home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN BANDARAN IPOH, PERAK Tarikh/Date : 24/07/83 Tajuk/Title : DI PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN PEMADAM KEBANGSAAN KE 6 Yang Berhormat Datuk Rais Yatim, Yang Di Pertua PEMADAM Kebangsaan; Yang Amat Berhormat Encik Ramli Ngah Talib, Menteri Besar Perak; Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar; Dif-dif kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian; Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Di Pertua PEMADAM kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan di majlis ini dan seterusnya untuk merasmikan Perhimpunan Agung PEMADAM Peringkat Kebangsaan. 2. Semenjak Kempen Anti Dadah dilancarkan oleh Kerajaan pada bulan Februari yang lalu, beberapa langkah dan tindakan bagi mengatasi masalah ini telah dijalankan. Kerajaan telah meminda undang-undang supaya menjadi lebih ketat lagi kerana pengedar-pengedar dadah adalah penjenayah yang tidak berperikemanusiaan dan juga tidak bertimbangrasa, mengancam keselamatan negara, dan yang melemahkan muda-mudi kita yang menjadi harapan bangsa dan negara. Akan hancurlah negara ini jika jenayah pengedaran dadah tidak dapat dihapuskan. 3. Memandangkan perbuatan menyalahgunakan dadah semakin hari semakin meningkat dan merumitkan, maka jika tindakan tegas tidak diambil dari sekarang, kemungkinannya wabak dadah di negara ini tidak dapat dikawal lagi. Di atas kesedaran inilah maka semua kegiatan menentang penyalahgunaan dadah telah diselaraskan oleh Jabatan Perdana Menteri. Bahkan Kerajaan menganggap masalah dadah ini sebagai masalah keselamatan oleh kerana seriusnya ancaman dadah kepada ketahanan dan keselamatan negara. 4. Program yang tersusun telah dilaksanakan di semua peringkat oleh agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan dan saya berbangga kerana PEMADAM juga telah dilibatkan dengan tugas dan tanggungjawab menentang dadah. Walaupun begitu, Kerajaan belum berpuas hati dengan tindakan memerangi wabak dadah setakat ini. Usaha-usaha menentang perbuatan yang paling buruk ini perlulah dilipat-gandakan, malahan setiap anggota masyarakat di negara ini hendaklah sentiasa berwaspada dan sentiasa bersungguh-sungguh membenteras kegiatan dadah di negara ini. Masyarakat hendaklah bersama-sama tampil ke hadapan untuk menyertai memperhebatkan usaha menentang perbuatan yang sangat merbahaya dan terkutuk ini. 5. PEMADAM dewasa ini terlibat dalam beberapa kegiatan membantu Kerajaan menghapus penyalahgunaan dadah. Antaranya ialah kempen penerangan melalui ceramah, pameran, penayangan filem, penyebaran bahan bacaan, kursus, seminar, seliaan serta juga aspek pemulihan atau 'rehabilitation'. Kerajaan telah memikirkan bagaimana PEMADAM dapat memberi sumbangan yang lebih berkesan lagi sekiranya PEMADAM sebagai badan sukarela dapat menumpukan tenaganya dalam aspek-aspek tertentu. 6. PEMADAM bolehlah meneruskan peranannya dalam aspek-aspek penerangan bagi menghindarkan penyalahgunaan dadah seperti yang terdapat masa ini. Walau bagaimanapun, persoalan utama ialah sama ada PEMADAM harus terlibat dalam usaha pemulihan penagih-penagih. Kerajaan berpendapat PEMADAM seharusnya lebih menumpukan tenaganya kepada usaha-usaha jagaan lanjut, atau 'after care counselling', bagi penagih-penagih yang telah pun menjalani pemulihan di beberapa pusat di seluruh negara. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 7. Usaha-usaha pemulihan berkehendakkan wang yang banyak dan kakitangan yang ramai. PEMADAM tentu dapat memahami hal ini oleh kerana Pusat-pusat Pemulihan PEMADAM, seperti di Sungai Besi, terpaksa mendapat bantuan kewangan dan kakitangan Kerajaan. Dengan itu usaha-usaha pemulihan oleh PEMADAM dewasa ini bolehlah diserahkan sahaja kepada agensi-agensi Kerajaan supaya dapat diselaraskan dengan pusat-pusat pemulihan Kerajaan di tempat-tempat lain seperti di Tampoi, Besut, Bukit Mertajam dan Pusat Serenti di Tampin, Melaka. 8. Penagih-penagih dadah selepas menjalani kursus pemulihan berkehendakkan perhatian dan bantuan keluarga dan masyarakat yang benar-benar memahami masalah mereka. Ibu bapa dan keluarga mesti memahami emosi mereka yang pernah menagih dadah. Ahli-ahli PEMADAM yang terdiri dari anggota masyarakat setempat dapat memberi penerangan dan pengajaran kepada ibu bapa dan keluarga bekas penagih. 9. Masyarakat setempat mempunyai peranan yang berat terhadap bekas penagih-penagih dadah. Anggota masyarakat tidak patut mencemuh atau melakukan perkara-perkara yang mendatangkan tekanan kepada jiwa mereka. Di sini juga ahli-ahli PEMADAM setempat berperanan memberi penerangan dan tunjuk ajar. Masa yang kritikal bagi mereka ialah enam bulan pertama selepas keluar dari pusat pemulihan; bahkan mereka akan berkehendakkan sokongan moral setahun-dua selepas itu. Bahaya yang terbesar sekali di waktu ini ialah rakan-rakan mereka yang lama yang telah memperkenalkan dadah kepada mereka dan masih belum dipulih dari jenayah dadah. 10. Di samping itu ahli-ahli PEMADAM dapat membantu mencari pekerjaan bagi bekas-bekas penagih ini. Bagi mereka yang memerlukan sesuatu kemahiran, ahli-ahli PEMADAM dapat membantu dengan menghubungi agensi-agensi Kerajaan atau badan-badan tertentu bagi mereka menjalani latihan, seperti di bengkel-bengkel. Saya difahamkan terdapat ahli-ahli PEMADAM yang telah pun menjadi saudara angkat kepada bekas-bekas penagih di bawah skim saudara angkat, atau 'adoptive scheme'. Ini merupakan satu aspek jagaan lanjut yang terpuji dan harus diberi penekanan oleh PEMADAM. Bekas penagih dadah mempunyai masalah-masalah peribadi yang sudah tentu memerlukan seseorang yang penuh simpati untuk meluahkan perasaan dirinya dan seseorang yang dapat membantu mengatasi masalah mereka. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 11. Peranan-peranan seperti ini tidaklah memerlukan PEMADAM peringkat kebangsaan mengumpulkan wang yang banyak bagi membiayainya. Pendek kata, peranan ini lebih bercorak usaha kebajikan. Bezanya, ahli-ahli PEMADAM dapat menyampaikan pengetahuan dan tunjuk ajar yang berterusan pada masyarakat setempat. Peranan jagaan lanjut ini pun memerlukan tenaga dan dedikasi yang tinggi dari ahli-ahli PEMADAM, yang lebih dari penyelenggaraan pusat-pusat pemulihan dan aktiviti lain yang sekarang diurus oleh Kerajaan. Justeru itu, usaha-usaha PEMADAM sebagai badan sukarela tidak akan berkurangan atau menjadi kurang penting. Sebaliknya peranan ini adalah peranan yang tidak mungkin dimainkan oleh Kerajaan. 12. Saya berharap ini akan dijadikan panduan dalam menyusun program PEMADAM sebagai badan sukarela pada tahun-tahun yang akan datang. Walau bagaimanapun Kerajaan tidak bercadang untuk mengambil alih Pusat Pemulihan PEMADAM di Sungai Besi sehingga pada tarikh yang difikirkan sesuai. 13. Sekarang terpulanglah kepada masyarakat untuk sama-sama memikul tanggungjawab membantu usaha-usaha Kerajaan dengan menjadi ahli PEMADAM. Seseorang ahli baru perlu diberi pengetahuan terlebih dahulu mengenai dadah dan selepas itu dapat membantu berkhidmat dengan PEMADAM untuk masyarakat. Saya juga berharap lebih banyak lagi firma-firma, yayasan pengajian tinggi dan sekolah-sekolah akan menjadi ahli PEMADAM. Setakat ini bilangan firma-firma yang menjadi ahli PEMADAM tidaklah begitu memuaskan. Penyertaan lebih ramai anggota masyarakat dan institusi-institusi awam dan swasta akan membolehkan PEMADAM bergerak dengan lebih berkesan lagi. 14. Kita harus memahami bahawa pembenterasan masalah dadah tidak akan dapat dijayakan tanpa penglibatan masyarakat. Kerajaan amat sedar betapa seriusnya ancaman dadah ini, dan jika tidak dibendung, sudah tentu menjejaskan rancangan-rancangan pembangunan dan ekonomi dan akhirnya kestabilan negara ini. Kerajaan juga menyedari hakikat dan hasrat PEMADAM dalam menjalankan usaha-usaha membenteras wabak dadah selama ini. 15. Saya berharap perhimpunan ini dapat mencari idea-idea baru bagi membenteras dadah di negara kita ini. Dengan ini saya dengan sukacitanya membuka Perhimpunan Agung Tahunan PEMADAM Kebangsaan Ke Enam ini dengan rasminya. |