home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN TUNKU CANSELOR, UNIVERSITI MALAYA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 03/09/83 Tajuk/Title : DI PERASMIAN PERAYAAN HARI KOPERASI ANTARABANGSA KE-61 DAN PERSIDANGAN KEBANGSAAN ANGKASA KE-5, Yang Berbahagia Profesor di-Raja Ungku Abdul Aziz, Yang di-Pertua Angkasa; Dif-dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertua dan pemimpin-pemimpin ANGKASA kerana menjemput saya berucap dan merasmikan Perayaan Hari Koperasi Antarabangsa ke-61 dan Persidangan Kebangsaan ANGKASA yang ke-5 ini. 2. Sebagaimana saudara saudari maklum, istilah koperasi merupakan satu istilah baru, dan apa yang dipanggil koperasi sekarang dahulunya dikenali sebagai syarikat kerjasama. Sama ada kita panggil institusi ini sebagai koperasi atau syarikat kerjasama tidaklah penting; yang penting ialah asas konsep ini, iaitu kerjasama. 3. Kerjasama memang penting di dalam apa-apa jua bidang. Sebagai ahli politik yang bertanggungjawab terhadap urusan negara, saya anggap kerjasama sebagai satu perkara yang amat penting bagi sesebuah masyarakat dan sesebuah negara. Ini mungkin mengingatkan kita kepada pepatah, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Di dalam pentadbiran, kita sering mendengar konsep "coordination" dan "integration" yang juga menggambarkan betapa perlu dan pentingnya persefahaman dan kerjasama di dalam sesuatu urusan, tidak kira sama ada urusan itu urusan negara atau pentadbiran ataupun urusan perniagaan, sosial dan lain-lain. 4. Apabila memperkatakan tentang pembangunan, saya sering menggesa penglibatan semua pihak dan kerjasama serta sokongan rakyat. Begitu juga bila saya membuat ucapan-ucapan tertentu saya sering kali menegaskan betapa pentingnya kerjasama bagi menjayakan sesuatu. Baru-baru ini, sebagaimana saudara saudari maklum, Kerajaan telah mengutarakan satu konsep yang dikenalkan sebagai Persyarikatan Malaysia, yang mana asasnya juga adalah persefahaman dan kerjasama, tetapi di sini kerjasama yang dimaksudkan ialah kerjasama antara sektor awam dengan pihak swasta. Tujuannya tidak lain melainkan untuk membolehkan seluruh negara meningkatkan prestasinya. Oleh itu apabila saya dijemput untuk berucap kepada saudara saudari yang menjadi ahli, penyokong dan peminat gerakan koperasi atau syarikat kerjasama saya berasa sangat gembira. 5. Sebagaimana saudara saudari maklum, ada tiga pilihan dalam mengusahakan kegiatan ekonomi. Cara yang pertama ialah di mana kegiatan ekonomi diserah untuk diuruskan oleh pihak swasta sama ada dalam bentuk bersendirian, perkongsian atau bersyarikat. Cara yang kedua ialah di mana Kerajaan sendiri, secara langsung atau melalui agensi-agensi yang ditubuhkannya, menjalankan kegiatan ekonomi. Cara yang ketiga ialah melalui syarikat kerjasama atau koperasi. Tiap-tiap satu mempunyai kebaikan dan kelemahannya masing-masing. Di negara kita ketiga-tiganya wujud, dan pilihan mengenai bentuk bagi menguruskan sesuatu kegiatan ekonomi itu adalah terletak kepada penajanya. Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 6. Konsep koperasi bukanlah satu perkara asing bagi masyarakat Melayu khususnya, dan masyarakat Malaysia amnya, malah ia menjadi satu ciri di dalam kebanyakan masyarakat. Konsep gotong-royong yang begitu popular di dalam masyarakat kita telah wujud zaman berzaman. Tetapi, dalam kehidupan kita konsep gotong-royong lebih merupakan konsep sosial dan sosio-ekonomi. Ini mungkin disebabkan oleh struktur sosial masyarakat kita di mana apa-apa jua kegiatan mempunyai dimensi sosialnya yang penting. Ini juga mungkin menjadi salah satu punca kepada kelemahan koperasi di dalam kegiatan ekonomi kerana ada pihak-pihak yang lebih menganggapnya sebagai jentera sosial. 7. Saya harap perkara ini mendapat perhatian ahli-ahli dan peminat-peminat koperasi. Di dalam perusahaan koperasi semua ahli harus terlibat bagi menjayakannya. Urusan koperasi tidak harus dibiar dan diserahkan bulat-bulat kepada ahli-ahli jawatankuasa sahaja tanpa ahli-ahli biasa mengambil peranan dan mengambil tahu tentang perniagaan koperasi itu. Begitu juga tidak harus ada mereka yang menjadi "penumpang" atau "ahli tidur" di kalangan peserta koperasi. 8. Sesebuah koperasi bukanlah perniagaan perseorangan, perniagaan kesemua ahli. Oleh itu semua ahli koperasi harus sentiasa berusaha membuat sumbangan dan memberi kerjasama bagi menjayakan koperasi dan mendatangkan manfaat kepada sekalian ahli. Seseorang ahli tidak harus mementingkan apa yang ia akan perolehi daripada menjadi ahli, tetapi sebaliknya apakah yang dapat disumbangkannya terhadap koperasi. Akhirnya sumbangan seseorang ahli akan mendatangkan faedah kepada dirinya juga. 9. Satu sifat semula jadi manusia ialah mengutamakan kepentingan diri. Ini tidak menjadi masalah. Tetapi kebanyakan daripada kita tidak tahu di mana duduknya kepentingan kita. Sebabnya dalam kumpulan-kumpulan kita, kita sering mengambil tindakan yang sebenarnya membelakangkan kepentingan kita sendiri secara tidak sedar. Kesedaran cuma timbul apabila tiba perhitungan terakhir. 10. Dalam koperasi umpamanya, jawatankuasa, setiausaha, bendahari dan lain-lain pengurus kerap mengambil tindakan yang menguntungkan diri dalam jangka pendek. Mereka tidak ambilkira bahawa tidak dapat tidak, penyelewengan akan dapat dikesan akhirnya. Apabila ini berlaku maka bukan sahaja koperasi akan rugi atau hancur tetapi mereka yang terlibat juga akan mengalami kerugian. Kerugian mereka adalah lebih besar kerana kepercayaan masyarakat kepada mereka akan hilang, dan mungkin akan menghadapi berbagai tuduhan, bahkan akan dihukum mengikut undang-undang. 11. Kadang-kadang sementara jawatankuasa dan anggota lain menjalankan tugas dengan sempurna, ada ahli atau kumpulan ahli yang berasa irihati, lalu mencari jalan untuk mengambil alih koperasi. Niat mereka mungkin baik, mungkin tidak. Tetapi kerap juga berlaku di mana koperasi diambil alih oleh ahli-ahli yang tidak cekap dan tidak bertanggungjawab dan akhirnya hancurlah koperasi. 12. Sebenarnya jika pengurus-pengurus koperasi menjalankan tugas mereka dengan jujur mengikut peraturan, koperasi tetap akan berjaya dan semua pihak, terutama pengurus-pengurus akan dapat merasai nikmat yang berterusan. Tentulah jelas di mana duduknya kepentingan diri dalam koperasi. Apa yang menguntungkan kumpulanlah, yang akhirnya lebih menguntungkan diri seseorang. 13. Seperti yang kita maklum, semenjak satu setengah tahun yang lalu, dengan inisiatif dan dorongan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Yang Berhormat Datuk Sanusi Junid, Kerajaan telah melancarkan satu era yang diberi nama Era Baru Koperasi. Sesuai dengan semangat era baru ini, semua badan koperasi telah diarah untuk mengadakan mesyuarat agungnya dan membentangkan akaun yang telah diaudit kepada ahli-ahlinya setiap tahun atau secara tetap. Hampir semua koperasi telah mematuhi arahan ini. Begitu juga pengurusan telah diperkemas dan dengan sendirinya telah memberi kesan positif terhadap perjalanan koperasi, manakala hak dan kuasa para ahli juga telah mendapat pengakuan dan penghormatan yang wajar. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 14. Saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk menjelaskan beberapa aspek dasar koperasi dan juga memberi petunjuk tentang peranan koperasi di dalam pembangunan ekonomi pada tahun-tahun akan datang. 15. Penubuhan sesebuah koperasi mestilah didorong oleh cita-cita untuk melibatkan diri di dalam sesuatu kegiatan ekonomi dengan cara kerjasama. Ia tidak harus ditubuh dengan tujuan untuk mengelakkan cukai atau kawalan oleh mana-mana Jabatan atau agensi Kerajaan. Begitu juga koperasi tidak harus dijadikan batu loncatan ke syarikat swasta. Koperasi bukanlah tempat untuk mencari kekayaan dengan membiarkan orang lain menjalankan kerja dan kita menumpang menikmati untung atau mencari faedah dari tambahan nilai modal, atau "capital gain". 16. Koperasi wujud untuk memberi perkhidmatan kepada seluruh ahlinya. Koperasi boleh melibatkan diri di dalam banyak kegiatan dan sekiranya sesebuah koperasi dijalankan dengan baik semua ahli akan mendapat perkhidmatan yang baik, malahan faedah-faedahnya juga akan dinikmati oleh masyarakat umum. Melalui gerakan koperasi, ahli-ahli akan berpeluang mempelajari selok-belok perniagaan dan soal-soal ekonomi di samping memupuk persefahaman dan perpaduan. Oleh itu, gerakan koperasi di sekolah-sekolah dan di kalangan golongan-golongan dan lapisan masyarakat tertentu dapat membantu Kerajaan dalam beberapa hal bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang gigih berusaha, sanggup bekerjasama dan berdikari di dalam mengejar kemajuan dan kejayaan. 17. Koperasi tidak wujud untuk mencapai keuntungan yang besar. Matlamat asasnya ialah sebagai contoh untuk memberi perkhidmatan yang bersih, cekap serta amanah dan menguntungkan ahli-ahlinya. Koperasi harus menjadi badan yang dapat mengurangkan sedikit beban ahli-ahlinya yang boleh dibuat melalui beberapa keistimewaan kepada ahli. Umpamanya, pembelian barang-barang secara borong dan jualan dengan harga yang berpatutan, tanpa komisyen orang tengah. Dengan cara ini ahli-ahli akan lebih berminat untuk menjadi pelanggan koperasinya, yang mana ini akan menjamin kejayaan koperasi. 18. Gerakan koperasi boleh menolong menurunkan kos sara hidup. Walaupun peranan orang tengah tidak mungkin dihapuskan sama sekali, tetapi penglibatan mereka dapat dikurangkan. Demikian juga pembelian secara borong boleh merendahkan kos. Semua ini akan menolong pengguna-pengguna terutama mereka yang berpendapatan rendah. Tetapi ini semua adalah teori koperasi. Teori ini tidak akan membuahkan hasil yang dicita-citakan melainkan ada keikhlasan, kejujuran dan amanah oleh semua pihak yang terlibat. 19. Adalah menjadi dasar Kerajaan untuk melihat gerakan koperasi berjaya di negara kita. Namun demikian adalah menjadi tugas dan tanggungjawab gerakan koperasi di negara kita sendiri untuk mempertingkatkan kemampuan pengurusannya supaya dapat membimbing gerakan koperasi dengan lebih teratur dan berkesan. 20. ANGKASA telah memimpin gerakan koperasi di Malaysia selama dua belas tahun. Saya berbangga kerana pemimpin-pemimpin ANGKASA tidaklah seperti pemimpin koperasi-koperasi besar yang lain yang menerima honorarium yang agak lumayan tiap-tiap bulan, atau sehingga ribuan ringgit tiap-tiap tahun. Semua pemimpin ANGKASA menjadi teladan yang baik apabila mereka berkhidmat dengan tidak menuntut apa-apa honorarium atau saguhati. Ini harus dicontohi oleh semua koperasi yang besar oleh sebab perkhidmatan sukarela adalah menjadi asas penting semangat koperasi yang tulen. 21. Saya berharap sekalian pemimpin gerakan koperasi Malaysia akan mengkaji dan merenung nilai sebenar koperasi di negara kita. Saya berharap semua pegawai Kerajaan akan memandang gerakan koperasi sebagai satu daripada jentera negara untuk mencapai pembangunan ekonomi, serta menjayakan Dasar Ekonomi Baru. 22. Akhirnya, sekali lagi saya berharap dan berseru agar semangat "bekerjasama" di kalangan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin gerakan koperasi di negara kita akan terus menyala dan berkobar, semoga gerakan koperasi akan lebih kemas dan cekap dan akan memberi manfaat yang maksimum kepada semua pihak. 23. Dengan seruan dan harapan ini, dengan sukacitanya saya merasmikan Hari Koperasi Antarabangsa Yang ke-61 dan Persidangan Kebangsaan ANGKASA Yang ke-5 ini. Terima Kasih. |