Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ALOR STAR, KEDAH, 
Tarikh/Date 	: 	26/08/83 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN UMNO 
			ALOR STAR 




Bismillahir Rahmanir Rahim.

Yang Amat Berhormat Dato Seri Syed Nahar Shahabudin, Menteri Besar
Kedah; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-Tuan dan
Puan-Puan sekelian.

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, hari ini kita dapat bersama-sama menghadiri satu majlis
yang bahagia yang menandakan salah satu detik istimewa dalam sejarah UMNO
Negeri Kedah.

2. Setiap bangunan UMNO yang dibina dari semasa ke semasa menjadi
kemegahan kepada sekelian ahli UMNO, apatah lagi kepada saya sebagai
Presiden UMNO yang sentiasa mengharapkan kemajuan dan keteguhan Parti
kita. Bangunan UMNO yang tersergam indah ini adalah satu lambang yang
boleh memperingatkan kita kepada perjuangan orang Melayu. Namun demikian,
kita tidak harus menganggap bangunan-bangunan Parti semata-semata sebagai
lambang kerana ia harus memberi erti yang lebih dari itu. Ia harus
mencerminkan aspirasi semasa yang dianjurkan oleh Parti dan oleh Kerajaan
di mana Parti kita menjadi tunjangnya.

3. Dalam pilihanraya umum 1982 kita telah menggunakan tema "Bersih, Cekap
dan Amanah" dalam manifesto kita. Kerajaan yang dibentuk selepas
pilihanraya telah berusaha untuk mengisi tema ini dengan berbagai
program. Sehubungan dengan ini, Kerajaan telah membuat penekanan terhadap
kebersihan dan keindahan, menggesa semua rakyat supaya bekerja kuat dan
meningkatkan daya pengeluaran serta mengambil contoh-contoh yang baik dari
Timur, menekankan kepentingan sektor swasta melalui konsep Persyarikatan
Malaysia dan Perswastaan, dan penerapan nilai-nilai Islam di dalam
pentadbiran dan gerak-geri negara. Kalau kita faham, sebenarnya semua ini
menjadi hasrat UMNO, dan dengan itu juga adalah menjadi tanggungjawab UMNO
untuk membuktikan kemampuannya menjayakan program-program dan
konsep-konsep ini.

4. Kalau saudara saudari ingat, awal tahun ini Kerajaan telah melancarkan
gerakan Kepimpinan Melalui Teladan. Tentulah dalam hal ini parti kita UMNO
harus berada di hadapan di dalam melaksanakan konsep ini. Itulah sebabnya
saya katakan bahawa bangunan UMNO adalah lebih dari menjadi sebagai
lambang semata-mata, kerana apa yang harus berlaku ialah bangunan UMNO
menjadi pusat membawa kenyataan kepada konsep-konsep yang dianjurkan oleh
Kerajaan dengan mendapat sokongan dan didokong oleh setiap ahli UMNO.

5. UMNO tidak akan kekal menjadi kuat hanya dengan adanya
bangunan-bangunan yang besar dan indah di merata-rata tempat. Dahulu, pada
permulaan perjuangan kita UMNO tidak mempunyai apa-apa bangunan sendiri
dan ahli-ahli UMNO tidak terdiri daripada orang-orang yang mewah dan
berada. Tetapi pada masa itu UMNO adalah satu parti yang kuat kerana
ahli-ahli UMNO mempunyai semangat yang kuat dan cita-cita yang besar dan
tinggi. Dengan semangat dan cita-cita ini kita telah dapat menumpaskan
Malayan Union dan kita telah dapat menuntut kemerdekaan.

6. Hari ini, setelah lebih sesuku abad merdeka, UMNO masih dapat
mengekalkan kedudukannya sebagai parti yang kanan di dalam pemerintahan
negara. Ini semua adalah kerana semangat UMNO masih dapat
dikekalkan. Tetapi, dengan masa yang berlalu, cabaran-cabaran yang kita
hadapi telah juga berubah. Kita sedang berada di dalam suasana perubahan
yang amat pesat di mana terdapat persaingan di dalam semua lapangan. Jika
kita ketinggalan kita tidak akan dapat mengekalkan kedudukan ini, dan jika
ini berlaku UMNO mungkin tinggal sebagai nama sahaja di dalam sejarah.

7. Kita baru selesai mengadakan Perhimpunan Agung kita. Dari perbahasan,
kita dapati bahawa ahli-ahli UMNO semakin teliti di dalam membuat
hujah-hujah mereka. Mereka tidak segan menyoal amanah yang telah diberikan
kepada pemimpin-pemimpin mereka. Bagi saya ini adalah merupakan satu
perkara yang sihat, yang mana jika digunakan mengikut prinsip-prinsip
demokrasi di dalam Parti, akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan kita
sebagai parti yang memegang amanah rakyat dan negara. Tetapi sebagaimana
yang saya jelaskan di dalam Perhimpunan Agung itu, soal fitnah-memfitnah
sering berlaku di dalam UMNO. Soalnya ialah mengapakah penyakit ini
dibiarkan berlaku sedangkan kita mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi di
mana apa-apa kemuskilan boleh dikemukakan untuk mendapat jawapan. Itulah
di dalam ucapan dasar saya, saya telah mengatakan bahawa orang Melayu
sedang dihingapi oleh penyakit khayalan dan kelazatan berfitnah.

8. Orang-orang Melayu adalah orang Islam. Tetapi ini secara umumnya
sahaja. Hari ini kita tahu ramai orang Melayu yang telah meninggalkan
Islam kerana berbagai-bagai sebab. Yang menjadi cabaran bagi orang Islam
di negara kita, khususnya orang Melayu, ialah bagaimana untuk mengatur
satu strategi yang berkesan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini
ini berterusan. Pada hemat saya salah satu perkara utama yang harus diberi
perhatian oleh setiap orang Islam ialah untuk mengekalkan perpaduan supaya
tindakan-tindakan yang lebih tersusun dapat dibuat untuk menerapkan
nilai-nilai Islam di dalam semua gerak-geri hidup kita. Selagi orang Islam
di negara ini masih memberi tempat kepada mereka yang ingin menyemaikan
perpecahan di kalangan umat Islam selama itulah usaha-usaha yang mungkin
dapat dijalankan tidak akan dapat dibuat dengan berkesan.

9. UMNO tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya untuk menegakkan syiar
Islam di negara ini. Tetapi, sebagai Parti yang memerintah kita lebih
mengutamakan jalan yang praktikal dan selamat daripada membuat sesuatu
secara terburu-buru tanpa memikirkan kesan dan akibatknya.

10. Di dalam ucapan saya di Perhimpunan Agung juga saya telah menyentuh
tentang penerapan nilai-nilai Islam di negara kita. Insya-Allah, sekiranya
semua pihak memberi sokongan kepada saya, saya yakin kita dapat menyusun
usaha-usaha kita dengan lebih kemas dan teratur lagi bagi memenuhi hasrat
perjuangan kita yang berlandaskan kepada kepentingan bangsa, agama dan
negara.

11. Pada hari ini kita juga dapat meraikan beberapa orang tokoh lama
UMNO. Kita maklum bahawa setiap ahli berperanan membuat sumbangan kepada
perjuangan kita. Dengan sumbangan tokoh-tokoh lamalah hari ini kita telah
mencapai tahap kejayaan sekarang. Kita terhutang budi kepada mereka dan
bersama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala sentiasa
melimpahi rahmat dan hidayat-Nya kepada mereka dan kepada kita semua
supaya kita dapat terus berjuang bagi kepentingan bangsa, agama dan tanah
air.

12. Sempena dengan majlis pada hari ini, sukalah saya mengucap
berbanyak-banyak terima kasih dan tahniah kepada UMNO Negeri Kedah serta
semua pihak yang telah giat berusaha untuk menjayakan projek Bangunan UMNO
ini. Semoga dengan adanya bangunan ini UMNO Negeri Kedah akan dapat
bergerak dengan lebih lancar dan ditadbirkan dengan lebih berkesan lagi.

13. Akhir kata, dengan sukacitanya saya merasmikan Bangunan UMNO Negeri
Kedah ini.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 



 


 











 
Google