home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	WISMA MCA, JALAN AMPANG, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	16/10/83 
Tajuk/Title  	: 	DI PERHIMPUNAN AGUNG MCA YANG KE 31 




Yang Mulia Pengerusi Majlis; Yang Berhormat Datuk Neo Yee Pan, Presiden
MCA; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat MCA; Ketua-Ketua dan Wakil-Wakil
Parti-Parti Komponen Barisan Nasional; Dif-dif Kehormat; Saudara Saudari
daripada MCA; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya merasa amat sukacita kerana dapat menghadiri dan berucap di majlis
pembukaan Perhimpunan Agung MCA pada pagi ini. Tahun lepas, sebagaimana
saudara saudari maklum, saya tidak dapat menghadiri majlis yang sama
kerana pada waktu itu saya terpaksa ke luar negeri.

2. Banyak perubahan yang telah berlaku dalam masa setahun yang lalu. Bagi
MCA, satu perubahan yang terpenting ialah pengunduran Datuk Lee San Choon
sebagai Presiden Parti. Pengunduran Datuk Lee bukan sahaja merupakan satu
kehilangan kepada MCA tetapi juga kepada Barisan Nasional, Kerajaan dan
negara. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada Datuk Lee di atas segala sumbangannya kepada Barisan
Nasional khususnya, dan kepada Kerajaan dan negara amnya. Saya cuma dapat
mengharapkan agar Datuk Lee akan terus memberi sumbangan khidmatnya dengan
apa jua cara kepada Barisan Nasional dan negara selaras dengan tradisi
kita di mana setiap orang anggota parti, walau apa pun kedudukan dan
jawatannya dalam parti, akan terus bersama-sama mendukung cita-cita murni
Barisan Nasional dan Kerajaan. Perletakan jawatan oleh Dato Lee adalah
satu teladan yang amat baik yang patut dicontohi bukan sahaja oleh
lain-lain ahli MCA tetapi juga semua ahli politik. Beliau telah meletakkan
jawatan dengan cara yang cukup teratur, tanpa paksaan oleh sesiapa dan
dengan tidak meninggalkan 'time-bomb' atau dengan apa-apa muslihat. MCA
patut menyanjung tinggi khidmat dan sikap Dato Lee San Choon itu.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

3. Negara kita telah maju setapak demi setapak dengan kesedaran sebilangan
besar rakyat dan parti-parti komponen Barisan Nasional tentang pentingnya
hakikat "bersatu kita teguh bercerai kita roboh". Ciri-ciri masyarakat dan
negara kita benar-benar menunjukkan betapa pentingnya kita memupuk dan
meletakkan asas-asas yang kukuh ke arah mewujudkan satu bangsa yang
bersatu padu dan hidup dalam harmoni. Perpaduan dan keharmonian di dalam
sesebuah negara majmuk seperti negara kita adalah faktor utama. Tanpa
perpaduan dan keharmonian, bukan sahaja sukar untuk kita mencapai
kemakmuran dan kemajuan yang lebih tinggi, bahkan kita mungkin akan
kehilangan segala-galanya. Walaupun negara kita merupakan sebuah negara
yang mempunyai berbagai sumber kekayaan dan kita mempunyai potensi yang
besar untuk menjadi sebuah negara yang maju dalam masa yang singkat, ini
semua mungkin menjadi impian semata-mata jika kita tidak memberi keutamaan
kepada perpaduan dan keharmonian.

4. Mungkin ada mereka yang tidak insaf dengan hakikat ini. Mungkin ada
mereka yang terbawa-bawa oleh emosi dan sanggup mempertarungkan nikmat
keamanan dan kestabilan, seolah-olah huru-hara dan malapetaka buatan
manusia tidak akan menimpa kita. Sebenarnya malapetaka dan huru-hara tidak
pernah jauh dari kita. Selagi ada kumpulan, walau kecil sekalipun, yang
memandang ringan kepada perpaduan dan keharmonian, kita harus berwaspada
bahawa keadaan kita adalah seperti keadaan telur di hujung tanduk.

5. Memandang kepada keadaan ini tidak seharusnya ada orang yang waras
fikiran yang sanggup menukarkan keamanan dengan kekacauan, kemakmuran
dengan kesusahan, masa depan yang penuh harapan dengan penderitaan.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

6. Dalam negara yang demokratik seperti Malaysia kita mempunyai banyak
kebebasan. Tetapi kebebasan ini bukanlah untuk disalahgunakan oleh sesiapa
bagi satu-satu kepentingan yang jelas bertentangan dengan kepentingan
nasional. Sudah tentu kebebasan ini bukan untuk kepentingan diri.

7. Di Malaysia di mana penduduk terdiri daripada berbagai kaum, banyak
perkara yang sensitif yang jika tidak diurus dengan diplomasi akan
mencetuskan huru-hara. Dalam Barisan Nasional kita mempunyai cara-cara dan
forum tertentu untuk membincang masalah- masalah yang sensitif. Begitu
juga Kerajaan mempunyai saluran dan forum tertentu, terutama bagi parti
komponennya, untuk membincang perkara-perkara yang sensitif. Melalui
saluran dan forum ini, perbincangan tanpa emosi boleh dibuat dan segala
keraguan, salah tafsiran atau kesilapan dasar boleh diatasi. Dengan ini
rakyat tidak akan berasa 'agitated', kestabilan politik tidak akan
tergugat dan para pengusaha, peniaga dan pelabur tidak akan berasa
terancam.

8. Saya sedar akan peranan isu-isu yang sensitif dalam usaha mencari
populariti. Tetapi dalam Malaysia, kita tidak dapat bercakap dengan satu
kaum sahaja tanpa didengari oleh kaum lain. Saya ingin menasihatkan bahawa
taktik mencari populariti melalui isu yang sensitif mungkin akan
'backfire' dan membawa kesan yang buruk.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

9. Sepertimana tuan-tuan dan puan-puan maklum, saya suka berterus
terang. Baru-baru ini soal penyerapan nilai-nilai Islam telah ditimbulkan
oleh beberapa pihak. Oleh itu saya fikir perlu saya jelaskan di sini
tentang perkara ini.

10. Sebenarnya di waktu kita mencapai kemerdekaan kita telah bersetuju
bahawa agama Islam ialah agama rasmi, "but other religions may be
practised in peace and harmony in any part of the Federation". Peruntukan
dalam Perkara 3 ini menyebabkan Kerajaan menolak desakan daripada
pihak-pihak tertentu supaya undang-undang Islam dikenakan kepada orang-
orang bukan Islam. Jika orang Islam mahu undang-undang Islam
dikuatkuasakan ke atas mereka, ini adalah hak mereka. Mereka juga berhak
membuat interpretasi mereka terhadap undang-undang Islam. Tetapi Islam
tidak menyuruh undang-undang Islam dipaksa supaya diterima oleh orang
bukan Islam. Jikalau hari ini terdapat mana-mana negara di dunia yang
menguatkuasakan undang-undang Islam ke atas orang bukan Islam, ini
bukanlah kerana ajaran agama Islam, tetapi adalah kerana keangkuhan
pemerintahan yang sanggup membelakangkan ajaran Islam yang
sebenar. Kerajaan Malaysia yang ada sekarang tidak sanggup membelakangkan
ajaran Islam dan mengenakan peraturan Islam ke atas bukan Islam.

11. Nilai-nilai Islam bukan bermakna undang- undang Islam. Sebenarnya
nilai-nilai Islam tidak jauh berbeza daripada konsep baik-buruk yang
universal. Apa yang dianggap baik oleh orang-orang yang waras juga
dianggap baik oleh Islam, dan yang buruk dianggap buruk. Oleh itu
penyerapan nilai-nilai Islam oleh Kerajaan tidak akan menghancurkan
nilai-nilai lain yang terdapat di Malaysia. Tetapi sekarang ini ada trend
yang tidak sihat dari Barat, yang bertentangan dengan nilai Islam dan juga
nilai-nilai universal, yang malangnya diterima oleh orang yang waras.

12. Di Eropah sekarang ini orang berbogel pun boleh berjalan di
tengah-tengah bandar, perempuan boleh kahwin perempuan, lelaki kahwin
lelaki, adultery, sodomy dan lesbianism diterima sebagai perkara
biasa. Hormat-menghormati antara manusia sesama manusia, atau pengikut
dengan pemimpin tidak diberi keutamaan. Kata-kata kotor sengaja diguna
oleh lelaki dan perempuan. Hisap ganja bahkan dadah lain dipandang sebagai
hak asasi manusia. Hak individu dianggap lebih penting daripada hak
masyarakat. Menimbulkan kacau-bilau dalam masyarakat juga menjadi
hak. Amanah dan berpegang kepada janji tidak lagi dianggap penting oleh
masyarakat Barat. Trend di Barat ini sudah menular ke Timur dan ke
Malaysia. Ramai yang berpendapat bahawa apa yang diterima oleh Barat boleh
diterima oleh kita.

13. Islam tidak dapat menerima nilai-nilai seperti ini. Dan saya yakin
semua orang yang waras dari apa juga agama tidak boleh menerima keruntuhan
akhlak seperti ini. Yang boleh kita semua terima ialah nilai-nilai
kebudayaan Timur yang juga merupakan nilai universal yang asli. Dan hampir
semua nilai-nilai ini adalah sama dengan nilai-nilai Islam. Oleh itu
penyerapan nilai-nilai Islam tidak akan menjejas mana-mana kebudayaan lain
dan tidak akan merupakan satu tekanan kepada orang bukan Islam di
Malaysia.

14. Ini sahaja yang dimaksudkan oleh Kerajaan dengan penerapan nilai
Islam. Tidak ada hak sesiapa yang disentuh. Jika wanita Cina hendak pakai
cheongsam tidak ada ketegahan, tetapi kalau hendak berbogel di jalan, saya
fikir orang Cina pun tidak boleh terima. Begitu juga di Hong Kong, apabila
Kerajaan Penjajah ingin membenarkan perhubungan antara lelaki dengan
lelaki mengikut kegemaran orang British, penduduk Cina di Hong Kong
membuat bantahan. Orang Islam pun sudah tentu akan turut memprotes -- di
sini dapat dilihat nilai Islam adalah sama dengan nilai orang Cina
umpamanya.

15. Kerajaan tidak berniat untuk memaksa orang bukan Islam memeluk agama
Islam atau patuh kepada undang-undang keluarga Islam. Cuma nilai Islam
yang rata-rata sama dengan nilai kaum lain di Malaysia yang akan
diserapkan oleh Kerajaan.

16. Oleh itu saya harap isu ini tidak dijadikan isu politik dalam parti
atau luar parti. Saya khuatir keharmonian dan keamanan dalam negara akan
terancam.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

17. Segala perubahan yang dibuat akhir-akhir ini, sama ada dari segi dasar
Pandang ke Timur, Persyarikatan Malaysia dan Pengswastaan, penerapan
nilai-nilai mulia universal dengan nilai-nilai Islam sebagai terasnya,
Kepimpinan Melalui Teladan serta gerakan kebersihan dan pengindahan
seluruh negara adalah dengan tujuan untuk mengukuhkan ciri-ciri serta
identiti bangsa Malaysia yang berkemampuan dan yang berketahanan. Tetapi,
sebagaimana yang pernah saya nyatakan, perkara-perkara yang baik tidak
senang diterima orang; bahkan sentiasa ada orang yang
menentangnya. Sayangnya di antara yang menentang adalah terdiri daripada
mereka yang berkelayakan tinggi dan berpengelaman luas. Sayangnya mereka
ini membenarkan 'negativism' menghalang mereka daripada melihat dan
menilai kebaikan-kebaikan sesuatu perubahan yang dianjurkan.

18. Kalau diteliti dengan baik-baik dan dengan fikiran yang waras
perubahan-perubahan yang dianjurkan lebih banyak kebaikannya daripada
keburukan. Begitu juga, kalau diteliti dan difikirkan secara positif, di
antara keburukan ini pun banyak yang boleh diatasi dan ditukar untuk
membawa manfaat. Sebagaimana dengan kepercayaan kepada hantu, jika kita
selalu membincang dan mengkhayalkan tentang hantu, bukan sahaja kita akan
menjadi takut dan lemah semangat, malah tidak mustahil kita akan menemui
hantu khayalan kita di mana-mana sahaja. Tentulah orang yang berkeadaan
seperti ini tidak dapat membuat apa-apa kecuali hidup dengan hantu-hantu
buatannya sendiri. Sebaliknya kita tahu mereka yang tidak percaya kepada
khayalan, mereka tidak takut melainkan kepada ancaman yang benar-benar
nyata.

Saudara saudari sekalian, 

19. Saya yakin Perhimpunan Agung MCA ini akan memberi peluang kepada
saudara saudari sekalian untuk mengukuhkan lagi kefahaman saudara saudari
tentang segala bidang usaha yang telah dan sedang dibuat oleh Kerajaan
Barisan Nasional. Gunakanlah perspektif yang wajar untuk meneliti isu-isu
yang dipersoalkan dan janganlah dibiarkan sentimen menjejas perhitungan
saudara saudari daripada melihat sudut-sudut kebaikan sesuatu usaha yang
dianjurkan dengan tujuan kebaikan.

20. Akhir kata, dan dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya membuka
Mesyuarat Agung MCA yang ke 31 ini dengan rasminya.

Sekian, terima kasih.

 



 


 











 
Google