home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR, 
Tarikh/Date 	: 	20/11/83 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS PELANCARAN ZAMALAH ATAU 
			FELLOWSHIP SASTERA BERITA HARIAN, 




Pengerusi Majlis, Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur acara malam ini kerana
menjemput saya untuk bersama-sama dalam pertemuan ini, dan atas
penghormatan untuk berucap kepada para golongan intelek dan penulis.

2. Ilmu pengetahuan mempunyai peranan yang amat penting sekali dalam
sesebuah masyarakat. Penguasaan ilmu pengetahun membezakan taraf tamadun
sesebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain, antara masyarakat
primitif dengan masyarakat bertamadun. Ilmu pengetahuan juga adalah asas
kuasa bagi seseorang individu atau sesuatu golongan kerana ilmu
pengetahuan adalah alat yang dapat membekal dan mempertingkatkan segala
bentuk kemampuan bagi seseorang atau kumpulan. Demikianlah juga dengan
sesuatu masyarakat. Di sinilah letaknya peranan dan pengaruh golongan
intelek dan penulis.

3. Tetapi, wujudnya golongan intelek dan penulis tidak semestinya
menentukan kesan yang bernilai, membina, sihat dan berkesan kepada
masyarakat. Ini adalah disebabkan ilmu pengetahuan mempunyai asas
falsafahnya, dan asas falsafah inilah yang mencorakkan bentuk penekanan
dan kesan hasil intelektual dan penulisan di dalam sesuatu masyarakat.

Falsafah ini pulalah yang menjadi penghubung antara berbagai golongan di
dalam masyarakat. Falsafah yang mempunyai arah bagi membina masyarakat
yang sihat, dengan perselariannya di kalangan berbagai golongan di dalam
masyarakat -- pemerintah, cendikiawan dan karyawan serta rakyat -- akan
mengukuhkan asas dan jentera bagi pembentukan identiti dan nilai
kenegaraan serta nilai hidup anggota masyarakat.

4. Bagi kita sekarang soal pertama ialah apakah kita sebagai anggota
masyarakat Malaysia telah menghayati semua aspek falsafah negara Malaysia
yang maju, moden dan bermaruah. Di sini yang penting ialah sama ada kita
dapat menerima hakikat bahawa semua yang baik adalah menjadi harapan dan
hasrat kita.

5. Dalam zaman moden, sistem komunikasi telah menjadi alat pembentukan
masyarakat yang penting, dan para intelek dan penulis menjadi golongan
penting yang menggerak dan mempengaruhi sistem ini. Dengan perkataan lain,
pemikiran dan masa depan sesuatu masyarakat, dengan langsung dan tidak
langsung, dikuasai oleh para intelek dan penulis. Oleh itu, soal kedua
ialah sejauh mana para intelek dan penulis dapat menguasai bidang-bidang
ilmu pengetahuan tertentu yang dapat membantu mereka membuat sumbangan
yang maksima kepada masyarakatnya. Sekarang, dengan tradisi perkembangan
ilmu pengetahuan mengikut disiplin-disiplin tertentu, seseorang hanya
terdedah kepada disiplinnya sahaja, jika ia tidak berusaha untuk mengumpul
pengetahuan yang luas di luar sistem pengetahuan yang formal. Penggunaan
sesuatu disiplin sahaja tidak boleh menjadikan seseorang sebagai manusia
yang lengkap. Itulah sebabnya akhir-akhir ini, konsep multidisiplin dan
interdisiplin amat ditekankan. Tetapi, apa konsep sekalipun tidak dapat
menjamin pengetahuan yang menyeluruh kecuali seseorang itu mempunyai minat
dan cintakan ilmu pengetahuan.

6. Katakanlah seseorang wartawan yang diserahkan bidang politik untuk
menjadi liputannya. Tidak cukup baginya mengikuti persidangan parlimen
untuk menjadikannya seorang wartawan yang berkalibar. Tidak cukup dengan
mengambil beberapa kursus di sesebuah institusi pelajaran tinggi. Ia mesti
berminat untuk membaca apa-apa jua mengenai politik dan sistem politik,
perkembangan politik, penyelidikan politik, membaca jurnal dan makalah dan
meneliti apa-apa jua yang mempunyai hubungan dengan politik. Tentulah di
sini bukan sahaja pentadbiran dan ekonomi, tetapi juga psikologi,
misalnya. Begitu juga dengan seseorang intelek atau cendikiawan. Kalau
bidangnya ialah ekonomi, kecondongannya terhadap ekonomi akan
menjadikannya seorang yang berat sebelah dan tidak, atau kurang
mengambilkira terhadap aspek-aspek lain di dalam sesuatu
huraiannya. Itulah sebabnya dewasa ini banyak terdapat bentuk penulisan
yang hanya mengambilkira sesuatu sudut sahaja hingga mengelirukan pembaca
yang kurang lengkap ilmu pengetahuannya.

7. Perkara yang ketiga ialah cara penyampaian sesuatu penulisan. Kita
mungkin pernah mendengar ungkapan 'Good English is simple English'. Ini
benar bagi apa-apa bahasa jua pun -- bahasa yang baik ialah bahasa yang
mudah. Kalau bahasa merupakan alat perantaraan antara manusia, bahasa yang
mudah tentulah menjadi alat penyambung yang paling luas. Malangnya di
dalam masyarakat kita terdapat golongan yang seolah-olah berselindung di
sebalik bahasa yang kononnya tinggi tetapi sukar difahami untuk
menyampaikan hasil pemikiran mereka. Sekiranya konsep bahasa yang mudah
merupakan bahasa yang berkesan tidak diterima oleh para penulis, pengaruh
penulis akan menjadi begitu terbatas sekali. Apalah gunanya sesebuah hasil
sastera yang hanya boleh difahami dan dinikmati oleh beberapa orang
sahaja.

8. Di sini suka saya menyentuh tentang kekaburan pendapat mengenai mutu
seni. Ada di kalangan kita yang sanggup berdalih dengan hujah-hujah yang
lemah bagi mempertahankan mutu seni dan mutu sastera yang lemah. Sebagai
contoh, saya ambil pendapat setengah-setengah pihak yang mengatakan hasil
sastera dan filem kita tidak bermutu kerana mereka tidak dapat memasukkan
unsur-unsur yang dapat mengghairahkan, misalnya babak-babak seks dan
lain-lain. Pendapat seperti ini bukan sahaja dapat mempengaruhi pemikiran
peminat seni kita tetapi memesongkan hakikat sebenarnya bahawa mutu
sesuatu hasil seni tidak bergantung kepada unsur seks.

Banyak filem Barat, misalnya, yang tidak mempunyai unsur seks tetapi
dipilih sebagai filem yang terbaik, malah ada filem yang tidak mempunyai
pelakun wanita pun menjadi filem yang disanjung tinggi oleh peminat
filem. Kalau D.H.

Lawrence terkenal dengan 'Lady Chatterley's Lover' yang mempunyai babak
yang mengghairahkan, Kafka dan Hemingway dapat menghasilkan karya-karya
yang bermutu tanpa menggunakan unsur-unsur seks. Para sasterawan kita juga
boleh menjadi penulis yang berkalibar seperti Kafka dan Hemingway atau
Pramoedya Ananta Toer jika dipupuk dengan sikap cintakan ilmu pengetahuan,
dan mutu kerana mutu semata-mata, dan bukan kerana 'commercialism'. Selagi
kita berdalih untuk mempertahankan kelemahan-kelemahan kita selama itulah
kita tidak dapat menghasilkan sesuatu yang baik kerana kita sentiasa
mengejar impian dan ingin menjadi orang lain bukan diri sendiri yang
bermaruah dan berkemampuan.

9. Begitu juga di kalangan penulis, konsep kebebasan menjadi satu
pendirian yang amat dipertahankan. Sesiapa juga pentingkan kebebasan,
tetapi kebebasan mutlak tidak wujud di mana-mana, dan kebebasan tanpa
sempadan dan tanggungjawab menjadi asas bencana dan kehancuran. Di dalam
konteks sesebuah masyarakat dan negara, kebebasan sesuatu pihak dan
golongan hanyalah sekadar ia tidak mengancam kepentingan umum dan
kepentingan ramai. Sesebuah masyarakat atau negara tidak boleh dianggap
sebagai sebuah makmal bagi mengeksperimen sesuatu teori sosial. Kita tidak
boleh menguji sejauh mana sesuatu kebebasan sebelum ianya mendatangkan
kehancuran dan penderitaan kepada anggota-anggota masyarakat. Adalah
menjadi lumrah di kalangan wartawan dan pengkritik sosial bahawa
peraturan-peraturan tertentu hanya menyekat kebebasan, dan apabila sesuatu
mudarat berlaku kerana peraturan-peraturan dilonggarkan, ataupun kerana
mereka menjalankan kebebasan tanpa batas dan mengakibatkan bencana, yang
mereka kritik pula ialah pihak yang bertanggungjawab. Inilah yang
dikatakan kebebasan dan kritik tanpa moral dan tanggungjawab, dan inilah
salah satu pengaruh yang tidak membina yang dibawa oleh Barat.

10. Setiap kebebasan ada tanggungjawabnya. Setiap orang yang menuntut hak
kebebasannya mesti sanggup bersikap bertanggungjawab apabila kebebasan itu
diberikan kepadanya.

Apakah erti tanggungjawab, dan tanggungjawab kepada siapa? Pertamanya,
sebagai anggota sesuatu masyarakat, tentulah kita perlu bertanggungjawab
kepada masyarakat atau bangsa.

Kedua, sebagai masyarakat yang beragama, tentulah kita perlu
bertanggungjawab kepada agama. Ketiga, sebagai rakyat sesebuah negara,
tentulah kita perlu bertanggungjawab kepada negara. Ini semua bermakna
bertanggungjawab kepada diri kita sendiri.

11. Apabila kita bertanggungjawab terhadap sesuatu, bererti kita perlu
menjaga dan memeliharanya daripada sebarang ancaman atau
bencana. Tanggungjawab kita terhadap bangsa misalnya, memerlukan supaya
kita menjaga maruah dan keselamatan bangsa walaupun kita harus menggadai
nyawa.

Begitulah jika kita bertanggungjawab kepada agama, kita perlu memelihara
agar ia tidak tercemar -- kita perlu berusaha seperti seorang mujahid
supaya ia berkembang dan dihormati walaupun di kalangan musuh kita.

12. Golongan penulis, sebagai anggota dalam masyarakat, tentulah tidak
terlepas daripada tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Dalam
konteks inilah kebebasan dan tanggungjawab penulis mesti dilihat dan
dikaji. Penulis boleh menulis mengenai penderitaan dan kemelaratan dalam
masyarakat. Kerana memang masih ada kemiskinan dan penderitaan dalam
masyarakat. Bukan sahaja penulis berhak menulis mengenainya, bahkan ia
adalah satu tanggungjawab.

13. Tetapi jikalau sesebuah karya amat menekankan unsur-unsur negatif, dan
ini mungkin terjadi dengan cara langsung atau tidak langsung kerana kurang
pertimbangan terhadap kesan psikologi, ia boleh meruntuhkan sesebuah
masyarakat. Mungkin ada penulis yang ingin menggambarkan kurangnya kudrat
untuk berusaha atau sikap terlalu menyerah kepada nasib sehingga tiada
ikhtiar untuk mengatasi masalah.

Penulisan seperti ini tentulah tidak mengandungi unsur tanggungjawab
kerana ia tidak menggalakkan manusia supaya berusaha mengatasi keadaan
azab dan penderitaannya itu. Ia tidak memberi rangsangan supaya manusia
mengubah sikapnya daripada sikap negatif kepada sikap positif. Ia tidak
dapat mengajak manusia supaya berani menghadapi cabaran dan tidak menyerah
kepada nasib. Ia tidak akan berjaya menyemaikan semangat seseorang supaya
berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah. Ringkasnya, karya
begitu tidak akan berjaya untuk meningkatkan dayatahan dan dayasaing
manusia.

Dayatahan dan dayasaing adalah kekuatan dalam diri seseorang yang boleh
menjamin kejayaan, bahkan survivalnya.

14. Begitu juga dengan kegemaran kepada yang pelik dan ajaib. Cerita hantu
Kum-Kum dibesar-besarkan sehingga meletakkan masyarakat Melayu dalam
ketakutan yang memalukan.

Kita ketawakan wanita hamil di Indonesia yang menyembunyikan diri di bawah
katil kerana takut gerhana. Tetapi apakah kita berbeza dari mereka
ini. Kenapakah histeria berlaku cuma di kalangan murid wanita Melayu
sahaja. Tidakkah tumpuan kepada cerita seram yang ditulis oleh kita
memainkan peranan dalam peristiwa ini? 15. Dalam setiap tamadun, golongan
penulis bukan sahaja menjadi pencatat zamannya tetapi dalam banyak hal
mereka juga menjadi pemimpin pemikiran masyarakatnya. Hakikat ini juga
benar dan jelas dalam sejarah masyarakat kita.

16. Penulis-penulis kita telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai
dalam zaman rakyat memperjuangkan kemerdekaan, begitu juga sewaktu kita
mula-mula hendak mengisi kemerdekaan itu. Dalam semua peringkat itu
golongan penulis mendapat kebebasan yang sewajar dan secukupnya dan mereka
telah menggunakan kebebasan itu dengan penuh rasa tanggungjawab mengikut
kehendak dan ketentuan zamannya.

17. Zaman yang sedang kita hadapi dan akan kita hadapi ini adalah zaman
yang lebih mencabar. Pertamanya, kerana keadaan negara kita sendiri yang
jauh lebih maju. Kedua dan yang sangat penting pula ialah keadaan
masyarakat dunia yang tidak henti-henti berlumba mengejar kemajuan dalam
pelbagai bidang.

18. Tentulah amat malang bagi masyarakat kita jikalau penulis-penulis kita
tidak menghiraukan degup gerak kemajuan yang sedang berlaku di sekitarnya
dan sebaliknya tenggelam dalam kesedihan dan rasa rendah diri yang
melulu. Tentulah amat malang bagi kita jikalau golongan penulis kita tidak
dapat mencari dan menggali rahsia dan hikmah kejayaan bangsa lain untuk
dikemukakan kepada masyarakat. Di sinilah letaknya tanggungjawab penulis
zaman ini, tanggungjawab saudara-saudara sekalian.

19. Kebebasan atau batas kebebasan menjadi lebih penting bagi
penulis-penulis Malaysia kerana mereka bertugas dalam suasana dan
persekitaran yang agak luar biasa iaitu negara yang berbilang bangsa,
agama dan adat resam. Begitu juga taraf sosial dan ekonomi masyarakat pula
tidak sama. Di samping itu masyarakat dan negara kita terdedah kepada
ancaman luar yang menunggu untuk mengeksploitasikan kelemahan-kelemahan
yang ada kepada kita. Jika kebebasan seperti yang dimengertikan oleh
penulis-penulis Barat digunakan sebagai ukuran atau diamalkan oleh
penulis-penulis tempatan, ia boleh menyebabkan kesan yang negatif kepada
negara, termasuk ancaman ke atas keselamatan. Sayangnya terdapat
segolongan kecil penulis tempatan yang tidak dapat menerima hakikat
sebenar. Mereka terus menghayati konsep kebebasan seperti yang
dimengertikan oleh penulis-penulis Barat sekalipun mereka tahu akan
padahnya jika kebebasan seperti itu diamalkan di dalam masyarakat
berbilang bangsa dan agama seperti di negara ini.

20. Adalah wajar kita mengingatkan diri kita dari masa ke semasa bahawa
punca utama tercetusnya peristiwa 13hb. Mei, 1969 ialah kerana setengah
kalangan politik waktu itu terlalu ghairah dengan kebebasan bersuara dan
mengemukakan pendapat hingga lupakan had dan batasan yang boleh diterima
oleh rakyat berbilang bangsa.

21. Oleh kerana kedudukan para penulis yang istimewa di dalam masyarakat
negara ini, cara mereka menggunakan kebebasan menjadi lebih penting dan
kritikal dari golongan lain. Kebebasan adalah senjata. Ia boleh digunakan
dengan berfaedah oleh orang-orang yang bertanggungjawab atau dengan cara
yang merugikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan
sentiasa menganggap golongan penulis sebagai rakan karib dalam pentadbiran
dan pembangunan negara. Saya sendiri sentiasa mengalu-alukan kritik yang
membina serta maklum balas yang diberikan oleh para penulis, sama ada ia
seorang sasterawan atau wartawan.

22. Oleh kerana para penulis diberi kepercayaan mengamalkan kebebasan
secara terbuka, maka adalah menjadi tanggungjawab setiap penulis bukan
sahaja memahami had dan batasan kebebasan itu tetapi juga melengkapkan
diri mereka dengan pengetahuan yang jitu supaya kebebasan itu dapat
diamalkan dengan bijaksana. Sebelum penulis mengkritik dan membuat ulasan
mengenai sesuatu perkara, ia haruslah mendalami dan melengkapkan diri
dengan sebanyak-banyak maklumat dan butir mengenai perkara
tersebut. Komen-komen cetek dan tidak terperinci bukan sahaja mengelirukan
pembaca, tetapi menyulitkan usaha Kerajaan atau mana-mana juga pihak yang
berkenaan untuk menyelesaikannya. Penulis harus tahu apa yang mereka
lakukan dan melakukannya dengan penuh tanggungjawab.

23. Menulis tentang kebaikan dan menyokong apa-apa yang baik yang
dilakukan oleh Kerajaan bukan menjadi alat propaganda. Ia sebenarnya
membuktikan keberanian seseorang penulis. Memang mudah dan popular bagi
seseorang penulis mengecam atau mengkritik terutama jika ditujukan kepada
orang yang berkuasa. Tetapi untuk memperdengarkan sesuatu yang facktual
dan baik walaupun tidak popular amatlah berat.

Demikian juga dengan lain-lain pendapat yang bertentangan dengan aliran
pendapat semasa. Penulis yang berasa bertanggungjawab mestilah berani jika
pembinaan negara hendak diteruskan. Pengkritik sosial mestilah berani
memperkatakan yang benar di samping mengecam yang salah.

24. Di samping itu penulis juga mestilah didorongi oleh kebijaksanaan atau
'wisdom'. Bukan kebijaksanaan untuk memutarbelitkan kenyataan atau kerana
apa-apa muslihat tetapi untuk menimbang antara yang baik dan yang buruk --
kebijaksanaan untuk bertindak dengan rasa penuh tanggungjawab demi
kepentingan keselamatan dan kesejahteraan hidup kita dan masa depan negara
kita.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

25. Saya berbangga dengan usaha memulakan Fellowship Sastera Berita
Harian. Saya harap usaha-usaha seperti ini akan menjadi contoh kepada
lain-lain pihak dan seterusnya dapat melahirkan karyawan dan hasil-hasil
penulisan yang memenuhi cita-cita Malaysia bahagia.

26. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Fellowship
Sastera Berita Harian dengan rasminya.

 



 


 











 
Google