home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : AUDITORIUM DEWAN BANDARAYA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 17/11/83 Tajuk/Title : DI MAJLIS PERTANDINGAN SYARAHAN DAN MENGARANG DALAM BAHASA MALAYSIA BAGI MEREBUT PIALA PERPADUAN SEKOLAH RENDAH JENIS KEBANGSAAN (CINA) SELURUH MALAYSIA Yang Berhormat Datuk Dr. Tan Tiong Hong, Timbalan Menteri Pelajaran; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kesatuan Guru-Guru Besar Sekolah-Sekolah Cina Malaysia di atas daya usahanya menganjurkan Peraduan Bersyarah dan Mengarang Peringkat Kebangsaan Bagi Sekolah-Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan. Sumbangan ini, saya yakin, akan memperkukuhkan lagi usaha-usaha kita untuk memupuk perpaduan di kalangan berbagai lapisan rakyat di negara kita. 2. Salah satu keperluan asas bagi sesuatu bangsa atau negara ialah keselamatan dan keamanan. Dalam suasana keselamatan yang terjaminlah sesuatu bangsa dapat menjalankan usaha-usaha untuk membawa kemakmuran dan kesejahteraan. Namun demikian, soal keselamatan dan keamanan, selalunya kurang diberi pertimbangan oleh masyarakat, atau golongan-golongan tertentu, lebih-lebih lagi dalam keadaan biasa. 'Peace and security are normally taken for granted'. Sebagaimana udara untuk kita bernafas dan air yang menjadi sumber kehidupan, keselamatan dan keamanan juga dianggap percuma dan sentiasa wujud bila-bila masa sahaja. Cuma mereka yang pernah mengalami sengsara, dan pernah kehilangan keamanan yang dapat menghargai nilai keselamatan dan keamanan. 3. Soal keselamatan dan keamanan menjadi lebih utama lagi di dalam keadaan seperti kita di Malaysia ini di mana rakyat berbilang kaum mempunyai sentimen-sentimen tertentu. Dalam hal inilah soal keselamatan dan perpaduan mempunyai peranannya yang amat penting. Tuan-tuan dan puan-puan, 4. Setelah sesuku abad kita merdeka kita telah dapat membina sebuah negara yang aman, makmur dan berkemampuan. Peristiwa 13 Mei 1969, walaupun pendek dan meragut nyawa yang sedikit jika dibandingkan dengan rusuhan-rusuhan seperti ini di negara lain, menunjukkan kepada kita bagaimana mudahnya suasana aman dan tenteram dapat menjadi keroh dan kucar-kacir hanya dengan sentimen yang diapi-apikan oleh setengah-setengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga menunjukan bagaimana sesuatu peristiwa boleh menghancurkan dan memusnahkan segala usaha dan titik-peloh bagi membina perpaduan. 5. Bagi kita di Malaysia khususnya, kita harus menerima hakikat bahawa tidak ada alternatif bagi kita, iaitu semua kaum, untuk hidup bersama dan menentukan 'destiny' kita bersama. Begitu juga kita harus menerima hakikat bahawa tidak ada sesiapa pun yang boleh memenuhi semua hasratnya apatah lagi sesuatu kaum atau golongan. Adalah tidak tepat jika mana-mana pihak menganggap sesuatu pihak yang lain dapat memenuhi hasratnya dengan sepenuhnya. 'Absolute justice and absolute equality' tidak wujud di mana-mana di dunia ini. Yang menjadi hakikat ialah usaha-usaha untuk memperbaiki sesuatu keadaan dan kita haruslah berusaha untuk memperbaiki keadaan dari masa ke semasa. Yang utama ialah kepentingan ramai atau majoriti dan dengan mengambilkira aspek-aspek kepentingan lain yang melibatkan golongan-golongan minoriti. Inilah asas demokrasi yang sebenarnya. 6. Negara Malaysia yang merdeka, dengan Perlembagaan dan dasar-dasar tertentu menyediakan satu suasana yang baik bagi semua rakyat. Kalau di setengah-setengah negara lain rakyat minoriti ditindas dan dirampas peluang mereka, dan tidak dibenarkan untuk mengamalkan cara hidup dan kebudayaan mereka, di Malaysia ini tidak berlaku, malahan rakyat berbagai keturunan dan kepercayaan mempunyai kebebasan dan jaminan untuk meneruskan cara hidup mereka dengan dilindungi oleh Perlembagaan. Tetapi, sebagaimana saya sebutkan, manusia tidak pernah puas dan mereka 'take for granted' apa-apa nikmat yang ada pada mereka. Manusia selalu tamak, dan apabila senang mereka lupa tentang kesenangan dan mereka mendesak untuk mendapat itu dan ini tanpa mengira kesan buruk yang akan melenyapkan kesenangan yang telah wujud itu. 7. Itulah sebabnya kita harus menyemaikan keinsafan di kalangan rakyat supaya di samping kita mengecap berbagai-bagai nikmat kita dapat pula menambahkan lagi kebaikan kepada kita dan generasi yang akan datang dengan berbagai-bagai usaha. Peringkat yang paling utama bagi kita menyemaikan kesedaran ini ialah di peringkat kanak-kanak -- kanak-kanaklah yang akan menjadi generasi baru yang akan menentukan masa depan negara kita. Jika kita mengerohkan keadaan dan menyemaikan kecurigaan di hati mereka tentang hidup bersama di dalam keadaan harmoni, kita mungkin dapat memenuhi sentimen dan emosi kita, tetapi sebaliknya kita telah menggugat asas perpaduan mereka. 8. Sistem pelajaran kita mempunyai kelonggaran-kelonggaran bagi membolehkan kaum-kaum yang berlainan mempelajari bahasa ibunda mereka. Di samping itu sebagai sebuah negara yang berdaulat kita mempunyai Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia yang menjadi simbol dan alat perpaduan. Hakikat ini memang telah diterima dan kita dapati sekarang setelah sesuku abad merdeka generasi berbagai kaum telah dapat menguasai Bahasa Malaysia dengan baiknya. Saya amat berbangga dengan kebolehan ramai bukan Melayu yang dapat bertutur dengan fasih dan berkesan dalam Bahasa Malaysia bahkan setengahnya lebih baik pertuturannya daripada orang Melayu sendiri. Ini bukan sindiran tetapi hakikat. Sebenarnya ada gejala-gejala yang menunjukkan bahawa orang Melayu sendiri harus mempertingkatkan kemampuan mereka dalam Bahasa Malaysia. 9. Yang menjadi soal sekarang ialah sebahagian daripada bukan Melayu melalui persekolahan rendah jenis kebangsaan di mana mungkin Bahasa Malaysia kurang mendapat perhatian daripada murid-murid sekalian. Walaupun penyaluran seperti ini membolehkan murid-murid menguasai bahasa ibunda mereka tetapi dalam konteks kenegaraan kemampuan mereka dari segi Bahasa Malaysia tidak harus diabaikan. Sebenarnya soal bahasa tidak harus dikait-kaitkan dengan sentimen perkauman. Kita harus berpegang kepada pendirian bahawa bangsa Malaysia moden bukan sahaja mesti menguasai Bahasa Malaysia bahkan jika termampu hendaklah menguasai sebanyak-banyak bahasa. Kita juga mahu rakyat Malaysia selesa dengan Bahasa Inggeris dan kita juga mahu rakyat Malaysia mempelajari bahasa-bahasa lain seperti bahasa Arab, Peranchis, Jepun, Russia dan lain-lain lagi. Oleh itu kita hendaklah menyediakan pemikiran kita dan pemikiran generasi akan datang tentang pentingnya bahasa dari segi identiti kebangsaan dan dari segi kita sebagai anggota masyarakat antarabangsa. 10. Bagi menghadapi cabaran masa depan kita harus mempunyai sikap positif terhadap semua perkara. Itulah sebabnya Kerajaan sedang mengutamakan penerapan nilai-nilai yang tinggi dan sikap positif di kalangan rakyat supaya kita dapat membina asas yang kukuh sebagai bangsa dan negara yang maju dan makmur setanding dengan bangsa-bangsa lain dan negara-negara lain yang telah maju. Tuan-tuan dan puan-puan, 11. Dengan kemajuan yang berlaku sekarang, generasi baru kita perlu meningkatkan kemampuan untuk menerima berbagai jenis ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuanlah yang menjadi asas segala kemampuan, dan jika kita mahukan kemajuan tidak dapat tidak kita mestilah menguasai ilmu pengetahuan dengan secukupnya. Jika kita sibuk dengan sentimen, kita akan kaya dengan sentimen, tetapi tandus dari segi ilmu pengetahuan, dan jika ini menjadi amalan kita, kita akan rugi dan generasi kita akan rugi, dan sebagai satu bangsa kita akan terus ketinggalan sedangkan orang lain akan berada jauh di hadapan, dan semakin sukarlah bagi kita untuk menandingi mereka. 12. Saya harap usaha seperti yang dijalankan oleh Kesatuan ini akan dipertingkatkan lagi bagi membolehkan persaingan di kalangan semua murid berbagai kaum, dan isi pertandingan yang diadakan disesuaikan dengan nilai-nilai positif yang dapat membina satu generasi yang berkemampuan untuk membawa perpaduan yang lebih erat dan kemakmuran serta kesejahteraan yang lebih bermakna kepada negara kita Malaysia. 13. Dengan harapan ini, dengan sukacitanya saya membuka Peraduan Bersyarah dan Mengarang Peringkat Kebangsaan bagi Sekolah-Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan dengan rasminya. Terima kasih. |