home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KAWASAN PERDAGANGAN BEBAS, ULU KELANG, SELANGOR Tarikh/Date : 23/07/83 Tajuk/Title : DI PERASMIAN KOMPLEKS SAPURA HOLDINGS Yang Berhormat-Yang Berhormat; Encik Shamsuddin Abdul Kadir, Pengerusi dan Pengurus Besar Sapura Holdings; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Encik Shamsuddin dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Sapura Holdings kerana menjemput saya untuk merasmikan pembukaan bangunan yang indah ini. 2. Saya berbangga dengan kejayaan Sapura Holdings, satu syarikat milik-penuh bumiputera yang juga merupakan syarikat tunggal dalam industri telekomunikasi dan letronik yang diuruskan oleh ahli-ahli perniagaan bumiputera. Syarikat ini menjadi salah satu bukti kejayaan melahirkan usahawan bumiputera, selaras dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru. Kejayaan ini menjadi lebih bermakna kerana ianya tidak bergantung kepada subsidi Kerajaan tetapi kerana kecekapan pengurusan dan usaha gigih pemilik dan pengurus-pengurusnya. 3. Bumiputera pada amnya masih ramai dalam perkhidmatan awam. Sebahagian kecil sahaja yang telah meninggalkan perkhidmatan awam untuk memasuki bidang perniagaan. Kerajaan, pada dasarnya, tiada mempunyai halangan bagi kakitangan Kerajaan, terutamanya bumiputera, meletakkan jawatan untuk memasuki sektor perniagaan dan perusahaan. Pengalaman mereka dalam perkhidmatan awam mungkin membantu mereka mengurus dan mengendalikan perniagaan. Tetapi, pengalaman dalam sektor awam belum dapat mempastikan kejayaan; bagi mencapai kejayaan, khususnya dalam dunia perniagaan di mana terdapat persaingan yang hebat, latihan dalam bidang pengurusan adalah penting. Kebanyakan kegagalan bumiputera dalam perniagaan berasas kepada kelemahan yang amat ketara dari segi pengurusan. Tidak ada sesuatu yang lebih penting dalam perniagaan daripada kecekapan mengurus atau management skill. Inilah sebabnya yang Kerajaan telah mengadakan rancangan latihan pengurusan istimewa bagi kakitangan Kerajaan yang ingin memasuki bidang perniagaan. 4. Ramai pegawai eksekutif Syarikat Sapura ini sendiri terdiri dari bekas kakitangan Kerajaan, terutama yang pernah berkhidmat sebagai jurutera dan pegawai profesional. Dengan latarbelakang sebagai pegawai profesional dahulu dan minat untuk berjaya, saya yakin penyertaan bumiputera dalam lapangan telekomunikasi dan letronik moden yang menjadi tumpuan Sapura Holdings akan membawa kejayaan. 5. Di sini patut saya sebut tentang satu fenomena yang boleh menjadi pelajaran kepada kita. Ramai dari pegawai yang kemudian menjadi peniaga terpaksa mengadakan perhubungan dengan jabatan-jabatan Kerajaan. Ramai pula yang mendapati bahawa sikap pegawai Kerajaan terhadap mereka tidak begitu menggalakkan. Di waktu ini mungkin mereka terfikir akan pentingnya sikap positif dari pegawai Kerajaan. Tetapi mungkin juga di waktu mereka sendiri menjadi pegawai Kerajaan dahulu mereka juga tidak memberi layanan baik kepada peniaga-peniaga yang datang berjumpa mereka. Sekarang mungkin mereka lebih insaf akan peranan layanan yang baik dari pegawai. 6. Tabiat tidak memberi layanan yang baik ini amatlah merugikan. Sama ada kita memberi khidmat sebagai pegawai Kerajaan atau swasta, kita biasanya tidak utamakan layanan yang baik di waktu kita memberinya tetapi sebaliknya kita berharap kepada layanan yang baik apabila kita jadi pelanggan. Ini amatlah ganjil. Jika kita perlukan layanan yang baik bagi diri kita, kita perlulah memberi layanan yang baik kepada pelanggan kita. Kita harus ingat, walaupun hari ini kita yang memberi khidmat, pada hari lain kita juga akan menjadi penerima khidmat. Umpamanya pegawai Kerajaan terpaksa membayar hasil, atau membeli-belah atau makan di restoran dan sebaliknya. Jika kita semua memberi khidmat yang baik, tidak akan ada siapa yang akan menerima layanan yang buruk. Ini termasuklah kita sendiri apabila kita memerlukan layanan. 7. Sama ada kita terlibat dengan 'service industry' atau tidak, kejayaan kita banyak bergantung kepada layanan yang kita beri. Tidak ada suatu yang lebih menarik dari layanan yang baik. Syarikat-syarikat penerbangan Timur, termasuk MAS, tidak mungkin bersaing dengan syarikat negara maju dari segi jenis kapal terbang, atau jadual atau "frequency" atau bayaran tambang. Yang menentukan viability dan kejayaan syarikat penerbangan negara-negara Timur ialah layanan yang diberi dengan senyuman yang manis. Begitu juga dengan kedai kecil atau penjaja. Makanan yang sedap dan murah pun tidak mungkin laris jika pelayan menghempaskan pinggan dan mangkuk ke atas meja dan bercakap kasar. Mungkin pelayan berperasaan bahawa dianya bukan tuan punya kedai tetapi haruslah kita semua ingat bahawa gaji kita bergantung kepada maju-mundurnya perniagaan. Janganlah kerana kita boleh bertindak melalui pertubuhan yang kita sertai, maka kita anggap tidak perlu lagi kita menolong menjayakan majikan kita. Sebenarnya lebih maju majikan kita lebih besar kemungkinan kita mendapat pendapatan yang lebih tinggi. 8. Begitu juga dengan pegawai Kerajaan. Layanan yang baik yang kita beri sebagai satu amalan biasa bukan sahaja akan dibalas kemudian hari apabila kita berhenti dari menjadi kakitangan Kerajaan, tetapi ia akan memberi kepuasan kepada diri kita. Sebagai doktor, ingin saya beri nasihat percuma iaitu sikap sombong dan selalu masam muka akan membawa penyakit darah tinggi, sakit jantung dan "ulcer" dalam perut. Tentulah jelas kita tidak akan rugi jika kita beri layanan dengan muka yang manis dan penuh kerelaan. Negara di mana rakyat bersedia memberi layanan yang baik akan menjadi lebih effisien, makmur dan tenteram. Kita adalah sebahagian dari negara dan kitalah yang menerima nikmat ini. Tuan-tuan dan puan-puan. 9. Di Malaysia kita terlalu manja dengan Kerajaan. Tiap kali kita bercadang mengadakan perniagaan, kita tuntut supaya Kerajaan memberi perlindungan, atau kita diberi kontrek oleh Kerajaan, atau subsidi atau dikecualikan dari cukai dan lain-lain lagi. Oleh kerana kejayaan kita bergantung kepada pertolongan kerajaan, maka kita tidak mungkin berjaya di negara lain di mana Kerajaan asing tidak memberi perlindungan. Ini bermakna perusahaan dan perniagaan Malaysia tak mungkin bersaing di pasaran dunia. Ini juga bermakna bahawa pengguna kita terpaksa menanggung beban semua perniagaan di Malaysia kerana pengguna tidak dapat membeli barang murah yang diimport atau mendapat faedah dari cukai yang biasanya dikutip. Inilah sebabnya yang negara seperti Korea dan Taiwan membeli kayu dari Malaysia untuk diproses, dan keluaran mereka boleh dijual dengan lebih murah di Malaysia dari barang yang sama yang dibuat di Malaysia dari bahan keluaran Malaysia sendiri. Kita mungkin membuat tuduhan bahawa mereka mendapat subsidi Kerajaan mereka, tetapi adalah mustahil bagi mana-mana Kerajaan memberi subsidi kepada semua barang keluaran mereka. Hakikat yang tidak dapat kita nafikan ialah hampir semua barang import adalah lebih murah dari barang buatan Malaysia. 10. Sebenarnya kebolehan negara lain menjual dengan lebih murah berasas kepada kecekapan mereka mengurus, mengeluar dan memasarkan barangan mereka. Melalui pengurusan yang cekap mereka dapat mengurangkan kos pengeluaran. Besarnya perusahaan mereka serta tumpuan mereka kepada pasaran dunia dan tidak semata-mata dalam negeri, juga menolong menjadikan barangan mereka lebih "competitive". 11. Di Malaysia apabila sahaja sesiapa teringat untuk berniaga maka fikiran pertama yang terlintas ialah apa yang Kerajaan mesti buat untuk menentukan kejayaan rancangan mereka. Sifat ini lebih ketara di kalangan bumiputera. Dengan itu tidak ada sama sekali percubaan untuk menjadi lebih efisien dan lebih produktif. Akibatnya ialah perusahaan Malaysia tidak competitive. Cuma dalam industri perladangan atau 'plantation' dan melombong bijih timah sahaja yang kita agak competitive. Dalam bidang manufacturing kita tidak dapat sama sekali bertanding dengan pihak lain tanpa bantuan Kerajaan. 12. Pertolongan dari Kerajaan adalah seperti tongkat, atau "crutches" bagi orang yang tempang. Sementara tongkat boleh menentukan ianya dapat berjalan, tongkat juga menghalangnya dari berlari, bahkan untuk berjalan laju seperti biasa. Sudah tentu orang yang bertongkat ini tidak mungkin menang dalam perlumbaan berjalan, apatah lagi perlumbaan lari. Tongkat boleh diguna buat sementara, tetapi di Malaysia sekali tongkat diguna, tidak mungkin ianya diketepikan lagi. 13. Demikianlah juga pertolongan dari Kerajaan. Sementara saya mengaku dalam bidang tertentu dan buat permulaan bantuan Kerajaan mungkin penting, ianya patut diketepikan secepat mungkin. Pengurus yang cekap boleh membuat analisa untuk menentukan di mana terdapat kelemahan dan mengatasinya supaya efisiensi meningkat dan bantuan Kerajaan tidak lagi diperlukan. Jika tidak maka apa yang dianggap sebagai keuntungan adalah sebenarnya cukai yang tidak dikutip oleh Kerajaan atau denda yang dipikul oleh pengguna. Tuan-tuan dan puan-puan. 14. Walaupun kita telah anjurkan Dasar Pandang Ke Timur lebih dari satu tahun, kita dapati masih ramai yang tidak faham maksud dan tujuan dasar ini. Di kalangan ahli-ahli profesional pun ada yang tidak faham. Ada di antara mereka yang berkata dasar ini merugikan kerana segala kontrek binaan dan bekalan sekarang ini dimenangi oleh orang Jepun dan orang Korea. Ada yang menuduh Jepun dan Korea sudah jadi angkuh kerana Dasar Pandang ke Timur. Ada yang menegur kenapa mereka ini tidak memberi lebih banyak pertolongan sesudah kita bentuk Dasar Pandang ke Timur. 15. Saya sendiri kurang faham kenapa salah faham ini masih berlaku. Apakah kerana kita bentuk dasar untuk kita maka orang lain terpaksa lebih bertanggungjawab. Mereka tidak suruh kita pandang ke arah mereka. Kenapakah mereka patut disalahkan kalau mereka tidak sambut dasar kita. 16. Malaysia bukan pengemis. Kita tidak bentuk dasar yang memerlukan orang lain bertindak. Kita bentuk dasar untuk diri kita dan kitalah yang bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar itu. Sama ada dasar itu berjaya atau tidak adalah masalah dan tanggungjawab kita. 17. Dasar Pandang ke Timur tidak bermakna orang lain mesti pikul beban kita atau mereka akan dapat layanan istimewa. Dasar Pandang ke Timur cuma bermakna kita akan paling ke Timur untuk melihat dan mempelajari bagaimana beberapa bangsa Timur berjaya membangunkan negara mereka dan bersaing dengan bangsa-bangsa lain. Jika mereka ini berjaya tentulah ada sebab-sebabnya. Inilah yang kita hendak tahu dan kita hendak tiru jika sesuai dengan kita, dan tidak bertentangan dengan segala nilai-nilai yang baik yang dijunjung oleh kita. 18. Sebenarnya kita telahpun kenali banyak asas-asas yang menyebabkan beberapa negara Timur maju. Di antaranya ialah kerajinan, tidak mudah tawar hati dan kecewa, kesetiaan kepada badan yang menjadi tempat kerja kita, sabar dan tabah hati, dedikasi terhadap peningkatan daya pengeluaran dan mutu, kesanggupan belajar dan melatih diri, disiplin dan bertanggungjawab, security bekerja dan lain-lain lagi yang sedang kita camkan. Hampir semua ini tidak ada pada kita atau tidak ada secukupnya. Selama kita mendewa-dewakan Barat banyaklah nilai dan amalan yang buruk yang telah kita serapkan. Oleh itu memandang dan meniru orang Timur menjadi begitu sukar sehingga ramai juga dari kita yang menentang atau kurang senang dengan Dasar Pandang ke Timur. 19. Tujuan Kerajaan mengubah haluan bukanlah sangat kerana kepentingan Kerajaan. Keadaan sekarang pun tidak merugikan anggota Kerajaan. Tetapi kejayaan negara tetap akan membawa kebaikan kepada rakyat. Orang-orang Jepun dan Korea memperolehi pendapatan dan taraf hidup yang lebih rendah dari kita di masa dahulu. Sebenarnya selepas Perang Dunia Kedua ramai pekerja Jepun cuma diberi makan sebagai upahan bekerja di kilang dan orang Korea memakan beras tidak baik supaya beras baik mereka boleh diekspot untuk tukaran asing. Tetapi sekarang mereka hidup mewah dan sempurna. Tidak syak lagi bahawa pembaikan taraf hidup mereka berasas kepada sifat dan sikap yang telah disebut tadi. Jika kita amalkan segala faktor yang telah disenarai tadi, tidak syak lagi kita juga, iaitu rakyat akan menikmati kehidupan yang lebih baik. Dasar Pandang ke Timur adalah untuk rakyat dan rakyatlah yang boleh menentukan kejayaannya. Tuan-tuan dan puan-puan. 20. Hari ini kita akan rasmikan Kompleks Sapura yang dimiliki oleh Sapura Holdings, sebuah syarikat bumiputera. Saya diberitahu Syarikat Sapura Holdings bergerak dalam bidang elektronik, lebih tepat lagi dalam bidang telecommunications. Bidang ini memerlukan kebolehan dalam teknologi yang moden dan 'sophisticated'. Tetapi pengetahuan dalam teknologi semata-mata tidak boleh menjamin kejayaan. Dalam perniagaan kecekapan pengurusan atau 'management' adalah perkara utama. Namun begitu untuk meningkatkan tambah-nilai (value added) penguasaan teknologi adalah penting. Kita sering bercakap berkenaan pemindahan teknologi. Sebenarnya pemindahan teknologi cuma berlaku apabila orang tempatan boleh menggunakan teknologi tersebut untuk perusahaan sendiri. 21. Saya faham bahawa Sapura Holdings tidak mengambil rakan luar negeri untuk menumpang teknologi mereka tetapi sebaliknya mereka membeli lesen untuk mengguna teknologi yang berkenaan. Cara ini akan menentukan pemindahan teknologi menjadi lebih bermakna. Saya ingin mengucap tahniah kepada Sapura Holdings kerana kejayaannya. 22. Saya juga ingin mengucap tahniah kepada Sapura Holdings kerana berjaya mengadakan kilangnya sendiri. Saya yakin ini akan menambah keyakinan bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Setahu saya tidak banyak pertolongan yang diberi oleh Kerajaan kepada syarikat ini. Walaupun demikian ia berjaya, yang mana ini membuktikan bahawa orang yang berdiri atas kaki sendiri bukan sahaja boleh berjaya tetapi sebenarnya kejayaan mereka lebih tahan daripada mereka yang berjaya semata-mata kerana perlindungan yang diberi. Saya berdoa supaya sikap "independent" ini akan kekal dan akan membawa lebih banyak kemajuan. 23. Akhir kata saya dengan sukacitanya merasmikan Kompleks Syarikat Sapura ini di buka. |