home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT 
Tarikh/Date 	: 	01/08/83 
Tajuk/Title  	: 	SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-
			UNDANG PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1983 




Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya satu rang
undang-undang bernama suatu Akta untuk meminda Perlembagaan dibacakan bagi
kali kedua.

Tuan Yang di-Pertua, 

2. Undang-undang adalah satu ciri penting bagi sesuatu negara, kerana
undang-undang membolehkan sesebuah negara menjalankan pentadbiran dan
kegiatannya dengan teratur dan terjamin. Undang-undang juga menentukan
rakyat dan lain-lain anggota masyarakat sesebuah negara hidup aman damai
dan terpelihara dari sebarang ancaman atau penindasan.

Tetapi, oleh kerana sesebuah negara dan masyarakatnya tidaklah statik, dan
sebaliknya sering berubah dan bertukar corak, maka undang-undang terpaksa
dipinda dan disesuaikan dari masa ke semasa. Demikianlah undang-undang
buatan manusia. Cuma undang-undang Tuhan sahaja yang tidak dapat
diubah. Walaupun demikian, Kerajaan tidak berminat untuk meminda
undang-undang asas negara, iaitu Perlembagaan, dengan
sewenang-wenangnya. Pindaan yang dicadangkan ini perlu dibuat kerana
keadaan dalam negara telah berubah sehingga peruntukan baru terpaksa
diadakan untuk menjaga kepentingan rakyat dan pengurusan pentadbiran.

Tuan Yang di-Pertua, 

3. Rang undang-undang yang dibentangkan dalam Dewan Yang Mulia ini adalah
bagi tujuan meminda beberapa Perkara Perlembagaan, termasuk Perkara I,
Eksekutif, Badan Perundangan Persekutuan, Suruhanjaya-Suruhanjaya,
Kehakiman, Kuasa-Kuasa Darurat dan Jadual-Jadual Kelapan dan
Kesembilan. Kebanyakan pindaan yang dibentangkan adalah merupakan pindaan
berbangkit sahaja, yang bertujuan menjelas dan menghapuskan keraguan
terhadap peruntukan yang sedia ada. Semangat dan prinsip yang termaktub
dalam Perlembagaan Malaysia tidak akan terjejas dengan pindaan yang
dicadangkan ini.

Tuan Yang di-Pertua, 

4. Pindaan kepada Perkara 43A bertujuan membuat peruntukan dalam Fasal
(2) kepada Perkara itu supaya menjelaskan bahawa seseorang Timbalan
Menteri semasa membantu Menteri dalam menjalankan kewajipan dan fungsi
Menteri, hendaklah mempunyai segala kuasa yang dipunyai oleh Menteri, bagi
maksud membantu Menteri itu. Pindaan seumpama ini juga dicadangkan kepada
Perkara 43B bagi menjelaskan bahawa seseorang Setiausaha Parlimen
mempunyai segala kuasa yang dipunyai oleh Menteri dan Timbalan Menteri,
semasa membantu mereka dalam menjalankan kewajipan dan fungsi
mereka. Pindaan ini akan membolehkan Timbalan Menteri dan Setiausaha
Parlimen dengan arahan Menteri, mengemukakan rang undang-undang tertentu
dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara apabila Menteri berkenaan tidak dapat
menjalankan tugasnya kerana sesuatu sebab. Ini tidak bermakna Timbalan
Menteri dan Setiausaha Parlimen berkuasa seperti Menteri dan boleh
mengganti Menteri dalam Jemaah Menteri atau mengendalikan tugas-tugas yang
dihadkan kepada Menteri sahaja.

Tuan Yang di-Pertua, 

5. Pindaan juga dicadangkan kepada Perkara 46 berhubung dengan bilangan
kerusi Dewan Rakyat. Pindaan terakhir kepada bilangan kerusi Dewan Rakyat
telah dibuat dalam tahun 1973. Semenjak itu bilangan pemilih yang
berdaftar telah bertambah hampir 50%. Memandangkan kepada pertambahan
bilangan pemilih ini, adalah dicadangkan supaya peruntukan Perkara 46
dipinda untuk menambah bilangan kerusi di Dewan ini sebanyak 22 kerusi
lagi, iaitu 18 bagi Semenanjung Malaysia dan 4 bagi Negeri Sabah. Dengan
pindaan ini jumlah kerusi bagi Dewan Rakyat ialah 176. Bilangan kerusi
bagi Negeri Sarawak tidak berubah, kerana Sarawak telah meminda kawasan
pilihanrayanya dalam tahun 1977 dan Perlembagaan tidak mengizin pindaan
sebelum genap 8 tahun.

6. Tambahan kerusi yang dicadangkan adalah seperti berikut: ii) Kedah - 1
iv) Melaka - 1 vi) Pahang - 2 viii) Perak - 2 x) Selangor - 3 xii) Wilayah
Persekutuan - 2 Bagi Negeri Perlis tidak ada tambahan.

7. Parlimen mengikut Perlembagaan, berkuasa menentukan bilangan kerusi
Dewan Rakyat untuk tiap-tiap Negeri. Penentuan sempadan kawasan-kawasan
pilihanraya akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya setelah pindaan
mengenai bilangan kerusi diluluskan. Urusan kajian bagi menentukan
sempadan kawasan pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihanraya hanya boleh
dibuat selepas 8 tahun, tetapi tidak melebihi 10 tahun sesudah urusan
kajian yang terakhir. Dengan demikian, urusan penentuan sempadan kawasan
bagi kali ini, mestilah selesai tidak lewat dari 26hb. Julai, 1984. Walau
bagaimanapun, kawasan-kawasan baru cuma akan diguna bagi pilihanraya umum
yang akan datang. Jika sesuatu pilihanraya kecil perlu diadakan sebelum
pilihanraya umum akan datang, kawasan-kawasan yang sedia ada sekarang akan
digunakan.

Tuan Yang di-Pertua, 

8. Pindaan yang dicadangkan kepada Perkara 48 ialah untuk menetapkan,
iaitu mana-mana Ahli Parlimen yang hilang kelayakannya di bawah peruntukan
Perkara 48(1)(e) atau Perkara 48(2), maka hilang kelayakan itu hendaklah
berkuatkuasa hanya selepas 14 hari dari tarikh sabitan dan hukuman menurut
peruntukan Perkara-Perkara itu. Pindaan ini juga memperuntukkan iaitu jika
dalam tempoh 14 hari, Ahli itu membuat rayuan atau membawa lain-lain
prosiding mahkamah berkenaan sabitan dan hukuman itu, maka hilang
kelayakan hendaklah mula berkuatkuasa hanya selepas tamatnya tempoh 14
hari dari pelupusan rayuan atau lain-lain prosiding mahkamah. Jika
seseorang Ahli itu memasukkan suatu petisyen untuk mendapat ampun dalam
tempoh 14 hari dari hari pelupusan rayuan atau lain-lain prosiding
mahkamah, hilang kelayakan itu hendaklah mula berkuatkuasa sebaik sahaja
petisyen itu dilupuskan.

9. Peruntukan mengenai penangguhan kuatkuasa hilang kelayakan yang
tersebut tidak terpakai bagi maksud penamaan calon, pilihanraya atau
perlantikan ke mana-mana Dewan Parlimen. Pindaan seumpama ini juga
dicadangkan dalam Jadual Kelapan bagi Ahli-Ahli Dewan-Dewan Negeri.

10. Berikutan dari pindaan kepada Perkara 48 yang disebutkan itu, Perkara
53 juga adalah dipinda bagi memperuntukkan bahawa hilang kelayakan
seseorang Ahli yang didapati bersalah dan dikenakan hukuman seperti yang
diperuntukkan dalam Perkara 48(1)(e) atau 48(2) akan berkuatkuasa secara
otomatis mengikut peruntukan-peruntukan Fasal baru (4) Perkara 48 tanpa
Dewan mengambil apa-apa keputusan mengenai soal hilang kelayakan Ahli yang
berkenaan.

Tuan Yang di-Pertua, 

11. Pengalaman kita telah menunjukkan betapa sukarnya untuk mendapatkan
calon-calon bagi jawatan Yang di-Pertua, Timbalan Yang di-Pertua Dewan
Negara dan Dewan Rakyat, Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-ahli
Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan. Masalah
ini lebih ketara sejak berkuatkuasanya peruntukan yang melarang seseorang
pemegang jawatan tersebut dari menjadi ahli lembaga, atau dari menjadi
seorang pekerja pertubuhan, atau melibatkan diri dalam perusahaan,
perdagangan, perindustrian atau lain-lain pengusahaan. Dengan adanya
larangan-larangan yang sebegitu ketat, maka kebanyakan orang yang
difikirkan sesuai dan layak dilantik memegang jawatan itu, tidak berminat
menerima perlantikan itu. Ini telah menimbulkan satu masalah untuk mencari
dan melantik orang-orang yang benar-benar layak dan sesuai memegang
jawatan-jawatan tersebut. Oleh itu adalah perlu demi kepentingan negara,
larangan-larangan kepada Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan
Dewan Rakyat ditarik balik dan bagi Ahli-ahli Suruhanjaya
dilonggarkan. Walau bagaimanapun larangan-larangan tersebut dikekalkan
bagi Yang di-Pertua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta
Pengerusi-Pengerusi Suruhanjaya. Dengan itu Perkara 56, 57, 114 dan 142
adalah dipinda. Syarat-syarat kerja akan dipinda melalui proses
pentadbiran.

12. Berhubung dengan pindaan kepada Perkara 57, tujuannya adalah untuk
menambahkan seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Pengwujudan
jawatan baru ini adalah bagi membolehkan Dewan ini menjalankan
urusan-urusannya dengan lancar. Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia
maklum, semakin bertambah tanggungjawab Kerajaan, maka semakin banyaklah
urusan Parlimen. Ini bermakna tanggungjawab Yang di-Pertua dan Timbalannya
juga bertambah. Keperluan kepada seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua
lebih ketara lagi pada masa persidangan Belanjawan, ataupun apabila Dewan
terpaksa bersidang hingga lewat malam. Dalam keadaan seperti ini, adalah
agak berat bagi Yang di-Pertua dan Timbalannya menjalankan tugas sebagai
pengerusi, terutamanya apabila salah seorang daripada mereka uzur atau
meletak jawatan, atau mempunyai tugas-tugas rasmi yang lain yang perlu
juga ditunaikan.

Tuan Yang di-Pertua, 

13. Perkara 59 memperuntukkan, bahawa jika seseorang Ahli tidak mengambil
tempatnya dalam masa tiga bulan dari tarikh Majlis Parlimen bersidang bagi
pertama kalinya selepas ia dipilih, atau dalam masa yang lebih lanjut
sebagaimana yang dibenarkan oleh Majlis Parlimen, maka kosonglah tempatnya
itu. Pindaan kepada Perkara 59 adalah dengan tujuan melanjutkan masa yang
wajib bagi seseorang Ahli mengambil tempatnya dari tempoh tiga bulan
kepada enam bulan. Tanpa pindaan ini, Dewan terpaksalah meluluskan satu
usul untuk membolehkan seseorang Ahli itu mengambil tempatnya selepas tiga
bulan yang tersebut.

Tuan Yang di-Pertua, 

14. Negeri Melaka tidak mempunyai tanah rezab Melayu khas bagi orang
Melayu, tetapi sebaliknya mempunyai "tanah adat Melaka" atau "Malacca
Customary Land". Tanah adat Melaka ini boleh dimiliki oleh orang Melayu
sahaja, tetapi kawalan ke atas tanah adat Melaka tidak dapat dilakukan
dengan berkesan di bawah peruntukan undang-undang yang sedia ada.

15. Mengikut Perkara 90(1) Perlembagaan Persekutuan, dan Seksyen 108 Akta
Kanun Tanah Negara (Hakmilik Pulau Pinang dan Melaka) 1963, tanah adat
Melaka tidak boleh dipindahmilik, dipajak atau diturunmilik kepada orang
bukan Melayu. Namun demikian, sekatan-sekatan ini pada amalannya, tidak
menghalang orang bukan Melayu menguasai atau menduduki tanah adat
Melaka. Kajian mengenai perkara ini menunjukkan bahawa seluas 364 hektar
tanah adat Melaka telah digadai kepada orang bukan Melayu. Tetapi
sebenarnya tanah itu telah dijual serta diduduki dan diusahakan oleh
mereka ini.

16. Untuk mengatasi masalah ini, adalah dicadangkan supaya Perkara 90
Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk membolehkan sekatan-sekatan
tertentu dikenakan melalui undang-undang berkenaan.

Tuan Yang di-Pertua, 

17. Dalam tahun 1978 rayuan kepada Jawatankuasa Kehakiman Majlis Privy
dalam perkara-perkara Perlembagaan dan jenayah telah dihapuskan sama
sekali dan Mahkamah Persekutuan adalah merupakan mahkamah yang terakhir
dan muktamad dalam perkara-perkara tersebut. Tetapi rayuan dalam kes-kes
sivil yang tertentu telah dikekalkan dan pada masa ini rayuan kepada
Jawatankuasa Kehakiman Majlis Privy dalam kes-kes sivil tersebut boleh
dibuat.

18. Masanya telah sampai untuk kita memansuhkan sama sekali rayuan kepada
Jawatankuasa Kehakiman Majlis Privy. Kita telah merdeka selama lebih dari
25 tahun. Dalam masa itu hakim-hakim kita telah menunjukkan kebolehan
mereka dan dapat mengendalikan semua kes termasuk kes-kes sivil dengan
memuaskan. Maka adalah wajar kita mempunyai kepercayaan kepada hakim-hakim
kita sendiri untuk membuat keputusan yang adil dan bijaksana. Oleh itu,
pindaan yang dicadangkan mengenai Perkara 131 dan 121 serta
Perkara-Perkara lain dalam Bahagian IX Perlembagaan, adalah bagi
memansuhkan peruntukan yang membenarkan rayuan dibuat kepada Jawatankuasa
Kehakiman Majlis Privy dan memperuntukkan Mahkamah Persekutuan sebagai
mahkamah rayuan terakhir di negara ini dan menamakannya sebagai Mahkamah
Agung (atau 'Supreme Court').

19. Walau bagaimanapun, tarikh berkuatkuasanya pindaan ini akan ditetapkan
oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong melalui Pemberitahuan dalam Warta. Ini adalah perlu memandangkan
kepada hakikat bahawa tindakan-tindakan lain mesti diambil sebelum pindaan
ini dapat dikuatkuasakan. Tindakan-tindakan tersebut adalah berkaitan
dengan pindaan yang perlu dibuat kepada Perjanjian di antara Kerajaan kita
dengan Kerajaan British mengenai rayuan dalam perkara sivil kepada
Jawatankuasa Kehakiman Majlis Privy dan pindaan kepada undang-undang
negara kita dan undang-undang British dalam perkara yang sama.

Tuan Yang di-Pertua, 

20. Negara kita mengamalkan sistem Pemerintahan Beraja mengikut
Perlembagaan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, sebagai
tumpuan kesetiaan dan kemuncak dalam sistem pemerintahan negara dan
negeri, mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan Negeri. Kedudukan yang
tinggi ini adalah juga dicerminkan dalam Rukunegara. Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Raja-Raja merupakan simbol perpaduan dan taat setia segenap
lapisan masyarakat. Kedudukan yang istimewa ini bererti bahawa Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja merupakan institusi yang tidak
berpihak. Begitu juga halnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Bginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja
tidak melibatkan diri dalam hal-hal politik.

Memandangkan kepada hakikat inilah, maka Perlembagaan Persekutuan dan
Perlembagaan-Perlembagaan Negeri masing-masingnya memperuntukkan bahawa
dalam urusan pentadbiran negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja
bertindak atas nasihat Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
(EXCO).

Tuan Yang di-Pertua, 

21. Perlembagaan ada membuat peruntukan di mana Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut
budi-bicara Baginda di dalam beberapa perkara. Perisytiharan darurat tidak
termasuk di dalam bidang tugas di mana Baginda boleh bertindak atas
budi-bicara Baginda. Perkara 40(1) dalam Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan bertindak mengikut
nasihat Jemaah Menteri atau Menteri yang ditugaskan oleh Jemaah Menteri.

22. Pindaan kepada Perkara 150 adalah bertujuan untuk menjelaskan bahawa
Perdana Menteri dipertanggungjawabkan untuk menasihat Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai
perisytiharan darurat.

23. Mengikut prinsip sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara
kita, kuasa membuat undang-undang adalah hak Parlimen. Sebagaimana
Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Parlimen terdiri daripada Yang
di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat, masing-masing dengan
tugas dan tanggungjawabnya. Proses mewujudkan sesuatu undang-undang itu
berakhir dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong menurunkan tandatangan perkenan Baginda. Oleh kerana
kadang-kala ada kemungkinan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong, atas sebab-sebab tertentu, tidak dapat memberi perkenan
kepada sesuatu rang undang-undang dengan segera, maka adalah dicadangkan
supaya Perkara 66(5) dipinda bagi memperuntukkan bahawa selepas 15 hari
rang undang-undang itu dipersembahkan kepada Baginda, maka hendaklah
disifatkan bahawa Baginda telahpun memperkenankannya.

Tuan Yang di-Pertua, 

24. Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan melalui Akta Perlembagaan
(Pindaan)(NO:2)1973. Akta ini, antara lain, telah membuat peruntukan
tentang perubahan sempadan Negeri Selangor, perlepasan kuasa-kuasa
Kerajaan Negeri Selangor terhadap kawasan Wilayah Persekutuan, bidang
kuasa Kerajaan Persekutuan ke atas Wilayah Persekutuan, dan beberapa
peruntukan lain berbangkit daripada penubuhan Wilayah
Persekutuan. Walaupun Perlembagaan Persekutuan, ataupun undang-undang yang
ada kaitan dengan penubuhan Wilayah Persekutuan tidak menyatakan secara
khusus bahawa Wilayah Persekutuan adalah merupakan sebahagian daripada
Persekutuan atau Malaysia, tetapi adalah nyata Wilayah Persekutuan menjadi
sebahagian daripada Malaysia. Namun demikian, untuk mengelak dari sebarang
keraguan, atau tafsiran yang berlainan, maka Jadual Kesembilan dicadangkan
dipinda dengan memasukkan satu butiran baru, iaitu butiran 27 untuk
menjelaskan bahawa Parlimen mempunyai kuasa membuat undang-undang mengenai
semua perkara berhubung dengan Wilayah Persekutuan.

Tuan Yang di-Pertua, 

25. Walaupun Perlembagaan negara merupakan undang- undang yang tertinggi,
namun ia adalah undang-undang. Sebagaimana kita maklum, Perlembagaan kita
mengandungi peruntukan-peruntukan yang terperinci jika dibandingkan dengan
Perlembagaan setengah-setengah negara lain. Oleh itu, adakalanya bagi
membolehkan undang-undang lain diadakan atau diperkemaskan,
perubahan-perubahan tertentu kepada Perlembagaan perlu dibuat. Ada
ketikanya pindaan hakiki kepada Perlembagaan perlu juga
dibuat. Perlembagaan kita telah dipinda pada masa-masa yang lalu, dan kali
akhir kita meminda Perlembagaan ialah dalam tahun 1981. Pindaan kepada
Perlembagaan bukanlah dibuat dengan sewenang-wenangnya, tetapi setelah
mengambilkira berbagai-bagai faktor, dan tujuannya adalah untuk
kepentingan rakyat, dan pemerintahan serta pentadbiran negara yang
berkesan.

Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan.

Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

 



 


 











 
Google