home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : Tarikh/Date : 31/08/83 Tajuk/Title : BERSEMPENA DENGAN PERMULAAN RANGKAIAN KEDUA TELEVISYEN MALAYSIA KE SABAH DAN SARAWAK Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam bahagia kepada tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati. Sebentar lagi rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan dapat secara langsung mengikuti siaran Rangkaian Kedua Televisyen Malaysia. Dengan sampainya siaran Rangkaian Kedua ini ke Sabah dan Sarawak, kita telah berjaya membina dan menggunakan satu lagi jambatan yang akan mengeratkan hubungan silaturahim di antara rakyat negara kita. 2. Televisyen mula wujud di negara kita 20 tahun yang lalu, mula-mulanya di Semenanjung. Dalam tahun 1971, siaran televisyen diluaskan ke Sabah, dan diluaskan lagi bagi meliputi seluruh negara dalam tahun 1978, apabila Rangkaian Pertama diperluaskan ke Sarawak. Kebanyakan negara yang sedang membangun lazimnya mengendali satu rangkaian siaran televisyen, kadangkala di kawasan-kawasan tertentu sahaja, tetapi dalam masa yang singkat, kita di Malaysia telah berjaya mengadakan siaran televisyen yang meliputi seluruh negara melalui dua rangkaian. Ini adalah satu perkembangan dan kemajuan yang boleh kita banggakan. 3. Perkembangan dan kemajuan teknologi amat mengkagumkan. Bukan lagi menjadi perkara ajaib bagi manusia berada di angkasa lepas dan balik ke dunia. Dunia secara beransur-ansur sudah menjadi kecil. Perjalanan yang pantas dari satu tempat ke satu tempat yang dipisah oleh benua, gunung-ganang dan lautan yang luas sudah tidak menjadi masalah. Manusia boleh berhubung di antara satu dengan lain, walau beribu batu jauhnya sekalipun boleh dibuat dalam sekelip mata. Inilah perkembangan dan kemajuan yang nyata yang dibawa oleh teknologi letronik. 4. Wujudnya siaran televisyen yang meliputi seluruh negara kita adalah dalam kontek perkembangan dan kemajuan ini. Sungguhpun lautan luas memisahkan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, kemajuan teknologi yang mencipta satelit telah boleh kita jadikan jambatan yang menghubungi kita semua. Dengan adanya siaran rangkaian kedua, maka bertambahlah peluang menerima penerangan, pengetahuan dan hiburan bagi saudara-saudara di Sabah dan Sarawak, sama seperti yang diperolehi oleh saudara-saudara kita di Semenanjung. 5. Untuk mewujudkan siaran rangkaian kedua ke seluruh negara, kita telah mendirikan tujuh lagi stesyen pemancar di Sabah dan tujuh lagi di Sarawak. Kita juga menggunakan kemudahan satelit, selain dari mendirikan stesyen satelit bumi, untuk menjamin kejayaan siaran. Lebih kurang 46 juta ringgit telah dibelanjakan. Kira-kira 25 juta ringgit daripadanya ialah untuk mendirikan pemancar televisyen dan segala kelengkapan yang diperlukan oleh RTM. Sebelas juta ringgit digunakan untuk mendirikan alat penyambung gelombang mikro, atau 'microwave link', dan alat-alat yang berkenaan, supaya pancaran siaran sampai dari satu tempat ke satu tempat. Lebih kurang 9 juta ringgit pula dibelanjakan untuk mendirikan stesyen satelit bumi. 6. Walaupun perbelanjaan adalah begitu besar, Kerajaan menganggap ianya adalah satu pelaburan yang tidak dapat dinilai untuk menjamin perpaduan kebangsaan dan perhubungan rapat masyarakat majmuk di Malaysia. Proses integrasi ataupun perpaduan kebangsaan sudahpun meliputi semua bidang seperti sukat dan timbang yang menggunakan sistem metrik, waktu standard, dan sekarang, siaran televisyen. 7. Oleh kerana dunia ini semakin kecil dan perhubungan manusia semakin pantas, bagi negara Malaysia yang tidak begitu luas kawasannya, waktu yang sama itu memudahkan media letronik kita berkhidmat kepada negara. 8. Dengan wujudnya siaran rangkaian kedua ke seluruh negara, yang nyata ialah penduduk-penduduk di Sabah dan Sarawak sekarang mempunyai lebih dari satu rangkaian televisyen untuk dipilih. Dengan demikian banyaklah lagi pengetahuan yang dapat ditimba. Pandangan sudah tentu semakin luas, kawasan pedalaman sudah tidak lagi terpencil dari ibu negara serta, perkembangan semasa dapat dilihat dan diikuti secara sepontan di mana-mana sahaja di negara ini. Dengan adanya peluang menyaksi lebih banyak rancangan di peti televisyen, adalah diharapkan supaya contoh-contoh yang sesuai akan dijadikan teladan untuk membaiki cara hidup kita dari segi rohaniah dan jasmaniah. Rancangan-rancangan dengan penerangan adalah asas bagi melepaskan rakyat daripada pandangan yang sempit dan pemikiran yang cetek. Dengan tersebarnya siaran televisyen ke seluruh negara adalah diharapkan ianya akan merupakan sebagai 'catalyst' untuk membawa kemajuan kepada kawasan-kawasan yang jauh dan terpencil. 9. Sambil menyaksikan perkara-perkara baru dan kemajuan semasa yang mengkagumkan yang mungkin mengubah sikap dan pandangan, janganlah kita lalai akan betapa besar nilai seni, budaya dan tradisi yang kita warisi turun temurun. Tiada gunanya kita berbangga dengan kemajuan dan perkembangan teknologi moden, sekiranya kita membelakangkan warisan kita. Melalui televisyen juga dapatlah kita melihat dan menikmati seni dan tradisi yang begitu banyak di negara kita. Jambatan yang baru dibina ini bukan sahaja menghubung saudara di merata tempat di tanahair kita, tetapi juga menjadi penghubung untuk memupuk tradisi silam supaya tidak luput dimakan zaman, supaya dapat dijadikan kemegahan kita semua. Tradisi budaya kita yang kaya inilah yang mewujudkan identiti bangsa dan negara kita. 10. Akhirnya, saya ucapkan selamat menonton Rangkaian Kedua Televisyen Malaysia kepada semua penduduk negeri Sarawak dan Sabah. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih. Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur. |