home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA Tarikh/Date : 06/10/83 Tajuk/Title : SEMPENA AWAL MUHARAM 1404 Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat kita bersama-sama sekali lagi menyambut tahun baru Hijrah. Bersempena dengan ketibaan tahun baru Hijrah 1404 saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua rakyat, khususnya muslimin muslimat sekalian. 2. Awal Muharam yang menandakan awal tahun Hijrah mempunyai erti yang amat besar bagi umat Islam. Hijrah Rasulullah s.a.w. dari Kota Mekah ke Madinah bukanlah satu tindakan seorang yang ingin menyelamatkan diri tetapi sebaliknya sebagai tindakan untuk menyusun strategi bagi menjamin keselamatan dan kemenangan Islam dalam jangka panjang. Dengan itu peristiwa Hijrah adalah satu peristiwa yang harus membawa banyak pengajaran kepada umat Islam dalam menghadapi berbagai cabaran hidup di dunia. 3. Kalau diteliti, keseluruhan perjuangan Rasulullah s.a.w. merupakan satu gabungan tindakan yang berasaskan kepada prinsip-prinsip Islam yang tulen iaitu sentiasa berikhtiar, sabar dan tidak putus asa, dan sentiasa berserah kepada Allah Subhanahu Wataala. Hijrah Rasulullah s.a.w. adalah dengan tujuan untuk mempertahankan agama Allah serta nilai-nilai murni Islam, bukan kerana takut ataupun kerana angkuh. Hijrah Rasulullah s.a.w. menandakan titik perubahan dan perkembangan tulen umat manusia. Dengan hijrah inilah lahir satu sistem hidup bermasyarakat yang sempurna, yang mengubah kekuatan umat Islam daripada satu umat yang lemah kepada satu umat yang kuat dan berkemampuan, menjadikan umat Islam yang tidak mempunyai sebarang identiti berjaya membangun sebuah masyarakat dengan sistem pemerintahan yang tersendiri yang menjamin keselamatan umat Islam serta bukan Islam. 4. Bagi kita di Malaysia peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w. memberi pengajaran yang banyak. Salah satu daripada pengajaran yang amat berguna kepada kita sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama ialah bagaimana Rasulullah s.a.w. dapat menyusun satu masyarakat Madinah yang terdiri daripada berbagai kaum dan kepercayaan menjadi satu masyarakat yang bersefahaman, bersatu dan hormat menghormati. Rasulullah s.a.w. telah membukti dan mempraktikkan Islam sebagai satu sistem hidup bermasyarakat yang berasaskan persaudaraan dan keadilan sosial. Bukan sahaja umat Islam yang menerima sistem hidup ini malahan mereka yang bukan Islam juga turut patuh kepada nilai-nilai Islam yang pada hakikatnya adalah nilai-nilai mulia yang universal. 5. Kejayaan yang dicapai oleh Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa Hijrah ini ada hubungannya dengan perjanjian damai Hudaibiah iaitu dengan Arab Quraisy Mekah, di mana di peringkat awal terdapat bantahan-bantahan yang disuarakan oleh para sahabat, seolah-olah tidak percaya kepada pucuk pimpinan. Cara halus dan sikap tolak ansur Rasulullah s.a.w. berjaya menghasilkan keputusan yang cemerlang yang pada akhirnya menghilangkan rasa tidak puas hati di kalangan para sahabat. Penerimaan Rasulullah s.a.w. terhadap perjanjian tersebut adalah satu langkah jangka panjang yang bijak, yang penuh perhitungan serta dengan sifat kesabaran. Kita perhatikan bahawa semua ini menjadi panduan bagi kaum Muslimin mengamalkan sikap terbuka dan sabar dalam menghadapi apa-apa jua keadaan dan cabaran. 6. Daripada kepimpinan Rasulullah s.a.w. yang diteladani oleh para sahabat dan umat Islam ketika itu, satu peradaban yang tinggi telah dapat dilahirkan dalam satu tempoh yang pendek sahaja. Selepas kepimpinan Rasulullah s.a.w. dan khalifah-khalifah yang awal, telah muncul berbagai pentafsir yang menjadikan agama Islam begitu kompleks dan mengelirukan. Jika pada hari ini umat Islam hidup merana, berpecah dan bersengketa sesama sendiri, sebabnya bukanlah kerana agama Islam tetapi kerana bermacam tafsiran yang dibuat oleh berbagai orang yang berkepentingan. Sekiranya umat Islam ingin mencapai kejayaan yang didapati di zaman Rasulullah s.a.w., yang diperlukan ialah amalan sifat, taktik, strategi dan diplomasi yang ditunjuk oleh Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabatnya. 7. Bagi kita di Malaysia, usaha bagi mencapai kejayaan adalah di tangan kita -- umat Islam dan rakyat yang berpegang kepada prinsip kesejahteraan, kemakmuran dan hidup berharmoni. Usaha-usaha Kerajaan adalah untuk menjamin amalan nilai-nilai murni Islam di kalangan umat Islam dan amalan nilai-nilai universal yang baik di kalangan bukan Islam supaya wujud satu bangsa dan umat manusia yang bertamadun tinggi. Usaha-usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Islam, tetapi juga kepada masyarakat bukan Islam. Dengan itu masyarakat bukan Islam tidak seharusnya menaruh prasangka terhadap usaha-usaha ini. Kepada masyarakat Islam sendiri, nilai-nilai Islam hendaklah benar-benar diikuti dan diamalkan, kerana ianya merupakan perkara wajib dan menjadi contoh kepada seluruh anggota masyarakat di negara ini. Umat Islam tidak akan dihormati dan dijadikan contoh selagi umat Islam sendiri tidak sanggup menunjukkan kewibawaan agama Allah, dengan jujur dan ikhlas. 8. Keagungan Islam dengan nilai-nilai murni dalam ajarannya, tidak hanya terbatas kepada keperluan akhirat sahaja tetapi merangkumi kehidupan duniawi. Di dalam Al-Quran surah Al-Qasas ayat 77, Allah Subhanahu Wataala berfirman yang bermaksud: "Dan tuntutlah bersungguh-sungguh melalui segala kurniaan Allah kepada mu itu keselamatan di akhirat, tetapi janganlah engkau lupa habuanmu di dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak suka kepada yang berbuat kerosakan". 9. Maksud firman ini adalah jelas tentang tuntutan supaya kita memberi keutamaan kepada kehidupan dunia bersama-sama dengan kehidupan di akhirat. Sesungguhnya segala bentuk kehidupan di dunia yang berlandaskan kepada kebaikan mempunyai hubungan dan menjamin ganjaran di akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w., "Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala suka sesiapa daripada kamu yang menjalankan kerja dengan baik". Maksud kerja yang baik adalah tepat dengan kedudukan manusia sebagai khalifah Allah di dunia. 10. Islam melarang sama sekali umatnya berpeluk tubuh dan hanya berdoa mengharapkan rezeki datang menggolek tanpa berusaha. Pernah pada satu ketika sekumpulan orang menemui Rasulullah s.a.w. seraya berkata: "Sesungguhnya Si Anu berpuasa sepanjang hari dan beribadat sepanjang malam, serta memperbanyakkan ingatan kepada Allah". Maka sabda Rasulullah s.a.w.: "Siapakah di antara kamu yang menanggung makan minumnya?" Jawab mereka: "Kita semua". Sabda Rasulullah s.a.w.: "Kamu semua adalah lebih baik daripadanya". 12. Dengan itu kita menggalakkan rakyat negara ini bekerja bersungguh-sungguh bagi menjayakan pembangunan negara yang bersesuaian dengan nilai-nilai murni ajaran Islam. Oleh itu, bersempena dengan tibanya tahun baru Hijrah 1404 ini, sewajarnyalah kita mengubah sikap dan memperbaharui azam dengan semangat maju ke hadapan untuk menepati hikmat Hijrah Rasulullah s.a.w. Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |