home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL REGENT, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 06/10/83 Tajuk/Title : DI MAJLIS MAKAN MALAM ULANG TAHUN KE-10 KOMPLEK KEWANGAN MALAYSIA BERHAD Yang Berhormat Encik Ghaffar Baba, Pengerusi Komplek Kewangan Malaysia Berhad; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Komplek Kewangan Malaysia Berhad khususnya kepada Encik Ghaffar Baba sebagai Pengerusinya yang telah menjemput saya untuk bersama-sama meraikan Majlis Ulang Tahun ke-10 Komplek Kewangan. 2. Saya berasa bangga dengan kejayaan Komplek Kewangan dalam tempoh 10 tahun ia ditubuhkan. Dengan modal permulaan sebanyak 30 juta ringgit Komplek Kewangan telah mencatitkan harta terkumpulnya sebanyak 1.3 ribu juta ringgit dengan keuntungan sebanyak 56.4 juta ringgit bagi tahun 1982. 3. Komplek Kewangan Malaysia Berhad merupakan salah satu institusi yang ditubuhkan untuk menjayakan pencapaian matlamat Dasar Ekonomi Baru bagi menambah penyertaan bumiputera dalam ekonomi termasuk bidang kewangan dan sekuriti. 4. Bidang kewangan dan sekuriti memanglah satu bidang baru bagi kaum bumiputera. Alhamdulillah melalui institusi-institusi yang diwujudkan oleh Kerajaan penyertaan dan kepakaran bumiputera di dalam bidang ini telah meningkat. Keadaan ini seharusnyalah membawa keinsafan kepada kita bahawa tidak ada suatu bidang pun yang tidak mungkin dikuasai oleh bumiputera jika terdapat galakan dan jika di pihak kaum bumiputera pula terdapat keinginan dan kesanggupan untuk berjaya. 5. Masyarakat bumiputera haruslah sedar dan menggunakan peluang-peluang yang ada dengan sepenuhnya. Sebagai golongan yang baru menerokai bidang kewangan dan sekuriti, kita tidak harus berpuas hati dengan kejayaan-kejayaan yang dicapai setakat ini. Kejayaan sekarang hendaklah dianggap sebagai kejayaan permulaan yang semestinya menjadi asas kepada kejayaan yang lebih besar di mana kita dapat bersaing dengan kumpulan-kumpulan lain pada tahap yang sama dan dengan kemampuan yang sama setidak-tidaknya. 6. Sebagai golongan yang mula-mula menceburkan diri di bidang kewangan dan sekuriti, kakitangan Komplek Kewangan mestilah menunjukkan sikap yang baik yang boleh diteladani oleh bumiputera yang ingin menceburi lapangan ini. Tunjukkanlah sikap dedikasi terhadap tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan dan kerjakanlah tugas tersebut dengan amanah dan ikhlas kerana hanya dengan sikap dan disiplin "bekerja kuat" sahajalah kita akan memperolehi kejayaan. Dengan ini kita akan dapat membina keyakinan masyarakat bumiputera untuk turut bergiat di lapangan ini. Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 7. Jika diperhatikan secara umumnya prestasi syarikat-syarikat bumiputera, agensi-agensi perniagaan Kerajaan dan badan-badan berkanun adalah menggalakkan. Namun dalam pada itu masih terdapat juga beberapa golongan yang terlalu bergantung kepada bantuan Kerajaan. Ada yang terlalu boros dan terlalu berani mengadakan sesuatu projek kerana mereka menganggap Kerajaan sebagai penjamin. Sikap ini haruslah kita tukar kepada sikap berdikari kerana inilah yang akan menjadikan kita sebagai golongan yang berjaya. Kejayaan sesuatu golongan itu merupakan kejayaan kita bersama dari segi perjuangan untuk meninggikan lagi pencapaian kita di bidang-bidang perniagaan dan pelaburan. 8. Kita seharusnya bekerjasama di antara satu sama lain, dengan tujuan meninggikan lagi prestasi masyarakat bumiputera di dalam semua bidang perniagaan. Di samping itu kita juga perlu bersedia untuk terus menyesuaikan diri di dalam arus perubahan yang begitu pesat di bidang-bidang perniagaan. Ini adalah sesuatu yang harus jika kita ingin maju dan berjaya. 9. Dunia perniagaan moden amat bergantung kepada sistem dan cara serta peralatan yang baru yang dapat membantu meningkatkan daya pengeluaran. Namun demikian cara-cara dan alat-alat ini amat memerlukan tenaga yang berdisiplin dan berkemahiran. Soalnya sekarang ialah untuk membolehkan tenaga bumiputera menguasai perubahan-perubahan yang pesat berlaku ini kerana tanpa penyesuaian dengan keperluan dunia perniagaan moden, kaum bumiputera tidak mungkin dapat menyaingi kumpulan-kumpulan lain, apatah lagi untuk bertanding di peringkat antarabangsa. Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. 10. Dengan adanya berbagai-bagai agensi-agensi perniagaan Kerajaan, badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat swasta, maka terdapat banyak peluang-peluang untuk bumiputera bergiat cergas, sama ada dari segi menjalankan perniagaan persendirian ataupun menyertai syarikat-syarikat perniagaan ini sebagai tenaga pekerja. Malangnya terdapat juga golongan-golongan yang menyalahgunakan peluang-peluang ini untuk kepentingan diri semata-mata. Mereka ini adalah orang-orang yang sentiasa berusaha, tetapi bukannya berusaha untuk membuat sumbangan terhadap kejayaan syarikat, sebaliknya berusaha mengejar kepentingan diri sendiri seperti gaji yang lebih besar dan jawatan yang lebih tinggi. Orang-orang seperti ini bukan sahaja merugikan sesuatu syarikat itu tetapi menjatuhkan maruah bumiputera kerana terdapat di kalangan mereka ini orang yang tidak berkalibar. 11. Di samping itu terdapat juga syarikat-syarikat swasta yang menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan penyertaan bumiputera semata-mata untuk muslihat menunjukkan minat mereka untuk menyokong dasar Kerajaan tetapi sebenarnya tidak berusaha meningkatkan kemampuan bumiputera yang bekerja dengan mereka. Sikap seperti ini hanya akan melambatkan pencapaian matlamat Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk memperseimbangkan kedudukan ekonomi masyarakat berbilang kaum di negara kita. 12. Beberapa hari yang lepas Kerajaan telah melancarkan Kempen Kebersihan bagi seluruh negara. Kempen ini merupakan salah satu usaha untuk menanamkan sikap disiplin dan tanggungjawab ke arah kebaikan masyarakat. Sektor swasta boleh memainkan peranan yang penting bagi menjayakan Kempen ini. Sepertimana kita maklum kawasan-kawasan bandar merupakan kawasan yang menempatkan berbagai kegiatan sektor swasta, dan tentulah kebersihan bandar amat bergantung kepada penglibatan sektor swasta sendiri. Adalah menjadi harapan saya bahawa semua lapisan sektor swasta akan menjadikan kebersihan sebagai salah satu ciri kejayaan mereka. 13. Akhir sekali saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan Komplek Kewangan. Dan saya harap sambutan Ulang Tahun Ke-10 ini akan menjadi asas bagi Komplek Kewangan mempertingkatkan lagi kemampuannya untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. Sekian, terima kasih. |