Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MENARA PROMET, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	15/10/83 
Tajuk/Title 	: 	DI PEMBUKAAN MENARA PROMET 




Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah
PROMET; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Pada hari ini saya turut bersama-sama bersyukur dan berbangga di atas
kejayaan PROMET membina sebuah bangunan yang besar dan indah ini. Menara
PROMET menambahkan satu lagi bangunan raksaksa di 'Golden Triangle' ibu
kota kita.

2. Dengan bertambahnya bangunan-bangunan besar di sekitar Wilayah
Persekutuan dan dengan pembangunan yang pesat yang berlaku dan sedang
berlaku di dalam semua bidang, ibu kota Kuala Lumpur akan menjadi satu
pusat berbagai aktiviti yang termoden dan terpenting menjelang tahun
90an. Tempo pembangunan yang pesat ini menjadi cabaran kepada semua pihak
untuk memelihara ibu kota dan persekitarannya bukan sahaja dari segi
keselesaan dan kemudahan bahkan juga dari segi kecantikan dan
kebersihannya.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

3. Satu perkara yang menarik berkenaan dengan pembinaan Menara Promet ini
ialah ianya didirikan dalam satu jangka masa yang amat singkat. Begitu
juga PROMET telah berjaya membina Terminal Kedua di Subang dalam tempoh
masa 4 bulan sahaja, iaitu kurang separuh daripada 9 bulan yang
dianggarkan. Keupayaan membina dengan cepat tetapi efisien dan kemas
adalah penting dalam keadaan di mana inflasi sudah menjadi perkara
biasa. Terdapat terlalu banyak pembinaan yang mengambil masa yang lebih
panjang daripada yang dirancang dan akibatnya bukan sahaja 'cost overun'
yang banyak tetapi pendapatan dari projek tergendala. Banyak rancangan
Kerajaan yang mengalami masalah ini sehingga kadang-kadang perbelanjaan
ialah berganda atau lebih lagi.

4. Memandang kepada masalah inilah yang Kerajaan baru-baru ini telah
memilih cara 'Turn-Key' dengan 'fixed-cost' dalam pemberian kontrak. Cara
ini menentukan bahawa 'cost overun' tidak berlaku dan jangka masa
pembinaan tidak melebihi jadual. Tetapi malangnya cara ini cuma boleh
diberi kepada syarikat-syarikat yang betul-betul berkemampuan. Ini
bermakna banyak daripada syarikat kecil dalam negeri tidak mendapat
peluang selain daripada menjadi 'subcontractor' atau rakan perkongsian
mengikut syarat pemberian kontrak yang dibuat oleh Kerajaan.

5. Harapan Kerajaan ialah supaya syarikat pembinaan di Malaysia akan
membesarkan diri sama ada melalui 'merger' atau 'joint venture' supaya
mereka juga mampu dan boleh ditimbangkan sebagai calon projek 'turn-key'
secara besar-besaran. Zaman syarikat kepunyaan keluarga atau orang
perseorangan dalam industri pembinaan sudah berakhir. Projek-projek yang
ada sekarang memerlukan keupayaan kewangan, kejuruteraan, reka-bentuk,
teknologi moden, kemampuan pengurusan yang tinggi supaya dapat dipercayai
untuk menyelenggarakan projek yang bernilai beratus juta secara
'turn-key'. Kita tidak boleh pikul projek yang terbengkalai seperti yang
berlaku kepada banyak projek sekolah di beberapa negeri.

6. Hari ini masih banyak daripada projek 'turn-key' yang dimenangi oleh
syarikat asing. Saya berharap syarikat tempatan akan menyusun diri mereka
supaya layak dan berjaya mengurus projek 'turn-key'. Syarikat-syarikat
bumiputera tidak perlu seratus peratus bumiputera. Dalam tempoh penerokaan
ini mereka harus sanggup bekerjasama dengan syarikat-syarikat lain baik
dari dalam negeri atau dari luar. Yang penting sekali ialah mereka
mempelajari bersungguh-sungguh cara-cara mengurus daripada rakan mereka
dan daripada 'joint-venture' mereka.

7. Kerajaan sedar terhadap kesan pemberian kontrak kepada kontraktor luar
negeri. Selain daripada kerugian yang dialami oleh kontraktor dalam
negeri, negara juga kehilangan 'foreign exchange'. Tetapi perusahaan
pembinaan adalah di antara perusahaan yang paling aktif dan
meningkat. Hari ini perusahaan pembinaan telah memenuhi 4.7% dari
GNP. Kemungkinan ialah ia akan meningkat kepada 5.2% dalam tahun
1990. Dari segi peluang kerja pula ia mewujudkan 337,000 pekerjaan. Ini
dijangka akan meningkat kepada 413,000 dalam tahun 1990. Oleh itu
pengusaha pembinaan tempatan hendaklah menyediakan diri untuk memainkan
peranan yang lebih besar sesudah mempelajari daripada pengusaha luar
negeri.

8. Di satu upacara pelancaran Dayabumi saya telah menyentuh tentang betapa
pentingnya teknologi baru digunakan dalam industri pembinaan. Saya
mengucapkan tahniah kepada PROMET yang menjadi syarikat tempatan yang
pertama menggunakan 'steel-frame' dalam pembinaan menara PROMET. Kita
dapat lihat bagaimana penggunaan teknologi baru dapat melicinkan proses
pembinaan. Oleh itu saya harap pengusaha tempatan dapat mengubahkan sikap
'conservative' mereka. Mereka sepatutnya menjalankan penyelidikan sendiri
dalam sains pembinaan, terutama pembinaan dalam alam tropika yang mana
faktor cuaca adalah berbeza dari yang terdapat di negara-negara
'temperate' dari mana kita dapati teknologi kita. Begitu juga adat resam
dan nilai-nilai tempatan hendaklah diambilkira dalam reka-bentuk dan
peralatan yang diguna di negara tropika, khususnya di Malaysia. Saya
syorkan supaya kajian khas dibuat oleh kontraktor-kontraktor dengan
dibantu oleh universiti tempatan.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

9. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PROMET bagi pihak Kuala
Lumpur walaupun saya tidak diberi mandat oleh Dato Bandar. Terima kasih
ini ialah kerana akhirnya hilanglah the 'biggest eye-sore in Kuala Lumpur'
-- iaitu bangkai bangunan Belmont Centre. Saya masih ingat di waktu Sidang
Kemuncak ASEAN pada tahun 1977 saya berasa amat malu sekali kerana bangkai
Belmont Centre didedah kepada pemimpin-pemimpin negara ASEAN yang
bersidang di Hotel Hilton. Keadaan bangkai ini begitu buruk sekali dengan
rangka besi dan simen yang berselaput dan rumput-rampai di sekelilingnya.

10. Alhamdulillah, hari ini menara yang mengganti bangkai tadi merupakan
satu bangunan yang indah dan moden yang melambangkan bukan sahaja kemajuan
PROMET tetapi juga Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan. Saya berharap
bangunan ini akan dipenuhi oleh pengusaha-pengusaha yang maju dan kegiatan
perdangangan yang berhasil. Di samping itu saya harap ramai yang akan
bekerja di sini dalam apa juga jawatan supaya kejayaan Promet akan membawa
manfaat kepada ramai penduduk Kuala Lumpur ini, dan seterusnya penduduk
negara kita.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

11. Sebagaimana kita maklum, Kerajaan telah melancarkan Kempen Kebersihan
Seluruh Negara. Tujuan kempen ini ialah untuk menyedarkan semua pihak dan
setiap individu tentang kepentingan menjaga kebersihan setiap inchi bumi
negara kita. Tetapi tujuan untuk menyedarkan berbagai pihak tentang
keperluan kebersihan bukanlah supaya kebersihan ini dijadikan sebagai
acara pesta di mana yang dipentingkan ialah 'PR' dan selepas itu
masing-masing balik seperti biasa juga -- lupakan tentang tanggungjawab
terhadap kebersihan sebagai amalan biasa setiap masa. Janganlah Kempen
Kebersihan menjadi seperti kempen keselamatan jalan raya atau kempen
mencegah hisap rokok, di mana lebih banyak kempen diadakan lebih ramai
yang mati kerana kemalangan jalan raya dan jualan rokok lebih laris. Yang
penting bukan kempen dan acara kempen tetapi kesan terhadap sikap dan
tabiat kita.

12. Selain daripada Kempen Kebersihan, Kerajaan juga telah berusaha
mengindahkan alam sekitar. Sejak desakan ini dibuat, Kuala Lumpur
ternampak lebih menghijau. Dewan Bandaraya telah berjaya menanam
pokok-pokok dan rumput supaya Kuala Lumpur tidak lagi menjadi 'concrete
jungle'. Tetapi usaha Dewan Bandaraya sahaja tidak mencukupi. Pemaju
bangunan-bangunan hendaklah berusaha supaya tempat mereka juga dihiasi
dengan pokok-pokok dan landscaping yang boleh mencantikkan lagi bangunan
mereka. Di samping itu nilai bangunan mereka akan meningkat dan mereka
akan mendapat lebih banyak hasil daripada sewa bangunan. Saya juga harap
mereka menolong Dewan Bandaraya membersih, mengindah dan menjaga
kawasan-kawasan awam yang berdekatan dengan bangunan mereka seperti
'dividers' dan 'traffic islands' dan taman-taman kecil yang diadakan oleh
Dewan Bandaraya. Dengan cara ini kita boleh berbangga dengan Ibu Kota dan
bandar-bandar kita yang lain.

13. Kuala Lumpur mesti dijadikan satu 'Garden City' dan bukan 'concrete
jungle'. Untuk ini pengindahan, kebersihan dan kawalan yang ketat perlu
diadakan. Pemaju, pegawai dan orang ramai mestilah berbangga dengan Ibu
Kota mereka dan kebanggaan ini hendaklah dibuktikan dengan kesedaran
terhadap menjaga kebersihan dan keindahan Kuala Lumpur. Jika
bangunan-bangunan yang menelan belanja ribuan juta ringgit dikelilingi
dengan sampah sarap, maka sia-sia sahajalah perbelanjaan yang begitu
banyak. Sebenarnya cuma sedikit peruntukan dan belanja sahaja yang
diperlukan bagi menjaga kebersihan dan keindahan tempat kerja dan tempat
tinggal kita. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih dan tahniah kepada
PROMET yang telah berusaha mematuhi kehendak Kerajaan dan masyarakat dalam
soal-soal yang saya telah bangkitkan.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

14. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada PROMET dan kepada Pengerusinya
Tan Sri Ibrahim Mohamad yang telah berjaya mendirikan Menara ini dalam
jangkamasa yang dijanjikan.

15. Akhir kata, saya dengan sukacitanya membuka Menara PROMET ini dengan
rasminya.

Sekian, terima kasih.

 



 


 











 
Google