home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	19/08/83 
Tajuk/Title  	: 	DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 
			YANG KE-34 



BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM.

ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Yang Mulia Pengerusi Majlis; Timbalan Presiden; Naib-Naib
Presiden; Ahli-Ahli Majlis Tertinggi; Ketua dan Wakil Parti-Parti Komponen
Barisan Nasional; Dif-Dif Kehormat; Para Perwakilan dan
Pemerhati; Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

(Pendahuluan) Alhamdullillah, dengan limpah kurnia dan izin Allah
Subhanahu Wataala, sekali lagi kita dapat berkumpul menghadiri Perhimpunan
Agung UMNO ini. Sebagai Presiden Parti, bagi pihak Parti dan Majlis
Tertinggi, saya mengucapkan selamat datang kepada tetamu- tetamu kehormat
kita dan mengalu-alukan kehadiran saudara saudari sekalian di majlis yang
bahagia ini. Bersama-samalah kita berdoa, semoga dengan hidayat dan
petunjuk Allah Subhanahu Wataala, dapat kita menunaikan tanggungjawab kita
bagi menjayakan mesyuarat ini mengikut Perlembagaan dan prinsip-prinsip
Parti serta memperkukuhkan lagi perjuangan kita.

2. Dalam ucapan saya bersempena Perhimpunan Agung tahun lalu, saya telah
menyentuh beberapa perkara berhubung dengan Parti dan pilihanraya, politik
dan ekonomi, kependudukan dan demokrasi, hubungan luar, Dasar Pandang ke
Timur, dan Islam.

Reaksi terhadap ucapan saya agak begitu hangat, dan saya telah cuba sedaya
upaya yang boleh untuk menjelaskan isu-isu yang telah
dibangkitkan. Setelah setahun, saya percaya kali ini banyak isu pula yang
akan diketengahkan oleh para perwakilan sekalian untuk dijawab. Inilah
cara demokrasi yang kita amalkan di mana pemimpin-pemimpin parti dituntut
menjelaskan tentang amanah dan mandat yang telah diberikan kepada
mereka. Insya-Allah, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi akan cuba menjelaskan
apa-apa jua kemuskilan yang akan dibangkitkan di akhir Perhimpunan ini
nanti.

Saudara saudari sekalian, (Malaysia yang bahagia) 

3. Sesebuah negara adalah satu organisme. Dan sebagai satu organisme,
sesebuah negara mahukan kesihatan, kebahagiaan, dan usia yang
panjang. Tetapi, sebagai satu organisme, sesebuah negara terdedah kepada
penyakit dan menghadapi masalah yang jika tidak dirawati dan dipelihara
akan menjejaskan kebahagiaan, kesihatan dan usianya.

4. Saya membuat misalan negara kita sebagai satu organisme yang
mementingkan ciri-ciri kesihatan, kebahagiaan dan panjang usia kerana
misalannya adalah tepat. Di sana sini, dan begitu juga daripada sejarah,
kita dapat melihat peristiwa-peristiwa yang menjejaskan sesebuah negara --
peristiwa- peristiwa yang menghalang pembangunan, serta melemah, bahkan
melenyapkannya. Peradaban Roma, Kerajaan Byzantium, Parsi, Turki, British,
dan banyak contoh lagi yang boleh disebut adalah bukti-bukti yang
menunjukkan kelenyapan peradaban dan kehancuran kerajaan-kerajaan besar di
dunia. Empayar Melayu juga telah melalui sejarah yang sama; Kerajaan
Sriwijaya dan Kerajaan Melaka dahulukala menjelma dari wilayah-wilayah
yang kecil, berkembang dan membesar menjadi empayar dan kuasa besar, dan
kemudian berpecah dan hancur dan hilang dari muka bumi. Yang lain pula
telah melalui pertumbuhan yang tidak sihat dan hancur sebelum berkembang.

5. Ini semua adalah pengajaran bagi kita, dan salah satu pengajaran yang
penting ialah bagaimana faktor-faktor kelemahan menular ke dalam
masyarakat dan memusnahkan sesuatu kerajaan besar. Seorang tokoh terkemuka
Islam, Ibn Khaldun, pernah mengutarakan teori tiga generasi bagi fenomena
sosial -- generasi pertama, dengan semangat, ketegasan dan usaha membina
satu asas sistem yang kukuh; generasi kedua, dengan asas-asas yang dibina,
membawa kepada keagungan; dan generasi ketiga, kerana kekurangan semangat,
dan ghairah dengan kesenangan dan keagungan, menyemaikan bibit-bibit ke
arah kehancuran. Ini tidak semestinya benar bagi semua keadaan, tetapi
jika kita kurang berhati- hati, ia tidak mustahil pula berlaku, malahan
boleh berlaku kepada kita, mungkin sebelum pun kita sampai kepada generasi
kedua.

6. Itulah sebabnya kita harus tekun membimbing negara kita ke arah
kebahagiaan dan kesejahteraan, dan sentiasa mengisi kemerdekaan kita
dengan semangat, makna dan maruah, dengan usaha dan disiplin, supaya
setiap generasi bangsa kita tidak akan mengalami kelemahan, atau
membenarkan unsur- unsur yang tidak sihat, serta khayalan dan keghairahan
menyerapi pemikiran dan cara hidup kita. Itulah sebabnya kita harus
menyemai dan memupuk nilai-nilai yang tinggi di kalangan masyarakat kita
dan giat berusaha untuk kemajuan dan kebahagiaan. Usaha-usaha kita ini
bukanlah kerana didorongkan oleh keangkuhan untuk menunjuk-nunjuk, atau
kerana hendak menjadi satu kuasa besar untuk menakluki orang lain, tetapi
untuk menjaga maruah dan kedudukan kita, dan untuk membuat sumbangan
supaya hidup kita menjadi lebih bahagia, dan dapat pula sama-sama kita
menyumbang ke arah kebahagiaan manusia sejagat.

7. Usaha-usaha ke arah yang baik tidak mudah. Walaupun pada prinsipnya
manusia sukakan yang baik, tetapi pada amalannya, oleh sebab didorong oleh
kepentingan- kepentingan tertentu, nilai yang baik dibelakangkan .

Saudara saudari sekalian, (UMNO dan Demokrasi) 8. UMNO telah ditubuh
berasaskan kepada satu prinsip penting, iaitu prinsip demokrasi. Semasa
Kongres pertama di Kelab Sultan Sulaiman, wakil persatuan-persatuan orang
Melayu yang berkumpul dengan secara automatik telah menggunakan sistem
suara ramai bagi rundingan mereka walaupun jelas sistem suara ramai adalah
asing bagi orang Melayu.

9. Sejak itu hinggalah sekarang tidak ada soal lagi tentang sistem
demokrasi sebagai asas susunan dan perjalanan Parti. Semua yang dilakukan
oleh UMNO ditentukan secara langsung, atau tidak langsung, mengikut sistem
suara ramai.

Demikianlah kepercayaan kepada sistem ini, hinggakan apabila merdeka,
sistem pentadbiran negara juga telah diasaskan kepada demokrasi.

10. Walaupun demokrasi mempunyai berbagai tafsiran, di Malaysia kita
berpegang kepada suara ramai sebagai asas demokrasi. Sebab itulah di dalam
Parti kita, kita mengadakan pungutan suara untuk menggubal dan meminda
Perlembagaan, untuk memilih pemimpin, dan untuk membuat keputusan
berkenaan perkara- perkara yang penting dan istimewa. Pemimpin juga
dipilih melalui suara ramai. Mereka tidak kekal, dan jelas dalam tempoh
tertentu -- setahun, dua tahun atau tiga tahun sekali -- calon-calon
dikemukakan dan dipilih melalui suara ramai.

11. Tetapi demokrasi -- sebagaimana apa juga sistem -- tidak semestinya
berkesan semata-mata kerana sistem itu baik. Jika pengamal sistem
demokrasi mahu mereka boleh menggunakan demokrasi untuk menghancurkan
amalan demokrasi. Sebab itulah kita lihat banyak negara demokratik di
dunia yang gagal. Jika umpamanya demokrasi menyebabkan terlalu banyak
parti politik ditubuh, hingga tidak satu pun daripadanya menjadi parti
yang bertaraf nasional, maka pilihanraya tidak akan berjaya menentukan
sebuah parti yang cukup besar bilangan wakilnya untuk membentuk Kerajaan.

Kerajaan campuran pun sukar dibentuk kerana parti-parti yang sama kecil
tidak sanggup menerima kepimpinan sesiapa juga di antara mereka. Jika
Kerajaan campuran berjaya dibentuk, ia tidak mungkin stabil kerana tidak
ada disiplin, dan ugutan-ugutan sering dibuat untuk menarik diri dan
sebagainya. Kesannya ialah Kerajaan yang lemah yang sekejap-sekejap
bertukar.

12. Kadang-kadang sistem dua parti wujud. Tetapi, ini pun tidak menjamin
kestabilan. Jika bilangan wakil rakyat hampir sama banyak antara
kedua-duanya, parti yang membentuk Kerajaan enggan bertindak tegas dalam
apa-apa perkara penting atau "controversial" kerana takut penyokong
memberontak dan Kerajaan jatuh atau parti akan kalah dalam pilihanraya
yang akan datang. Dalam keadaan ini, masalah-masalah negara tidak mungkin
diatasi, dan negara tetap akan hanyut.

13. Demokrasi cuma akan kekal dan kuat jika pengamalnya memahami peranan
mereka, dan mengawal kepentingan diri untuk menjayakan kepentingan ramai
dan memelihara demokrasi. Bagi yang faham, kepentingan ramai adalah
kepentingan bersama yang akhirnya memenuhi kepentingan diri juga. Jadi,
seseorang tidak akan rugi jika kepentingan ramai diutamakan -- sekadar
mengutamakan kepentingan diri, biasanya mendatangkan keuntungan
serta-merta tetapi tidak kekal, dan mengutamakan kepentingan ramai,
walaupun memerlukan pengorbanan, tetap akan membawa hasil jangka panjang.

14. Dalam UMNO, dan di kalangan orang Melayu amnya, terdapat terlalu
banyak yang mengutamakan hasil jangka pendek. Sebab itu, amalan-amalan
yang melemahkan Parti dan perjuangan orang Melayu kerap berlaku. Di antara
amalan-amalan ini ialah tabiat melempar fitnah.

Saudara saudari sekalian, (Bahaya Fitnah) 

15. Fitnah memfitnah adalah satu sifat yang keji di kalangan semua
masyarakat manusia. Dalam Islam ia merupakan salah satu daripada dosa
besar. Malangnya, sifat keji ini berleluasa di kalangan masyarakat
kita. Ia juga menjadi tabiat setengah-setengah ahli dan penyokong UMNO.

16. Sebelum seseorang masuk bertanding untuk apa-apa jawatan, tidak ada
keburukan padanya. Tetapi, apabila sahaja ia dicalonkan, maka
bermacam-macam cerita dialunkan, cerita yang dibisik-bisik tanpa
menghiraukan sama ada cerita itu benar atau tidak. Dari satu mulut ke satu
mulut, cerita-cerita itu bukan sahaja disebar, tetapi ditokok
tambah. Kalau sudah berkahwin, kononnya telah kahwin satu dua lagi, serta
dengan cerita yang cukup detail. Kalau rasuah, angka yang terlibat pula
ditokok tambah, sehingga tidak ada hadnya. Bermacam-macam cerita dicipta
dengan penuh imaginasi.

17. Pada satu masa, seorang Menteri yang amat kurus telah bertanding. Maka
terdengarlah cerita bahawa Menteri ini telah berkahwin seorang lagi. Hari
ini Menteri itu telah bersara dan tidak ada cerita lagi. Bahkan kita tahu
cerita itu tidak benar. Begitu juga dengan seorang Menteri lain dari
negeri Hang Tuah. Bermacam risalah diedar. Tetapi hari ini kita tahu
cerita-cerita yang menarik itu tidak benar sama sekali. Banyak lagi contoh
yang boleh saya sebutkan dan saudara saudari akan ketawa. Walaupun kita
tahu bahawa cerita-cerita dahulu adalah fitnah belaka, tetapi kalau ada
cerita baru, kita tidak menolak. Kita terima bulat-bulat dan kita turut
mengedarkannya juga.

18. Demikianlah, tiap kali ada sesiapa yang ingin maju ke hadapan, atau
sudah mencapai tempat yang istimewa, maka fitnah dilempar dari mulut ke
mulut. Hari ini, cerita Jepun dan Korea menyogok duit kepada orang-orang
tertentu amat popular. Bahawa tidak ada apa-apa bukti yang ini berlaku
tidak menjadi masalah. Fitnah amat sedap apabila orang lain jadi
sasaran. Benar atau tidak, tidak mengapa. Lemparkan sahaja, dan
sembunyikan tangan.

19. Fitnah dicipta dan disebar dengan lebih cepat apabila seseorang gagal
mendapat sesuatu untuk dirinya. Jika gagal mendapat kontrak misalnya, maka
sebab yang ditonjolkan ialah kerana orang yang berjaya telah menyogok wang
kepada orang yang membuat keputusan. Yang berjaya pula, jika gagal
mendapat kontrak yang lain, dia juga tidak segan-segan menuduh rasuah
telah dilakukan oleh orang yang berjaya. Walau siapa juga berjaya, tuduhan
rasuah tetap dibuat, terutama terhadap orang yang memenuhi jawatan yang
tertinggi.

20. Fitnah bukanlah terhad kepada tohmahan rasuah. Untuk memburukkan orang
lain bermacam fitnah dilempar, termasuk telah berkahwin sekali lagi, atau
mempunyai simpanan, selalu minum arak, suka mengejar isteri orang dan
lain-lain. Beberapa penuntut kita di Eropah dan Amerika suka melempar
fitnah terhadap Kerajaan yang kononnya dianggotai oleh orang yang selalu
mabuk, tahi arak dan sebagainya. Apabila tuduhan ini dilempar, gambaran
yang diukirkan ialah anggota Kerajaan ini sepanjang masa, kata orang
Kedah, "mabuk tunggang-langgang". Malahan, mereka sanggup memanggil
Kerajaan ini Kerajaan syaitan, iaitu sama dengan Kerajaan Shah Iran.

21. Allah Subhanahu Wataala Maha Mengetahui. Allah Subhanahu Wataala telah
berfirman dalam Al-Quran bahawa fitnah adalah lebih bahaya daripada
membunuh. Tetapi, apakah kita hiraukan firman Tuhan. Berapa ramai daripada
kita yang dengan sewenang-wenang mengulangi cerita yang didengari dari
mulut ke mulut, dengan ditokok tambah, tanpa sedikit pun berasa bersalah
atau berdosa. Kita teruskan sahaja dengan fitnah kerana begitu asyik
dengan kelazatan amalan ini.

22. Kerana merbahayanya fitnah, dan kerana amalannya boleh merosakkan
masyarakat, maka ia ditakrif sebagai dosa besar. Kita tahu tentang cerita
fitnah yang telah dilempar terhadap seorang isteri Nabi Muhammad
sallallahu alaihi wasallam dan kesannya terhadap baginda, keluarga dan
masyarakat Islam ketika itu. Jika tidak kerana kepimpinan Nabi kita
tentulah masyarakat Islam dan agama Islam ketika itu akan lumpuh. Mungkin
juga agama Islam tidak akan berkembang dan kita tidak akan memeluk agama
Islam. Sebenarnya ini semua adalah pengajaran. Tetapi, sebagai orang
Islam, adakah kita mengambil pengajaran ini? 

23. Saya menumpukan perhatian kepada soal fitnah memfitnah ini kerana
kesannya amat buruk dalam sesebuah negara demokratik. Dalam negara
demokratik, kuasa datangnya daripada sokongan orang ramai. Melalui fitnah,
kepercayaan rakyat terhadap dasar dan kepimpinan dapat dimusnahkan, dan
masyarakat, malah negara, boleh hancur. Asyik dengan mendengar dan
membisik fitnah dan menyebar risalah, tidak ada satu pun rancangan yang
boleh berjaya, dan akhirnya rakyat sendiri yang akan menderita, dan
mungkin negara akan tergadai. Tetapi, dalam masyarakat Islam di Malaysia
fitnah dijadikan alat politik, bukan sahaja dalam parti kita tetapi oleh
parti lawan yang tidak ada modal yang benar.

24. Firman Tuhan bertujuan memberi kebahagiaan kepada umatnya. Kita tahu
bahawa masyarakat boleh hancur kerana fitnah. Sementara semakin ramai suka
mempamerkan keislaman mereka dalam cakap-cakap, pakaian dan desakan mereka
kepada masyarakat dan kepada Kerajaan, orang yang sama tidak segan-segan
dan tidak takut kepada Tuhan sama sekali apabila melemparkan fitnah. Tanda
tanya yang timbul ialah sama ada kita sedang melihat kebangkitan Islam
semula, atau apa yang sedang berlaku ialah semata-mata dan sebenarnya umat
Islam adalah lebih sesat sekarang daripada dahulu. Jika nasib umat Islam
diambil kira, kemungkinannya ialah mereka lebih sesat. Adalah mustahil
jika ajaran Islam dipatuhi umat Islam semakin buruk keadaannya -- dengan
pembunuhan dilakukan sesama sendiri, dengan penerusan penjajahan oleh
orang lain, dengan kebuluran berlaku di beberapa negara Islam sedangkan
banyak negara Islam yang tidak terhingga kekayaannya, dan lain-lain lagi
peristiwa- peristiwa buruk yang diperlihatkan sekarang.

25. Saya tidak berkata bahawa semua tuduhan rasuah tidak mempunyai asas
yang benar. Memang rasuah berlaku dalam negara kita ini. Tetapi, tuduhan
yang dibuat kerana ada bukti dan diarahkan kepada badan yang ditugaskan
untuk membanteras rasuah, iaitu BPR, adalah berbeza dengan fitnah yang
dilepaskan dan disebar di merata-rata tempat kerana iri hati dan ingin
memburukkan orang. Memang kita tahu bahawa adalah sukar bagi mendapat
bukti berkenaan amalan rasuah, tetapi semua tuduhan yang munasabah
disiasat oleh BPR. Hampir semua daripada tohmahan yang disampaikan kepada
Kerajaan diberi layanan yang serius walaupun kebanyakan daripada tohmahan
ini akhirnya didapati tidak berasas.

26. Memang benar terjadi rasuah yang tidak dapat diambil tindakan
undang-undang walaupun memang berlaku. Dalam kes-kes seperti ini tindakan
disiplin, termasuk penyingkiran, dilakukan. Bagi ahli politik pula, jika
Kerajaan tidak mengambil tindakan, ahli parti atau pengundi boleh
mengambil tindakan. Tetapi, kita tahu bahawa tuduhan rasuah mudah diguna
oleh musuh politik untuk mendapat sesuatu bagi diri mereka, sama ada dalam
parti atau antara parti.

27. Oleh itu, kita harus berhati-hati. Amatlah tidak adil Amatlah tidak
adil jika tindakan diambil oleh parti, atau Kerajaan, atau pengundi
semata-mata berasaskan fitnah yang dilempar. Kita tahu 99 peratus daripada
tuduhan yang dibuat oleh orang ramai tidak berasaskan pengetahuan sendiri,
tetapi semata-mata berasaskan cerita yang sampai ke telinga mereka. Kita
tahu pula bahawa memang menjadi tabiat manusia menokok tambah cerita yang
didengari apabila disampaikan kepada orang lain. Kita tahu 99 peratus
daripada cerita rasuah sampai kepada kita bukan "second-hand" atau
"third-hand" tetapi setelah melalui telinga dan mulut berpuluh orang
lain. Dan tiap-tiap seorang bercerita seolah-olah dialah yang mula-mula
mendapat maklumat berkenaan dengan rasuah itu.

28. Fitnah-memfitnah adalah amalan keji yang buruk kesannya. Ia tidak
harus dibiarkan menjadi tabiat dan amalan masyarakat kita yang mahukan
kebahagiaan. Ia harus dibanteras, dan UMNO, sebagai teras pembimbing masa
depan negara yang bahagia harus mengikiskannya daripada masyarakat kita.

Saudara saudari sekalian, (Dunia yang bergolak) 

29. Kita berada dalam suasana dunia yang bergolak. Walaupun pencapaian
kemajuan material, sains dan teknologi dalam abad kita ini amat
menakjubkan, dan kemungkinan pencapaian ini boleh membawa umat manusia
kepada kebahagiaan yang begitu besar, suasana politik dan sosio-ekonomi
dunia mencabar kemungkinan peradaban gemilang yang boleh dinikmati oleh
umat manusia.

30. Penaklukan dan campur tangan, sama ada secara politik, ideologi, atau
ekonomi masih menjadi hasrat dan idaman kuasa-kuasa besar. Mereka masih
ghairah bermain politik-kuasa tanpa menghiraukan hasrat sebahagian besar
masyarakat antarabangsa untuk hidup aman dan bahagia. Mereka masih menjadi
dalang kepada boneka-boneka mereka. Yang menjadi boneka pula, seperti
Israel, telah menunjukkan keangkuhan dan biadabnya di kalangan negara-
negara lemah tanpa sesuatu pun yang dibuat dengan serius oleh pihak
negara-negara besar untuk menghalangnya.

31. Keadaan di rantau kita masih tegang kerana Vietnam masih menduduki
Kampuchea, dan dari semasa ke semasa mengganggu dan mencabuli sempadan
sahabat kita negara Thai. Dalangnya juga kuasa besar -- Russia, yang
dengan tipu helah, telah secara langsung menduduki dan mencabuli negara
Afghanistan, sebuah negara Islam. Russia juga, setelah bertapak di Vietnam
dan Afghanistan, dengan terang-terang menyuarakan hasratnya untuk
menghancurkan infrastruktur negara-negara ASEAN. Di kebanyakan negara
membangun, kecuali beberapa negara termasuk Malaysia, kebuluran berlaku
dan ramai yang dilanda berbagai-bagai wabak penyakit dan hidup
menderita. Di sana sini Kerajaan tumbang dan jatuh kerana negara tidak
dapat mengatasi masalah-masalah rakyat akibat pergolakan politik dan
ekonomi antarabangsa dan cucuk mencucuk oleh kuasa-kuasa yang ingin
mewujudkan blok-blok mereka melalui keadaan kucar-kacir.

32. Suasana keselamatan, khususnya bagi negara-negara kecil, masih
terancam. Bagi kita di Malaysia, keadaan keselamatan serantau dan
pergolakan di peringkat antarabangsa membawa kebimbangan kepada kita. Ini
lebih-lebih lagi kerana sikap setengah-setengah pihak yang, secara sedar
atau tidak sedar, mengelirukan fikiran rakyat dan menyemaikan kegelisahan
dan kemarahan rakyat kepada perkara-perkara yang tidak berasas. Keadaan
seperti ini adalah satu keadaan yang subur bagi anasir-anasir komunis dan
antinasional untuk cuba menghancurkan negara. 

Saudara saudari sekalian, (Kemelesetan Ekonomi) 

33. Tahun 1982 memperlihatkan kemerosotan ekonomi dunia yang
teruk. Sebagai pembekal bahan mentah kepada dunia, kita terperangkap
dengan aliran ekonomi yang buruk ini. Harga bijih timah, getah, kelapa
sawit, kayu tropika, dan lain-lain keluaran negara kita, telah mengalami
kemerosotan harga dan permintaan. Harga minyak petrol kita juga turut
merosot. Dengan ini maka pendapatan Kerajaan juga berkurangan. Walaupun
keadaan nampaknya akan pulih tetapi kesan pemulihan tidak akan dirasai
dengan serta-merta.

34. Beberapa negara yang telah berhutang dengan banyak pada waktu mereka
kaya dengan hasil petroleum sekarang ini hampir bankrap. Kita bernasib
baik kerana kita tidak boros berbelanja. Sebaliknya, pada waktu kita
mendapat hasil yang lumayan daripada dagangan kita, kita cuma berhutang
untuk membekalkan infrastruktur penting sahaja. Oleh itu, kita bukan
sahaja terselamat daripada menjadi bankrap, tetapi kita masih dapat
berhutang untuk membiayai projek-projek negara yang penting dan perlu
dimulakan atau diteruskan. Namun demikian, tentulah banyak juga projek
yang dirancang pada waktu kita berpendapatan tinggi dahulu yang terpaksa
kita tangguhkan.

35. Berjimat cermat bukan sahaja menjadi suatu amalan yang baik bagi
seseorang individu, tetapi adalah baik untuk masyarakat dan untuk sesebuah
negara. Pada masa kita berada, kita boleh berbelanja dengan berpatutan,
tetapi pada waktu kita daif, kita mesti menerima kenyataan bahawa
perbelanjaan mesti dikurangkan. Inilah cara yang selamat bagi semua orang.

36. Apakah sebabnya ekonomi dunia merosot? Ada yang berpendapat bahawa
kemerosotan ini disebabkan oleh kenaikan harga minyak. Ini adalah satu
fitnah dan tipu helah. Kenaikan harga minyak telah membawa nikmat, bukan
sahaja kepada negara pengeluar dan rakyat mereka yang dahulu ditipu dengan
pembayaran royalti 20 sen setong, tetapi juga kepada negara dan rakyat
negara maju yang begitu gelojoh menggunakan minyak dahulu. Negara-negara
maju telah sedar akan pentingnya mengurangkan penggunaan minyak, satu
bahan yang tidak dapat diganti. Dengan ini, maka hari ini penggunaan
minyak telah dikurangkan sebanyak 25 peratus, dan bahan- bahan gantian
telah dicipta yang boleh membawa lebih banyak nikmat kepada mereka.

37. Yang betul-betul menderita ialah negara- negara membangun yang tidak
mempunyai minyak sendiri dan yang kemampuannya terhad. Malaysia patut
bersyukur kerana, walaupun kita juga sebuah negara membangun, kita
mempunyai berbagai-bagai bahan mentah dan minyak yang cukup, bahkan boleh
dijual dan menambah pendapatan kita.

38. Kemerosotan ekonomi dunia sebenarnya disebabkan oleh tabiat malas yang
meresapi masyarakat negara-negara maju di Barat akhir-akhir ini. Mereka
sekarang ingin bersenang-senang tanpa berusaha. Oleh kerana itu, segala
pengeluaran mereka berharga tinggi, bukan sahaja di luar negara mereka,
tetapi juga di dalam negara mereka sendiri. Apabila mereka dapati barang
buatan negara membangun dan beberapa negara Timur dapat mengalahkan barang
mereka di pasaran mereka sendiri, mereka yang dahulunya menyanjung tinggi
dasar perdagangan bebas telah menutup pasaran mereka. Dengan itu, maka
pemasaran semua barang, termasuklah bahan mentah, telah merosot.

39. Satu lagi tindakan yang dibuat oleh pemerintahan negara-negara Barat
ialah meminjam beratus ribu juta daripada pasaran wang untuk alat-alat
perang. Dengan itu maka kadar faedah bank telah meningkat sehingga pada
satu masa ke paras 22 peratus. Faedah yang tinggi menghalang perkembangan
perdagangan dan pelaburan. Mereka yang mempunyai wang lebih suka
menyimpannya untuk mendapat faedah tinggi dari bank daripada dibelanjakan
untuk membeli barang-barang atau melabur. Dengan itu, permintaan untuk
barang-barang dan harga barang-barang pun merosot.

40. Jelaslah, bukan harga minyak yang menjadi masalah, tetapi keengganan
bekerja dan tindakan negara Barat yang menyebabkan kemerosotan
ekonomi. Sebenarnya, pada waktu harga minyak melambung tinggi antara tahun
1975 hingga 1980, getah, bijih, kelapa sawit, balak dan barang-barang
lain, walaupun harga lebih tinggi daripada sekarang, amat laris
dijual. Pada masa itu juga negara maju terus pesat kemajuannya.

41. Kita harus memahami semua ini kerana kita tidak mahu kita juga
terperangkap. Barat memang berminat supaya daya pengeluaran kita
dikurangkan. Pada zaman kolonial, mereka berkuasa menyekat perkembangan
industri di Malaysia dan di negara-negara lain yang dijajah oleh
mereka. Sekarang, kerana empayar Barat sudah diganti dengan negara yang
merdeka, mereka menggunakan badan-badan sekerja antarabangsa untuk
menentukan perusahaan kita diganggu oleh tindakan pekerja. Banyak kuncu
mereka terdapat di Malaysia umpamanya, yang mengambil kesempatan daripada
beberapa kelemahan yang ada pada pekerja kita untuk menyekat perkembangan
perusahaan dan efisiensi. Sebab itulah kita dengar penentangan terhadap
dasar-dasar seperti Pandang ke Timur, Penswastaan, Persyarikatan Malaysia
dan lain-lain yang bertujuan untuk membolehkan Malaysia bersaing dalam
pasaran dunia dengan barang-barang buatan Malaysia.

42. Sesungguhnya, pada waktu kita kekurangan wang, tidak ada tindakan yang
lebih berkesan daripada mengikat perut dan bekerja lebih kuat. Ini
sememangnya dituntut oleh agama kita. Insya-Allah, melalui tindakan ini,
kemewahan akan kembali semula, dan sekali lagi kita akan hidup bahagia.

Dato Pengerusi, (Pandang ke Timur) 

44. Kita telah menggubal satu dasar yang dikenalkan sebagai "Pandang ke
Timur". Seperti yang biasa berlaku dengan perkara yang baru, kekeliruan
dan salah faham telah wujud atau sengaja diadakan. Saya ingin mengambil
kesempatan ini untuk sekali lagi menjelaskan tentang Dasar Pandang ke
Timur ini.

45. Sejak Portugis menawan Melaka, orang Malaysia, terutamanya orang
Melayu, telah mengalami satu jenis rasa rendah diri. Apa yang ada pada
mereka semuanya dianggap "inferior" daripada apa yang diperbuat oleh
Benggali Putih dan penjajah-penjajah Barat yang datang kemudian. Cuma
apabila Jepun mengalahkan British barulah sebahagian daripada rasa malu
dan hina diri atau "inferiority complex" ini dapat diatasi. Tetapi, masih
banyak yang terus tercengang dan terpegun dengan orang kulit putih. Amalan
menghantar penuntut ke negara-negara Barat tidak menolong mengurangkan
"inferiority complex" ini.

46. Malangnya, orang Barat sekarang bukan seperti orang Barat pada zaman
mereka menakluki dunia dahulu. Mereka sudah menukar falsafah hidup
sehingga seseorang dapat membuat apa sahaja yang didorong oleh kepentingan
atau keseronokan diri tanpa mengambil kira ketenteraman masyarakat. Kalau
mereka ingin berbogel di khalayak ramai, ini adalah dianggap hak dan tiada
siapa pun yang patut atau boleh melarang. Jika mereka ingin kahwin, atau
bersekedudukan -- hatta lelaki sesama lelaki, atau perempuan sesama
perempuan pun -- ini pun hak mereka. Orang yang gila pun sekarang berhak
bebas walaupun mereka cenderung membunuh dan telah membunuh. Pekerja
mereka boleh bekerja jika mereka suka bekerja, tetapi jika tidak bekerja,
majikan atau pemerintah mestilah membiayai sara hidup mereka sama seperti
pada waktu mereka bekerja. Dengan itu ramai yang memilih untuk tidak
bekerja.

47. Penyalahgunaan dadah berleluasa di Barat kerana itu pun hak mereka
juga. Mereka suka khayalan yang dibawa oleh dadah. Dan banyak lagi amalan
yang buruk yang diamalkan oleh mereka dengan berdalih kepada hak asasi
seseorang. Mereka kurang mementingkan apa akibat kepada masyarakat dan
generasi mereka yang akan datang.

48. Memandang kepada gejala-gejala inilah maka Kerajaan telah membuat
keputusan untuk mengurangkan pengaruh Barat dan meningkatkan pengaruh
Timur supaya satu perseimbangan tercapai. Di Timur, sifat dan amalan yang
dianggap baik oleh masyarakat kita dan memang membawa kesan yang baik
masih tebal jika dibandingkan dengan di Barat. Orang Timur masih
mementingkan hidup beradat dan beradab. Mereka masih mengutamakan
kesejahteraan masyarakat. Sementara individu berhak, tetapi hak individu
tidaklah sehingga dibenarkan mengganggu ketenteraman masyarakat --
berbogel, bersekedudukan, membelakangkan adat resam, menyalahgunakan dadah
dan malas bekerja tidak diterima oleh masyarakat Timur. Sebaliknya,
bersopan-santun, ketertiban, menghormati kepentingan masyarakat dan
keluarga, beradat resam dan kerajinan disanjung tinggi dan diamalkan. Oleh
kerana semua ini adalah nilai-nilai yang baik maka hasilnya juga adalah
baik. Masyarakat di beberapa negara Timur lebih tenteram dan maju sekarang
daripada masyarakat Barat.

49. Mungkin ada yang akan bertanya: "Apakah pentingnya kemajuan di
dunia? Tidak memadaikah jika kita utamakan kebahagiaan di akhirat
sahaja?" Jawapannya ialah bagi kebanyakan orang kebahagiaan di akhirat
sukar dicapai tanpa kebahagiaan di dunia. Kita dapati ramai orang Islam
yang
telah meninggalkan agama Islam kerana kemiskinan, kerana dijajah dan
diperintah oleh orang, kerana kecewa dan lain-lain. Kemiskinan adalah
hampir kepada kekufuran. Mereka yang hari ini kononnya dapat menumpukan
semata- mata kepada akhirat cuma dapat berbuat demikian kerana
perlindungan yang diberi oleh orang Islam lain yang mengimbangkan dunia
dengan akhirat. Kerana ada orang yang sanggup menjaga keamanan dan
pembiayaan usaha ini oleh orang yang rajin bekerja dan berusaha di dunia
maka kumpulan yang mementingkan kedudukan mereka di akhirat dapat membuat
amal ibadat dengan sempurna.

50. Berkenaan dengan desakan supaya rajin bekerja tujuannya ialah supaya
masyarakat menjadi lebih bahagia dan tenteram. Tiap-tiap seorang mestilah
sedar bahawa pada zaman moden ini ia dapat mencari nafkah kerana
masyarakat menyediakan kemudahan baginya. Pada asalnya, pada zaman purba,
tiap-tiap seorang mestilah memburu atau bercucuk tanam sendiri. Jika usaha
sendiri tidak ada maka ia akan mati kebuluran. Tetapi, pada zaman ini
seorang mekanik yang tidak tahu memburu, menternak atau bercucuk tanam
masih dapat hidup kerana ada orang lain yang akan menjual makanan
kepadanya. Sebagai mekanik ia pula tidak akan ada pendapatan jika tidak
ada orang lain mengeluarkan jentera, menjual, memiliki dan merosakkan
jentera itu. Untuk mengadakan jentera, berbagai-bagai jenis bahan perlu
dicarigali, dikeluarkan, dipindah dari satu negara ke satu negara,
dilebur, dibentuk, dipasang dan dijual. Untuk membeli jentera yang
dipasarkan ini, seseorang perlu bekerja dan mempunyai pendapatan yang
cukup. Untuk memperbaikinya pula, pemilik jentera memerlukan wang yang
cukup untuk bayaran kepada mekanik tadi, yang juga telah dilatih oleh
mekanik lain.

51. Saya cuba menggambarkan di sini betapa tiap-tiap seorang di dalam
masyarakat moden bergantung kepada beribu-ribu orang lain di dalam
masyarakatnya dan juga kepada masyarakat-masyarakat yang lain. Tidak ada
seorang pun yang dapat hidup di dunia secara berasingan jika ia inginkan
kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Menyedari hakikat ini, tentulah kita
sedar bahawa lebih banyak usaha tiap-tiap seorang daripada kita, lebih
baiklah balasan kebahagiaan yang akan kita dapati. Sebaliknya, masyarakat
yang anggotanya cuma mengutamakan kepentingan diri sendiri di dunia atau
di akhirat dan mengurangkan layanan dan sumbangannya kepada masyarakat,
maka masyarakat itu akan menjadi masyarakat yang lemah dan kucar-kacir,
dan setiap ahli masyarakat itu tidak akan hidup atau mati sempurna dan
terpelihara. Tentulah jelas pepatah "membuat baik dibalas baik" memang
berasas dan sesuai setiap masa dan bagi setiap masyarakat.

52. Peranan organisasi dalam masyarakat adalah sama dengan peranan
individu. Pentadbiran atau perusahaan/perniagaan adalah sama daripada segi
kesannya terhadap masyarakat dan diri sendiri. Galakan yang diberi supaya
diadakan perusahaan dan perniagaan bukanlah kerana keutamaan kepada
keuntungan bagi pemilik syarikat-syarikat berkenaan, tetapi adalah kerana
kegiatan perdagangan mewujudkan peluang kerja dan peluang perniagaan
sampingan. Bagi setiap kilang yang diadakan, banyak penganggur akan
mendapat kerja, banyak pembekal dan peniaga kecil akan dapat menumpang
mencari nafkah, dan banyak pula cukai dapat dipungut. Jika difikir dengan
mendalam, hampir setiap orang dalam negara akan merasai nikmat daripada
kejayaan perdagangan yang diusahakan. Lebih untung perdagangan tersebut,
maka lebih banyak hasil yang akan diperolehi oleh Kerajaan melalui cukai
atas keuntungan dan bermacam-macam cukai lain. Sepertimana kita semua
maklum, hasil yang dipungut oleh pemerintah adalah untuk membiayai
keperluan rakyat melalui pembinaan infrastruktur, melalui kemudahan dan
perkhidmatan pelajaran dan kesihatan, pengawalan keselamatan dan sudah
tentu untuk berbagai-bagai jenis subsidi.

53. Sekali lagi, tentulah jelas lebih banyak perusahaan dan perniagaan
diadakan dan lebih banyak keuntungan yang didapati oleh mereka, lebih
bahagialah kehidupan rakyat. Sebaliknya, jika apa-apa perusahaan atau
perniagaan rugi kerana apa-apa sebab, maka rakyatlah yang akan menanggung
kerugian itu akhirnya.

54. Desakan Kerajaan supaya diadakan rancangan perindustrian dan
dikembangkan perniagaan, khususnya untuk penyertaan bumiputera, ialah
supaya mereka melatihkan diri dalam bidang pengurusan dan seribu satu
kegiatan lagi yang ada kaitan dengan ekonomi. Desakan supaya pekerja rajin
bekerja, penuntut rajin belajar, supaya semua jujur, bertanggungjawab dan
beramanah bukanlah kerana taksub dengan kebendaan, tetapi kerana semua
sifat-sifat ini ada pertalian secara langsung dengan kebahagiaan hidup dan
mati kita semua. Jikalau terdapat amalan yang tidak baik dalam semua ini,
ini bukanlah kerana bidang-bidang ini sebenarnya tidak baik, tetapi kerana
pengamalnya sengaja membuat perkara yang tidak baik.

55. Di Malaysia, kita bukan sahaja berlumba antara kaum, tetapi berlumba
dengan negara- negara jiran kita, dan negara-negara lain di dunia. Tidak
syak lagi bahawa pengasingan diri kita daripada kegiatan ekonomi akan
melemahkan kita daripada segi ketahanan dan kebahagiaan hidup -- bahkan
daripada segi kekuatan iman. Hari ini pun sudah ramai orang Islam yang
menolak agama mereka kerana tekanan kemiskinan, ideologi komunis atau
kerana ditakluk dan ditindas oleh orang lain. Jika kita tidak mahu bekerja
kuat dan tekun belajar, jika kita tidak jujur dan beramanah, maka kita
juga akan mengalami nasib yang sama -- semoga Allah Subhanahu Wataala
melindungi kita daripada kecelakaan ini.

56. Sekali lagi saya ulangi desakan Kerajaan supaya kita Pandang ke Timur
dan bekerja kuat, dan berusaha untuk menambah pendapatan bukanlah kerana
taksub dengan kebendaan, tetapi kerana kebahagiaan hidup individu dan
masyarakat, dan keteguhan iman. Kita harus faham dasar dan usaha Kerajaan,
kerana tanpa fahaman yang menyeluruh, amat mudahlah mereka yang mempunyai
muslihat memutar belitkan segala-gala yang diusahakan oleh Kerajaan,
supaya mereka dapat menarik perhatian dan sokongan rakyat. Bagi mereka
ini, kucar kacir, pecah belah dan lumpuhnya masyarakat Melayu dan Islam
adalah korban yang ringan asalkan mereka mendapat sesuatu di dunia ini
bagi diri mereka. Sebagai Parti yang bertanggungjawab UMNO tidak boleh
membiarkan nafsu mereka ini menghancurkan peluang keemasan yang setelah
500 tahun kita dijajah, telah kembali kepada kita, peluang yang datang
kerana kita merdeka dan menguasai, dengan izin Allah Subhanahu Wataala,
nasib kita sendiri. Inilah masanya bagi orang Melayu mengukuhkan kedudukan
ekonomi mereka. Jika peluang ini kita sia-siakan tidak mungkin kita
mendapat peluang seperti ini lagi. Kita tentu tidak mahu menjadi seperti
setengah-setengah orang Islam yang diberi nikmat yang tidak terhingga oleh
Allah Subhanahu Wataala, tetapi mereka menghabiskan masa, tenaga dan
kekayaan untuk bertelingkah sesama sendiri. Sekarang dengan jatuhnya harga
minyak peluang untuk membebaskan diri daripada tekanan orang asing sudah
pun hilang. Sekali lagi mereka terpaksa mengikut telunjuk komunis dan
kuasa-kuasa Barat. Inilah yang akan berlaku kepada kita jika kita
menggunakan peluang yang terdapat hari ini dengan melayan mereka yang
tidak bertanggungjawab.

Tuan-tuan dan puan-puan, (Daya Pengeluaran) 

57. Sebagai sebuah negara membangun yang inginkan kebahagiaan dan
kemakmuran, dan dalam dunia yang semakin sempit di mana negara-negara
terpaksa bergantung antara satu sama lain, terutama daripada segi ekonomi,
kita tidak ada jalan lain untuk menuju kepada kejayaan melainkan dengan
menjual beli di pasaran dunia. Dalam perdagangan antarabangsa, faktor
utama yang akan menentukan jaya atau gagalnya kita ialah daya pengeluaran
tiap-tiap seorang daripada kita.

58. Memang senang untuk memperkatakan tentang daya pengeluaran. Tetapi,
untuk membawa negara dari satu tahap daya pengeluaran yang rendah kepada
satu tahap yang lebih tinggi bergantung pula kepada beberapa faktor
penting. Faktor pertama dan utama ialah sikap. Selagi kita utamakan
kepentingan jangka pendek diri sendiri, dan oleh itu kita tidak bekerja
keras, di samping kita menuntut pendapatan yang tinggi, selama itulah daya
pengeluaran kita akan kekal rendah berbanding dengan mereka yang bersaing
dengan kita. Akibatnya ialah kita tidak akan dapat menembusi pasaran,
hasil perdagangan tidak akan meningkat, negara tidak akan makmur, dan
akhirnya, iaitu dalam jangka panjang, kita sendiri tidak akan dapat
pendapatan yang lebih. Sebaliknya, jika daya pengeluran adalah tinggi,
maka kos pengeluaran akan menjadi rendah dan barangan kita akan dapat
bersaing dengan lebih berjaya. Hasil kejayaan ini tentulah pertumbuhan
ekonomi yang pesat yang akan membawa keuntungan kepada semua pihak
termasuk diri kita sendiri. Adalah jelas bahawa sikap rajin bekerja,
berdisiplin, tidak taksub dengan kepentingan jangka pendek adalah amat
penting bagi diri sendiri akhirnya .

59. Disiplin juga tidak kurang pentingnya. Mereka yang berdisiplin sahaja
-- iaitu yang dapat mengawal kehendak diri dan sanggup mengikut peraturan
dan arahan -- yang dapat membuat sumbangan kepada daya pengeluaran. Di
samping itu, minat dan kesanggupan untuk menggunakan
pengetahuan-pengetahuan baru, untuk meningkatkan kemahiran dan menggunakan
teknologi dan cara-cara yang lebih berkesan, boleh membantu meningkatkan
lagi daya pengeluaran kita. Seterusnya, kesanggupan dan minat untuk
bekerjasama akan menjamin pencapaian yang lebih tinggi bagi semua. Ini
semua adalah amat penting, kerana kita hidup dalam zaman moden yang
menghendaki kita berlumba dengan orang-orang lain, kaum-kaum lain dan
bangsa-bangsa lain dalam mengejar kejayaan dan kebahagiaan hidup.

60. Itulah sebabnya Kerajaan menganjurkan supaya kita semua mengamalkan
etika kerja yang baik. Yang dimaksudkan dengan etika kerja ialah semangat
dan cara bekerja yang diasaskan kepada nilai moral yang tinggi dan
membelakangkan nafsu. Upah untuk kerja memang penting, tetapi bekerja
semata-mata kerana upah akan menjadikan kita sebagai hamba upahan.

61. Kerajaan sedang berusaha meningkatkan daya pengeluaran dan memupuk
nilai kerja yang baik dengan berbagai-bagai cara. Usaha-usaha ini bukanlah
usaha-usaha yang mudah, malah ia mungkin tidak akan berjaya tanpa
kerjasama semua pihak dan setiap individu. UMNO, sebagai parti yang
menjadi tunjang kepada Kerajaan, mestilah bersama-sama mendukung cita-cita
ini dan menggerakkan jenteranya bagi menjayakan cita-cita ini. Yang kita
lakukan ialah untuk menjayakan prinsip bersih, cekap dan amanah yang mana
kepimpinan melalui teladan adalah cara yang mustajab sekali.

Saudara saudari sekalian, (Persyarikatan Malaysia) 

62. Sebagaimana saudara saudari maklum, baru-baru ini saya telah
mengemukakan konsep Persyarikatan Malaysia sebagai salah satu pendekatan
dan juga dasar bagi mempertingkatkan lagi kemampuan kita untuk menuju ke
arah kemakmuran yang lebih bermakna. Yang dimaksudkan dengan Persyarikatan
Malaysia ialah satu semangat kerjasama antara sektor awam dan sektor
swasta.

63. Sesebuah negara tidak menjadi maju dan makmur semata-mata kerana
adanya pentadbiran walau bagaimana cekap sekalipun. Kemajuan dan
pertumbuhan negara bergantung kepada ekonomi yang maju, iaitu kepada
segala kegiatan berniaga dan berusaha di semua peringkat. Daripada
keuntungan perniagaan dan perusahaan inilah maka Kerajaan mendapat
hasil. Juga, setiap sen yang didapati oleh peniaga dan pengusaha akan
dibelanjakan, sama ada untuk membeli barang, membayar gaji atau
melabur. Dan setiap kali perbelanjaan dibuat ada orang lain yang akan
mendapat wang yang dibelanjakan ini. Tentulah jelas bahawa pihak swasta
yang cergas dan pintar akan membawa kemakmuran dan kemajuan kepada
sesebuah negara. Oleh itu, tidak ada sebab kenapa pihak swasta harus
dianggap sebagai musuh pentadbiran. Jika mereka menyalahi undang-undang
atau dasar tindakan yang sewajarnya boleh diambil. Tetapi, umumnya mereka
bukan musuh, sebaliknya mereka adalah rakan dalam usaha membangunkan
negara. Anggapan bahawa pihak swasta adalah rakan perkongsian Kerajaan,
dan oleh itu perlu dilayan dan dibantu oleh pentadbir, akan menjadikan
negara seolah-olah sebuah syarikat di mana Kerajaan dan swasta menjadi
pemilik dan mempunyai matlamat yang sama, iaitu pembangunan negara. Inilah
yang dimaksudkan dengan Persyarikatan Malaysia .

Saudara saudari sekalian, (Pembangunan Seimbang) 

64. Pembangunan adalah untuk manusia. Pembangunan bukanlah jalan raya atau
bangunan besar, hospital dan berbagai kemudahan awam; ini semua adalah
alat kelengkapan bagi pembangunan yang hakiki. Yang dimaksudkan dengan
pembangunan ialah peribadi dan mutu hidup manusia yang menggunakan alat
kelengkapan ini. Pembangunan adalah kesejahteraan yang dicapai melalui
keselesaan hidup dan ketenteraman kerohanian. Dengan perkataan lain,
pembangunan adalah proses untuk memupuk masyarakat manusia yang
berperadaban tinggi dengan nilai-nilai kemanusiaan yang mulia untuk
kebahagiaan umat manusia.

65. Usaha-usaha kita untuk membangunkan negara adalah dengan tujuan untuk
memupuk Bangsa Malaysia yang mempunyai ciri-ciri perseimbangan daripada
segi material dan spiritual. Sesuatu program atau projek tidaklah
diwujudkan semata-mata untuk kita berseronok-seronok tetapi supaya kita
hidup terpelihara daripada tekanan dan ancaman yang mana ini akan
memesongkan fikiran kita daripada kehendak dan ajaran agama kita. Dalam
keadaan yang tenang dapatlah kita membuat amal ibadat dengan sempurna.

66. Dalam suasana dunia yang bergolak, dan nilai-nilai kemanusiaan dicabul
dan tidak langsung diberi perhatian oleh setengah-setengah pihak, kita
menangggung satu beban yang berat bukan sahaja untuk menyelamatkan diri
kita daripada gejala-gejala buruk yang mempengaruhi zaman kita ini, tetapi
juga untuk membantu usaha-usaha bagi mewujudkan suasana yang lebih aman
dan bahagia di dunia.

Saudara saudari sekalian, (Dadah)

67. Masalah dadah telah menjadi satu masalah yang amat membimbangkan. Jika
sesuatu tindakan tegas tidak diambil bagi mengatasi masalah ini, kita
mungkin akan gagal dalam semua usaha kita dan mungkin pula negara kita
akan hancur akhirnya. Bermula dengan kempen pencegahan dadah awal tahun
ini, usaha-usaha baru sedang dijalankan untuk mempertingkatkan lagi
kemampuan kita bagi membanteras masalah ini. Namun demikian, masalah yang
besar ini tidak mungkin dapat kita atasi jika rakyat sendiri tidak
sama-sama memeranginya dengan satu tindakan yang bersepadu.

68. Mungkin kita tidak dapat menyelamatkan mereka yang telah terperangkap
dalam ketagihan dadah. Penagih dadah adalah bangkai bernyawa yang akan
terus menjadi beban kepada masyarakat. Tetapi, kita masih dapat
menyelamatkan mereka yang belum terlibat dan anak-anak yang belum
terjerumus ke dalam jenayah ini. Cara yang boleh menyelamatkan mereka
ialah dengan sama-sama berusaha menyediakan persekitaran sosial kita yang
tidak mengasingkan mereka ini dan dengan cara melengkapkan mereka dengan
pengetahuan tentang bahaya dan akibat dadah.

69. Dalam perkara ini, adalah penting tiap-tiap keluarga menentukan
didikan moral yang baik bagi anggota keluarga yang masih muda dan
mengawasi gerak-geri mereka sepanjang masa . Penyerapan nilai-nilai Barat
yang menekankan kebebasan individu dan membelakangkan keluarga dan
masyarakat tidak harus dipupuk oleh ibu bapa, atau sekolah atau
universiti. Di mana-mana juga kita dapati kebebasan dan keutamaan bagi
individu berlaku tanpa sekatan di situlah terdapat keruntuhan akhlak dan
jenayah dadah. Oleh itu, kita semua harus berusaha untuk kembali kepada
nilai-nilai kita yang lama seperti menghormati ibu bapa dan orang tua dan
menjunjung adat berkenaan perhubungan di dalam masyarakat. Insya-Allah,
dengan cara ini kita akan dapat mengatasi jenayah dadah.

Saudara saudari sekalian, (Hubungan Luar) 

70. Sebagaimana yang saya jelaskan dalam ucapan saya tahun lalu, kita
mempunyai keutamaan-keutamaan tertentu dalam hubungan kita dengan
negara-negara lain. Asas dasar luar kita ialah untuk bersahabat dengan
semua negara yang ingin bersahabat dengan kita.

71. Tetapi, yang kita pentingkan di dalam persahabatan kita ialah semangat
persaudaraan yang tulen di mana kedua-dua pihak harus hormat-menghormati
dan memberi nilai yang tinggi kepada kebebasan dan kedaulatan negara
masing-masing. Bagi kita, kita mahukan perhubungan kita terjalin mengikut
prinsip- prinsip hubungan antarabangsa di mana kita tidak bimbang walaupun
kita lemah dan kecil.

72. Pengalaman telah menunjukkan bagaimana setengah-setengah negara hanya
manis di bibir sahaja. Kerana ideologi dan kepentingan diri, ada yang
sanggup menjadi talam dua muka. Kalau kita tidak sukakan sifat sedemikian
kita juga tidak harus mengamalkannya. Itulah sebabnya kita mencuba
seberapa daya yang boleh untuk mengadakan hubungan yang erat melalui
kerjasama yang sama-sama menguntungkan kedua-dua pihak. Anggapan bahawa
kita adalah "recipient" atau penerima, dan mereka adalah "donors" atau
pemberi tidak ada tempat dalam hubungan kita dengan negara lain.

73. Program bantuan teknik Malaysia, walaupun dengan satu tabungan yang
kecil, adalah diasaskan kepada kejujuran kita untuk mempraktiskan
prinsip-prinsip yang kita sanjung tinggi. Bantuan yang diberi melalui
program ini tidak menjadikan kita sebagai pemberi atau "donor" kerana ia
merupakan satu jenis kerjasama yang bermakna yang tidak menghinakan pihak
penerima. Kita tahu mereka juga boleh membantu kita. Lawatan saya ke
negara-negara Pasifik Selatan dan negara- negara Bangladesh, Sri Lanka dan
Maldives baru-baru ini telah mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama kita
dengan negara-negara yang saling hormat-menghormati satu sama lain.

74. Pendirian kita terhadap masalah-masalah Kampuchea, Afghanistan dan
Palestin tetap tegas. Kuasa-kuasa besar harus bersikap serius dan jujur
bagi membantu mengatasi masalah-masalah ini di akar umbinya. Sebenarnya,
masalah-masalah ini, jika dibenarkan berterusan, dapat menjejas kedudukan
kuasa-kuasa besar sendiri. Bagi kita umat Islam, kita yakin Allah
Subhanahu Wataala tetap bersama pihak yang benar.

75. Desakan yang kita buat supaya Benua Antartika diwarisi oleh semua umat
manusia diasaskan kepada keadilan. Jika wilayah yang dijajah harus diberi
balik kepada penduduknya wilayah yang tidak ada penduduk tentulah menjadi
hak seluruh umat manusia. Oleh itu kita akan teruskan usaha kita untuk
membebaskan Antartika dari diekploitasi oleh negara-negara tertentu
sahaja.

76. Perhubungan kita dengan beberapa negara terkemuka di Barat adalah
mengikut peraturan. Sementara kita tidak anti mereka, kita juga tidak
ingin menjadi satelit mereka. Sebagai negara yang bebas, Malaysia akan
menghormati semua mereka yang menghormati kita. Malaysia adalah negara
yang berkecuali.

Saudara saudari sekalian, (Nilai-nilai Islam) 

77. Akhir-akhir ini, apa yang dikatakan sebagai usaha untuk menyerapkan
nilai-nilai Islam di Malaysia telah menimbulkan berbagai- bagai
reaksi. Ada pihak yang menganggap usaha ini sebagai tindakan radikal untuk
mengislamkan orang-orang bukan Islam di negara ini. Setengah-setengah
pihak pula menganggap ini sebagai permulaan kepada satu proses revolusi
Islam. Di samping itu, ada pula yang memperolok-olokkan tindakan- tindakan
Kerajaan seolah-olah usaha-usaha Kerajaan itu cuma hendak mengaburkan mata
rakyat semata-mata. Ada pula, yang dengan tujuan-tujuan tertentu, cuba
mengecam usaha-usaha Kerajaan sebagai tidak jujur dan semata-mata dibuat
kerana kepentingan politik.

78. Usaha-usaha ke arah menyerap nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, yang
bermakna menyerap nilai-nilai moral yang tinggi, adalah berdasarkan
rasional bahawa sesebuah negara tidak mungkin mencapai dan menjamin
kebahagiaan kecuali dengan nilai-nilai tinggi ini. Kita faham bahawa yang
membezakan manusia dengan haiwan ialah akal fikiran dan nilai-nilai
kemanusiaan. Islam mementingkan kedua-duanya dan itulah sebabnya kita
menjadikan usaha menerap nilai-nilai Islam sebagai teras kebahagiaan dan
masa depan kita. Sesungguhnya, semua nilai Islam tidaklah berbeza daripada
nilai-nilai yang tinggi dan baik yang diterima oleh alam sejagat. Cuma
mereka yang sudah membelakangkan nilai-nilai moral yang wajar sahaja yang
akan berasa terancam dengan hasrat Kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai
Islam dalam pemerintahan dan gerak-geri negara. Rakyat tidak perlu khuatir
dengan telatah beberapa kumpulan ekstremis kerana itu bukanlah dari ajaran
Islam yang sebenar dan Kerajaan tidak berminat untuk menyerap
amalan-amalan mereka.

79. Usaha-usaha ini bukanlah untuk menakut-nakutkan setengah-setengah
pihak, dan ia juga bukan untuk memaksa rakyat bukan Islam menjadi
Islam. Islam tidak menganjurkan paksaan, dan Islam juga tidak mendapat
untung jika mereka memeluk Islam kerana dipaksa, kerana takut atau kerana
muslihat-muslihat tertentu. Yang kita mahu ialah umat Islam benar-benar
mengamalkan nilai-nilai Islam, dan yang bukan Islam mengamalkan
nilai-nilai mulia yang sudah tentu tidak bertentangan dengan nilai Islam
dan dapat hidup dalam suasana aman maju, harmoni dan bahagia.

80. Ada orang yang berpendapat bahawa adakan sahaja undang-undang Islam
dan semua orang Islam akan menjadi orang Islam yang beriman dan
bertakwa. Cara ini sebenarnya akan menghasilkan orang-orang Islam cuma
pada zahirnya. Mereka akan lari ke sana sini dalam usaha mereka untuk
mengelak daripada undang-undang Islam. Dengan ini maka peristiwa-peristiwa
yang memalukan berlakulah di negara-negara bukan Islam di mana orang Islam
suka pergi. Orang Islam akan berasa "committed" kepada agama Islam jika
sekiranya mereka diberi penjelasan tentang kehendak agama Islam yang
sebenar. Perbuatan menyembunyi atau memutar belit ayat-ayat Al-Quran dan
hadis Nabi kerana didapati tidak secocok dengan pendirian orang-orang
tertentu tidak akan menolong meyakinkan orang Islam sehingga mereka
berpegang kuat kepada Islam di mana juga mereka berada. Oleh itu, Kerajaan
Malaysia akan terus berusaha menjelaskan agama Islam yang benar walau apa
sekalipun tuduhan dibuat oleh mereka yang berkepentingan. Sesungguhnya,
Islam ialah agama kesederhanaan dan bebas daripada sebarang paksaan .

Saudara saudari sekalian, (Penutup) 

81. Di tengah-tengah masyarakat Islam dan dunia Islam terdapat pertubuhan
kita UMNO. Jika pada hari ini negara kita tidak dilanda oleh berbagai
malapetaka buatan manusia, sebabnya ialah kerana UMNO adalah parti politik
yang sederhana, satu sifat yang diredai oleh Allah Subhanahu
Wataala. Berkat dari kesederhanaan inilah maka orang Islam di Malaysia
terpelihara daripada bermacam-macam tekanan dan penindasan. Berkat
daripada kesederhanaan yang sama, yang berasas kepada ajaran Al-Quran,
hadis dan sunah Nabi yang sahih, dan sejarah pemerintahan Islam pada zaman
kegemilangannya, maka semua kaum dan penganut agama lain hidup sejahtera
dan terlindung di Malaysia.

Saudara saudari sekalian, 

82. Tidak ada sesiapa pun yang akan mencabar dakwaan bahawa sehingga
sekarang Malaysia tenang, tenteram serta makmur kerana UMNO memerintah
melalui kedudukannya sebagai parti yang terkanan dan terbesar dalam
Kerajaan- Kerajaan campuran yang telah ditubuh sejak 1955. Orang yang
waras daripada semua kaum tidak berhajat untuk melihat UMNO menjadi lemah
dan porak-peranda. Tentulah menjadi tanggungjawab kita semua untuk
memelihara kestabilan dan kekuatan UMNO ini.

83. Kita telah memilih sistem demokrasi dalam susunan serta pentadbiran
UMNO. Kita tidak syak bahawa sistem inilah yang paling sesuai dan berkesan
bagi mencapai cita-cita kita. Tetapi harus kita ingat bahawa
pertubuhan-pertubuhan lain, bahkan negara- negara lain telah menerima
demokrasi tanpa mencapai kejayaan. Sebenarnya banyak pengamal sistem
demokrasi dewasa ini menjadi lemah dan berpecah antara sesama
sendiri. Saya syorkan saudara saudari membuat senarai nama-nama parti dan
nama-nama negara yang menerima sistem demokrasi tetapi hari ini lumpuh
atau hancur.

84. Maksud saya ialah sistem walau betapa baik sekalipun dengan sendirinya
tidak menjamin kejayaan. Akhirnya, yang menentukan kejayaan ialah pengamal
sistem itu yang sedar bahawa peruntukan dalam sistem itu perlu diguna
dengan membelakangkan nafsu dan mengutamakan semangat penubuhan badan yang
berkenaan.

85. UMNO, sejak ianya ditubuh hampir 38 tahun dahulu telah mengamalkan
beberapa amalan yang sekarang ini menjadi adat dan tradisi dalam UMNO. Hak
yang diberi dalam Perlembagaan UMNO tidak diguna dengan
sewenang-wenangnya, terutama di peringkat pucuk kepimpinan, iaitu Majlis
Tertinggi. Beberapa Bahagian dan Cawangan UMNO telah lumpuh kerana terlalu
ghairah dengan hak demokrasi tetapi tidak menghiraukan adat resam dan
tradisi. Tetapi, umumnya, adat dan tradisi disanjung tinggi dan diamal
oleh UMNO dari peringkat cawangan hinggalah ke peringkat Perhimpunan Agung
UMNO. Pegangan kepada adat resam dan tradisi inilah yang membawa kejayaan
kepada UMNO dan seterusnya kepada negara Malaysia.

86. Pada masa-masa yang akhir ini terdapat satu kegiatan yang tidak
mencerminkan pegangan kepada tradisi dan adat. Atas nama demokrasi
kononnya, adat dan tradisi dibelakangkan. Mungkin ada orang yang berminat
kepada jawatan-jawatan tertentu dalam Parti dan Kerajaan. Tetapi yang
ghairah sekali ialah orang-orang kanan bakal-bakal calon ini. Tidak ada
had dan batasan apabila orang-orang ini berkempen. Bahawa akibatnya ialah
kehancuran parti tidak sama sekali dihiraukan. Bagi mereka yang utama
ialah status dan pengaruh yang akan didapati oleh mereka jika calon mereka
mendapat kemenangan. Sebab itu, hampir dua tahun sebelum pemilihan Majlis
Tertinggi mereka telah merancang dan menjalankan kempen mereka.

Saudara saudari sekalian, 

87. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhananu Wataala kerana dalam
menjalankan tugas saya sebagai Presiden Parti dan Perdana Menteri, saya
dibantu oleh rakan-rakan yang cekap dalam menjalankan tugas yang
diserahkan kepada mereka. Bersama-sama dengan Dato Musa sebagai Timbalan
Presiden dan Timbalan Perdana Menteri, satu "team" yang berkesan telah
diwujudkan untuk membuat beberapa perubahan yang dianggap penting untuk
kesejahteraan negara. Saya mengucapkan terima kasih kepada perwakilan 1981
yang memilih seorang Timbalan Presiden yang boleh bekerjasama sebagai satu
"team" dengan saya. Dengan kerjasama ini maka kepimpinan menjadi lebih
mudah dan berkesan.

88. Setiap orang daripada anggota Majlis Tertinggi dan Jemaah Menteri
mempunyai peranan yang penting dalam jawatan masing-masing. Walaupun
ramalan-ramalan kerap dibuat tentang rombakan Kabinet, seperti saudara
saudari maklum, tidak banyak perubahan yang dibuat, melainkan pengisian
jawatan-jawatan yang kosong. Sebabnya ialah kerana pertukaran tidak
dilakukan semata-mata kerana inginkan pertukaran, tetapi sebaliknya
kestabilan adalah dianggap lebih utama. Penggunaan kuasa tidak dibuat
kerana kuasa ada di tangan tetapi cuma apabila kuasa perlu
digunakan. Kaedahnya adalah sama dengan amalan sistem demokrasi. Bukanlah
kerana hak diberi oleh demokrasi maka hak ini mesti digunakan. Kuasa,
seperti juga hak, mesti digunakan dengan penuh tanggungjawab dan
kebijaksanaan.

89. "Team spirit" atau semangat pasukan perlu ada jika sesuatu pasukan itu
ingin mencapai kejayaan. Jika seseorang daripada ahli pasukan mempunyai
cita-cita atau "ambition" yang tersendiri dan membelakangkan pasukan, maka
alamatnya ialah pasukan itu akan gagal. Sehingga kini, walaupun ada khabar
angin yang berkata si polan si polan mempunyai "ambition" yang
bertentangan dengan "team" dan ketua pasukan tetapi saya percaya akhirnya
kepentingan pasukan akan mendapat kesetiaan.

90. Saya ingin memberi amaran kepada beberapa orang "leftenan" yang
terlalu ghairah berkempen. Kedudukan mereka dalam Kerajaan bukanlah begitu
kemas. Oleh itu, berhati-hatilah.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

91. UMNO adalah kepunyaan semua ahli UMNO. Sama ada UMNO akan terus kuat
dan berjaya atau gagal dan hancur lebur cuma ahli UMNO sahaja yang boleh
menentukan. Kepimpinan cuma merupakan alat yang diamanahkan oleh ahli
melalui kuasa yang tertinggi sekali dalam Parti, iaitu Perhimpunan Agung
UMNO. Oleh itu, berhati-hatilah, terutama pada tahun 1984. Janganlah
kerana kepentingan seseorang maka nasi menjadi bubur.

92. Bagi saya, tempat yang saya isikan ini tidak berguna melainkan untuk
menentukan kepentingan UMNO dipelihara bersama dengan kepentingan agama
dan negara. Yang penting dan utama bukan saya, tetapi UMNO. Segala- gala
yang saya perkatakan dalam ucapan ini adalah untuk UMNO, bermakna juga
untuk orang Melayu, untuk agama dan negara.

Saudara saudari sekalian, 

93. Saya telah menyentuh berbagai-bagai perkara dalam ucapan saya
ini. Mungkin ada yang menyentuh perasaan, tetapi apa yang saya sebutkan
adalah lahir dari hati yang ikhlas. Saya harap saudara saudari sekalian
dapat memberi perhatian yang serius dan wajar kepada perkara-perkara yang
telah saya sebutkan.

94. Saya telah berucap agak begitu panjang dan saya percaya ada di antara
saudara saudari yang ternanti-nanti untuk membahasnya. Oleh itu, tanpa
membuang masa, saya mengakhiri ucapan saya ini dengan mengucapkan kepada
saudara saudari sekalian selamat bersidang dan selamat maju jaya.

WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH, WASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKTUH.

UMNO dan demokrasi Bahaya Fitnah Dunia yang bergolak Daya pengeluaran
Persaudaraan dan hubungan luar Persyarikatan Malaysia Penghayatan nilai
Islam Penutup

 



 


 











 
Google