home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA, 
			JALAN GURNEY, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	04/10/83 
Tajuk/Title  	: 	DI PERASMIAN MUZIUM SAINS ELEKTRIK 




Yang Berbahagia Tan Sri Ainuddin Wahid, Naib-Canselor Universiti Teknologi
Malaysia; Yang Berbahagia Dato' Toshihiko Yamashita, Presiden, Matsushita
Electric Industrial Co. Ltd, Jepun; Dif-Dif Kehormat, Tuan-tuan dan
puan-puan sekalian.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Universiti
Teknologi Malaysia kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap di
majlis ini, dan seterusnya untuk merasmikan Muzium Sains Elektrik,
Universiti Teknologi Malaysia pada hari ini.

2. Tertubuhnya Muzium Sains Elektrik ini memberi erti yang amat besar
kepada kita. Pertama, projek ini membuktikan kerjasama yang boleh
dilaksanakan di antara sektor awam dan sektor swasta. Dalam hal ini, saya
mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada
Syarikat Matsushita Electric Industrial, Jepun, khususnya kepada Tan Sri
Matsushita, walaupun tidak berada bersama kita hari ini, dan juga kepada
Dato Toshihiko Yamashita yang telah membuat sumbangan alat-alat elektronik
dan kelengkapan yang bernilai lebih sejuta ringgit bagi Muzium ini. Kedua,
dengan sebahagian daripada kerja-kerja untuk melaksanakan projek ini
dikendalikan sendiri oleh kakitangan Universiti ini, termasuk dari segi
reka bentuk dan kejuteraan, membuktikan keupayaan kakitangan universiti
menyelenggarakan projek di samping menjalankan tugas biasa. Ketiga, projek
ini merupakan satu asas bagi mengukuhkan lagi usaha-usaha kita di dalam
bidang pembangunan sains dan teknologi.

3. Muzium ini telah disyor, kerana di Malaysia, walaupun perkataan sains
dan teknologi sering didengar dan pembangunan negara diasaskan kepada
pengetahuan sains dan teknologi, tetapi umumnya kita masih merasa
ragu-ragu dan menganggap sains dan teknologi sebagai satu jenis misteri
yang tidak mungkin difaham dan dikuasai oleh kita. Orang ramai masih
berpendapat bahawa sains dan teknologi adalah bidang yang dikhaskan kepada
orang-orang yang berotak geliga sahaja, dan orang biasa tidak mungkin
faham sama sekali bidang-bidang ilmu ini.

4. Dengan berleluasanya pendapat seperti ini maka timbullah ketakutan
untuk memasuki bidang pelajaran atau pekerjaan yang melibatkan pengetahuan
sains dan teknologi. Tidak dapat tidak sikap dan pengertian ini akan
menjadikan kita mundur dan ketinggalan zaman, serta terpaksa bergantung
kepada orang lain dalam segala kerja yang memerlukan pengetahuan sains dan
teknologi. Sebab itu, sementara kita pantas membeli radio, televisyen dan
bermacam alat elektronik, tetapi apabila sahaja kerosakan berlaku maka
kita kurang yakin ada orang kita yang boleh memperbaikinya. Semakin
bertambahnya alat-alat yang diasaskan kepada sains dan teknologi, semakin
ketinggalanlah kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 

5. Muzium Sains Elektrik ini bertujuan menerangkan asas-asas sains
elektrik dengan cara yang mudah difaham walaupun oleh orang yang tidak
mempunyai pelajaran asas sains. Dengan kefahaman ini maka perasaan dan
pendapat bahawa ilmu ini bukanlah untuk kita dan anak kita akan dapat
dikurangkan. Bahkan mungkin minat kita untuk mempelajari atau memasuki
bidang sains elektrik dan lain-lain sains akan menjelma.

6. Sebenarnya ilmu sains bukanlah satu misteri tetapi satu bidang ilmu
yang diasaskan kepada lojik akal fikiran dan susunan alam yang teratur
yang dijadikan oleh Allah s.w.t. Kita tidak harus takut kepada apa yang
dijadikan oleh Tuhan kerana semuanya adalah untuk kebaikan kita, jika kita
mengetahui akan bentuk dan kegunaannya. Juga tiap sesuatu yang dijadikan
oleh Tuhan mempunyai susunan dan cara yang tertib yang boleh difaham oleh
kita jika kita tahu kuncinya. Kunci inilah yang akan kita kenali jika kita
menuntut ilmu sains seperti yang diseru oleh agama Islam.

7. Sebagaimana kita maklum, negara kita Malaysia mempunyai sumber kekayaan
yang banyak jika dibandingkan dengan kebanyakan negara membangun yang lain
bahkan dengan setengah-setengah negara yang maju. Potensi besar yang ada
pada kita terbukti dengan kejayaan yang kita capai dalam tempoh 26 tahun
kita merdeka. Kita telah mencapai kemajuan di dalam hampir semua
bidang. Namun demikian, bagi memenuhi harapan dan aspirasi kita yang
tinggi kepada kehidupan yang bahagia kita terpaksa menumpukan perhatian ke
arah peningkatan kemampuan kita di dalam bidang-bidang sains dan
teknologi. Tanpa kemampuan sains dan teknologi kita tidak mungkin
menggunakan segala potensi yang ada pada kita dengan berkesan. Ini amat
jelas sekali jika kita lihat pengalaman negara-negara yang maju. Negara
Jepun misalnya boleh dikatakan tidak mempunyai sumber kekayaan pun, tetapi
dengan menumpukan perhatian kepada bidang sains dan teknologi, ia telah
dapat bersaing dengan negara-negara yang dahulunya begitu maju dengan
berjaya sekali. Bagi menjamin ia sentiasa di hadapan, sekarang kita lihat
negara Jepun telah menyediakan satu strategi untuk menduduki tempat yang
pertama di dalam sains komunikasi secara integrated. Ini pun harus menjadi
pengajaran kepada kita di mana kita harus sentiasa memikirkan pelaburan
jangka panjang di dalam bidang sains dan teknologi.

8. Walaupun kelengkapan di Muzium ini merupakan kelengkapan yang diimport
dan direka di Jepun, ini harus dianggap sebagai permulaan sahaja. Yang
lebih penting ialah akhirnya kita sendiri harus mencipta dan mengeluarkan
alat-alat dan kelengkapan kita sendiri bagi mengisi Muzium ini.

9. Akhir-akhir ini pakar-pakar tempatan telah menunjukkan minat di dalam
penyelidikan dan merekabentuk serta menghasilkan ciptaan-ciptaan
tertentu. Bukan sahaja pakar-pakar kita telah membuat kemajuan di dalam
teknologi getah dan kelapa sawit, malahan berhubung dengan kuasa solar dan
bio-gas, dan kakitangan Universiti Teknologi sendiri telah berjaya
menerokai bidang "software" komputer yang dapat menggunakan tulisan
jawi. Bagi saya usaha-usaha ini adalah amat membanggakan sekali. Saya
harap semua pihak akan menyokong dan memberi kerjasama untuk melahirkan
satu masyarakat pencipta tempatan kita sendiri.

10. Kepada pakar-pakar tempatan saya harap mereka tidak bersikap
bergantung kepada sesiapa untuk membuktikan kebolehan mereka. Di
negara-negara maju "inventors" atau pencipta biasanya mengeluarkan
perbelanjaan sendiri untuk menghasilkan sesuatu ciptaan atau
"invention". Ada kalanya perbelanjaan yang perlu amat besar
sekali. Seseorang pencipta didorong oleh daya ciptanya dan tidak
menghiraukan penat lelah serta soal pembiayaan. Namun demikian, saya
yakin, demi kejayaan yang lebih lagi bagi "inventors" kita, pihak-pihak
yang berkemampuan, khususnya syarikat-syarikat swasta haruslah membantu
kumpulan-kumpulan yang berminat untuk memajukan bidang sains dan teknologi
di negara kita, dan jika boleh kita hendaklah sama-sama menjamin bahawa
"invention" yang dilahirkan oleh pakar-pakar tempatan kita akan mencapai
tahap untuk mendapat hak cipta dan pasaran di peringkat
antarabangsa. Adalah menjadi harapan negara bahawa pakar-pakar dan
peminat-peminat berbagai jurusan sains dan teknologi akan meneroka alam
"invention" dan memulakan satu tradisi baru bagi negara kita sebagai
negara yang mempunyai daya cipta di dalam semua lapangan, lebih-lebih lagi
di dalam lapangan penggunaan sumber alam kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 

11. Muzium ini terhad kepada satu lapangan sains dan teknologi, iaitu
sains dan teknologi elektrik dan komunikasi. Banyak lagi bidang yang tidak
diliputi oleh Muzium ini. Bidang-bidang ini tentulah menarik minat
institusi-institusi lain yang mempunyai kepakaran di dalam bidang-bidang
berkenaan. Adalah menjadi harapan saya bahawa universiti-universiti
tempatan yang lain akan mengambil usaha yang wajar untuk mengadakan
muzium-muzium yang serupa bagi bidang-bidang tertentu untuk melengkapkan
usaha-usaha meningkatkan minat masyarakat kita di dalam semua aspek sains
dan teknologi. Di antara bidang-bidang yang perlu ditonjolkan termasuklah
bidang-bidang sains dan teknologi perubatan, pertanian, komputer,
astronomi dan lain-lain.

12. Minat terhadap sains dan teknologi perlu dipupuk di kalangan
kanak-kanak sekolah. Di samping menggalakkan penubuhan kelab-kelab sains
di sekolah-sekolah, usaha-usaha juga hendaklah dipertingkatkan untuk
mengadakan kelab-kelab komputer supaya kanak-kanak di sekolah akan
didedahkan kepada perkembangan-perkembangan moden dengan seberapa
segera. Dengan cara ini kita dapat mewujudkan persekitaran sains dan
teknologi dalam satu generasi, dan dengan cara ini juga usaha-usaha
pembangunan yang dijalankan akan mendapat sokongan tenaga manusia yang
mempunyai orientasi sains dan teknologi yang sesuai dengan kehendak kita.

13. Di sini sukalah saya mengesyorkan supaya kerjasama yang erat dapat
dijalin antara pihak swasta dengan sistem pelajaran negara. Kelab-kelab
sains, komputer dan lain-lain di sekolah-sekolah bukan sahaja boleh
dibantu oleh syarikat-syarikat swasta, malahan pakar-pakar di
institusi-institusi pengajian tinggi dan tokoh-tokoh swasta boleh menjadi
penaung dan menjadi penasihat bagi menggalakkan lagi minat kanak-kanak di
dalam kegiatan-kegiatan berkenaan. Saya yakin, kerjasama seperti ini akan
memberi faedah kepada semua pihak.

14. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada Syarikat Matsushita Electric Industrial Co. Ltd, Jepun dan kepada
Tan Sri Matsushita kerana mendermakan alat-alat dan kemudahan-kemudahan
yang dipamerkan di Muzium ini. Saya berharap Muzium ini akan memberi
manfaat bukan sahaja kepada pelawat-pelawat, khususnya kanak-kanak sekolah
dan pelawat-pelawat dari luar Kuala Lumpur, bahkan bagi Universiti ini di
dalam memajukan pengajian dan penyelidikan sains dan teknologi.

15. Dengan ini saya dengan sukacitanya membuka Muzium Sains Elektrik ini
dengan rasminya.

Terima kasih.

 



 


 











 
Google