Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : IBU PEJABAT FELDA, JALAN
PERUMAHAN GURNEY
Tarikh/Date : 08/10/83
Tajuk/Title : DI UPACARA PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN
IBU PEJABAT FELDA
Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Dato' Rais Yatim, Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan
Wilayah, dan Yang Berbahagia Datin Masnah; Yang Berbahagia Tan Sri Raja
Alias, Pengerusi Lembaga Pengarah FELDA; Dif-Dif Kehormat, Tuan-tuan dan
puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Rais Yatim
Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah dan Lembaga Pengarah FELDA
kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan
bangunan Ibu Pejabat FELDA ini.
2. Tidak dapat dinafikan bahawa FELDA, selama 27 tahun penubuhannya, telah
membuktikan kemampuannya sebagai sebuah agensi Kerajaan yang mempunyai
pengurusan yang bermutu. Di sini saya mengambil peluang untuk mengucapkan
setinggi-tinggi terima kasih kepada setiap anggota FELDA yang telah
menjamin prestasi FELDA sebagai sebuah agensi yang berjaya. Dan kepada
para peneroka sekalian, sukalah saya mengambil kesempatan ini untuk
menyampaikan penghargaan Kerajaan di atas kerjasama mereka di dalam
berbagai peringkat pembangunan tanah yang dilaksanakan.
3. Di sini ingin saya tegaskan betapa pentingnya amanah dalam
pengurusan. Sama ada badan yang diurus ialah badan berkanun, atau syarikat
Kerajaan atau syarikat-syarikat swasta, tidak ada suatu sifat yang lebih
penting daripada amanah. Tanpa amanah maka akan berlakulah bermacam-macam
penyelewengan. Mungkin mereka yang tidak beramanah ini berpendapat bahawa
penyelewengan mereka tidak akan dikesan.
Saya ingin tegaskan di sini kepada orang-orang yang tidak takut kepada
Tuhan ini, bahawa lambat laun kesalahan mereka akan didedah. Pada ketika
itu agak terlalu lewat untuk mendapat perlindungan daripada orang-orang
tertentu yang mungkin rapat dengan mereka. Kerajaan tidak akan
teragak-agak untuk mengambil tindakan, sama ada melalui pentadbiran
ataupun undang-undang.
4. Mereka yang tidak beramanah ini bukan sahaja merosakkan badan yang
diserah kepada mereka untuk mengurus tetapi membawa nama buruk kepada kaum
dan golongan mereka.
Masyarakat akan menganggap kumpulan mereka memang tidak boleh
dipercayai. Dengan ini maka orang lain yang tidak berdosa juga akan
merasai bahang dan kesan penyelewengan mereka. Tidaklah keterlaluan jika
saya katakan mereka ini mengkhianati bangsa dan negara kita. Bahasa yang
saya gunakan ini mungkin dianggap keterlaluan. Tetapi mereka ini amat
mengecewakan kita.
5. Sebenarnya bagi orang yang beramanah, pengurusan adalah tugas yang amat
mudah. Yang diperlukan ialah kerajinan, kerana ilmu pengurusan boleh
diserap dengan mudah di zaman ini. Juga kerajinan memikul segala tugas
yang dipertanggungjawabkan akan menentukan tidak ada pembahagiaan dan
kehilangan yang boleh merugikan. Sebaliknya jika pengurus menganggap
tugasnya tamat pada jam empat petang dan tidak bermula sehingga 8 pagi
besok, maka sudah tentu penyeliaan yang berkesan tidak akan tercapai.
6. Nyatalah di sini bahawa cuma dua perkara yang penting pertama amanah
dan kedua kerajinan. Mereka yang tidak memiliki dua sifat ini atau tidak
berminat terhadapnya lebih baik tidak memasuki bidang pengurusan. Jika
mereka cuba, pada satu hari mereka akan menghadapi balasan kerana mereka
tetap akan gagal.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
7. Negara kita merupakan satu-satunya negara yang melaksanakan program
penempatan semula masyarakat di rancangan-rancangan pembangunan
pertanian. Sesungguhnya para peneroka FELDA merupakan golongan yang amat
bertuah.
Mereka ini bertuah kerana bilangan mereka yang berminat untuk mendapat
tanah adalah berkali ganda lebih tinggi daripada kawasan tanah yang boleh
diusahakan. Peneroka FELDA telah dibekalkan dengan tanah yang luas
berserta dengan rumah dan kawasan untuk bercucuk tanam. Walaupun kos untuk
membuka sesuatu rancangan FELDA boleh dikatakan tinggi, namun demikian
Kerajaan telah membuktikan hasratnya untuk membela nasib anggota
masyarakat yang tidak mempunyai tanah. FELDA bukan sahaja berjaya malahan
FELDA telah diberi sanjungan tinggi oleh agensi-agensi antarabangsa.
8. Sebagaimana kita maklum, FELDA telah ditubuhkan untuk membela golongan
masyarakat yang tidak mempunyai tanah.
Hari ini kita bukan sahaja dapat berbangga dengan kemajuan FELDA untuk
memenuhi objektif-objektif pembangunan tanah tetapi juga dari segi
sumbangannya terhadap pertumbuhan ekonomi negara. FELDA merupakan salah
satu agensi terbesar yang menyumbangkan kepada eksport negara dan
pertukaran asing. FELDA juga telah memasuki bidang-bidang lain yang ada
kaitan dengan hasil ladang-ladang getah, kelapa sawit dan lain-lain
tanaman yang diusahakan olehnya.
9. Walaupun FELDA berjaya tetapi satu perkara yang mendukacitakan ialah
bahawa dengan perkhidmatan yang diberikan oleh FELDA telah wujud
segolongan peneroka yang asyek menyemaikan sikap bergantung kepada FELDA
dan menyalahkan FELDA dan Kerajaan atas apa jua kelemahan diri
mereka. Mereka harus sedar bahawa Kerajaan telah membelanjakan wang yang
begitu besar bagi penempatan mereka, dan peraturan untuk membolehkan
Kerajaan mendapat semula pulangan kepada pelaburan ini haruslah dianggap
sebagai satu yang termesti dan wajar. Gejala menganggap Kerajaan sebagai
"badan kebajikan" di mana semua perkhidmatan dianggap percuma dan pinjaman
tidak perlu dibayar balik akan merosakkan pemikiran rakyat dan melemahkan
Kerajaan yang akhirnya akan merugikan pihak-pihak yang menerima
perkhidmatan dan bantuan Kerajaan itu sendiri. Mereka yang menerima
bantuan harus sedar bahawa masih ramai orang lain yang memerlukan
bantuan. Mereka tidak harus menganggap mereka sahaja yang harus dibantu
oleh Kerajaan.
10. Ada golongan peneroka yang begitu manja dan bersikap sebagai puteri
lilin. Mereka mahu menjadi pengurus dan bukan pekerja di tanah
mereka. Mereka lebih suka mengupah orang lain untuk membuat kerja-kerja
yang sepatutnya dilakukan oleh mereka sendiri. Sebenarnya masyarakat
Melayu telah kehilangan semangat meneroka yang dipunyai oleh datuk nenek
kita. Kita harus insaf bahawa beratus-ratus tahun dahulu datuk nenek kita
telah menjelajah di kawasan pedalaman ketika itu dengan hanya alat-alat
seperti kapak, parang dan cangkul sahaja. Merekalah yang meninggalkan
kepada kita pokok-pokok durian, pokok-pokok kelapa dan memungut hasilnya
sahaja.
11. Dahulu, tidak ada agensi untuk membantu datuk nenek kita meneroka di
kawasan pedalaman. Yang membantu mereka ialah iman dan semangat
meneroka. Mereka tahu bahawa dengan bekerja kuat sahajalah mereka dapat
memenuhi keperluan hidup dan mendapat keredaan Allah Subhanahu
Wataala. Tetapi, hari ini, berbagai agensi telah diwujudkan untuk membantu
berbagai golongan supaya mereka dapat memperbaiki taraf hidup
mereka. Sepatutnya rakyat amat bersyukur kerana keadaan telah berubah dan
kita sekarang tidak perlu menempoh kesulitan sebagaimana yang dialami oleh
datuk nenek kita dahulu. Kalau kita masih mengekalkan sikap mahu
bersenang-senang dan tidak mengamalkan pepatah Melayu "Berakit-rakit ke
hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang
kemudian," masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya akan menjadi
satu bangsa yang lemah yang hilang kehormatan diri.
12. Dunia moden ialah dunia perlumbaan. Yang malas akan ketinggalan, cuma
yang sanggup berusaha akan berjaya.
Seseorang yang enggan berusaha akan tertinggal jauh di belakang. Begitu
juga, sesebuah negara yang rakyatnya tidak dapat menerima hakikat bahawa
mereka harus bekerja kuat untuk berjaya, negara itu sendiri akan
ketinggalan dalam persaingan dengan negara-negara lain.
13. Kita adalah sebuah negara membangun. Oleh sebab dalam banyak perkara
kita bergantung kepada negara-negara lain, nasib kita tidak dapat menjadi
lebih baik jika kita tidak berusaha untuk mengubah nasib kita ini. Dengan
dasar untuk meningkatkan perindustrian dan mempelbagaikan sektor pertanian
kita telah beransur-ansur dapat mengurangkan kesan-kesan akibat
pergantungan kita kepada negara-negara lain yang mengimport dua atau tiga
hasil pertanian utama kita. Walaupun kita menjadi pengeluar utama getah,
bijih timah, balak dan minyak sawit, dan akhir-akhir ini petroleum telah
mencapai taraf yang penting dari segi hasil negara, kedudukan ini dengan
sendirinya tidak dapat menjamin kemakmuran dan masa depan kita. Sekali
harga jatuh, atau permintaan berkurangan, kita mengalami beban kesusahan
bukan sahaja bagi Kerajaan tetapi bagi rakyat keseluruhannya.
Keadaan ini menjadikan kita, lebih-lebih lagi rakyat yang bergantung
kepada berbagai jenis bantuan, amat terikat dengan keadaan dan suasana
ekonomi dunia.
14. Keadaan kemelesetan beberapa tahun kebelakangan ini telah menimbulkan
kesan yang amat buruk khususnya kepada negara membangun. Alhamdulillah,
kesannya terhadap kita tidak sebegitu teruk jika dibandingkan dengan
kebanyakan negara lain. Tetapi pengalaman ini harus menjadi satu
pengajaran yang berkesan kepada kita bahawa kita mesti meningkatkan daya
pengeluaran kita dan memperkukuhkan ketahanan kita di dalam semua
bidang. Kerajaan, dengan sendirinya, tanpa kesedaran dan kesanggupan
rakyat tidak dapat berbuat apa-apa, walaupun dengan dasar-dasar yang
terbaik sekali. Itulah sebabnya akhir-akhir ini Kerajaan telah membuat
beberapa perubahan kepada dasar-dasar yang wujud bagi membolehkan satu
gerakan yang berpadu dilaksanakan untuk mempertingkatkan daya pengeluaran
seluruh negara. Bukan sahaja kita perlukan setiap orang bekerja kuat,
berdisiplin dan dedikasi malahan kita juga hendaklah menyemai dan
mengamalkan nilai-nilai yang mulia supaya kita dapat menjadi satu bangsa
yang bahagia, makmur dan bermaruah.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
15. Masyarakat luar bandar adalah sebahagian daripada anggota masyarakat
Malaysia yang penting yang dapat membantu menggerakkan nadi bangsa ke arah
kemajuan. Tempoh masa 20 tahun yang akan datang ini mempunyai banyak
cabaran. Kalau kita inginkan kejayaan kita mestilah berani dan tabah hati
menghadapi dan mengatasi cabaran-cabaran ini. Kalau tidak, kita akan
ketinggalan dan kita akan dikuasai atau dijajah secara tidak langsung oleh
negara-negara lain.
16. Terdirinya Ibu Pejabat FELDA yang baru ini harus menjadi titik
permulaan kepada tekad dan kegigihan yang tinggi bukan sahaja kepada
anggota organisasi FELDA tetapi juga kepada para peneroka dan masyarakat
desa amnya. Adalah menjadi harapan Kerajaan bahawa kita semua dapat
menunaikan tanggungjawab kita untuk memenuhi hasrat mewujudkan Malaysia
yang makmur dan bahagia. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya
merasmikan pembukaan Ibu Pejabat FELDA yang baru ini.
Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|