabaran bagi kejayaan yang kedua, yang lebih penting, iaitu kejayaan
sebenar Bank ini, dari segi semua aspek prestasinya. Bersama-samalah kita
bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, di atas taufik dan
hidayahNya, memandu dan memudahkan segala usaha kita dalam melaksanakan
projek ini. Bersama-samalah kita berdoa, semoga dengan berkat, hidayah dan
petunjukNya pula Bank Islam Malaysia akan mencapai tahap kejayaan dan
prestasi yang boleh dibanggakan oleh setiap anggota umat Islam khasnya,
dan rakyat Malaysia amnya.

3. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah
memberi khidmat, dan sumbangan, bagi menjayakan penubuhan Bank Islam
ini. Khususnya, saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang
Mulia Raja Tan Sri Mohar, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank
Islam dan ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa berkenaan, dan Dr. Halim
Ismail, Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia serta lain-lain pegawai yang
telah berusaha dengan bersungguh-sungguh, tanpa kenal penat-lelah untuk
mengendalikan kerja-kerja penubuhan Bank ini mengikut satu jadual yang
ketat. Demikian juga, tidak lupa saya mengucapkan ribuan terima kasih
kepada Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim, Menteri Kebudayaan, Belia dan
Sukan, yang telah memberi perhatian personal bagi menjamin kejayaan projek
ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

4. Sebagai sebuah negara yang agama rasminya ialah agama Islam, dan 53
peratus penduduknya beragama Islam, sudah tentulah negara Malaysia perlu
mempunyai kemudahan-kemudahan bagi umat Islam bergerak dalam semua bidang
mengikut lunas-lunas dan prinsip-prinsip Islam. Masalah yang timbul dalam
usaha mengamalkan prinsip-prinsip dan ajaran tidak berasas kepada prinsip
atau ajaran itu sendiri tetapi berasas kepada tafsiran dan
kelemahan-kelemahan manusia. Islam sebagai agama Allah Subhanahu Wataala
yang sesuai untuk semua tempat dan semua masa, tidaklah dibentuk demikian
rupa sehingga menimbul masalah dan menjadi beban kepada
penganut-penganutnya. Sebaliknya, agama Islam memberi banyak kelonggaran
supaya orang Islam dapat hidup sempurna, walaupun keadaan sekitar mereka
berbeza-beza dan berubah. Demikianlah toleransi dan kelonggaran dalam
Islam sehingga tidaklah menjadi masalah kepada orang Islam jika mereka
terpaksa atau memilih untuk tinggal di negara bukan Islam atau di kalangan
orang bukan Islam. Rasulullah s.a.w. telah mengarah sekumpulan dari
penganut agama Islam berhijrah ke Habsyah, negara Kristian, untuk
menyelamatkan diri mereka. Dan mereka yang berhijrah ini tidaklah terpisah
dari agama Islam walaupun mereka tinggal dalam alam bukan Islam.

5. Malangnya sepanjang sejarah Islam selepas wafat Nabi Muhammad
s.a.w. terdapat orang-orang yang tidak puas hati dengan kelonggaran yang
diberi ini. Bagi mereka ini yang sunat pun hendak diwajibkan dan
kelonggaran yang diberi berkenaan dengan yang wajib, mereka ketepikan
dengan berbagai alasan. Mereka hendak supaya tidak ada tolak-ansur sama
sekali dalam Islam. Dan ada di antara mereka yang membuat hukum sendiri
yang mereka ingin paksa orang Islam lain patuh kepadanya, jika tidak mahu
dikecam oleh mereka sebagai tidak Islam.

6. Kelemahan-kelemahan dan sikap seperti inilah yang menimbul masalah
dalam pelaksanaan dan serapan prinsip dan ajaran Islam dalam masyarakat
Islam. Penubuhan Bank Islam Malaysia sepatutnya disambut baik oleh semua
orang Islam. Tetapi kita masih dengan bermacam-macam tohmahan yang
sepatutnya tidak didengari. Ada yang mengecam kenapa masih ada di negara
ini bank-bank lain jika kita sudah ada bank Islam. Dan ada pula yang
berkata Bank Islam tidak Islam kerana pekerjanya akan memakai necktie.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

7. Penubuhan Bank Islam di Malaysia bukanlah satu manifestasi keangkuhan
orang Islam atau satu usaha simbolik untuk mempamirkan keIslaman negara
ini. Penubuhan Bank Islam ini adalah satu usaha untuk meyakinkan bahawa
penerapan ajaran Islam ke dalam ekonomi negara ini tidak akan membawa
kemalangan. Untuk ini yang diperlukan bukan satu "gesture" atau simbol
tetapi satu usaha mewujud dan mengurus yang boleh menentukan bank cara
Islam boleh memainkan peranannya dalam ekonomi yang moden.

8. Kita tidak ada rancangan untuk menghapuskan bank-bank lain bukan sahaja
kerana bukan semua penduduk negara ini terdiri dari orang Islam tetapi
sistem bank yang digunakan oleh seluruh dunia adalah berasas kepada sistem
"commercial banking" yang diamalkan sekarang. Malaysia bergantung kepada
perdagangan dengan seluruh dunia, terutama dengan negara-negara yang bukan
Islam. Untuk mengurus perdagangan walaupun Bank Islam boleh memainkan
peranan, bank-bank lain masih diperlukan. Harus diingat bahawa semua
negara-negara Islam masih menggunakan sistem Bank Perdagangan atau
"Commercial Bank" dan bank jenis inilah yang terbanyak sekali ditubuhkan
sejak minyak menjadi punca kekayaan bagi beberapa buah negara
Islam. Adanya bank-bank "commercial" tidak bermakna bahawa negara-negara
berkenaan sudah tidak Islam. Begitu juga adanya bank Islam tidak
menjadikan sesebuah negara itu Islam. Jika benarlah Bank Islam menjadikan
sesebuah negara itu negara Islam maka Switzerland, the Bahamas dan
Luxembourg mestilah dianggap sebagai negara Islam kerana bank-bank Islam
telah ditubuhkan atau bergerak di negara-negara ini.

9. Bank Islam Malaysia diiktiraf sebagai bank Islam kerana asas
pengurusannya tertakluk kepada hukum-hukum Islam atau tidak bertentangan
dengan hukum-hukum tersebut. Ianya bukan menjadi bank Islam kerana
dimiliki oleh orang Islam, atau cuma berniaga dan memberi khidmat kepada
orang Islam sahaja, atau cuma mempunyai perhubungan dengan bank atau
perniagaan Islam sahaja atau pekerjanya terdiri semata-mata dari orang
Islam. Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah perniagaan dan perusahaan
di dalam negara ini dan di seluruh dunia tidak dimiliki semata oleh orang
Islam. Sebenarnya kerana kelalaian mereka, orang Islam amatlah lemah dalam
bidang ekonomi. Sumber alam yang melimpah yang dikurniakan oleh Tuhan
kepada orang Islam tidak mendatangkan kekuatan pada mereka kerana mereka
lebih asyik dengan kegiatan lain yang kurang mengukuhkan kedudukan
mereka. Oleh kerana ini maka tidak ada kemungkinan dan tidak ada hasrat
bahawa Bank Islam digunakan semata-mata oleh orang Islam. Jika kita hendak
membuktikan bahawa Bank Islam boleh memainkan peranannya dalam ekonomi
moden maka adalah penting ianya memberi khidmat tanpa mengira anutan
pelanggan-pelanggan. Ini tidak melanggar apa-apa kehendak agama
Islam. Cuma mereka yang mempunyai tafsiran yang sempit sahaja yang akan
memikir bahawa Bank Islam adalah untuk orang Islam sahaja. Keislaman Bank
Islam berasas kepada cara pengurusannya dan bukan kerana orang Islam
menjadi pemilik atau pelanggan atau pengurus.

10. Bank Islam Malaysia adalah institusi yang moden yang dikehendaki
memenuhi keperluan modal dan kewangan dalam ekonomi yang moden. Walaupun
Islam mempunyai panduan bagi semua kegiatan harian manusia tetapi panduan
ini adalah secara umum. Untuk mengurus sebuah bank banyak sistem dan cara
yang terperinci mestilah digunakan. Begitu juga banyak bidang-bidang yang
baru yang berkehendakkan peranan bank ini. Kita tidak syak bahawa
bermacam-macam soal akan timbul berkenaan dengan urusan Bank Islam ini
jika ianya hendak dijalankan dengan berkesan tetapi dengan tidak melanggar
apa-apa hukum Islam. Itulah sebabnya satu badan rujukan yang dianggotai
olah pakar-pakar agama diadakan. Dan bagi Bank Islam badan ini ialah
Majlis Pengawasan Shariah. Dalam hubungan ini kita sedar bahawa kita
mempunyai banyak kelemahan, kerana mereka yang arif dalam bidang agama
tidak pakar dalam bidang ekonomi dan bank, dan sebaliknya mereka yang
cekap dan terlatih dalam ekonomi dan banking tidak begitu tinggi
pengetahuan agamanya. Kita bernasib baik mempunyai seorang yang terlatih
dalam bidang agama dan ekonomi serta bank sebagai Pengarah Urusan Bank
Islam.

Tetapi seorang sahaja tidak mencukupi.

11. Saya berharap mereka yang akan ditugaskan memberi pandangan agama akan
memeriksa sedalam-dalamnya masalah yang akan dihadapi oleh Bank Islam
dalam menjalankan tugasnya sebagai bank. Ada kemungkinan jika masalah
khidmat bank yang moden tidak diperiksa dengan teliti maka sekatan-sekatan
yang berasas kepada pandangan yang terlalu orthodox akan menggagalkan Bank
Islam ini. Jika bank ini gagal maka kepercayaan bahawa Islam adalah sesuai
untuk semua zaman dan tamadun akan lumpuh. Ini akan membawa kepada fikiran
bahawa Islam tidak sesuai dengan kemajuan. Jika pada hari ini terdapat
ramai orang Islam dan beberapa negara Islam membelakangkan Islam dan
ajarannya, dan setengahnya pula menerima Marxisme dan lain-lain ideologi
yang bertentangan dengan Islam sebabnya ialah kerana ada mereka yang mudah
membuat tafsiran Islam yang jelas menjadikan masyarakat Islam masyarakat
yang mundur yang selalu meminta-minta kepada orang lain. Dalam keadaan
maruah sudah tidak ada lagi, Islam dapat diperkecil dan dihinakan oleh
mereka yang memang tidak suka kepada Islam. Mereka inilah yang mendakwa
bahawa agama adalah candu masyarakat dan mereka ini jugalah yang
mempengaruhi orang-orang Islam yang sudah keciwa supaya menolak Islam dan
menerima ideologi-ideologi yang anti-Islam.

12. Justeru itu kejayaan Bank Islam Malaysia bukan sahaja untuk bank atau
untuk ekonomi negara. Kejayaannya ada kaitan yang rapat dengan masa depan
orang Islam dan agama Islam. Mungkin ada yang berpendapat ini semua tidak
penting dan yang penting ialah pegangan kepada ajaran Islam yang
benar. Masalahnya bukan pegangan kepada yang benar tetapi apa dianya
ajaran Islam yang sebenar. Mereka yang berkepentingan sering membuat
tafsiran yang secucuk dengan kepentingan mereka dan mendakwa bahawa
tafsiran merekalah yang benar. Kemungkinan ialah tafsiran sempit yang
dibuat oleh mereka tidak sebenarnya menepati ajaran Islam. Kita tahu
bahawa pentafsir-pentafsir agama Islam yang terkemuka dan dihormati tidak
sependapat dalam banyak perkara. Sebab itulah wujud berbagai mazhab dalam
Islam sedangkan di zaman Nabi s.a.w. cuma ada satu sahaja mazhab dan
tafsiran. Oleh itu tidaklah boleh dikatakan bahawa tafsiran yang dibuat
oleh seorang atau sekumpulan tetap sahih. Tafsiran-tafsiran yang lain juga
boleh diterima. Yang tetap dan benar ialah agama Islam tidak diturunkan
supaya menyusahkan orang Islam atau menjadikan mereka mundur dan
tertinggal di belakang di dunia ini. Mereka yang sering membuat tafsiran
yang negatif dan tidak membangun dan tidak pula memberi alternatif yang
membangun dan menjadikan orang Islam mundur dan dihina oleh orang lain
sehingga mereka lemah iman, tafsiran mereka ini tidak boleh dianggap benar
jika ada tafsiran yang lebih positif. Jika tidak ada tafsiran yang positif
maka perkara ini perlu dikaji lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

13. Baru-baru ini Al-Malik Fahd dari Arab Saudi telah mengsyorkan supaya
pintu ijtihad dibuka semula kerana dunia sekarang amat berbeza dengan
keadaan di antara zaman Nabi hingga ke zaman Abbasiyah. Berbezanya dunia
zaman sekarang dengan zaman dahulu amatlah ketara dan mempunyai kesan
kepada dunia Islam dan orang Islam. Sungguhpun pintu ijtihad dikatakan
sudah ditutup tetapi kita tahu ramai yang membuat bermacam-macam tafsiran
sendiri berkenaan dengan keadaan zaman moden ini. Oleh kerana ramai yang
membuat tafsiran tanpa pengetahuan yang cukup dan juga kerana mempunyai
kepentingan-kepentingan tertentu maka kekeliruan berlaku dengan luasnya di
kalangan umat Islam. Dalam bidang kewangan dan bank, kekeliruan ini
amatlah ketara. Kesannya ialah orang Islam dengan mudahnya dipisah dari
kekayaan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada mereka. Hari ini tiga per
empat dari hasil minyak negara Islam dilabur atau disimpan satu-per-empat
diguna untuk membeli barang dan alat buatan orang Barat termasuk kontrek
bekalan dan binaan raksaksa yang dimenangi oleh orang Barat atau orang
bukan Islam. Dari beratus-ribu juta ringgit hasil minyak di negara-negara
Islam, Malaysia cuma menerima pelaburan sebanyak dua atau tiga ratus
juta. Pada satu hari minyak ini akan kering dan kita akan lihat negara
Islam dan umat Islam sekali lagi merana.

14. Kita tidak boleh salahkan orang lain yang keadaan ini berlaku. Jika
pada hari ini kekayaan negara-negara Islam tidak boleh dilabur di negara
Islam sebabnya ialah kerana kita sendiri memilih untuk menyekat
perkembangan ekonomi negara Islam. Kita memilih jalan yang merugikan ini
kerana pentafsir agama membuat pertamanya, tafsiran yang sempit dan
keduanya, tidak memberi alternatif yang boleh menggantikan sistem Barat
yang mereka dakwa tidak mengikut kehendak agama Islam.

15. Bank Islam yang kita tubuh hari ini ialah alternatif kita; satu cara
mematuhi hukum-hukum Islam dalam pengurusan wang dan ekonomi moden. Bank
seperti ini tidak ada di zaman Nabi s.a.w. atau zaman khalifah-khalifah
yang berikutan. Tetapi tidak adanya Bank Islam di zaman tersebut tidak
bermakna ianya tidak boleh diadakan di zaman ini. Hari ini kita menunaikan
ibadat haji dengan kapal terbang dan dengan duit kertas, cek dan
bekalan-bekalan lain yang tidak ada di zaman Nabi s.a.w. Ini tidak
bermakna bahawa kita tidak menunaikan rukun Islam yang kelima. Cara-cara
yang kita guna adalah alternatif kita mengikut zaman yang sudah berubah
ini. Begitu juga dengan bank Islam yang kita tubuhkan ini. Ianya masih
menepati kehendak agama Islam di samping mengambilkira sistem kewangan dan
kegiatan ekonomi yang sudah berubah. Jika kita tidak mempunyai jawapan
terhadap soalan dan masalah dunia moden, jika kita semata-mata berkata ini
dilarang dan itu dilarang maka lambat laun akan hilanglah kepercayaan
kepada agama Islam, terutama kepercayaan bahawa agama Islam adalah untuk
semua zaman dan bukan untuk zaman Nabi sahaja.

16. Jika tidak kerana politik, bank ini akan diterima oleh semua orang
Islam di Malaysia dengan mudahnya. Malangnya kerana politik menjadi lebih
utama dari agama kepada sebahagian dari rakyat negara kita ini, maka
pengwujudan bank ini sudah menarik tohmahan dan kecaman dari beberapa
pihak tertentu. Saya berharap orang Islam akan sedar akan sebab-sebabnya
kritik ini dilempar dan menolak dakwaan yang dibuat. Sebaliknya orang
Islam yang ingin melihat umat Islam dan agama Islam berkembang maju dan
kekal di dalam hati penganut-penganutnya hendaklah memberi sokongan dan
menentukan Bank Islam ini mencapai kejayaan.

17. Saya yakin jika sambutan yang baik diberi kepada bank ini dan orang
Islam dan lain-lain pelanggan bank beramanah dalam semua perhubungan
dengan bank ini, maka perkembangan bank ini akan berlaku dengan
pesatnya. Jika Bank Islam Malaysia berjaya bukan sahaja bank-bank Islam
yang lain akan ditubuhkan di Malaysia tetapi di seluruh dunia Islam dan di
luar dunia Islam akan terdapat bank Islam untuk berkhidmat dalam ekonomi
yang moden dan maju.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

18. Saya berdoa bahawa bank ini akan terus maju dan dengan ini, dengan
nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani saya dengan sukacitanya
merasmikan Bank Islam Malaysia Berhad dan cawangannya yang pertama.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikom warahmatulahi wabarakatuh.

 



 


 











 
Google