home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN TUNKU ABDUL RAHMAN, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 23/07/83 Tajuk/Title : DI PERSIDANGAN PERWAKILAN TAHUNAN GERAKAN Yang Berhormat Dato Dr. Lim Kheng Yaik; Presiden Parti GERAKAN, Ketua-ketua Parti-parti Komponen Barisan Nasional; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Ini adalah kali yang ke tiga berturut-turut saya diberi penghormatan untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Parti GERAKAN. Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato Dr. Lim Kheng Yaik, Presiden Parti GERAKAN, dan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja sekelian, diatas jemputan, untuk menghadiri Majlis ini dan penghormatan yang diberikan kepada saya. 2. Tahun lalu, di dalam ucapan saya, saya telah menyentuh tentang kejayaan Barisan Nasional di dalam Pilihanraya Umum 1982. Saya juga menyentuh tentang betapa perlunya kewibawaan Barisan Nasional di dalam realiti politik di Malaysia. Kejayaan Barisan Nasional adalah berdasarkan kepada keyakinan sebahagiaan besar rakyat Malaysia kepada dasar-dasar yang dilaksanakan dan kerana mereka berpandangan jauh, mahukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran dan masa depan yang terjamin lagi bahagia. Sebahagian besar rakyat tidak mahu apa-apa yang boleh mencetuskan huru-hara yang akan hanya merugikan mereka juga akhirnya. 3. Walaupun sebahagian besar dari rakyat Malaysia inginkan cara hidup yang aman, selamat dan makmur, ada sebahagian rakyat yang dengan mudah terpedaya dengan pendirian-pendirian ekstrim beberapa orang yang sanggup mengungkit isu-isu sensitif dan perkauman bagi tujuan politik mereka. Ini adalah amat mendukacitakan, kerana taktik politik seperti ini, walaupun digunakan dalam musim pilihanraya terutamanya, tetapi ia mendatangkan kegelisahan di kalangan rakyat yang tidak begitu faham dengan kedudukan dan isu-isu sebenarnya. Dengan mudah perasaan dan sentimen mereka dapat dibangkit dan dibakar. Ini telah berlaku di Kepayang, Perak dan di Raub, Pahang, di mana Barisan Nasional telah kehilangan dua kerusi di dalam pilihanraya kecil kerana parti pembangkang telah menggunakan isu-isu perkauman. 4. Bagi kita anggota-anggota Barisan Nasional apa yang terjadi di Kepayang dan di Raub harus menjadi pengajaran kepada kita untuk mengukuhkan lagi persefahaman dan perpaduan dan toleransi di kalangan Barisan Nasional, dan meyakinkan rakyat bahawa pendirian ekstrim tidak mempunyai tempat di dalam politik tanah air kita, dan supaya kita terus berusaha untuk menebus kembali apa-apa jua kelemahan yang telah meresapi Barisan Nasional. Sebagaimana yang saya pernah sebutkan di dalam ucapan saya tahun lalu, kita tidak boleh membiarkan perbezaan pendapat menjadi unsur yang merenggangkan kerjasama di kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional dan juga ahli-ahlinya. Apa-apa jua usaha dan sumbangan setiap daripada ahli di dalam Barisan Nasional ke arah kewibawaan Barisan Nasional yang lebih lagi, akan menjadi pelaburan yang amat bernilai bagi masa depan negara. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 5. Kerajaan telah menganjurkan beberapa pendekatan dan membuat penyesuaian dasar bagi membolehkan negara kita mencapai tahap kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi lagi di masa-masa yang akan datang dan supaya rakyat akan memperolehi faedah-faedah yang lebih lagi dari pembangunan. Dari apa yang saya tahu, ramai di antara para pemimpin, pegawai dan orang-ramai yang keliru, dan kurang faham dengan pendekatan-pendekatan yang dibuat. Sebenarnya pendekatan- pendekatan, ataupun dasar-dasar ini boleh difaham dengan mudah jika seseorang membaca dan meneliti tentang apa yang dimaksudkan dengan sesuatu konsep atau dasar itu. Jikalau tidak faham sekali baca, hendaklah diulangi lagi supaya dapat dilihat sudut- sudut yang dipentingkan di dalam sesuatu konsep itu. Ada mereka yang keliru kerana mereka tidak membaca sendiri tentang konsep ini, dan hanya mendengar dari orang lain, yang mungkin telah menokok-tambah menurut selera masing-masing. Ada pula mereka yang membaca secara sepintas lalu sahaja, dan membiarkan pula imaginasi mereka merangkumi perkara-perkara yang mungkin tidak disentuh oleh sesuatu konsep. Itulah sebabnya, seperti saya sebutkan, konsep-konsep ini mesti difaham dan diteliti maksudnya dengan membaca dan mengulangi membaca tentangnya. Selalunya, asas-asas bagi memahami konsep-konsep ini terdapat di dalam buku-buku tertentu yang ada di pasaran. 6. Pandang Ke Timur, misalnya, walaupun beberapa kali saya telah jelaskan bahawa ia bertujuan untuk mengambil contoh-contoh yang baik dari negara-negara yang lebih maju dari kita, yang boleh dicontohi, seperti Jepun dan Korea, khususnya dari aspek-aspek etika kerja, cara pengurusan dan peningkatan daya pengeluaran, namun masih ramai yang menekankan kononnya kita ingin menjadikan orang Malaysia seperti orang Jepun, dan menjadikan negara Malaysia sebagai negeri Jepun. Sebagai bangsa dan negara yang berdaulat, kita tidak mahu bertuankan sesiapa, dan kita tidak mahu menjadi seperti sesiapa juga, kerana kita mempunyai identiti kita sendiri, dan mempunyai maruah kita sendiri. Tetapi, contoh-contoh tidak ada salahnya jika yang boleh memberi faedah kepada kita, kita ambil, jangan katakan dari Jepun atau Korea, malahan dari mana-mana juga harus kita ambil asalkan tidak bertentangan degan asas-asas nilai, kepercayaan dan sistem kehidupan kita. Ada pula yang membangkitkan soal orang Jepun bengis ketika perang dulu. Bukan sahaja kita tidak harus tiru kebengisan Jepun malahan kalau kita pun bengis, kita harus buang kebengisan itu. Ada orang yang membangkitkan perkara ini kerana takut nanti pisang berbuah dua kali, maknanya nanti Jepun menjadikan kita mangsa perang sekali lagi dengan segala kebengisannya. Kalau sesiapa mahu menakluki kita, mereka tidak akan menanti sama ada kita berbaik dengan mereka atau belajar dari mereka. Tetapi, kalau kita mencari sebab dan daleh kerana tidak mahu yang baik, itu amat merugikan. 7. Persyarikatan Malaysia diberi berbagai tafsiran. Konsepnya senang sahaja, iaitu mengambarkan negara kita seolah-olah dan saya ulangi, seolah-olah seperti satu badan swasta di mana Kerajaan mempunyai saham dan kepentingan dan dengan itu sektor awam amat bergantung kepada kejayaannya dan sepatutnyalah membantu bagi menjayakannya. Ada mereka yang dengan penuh imaginasi menyatakan projek itu atau program ini sebagai Persyarikatan Malaysia. Ini tidak tepat. Persyarikatan Malaysia cuma merupakan satu pendekatan atau "approach". Satu projek seperti projek usaha-sama dan lain-lain tidak sebenarnya bermakna Persyarikatan Malaysia. Yang membawa kenyataan kepada konsep ini ialah kerjasama dan persefahaman di antara anggota-anggota sektor awam dan sektor swasta bagi membolehkan sektor swasta menjalankan aktiviti-aktiviti mereka lebih berkesan lagi. Ini bermakna segala kelemahan di dalam sektor awam yang boleh menjejaskan kelulusan, perjalanan, atau prestasi sektor swasta harus diatasi dan disingkirkan dan diganti dengan cara-cara dan peraturan baru yang lebih sesuai dan berkesan. Persyarikatan Malaysia adalah cuma satu gelaran, supaya senang kita ingat dan senang kita gambarkan. Bagi menjayakan konsep ini, mestilah ada sikap yang betul-betul positif di kalangan pegawai-pegawai dan kakitangan sektor awam dan sektor swasta. Persefahaman dan kerjasama mengikut konsep Persyarikatan Malaysia tidak bermakna dasar-dasar dan peraturan penting perlu diketepikan. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 8. Baru-baru ini Kerajaan telah menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa dan Bank Islam. Sebenarnya ramai orang yang kurang faham tentang Islam dan orang Islam. Orang Islam dikehendaki menjalankan cara hidup mengikut peraturan-peraturan yang ditentukan di dalam Islam. Jika bagi orang Kristian mereka ke gereja pada hari Ahad untuk sembahyang, tetapi bagi orang Islam, sembahyang pada tengah hari, hari Jumaat hanya merupakan satu dari sembahyang yang jumlahnya sekurang-kurangnya lima kali sehari mengikut waktu dan disiplin yang ditetapkan. Jadi dalam Islam banyak sekali amal ibadatnya dan orang Islam perlu patuh kepada peraturan-peraturan ini, dan bagi membolehkan mereka mematuhinya, kemudahan-kemudahan tertentu adalah amat perlu. Dalam semua hal orang Islam mempunyai cara dan peraturan yang tertentu; ini meliputi keseluruhan hidup mereka. Mereka tidak mempunyai pilihan lain. Begitu juga Islam mempunyai falsafahnya, dan mungkin di antaranya sama dengan falsafah kepercayaan-kepercayaan lain, misalnya kesederhanaan, toleransi, keadilan, kebersihan, persaudaraan dan banyak lagi. Cuma dalam Islam semuanya ini mempunyai peraturan-peraturan yang amat lengkap. Ini tentulah sukar untuk diketahui oleh orang bukan Islam yang tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang agama ini. Yang penting ialah orang bukan Islam perlu faham bahawa amalan ajaran Islam oleh orang Islam tidak akan mengganggu kehidupan orang bukan Islam sehingga menjadi masalah kepada mereka. 9. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa ialah dengan tujuan supaya kita dapat menghidupkan semula peranan orang-orang Islam sebagai peneroka ilmu-ilmu baru seperti yang telah dimainkan oleh mereka dalam zaman kegemilangan Islam. Kita tahu bahawa banyak ilmu-ilmu yang kita pelajari sekarang, umpamanya algebra, alchemy, astronomy, beberapa bidang pathology dan perubatan dan lain-lain diasaskan kepada kaji-selidik pakar-pakar Islam. Tetapi kerana sebab-sebab tertentu mereka tidak lagi berminat dalam bidang-bidang pengajian ini dan akibatnya mereka telah ketinggalan di belakang. Dengan adanya Universiti Islam maka kajian-kajian dalam berbagai jenis ilmu dapat sekali lagi diterokai oleh cerdik-pandai Islam. Di samping itu penuntut-penuntut Islam dan bukan Islam bolehlah belajar di Universiti Islam sama seperti di universiti-universiti lain. Yang mungkin berbeza sedikit ialah penuntut-penuntut di Universiti Islam dikehendaki mempelajari tamaddun, kebudayaan dan falsafah Islam dan universiti pula akan diurus mengikut kehendak-kehendak dan cara-cara yang tidak bertentangan dengan Islam. Ini semua tidak bermakna bahawa penuntut akan dipaksa untuk memeluk agama Islam ataupun mengamal ibadat Islam. 10. Bank Islam pula menggunakan prinsip-prinsip yang dikehendaki oleh Islam. Prinsip-prinsip ini tidak bertentangan dengan sesiapa pun. Tetapi ia adalah institusi kewangan untuk semua orang Islam, dan orang bukan Islam pun boleh menjadi pelanggan asalkan mengikut syarat-syaratnya. Sebenarnya syarat-syarat ini tidak menghalang orang bukan Islam untuk menggunakan kemudahan bank ini kerana banyak bidang pelaburan yang dibolehkan oleh bank ini. 11. Sebenarnya sebagai sebuah negara maju pengetahuan masyarakat bukan Islam tentang Islam, dan pengetahuan orang Islam tentang kepercayaan-kepercayaan lain adalah amat penting sekali. Ia akan membolehkan seseorang memahami realiti politik, sosial-budaya dan ekonomi di negara kita dengan lebih lagi. Ia juga akan dapat mengelakkan kita dari sentimen dan emosi yang terbawa-bawa oleh sesuatu berita dan tanggapan. Memahami tentang kepercayaan orang lain tidak semestinya menjadikan seseorang mengikut kepercayaan itu. Kita tahu ramai orang bukan Islam yang menjadi pakar tentang pengajian Islam di banyak universiti dan mereka tidak menganut agama Islam. Dalam Islam pun tidak ada paksaan supaya orang lain menjadi Islam. 12. Saya menyentuh perkara ini kerana agama semakin memainkan peranan penting di arena politik antarabangsa. Orang Islam semakin insaf tentang kedudukan mereka yang lemah, dan mereka mahu menjadi orang Islam yang patuh kepada peraturan-peraturan orang Islam dan bebas untuk mengamalkan ajaran-ajaran Islam. Mengikut Islam orang Islam boleh, dan malahan harus hidup berbaik-baik dengan orang lain asalkan mereka sendiri terus mengamalkan segala ajaran Islam, dan dalam keadaan ini keamanan, kemakmuran dan kestabilan adalah dijamin bagi semua, kerana Islam jelas sekali agama yang bukan ofensif malahan agama defensif. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 14. Persefahaman dan perpaduan adalah "asset" dan pelaburan yang begitu penting bagi di Malaysia. Kita mestilah berusaha ke arah ini, dan perubahan serta penyesuaian perlulah dibuat dari masa ke semasa bagi mengukuhkan lagi persefahaman dan perpaduan ini. Yang paling penting sekali ialah di peringkat kepimpinan sendiri, khususnya kepimpinan di dalam Barisan Nasional. Kita harus lebih mementingkan masa depan dan kepentingan umum. Jika ini sentiasa menjadi landasan dan perhitungan kita, saya yakin semua rakyat Malaysia akan mendapat faedah yang berlipat-ganda lagi di masa akan datang. 15. Saya akhiri ucapan saya dengan mengucapkan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian selamat bersidang dan dengan ini juga saya membuka Mesyuarat Agung GERAKAN yang ke 12 ini dengan rasminya. Terima kasih. |