home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PDG LETAK KERETA, BENTENG SELERA, JLN MUNSHI ABDULLAH K.L. Tarikh/Date : 02/10/83 Tajuk/Title : DI MAJLIS PELANCARAN KEMPEN KEBERSIHAN SELURUH NEGARA Yang Berhormat Dato Dr. James Ongkili, Pengerusi Jawatankuasa Pusat Kempen Kebersihan; Yang Berhormat Menteri-Menteri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Kebangsaan Kempen Kebersihan Seluruh Negara dan Jawatankuasa Upacara Pelancaran kerana memberi kesempatan kepada saya melancarkan Kempen Kebersihan Seluruh Negara pada pagi ini. 2. Kebersihan adalah penting dalam kehidupan kita. Sesungguhnya tidak ada sesiapapun yang suka kepada keadaan sekeliling atau persekitaran yang kotor dan penuh dengan sampah sarap. Dari kecil lagi kita dididik supaya sentiasa menjaga kebersihan selaras dengan kehendak agama dan masyarakat. Semua agama mengajar kita supaya menjaga kebersihan dan menjadikannya amalan harian dalam kehidupan kita. Demikianlah utamanya kebersihan sehingga bagi orang-orang Islam, kebersihan adalah sebahagian daripada iman. 3. Keadaan yang kotor dengan sampah sarap dan bau busuk bukan sahaja menimbulkan pemandangan yang jelek dan rasa jijik bahkan membawa keburukan dan menjejaskan kesihatan kita. Kebersihan membawa kesempurnaan hidup kepada semua orang. Kalau keadaan di rumah kita bersih, kita lebih terpelihara dari berbagai jenis penyakit yang dibawa oleh serangga dan kuman. Di sekolah kebersihan membawa keselesaan kepada murid dan guru yang mana akan menolong pengajaran dan penyerapan ilmu dengan lebih sempurna. Kalau tempat berniaga pula bersih, kita dapat menarik lebih ramai pelanggan dan memperolehi pendapatan yang lebih. Kalau tempat kerja kita bersih, kita dapat mewujudkan suasana kerja yang baik yang akan menimbulkan daya pengeluaran yang lebih tinggi. Kalau kampung, bandar dan negara kita bersih, maruah kita tidak akan terjejas dan kita akan dihormati oleh orang lain. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab setiap orang daripada kita untuk menjaga kebersihan rumah dan halaman kita, kawasan-kawasan perumahan, tempat-tempat kerja tempat-tempat awam . 4. Walaupun kebersihan itu baik, malangnya sebahagian besar daripada kita cuma menerima kebenaran ini tanpa mengamalkannya. Seperti apa jua yang baik, masyarakat kita nampaknya hanya dapat menerima sesuatu kebaikan itu jika dipaksa dan dikawal oleh undang-undang. Sikap ini akan merugikan masyarakat dan individu kerana ia membawa kepada perbelanjaan penguatkuasaan dan segala masalah yang datang dengan usaha menguatkuasakan seperti penyalah-gunaan kuasa, rasuah, tekanan dan lain-lain. Adalah lebih baik sesuatu yang baik, seperti kebersihan, diamalkan tanpa paksaan. 5. Tanggungjawab menjaga kebersihan selalunya dianggap sebagai tugas pihak berkuasa. Pandangan ini adalah salah. Tidak ada Kerajaan di dunia ini yang boleh membersihkan alam sekitar jika rakyat mengotorkannya sepanjang masa. Apakah dapat Kerajaan menghantar tukang sapu untuk mengutip atau menyapu setiap kali kita membuat sampah. Benarnya perkara ini dapat dilihat apabila orang ramai berkumpul di satu-satu tempat seperti di pertunjukkan di Taman Perdana umpamanya. Sampah yang dibuang menjadikan Taman Perdana sebagai taman sampah pada keesokan harinya. Tidak mungkin pembersihan dibuat oleh pekerja dengan serta merta. Pandangan di taman yang indah ini menjadi begitu buruk sekali. Sebaliknya jika tiap seorang daripada kita sedar akan kebersihan dan berasa bertanggungjawab, maka dengan tidak mengotorkan keadaan di sekeliling kita di mana-mana juga kita berada, maka masalah pekerja tidak menang untuk membersihkan kawasan di bawah jagaan mereka tidak akan timbul. Tentulah jelas bahawa kebersihan bukan hasil dari kerja menyapu-cuci tetapi lebih bergantung kepada tabiat masyarakat tidak suka membuat sampah. Sebenarnya yang diperlukan cuma sedikit sahaja, iaitu tidak membuang sampah melainkan di tempat-tempat yang disediakan. Tuan-tuan dan Puan-puan, 6. Kempen ini adalah kempen kesedaran. Kita keluar beramai-ramai untuk membersih kawasan kerana sekian lama kita telah mengotorkannya dan tidak mungkin pekerja biasa membersihkan dengan sempurna. Selepas kempen ini mereka boleh menjalankan tugas dengan lebih mudah. Tetapi sama ada mereka boleh menjaga kebersihan bergantung kepada kesedaran kita terhadap tanggungjawab kita selepas kempen ini. Jika kita sentiasa menjaga kebersihan maka kerja pembersihan bolehlah dibuat oleh pekerja dengan sempurna. Yang penting dalam kempen ini ialah kesedaran kita akan tanggungjawab kita sepanjang masa selepas kempen ini tamat. Jika tabiat menjaga kebersihan tersemai dalam hati kita kerana kempen ini, maka bolehlah kita katakan kempen ini berjaya. Jika selepas ini kita balik kepada tabiat lama maka sia-sia sahajalah kempen ini. 7. Kempen ini adalah bagi tempoh lebih kurang satu bulan dan meliputi seluruh negara, dan melibatkan semua peringkat Tempatan, bandar-bandar dan kampung, serta badan-badan swasta, badan-badan sukarela dan semua lapisan masyarakat negara ini. Sumbangan dan penyertaan sukarela oleh badan-badan swasta, badan-badan sukarela, kelab kebajikan dan orang-orang persendirian dalam menjayakan Kempen dan program kebersihan ini adalah amat bermakna sekali ke arah menjadikan kebersihan sebagai nilai dan cara hidup kita. Ini akan mencerminkan kesanggupan semua pihak untuk memikul sesuatu tanggungjawab bersama. Dengan cara ini, kita sama-sama dapat berusaha menjadikan kebersihan sebagai salah satu ciri identiti rakyat dan negara kita dan seterusnya mempastikan supaya satu persekitaran yang bersih diwujudkan di seluruh negara. Tuan-tuan dan puan-puan, 8. Kita sering bertanya apakah nilai Islam yang hendak diserapkan oleh Kerajaan. Saya ingin nyatakan di sini iaitu kebersihan adalah satu daripadanya. Sepertimana kita dikehendaki bersih dan tempat juga bersih apabila kita sujud kepada Tuhan, begitu jugalah dalam alam yang kita hidup ini keadaan mestilah bersih. Dengan ini maka satu lagi nilai Islam akan kita amalkan. 9. Kempen ini merupakan satu permulaan sahaja. Yang lebih penting ialah melalui Kempen ini semua pihak hendaklah menjadikan kebersihan diri dan sekitar sebagai tanggungjawab kita sepanjang masa. Pihak-pihak yang mempunyai kakitangan dan alat hendaklah mengatur sistem dan cara menjaga kebersihan kawasan masing-masing dengan kemas dan teratur sepanjang masa. Saya harap perkara ini sentiasa diberi perhatian supaya Kempen ini tidak menjadi satu perkara yang dipandang ringan oleh sesiapapun. 10. Saya berharap Kempen ini akan mencapai matlamat kita untuk memupuk kesedaran tentang nilai kebersihan dan keperluan mewujudkan satu "environment" yang bersih di seluruh negara dan menanam perasaan tanggungjawab awam yang baru di kalangan semua lapisan masyarakat. 11. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan Kempen Kebersihan Seluruh Negara dengan rasminya. Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |