home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL MERLIN, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	28/11/83 
Tajuk/Title  	: 	DI PERASMIAN PERSIDANGAN DUA 
			TAHUNAN YANG KE 17 KESATUAN 
			PERKHIDMATAN TEKNIK SEMENANJUNG 
			MALAYSIA (MTSU) 




Dif-Dif Kehormat; Ahli-ahli Jawatankuasa MTSU; Tuan-tuan dan puan-puan
sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa MTSU kerana sudi
menjemput saya berucap dan seterusnya merasmikan Persidangan Dua Tahunan
yang ke 17 MTSU ini.

2. Keteguhan sesebuah negara amat bergantung kepada tumpuan dan minat yang
diberikan oleh setiap golongan dan individu terhadap kepentingan negara
dan kepentingan ramai. Di Barat, orientasi liberalisme dan sikap
individualisme serta egoisme masyarakat yang menonjol, walaupun telah
membawa kemakmuran dalam jangka pendek, sebaliknya telah mendatangkan
kesan yang buruk kepada masyarakat. Hari ini, oleh kerana setiap golongan
merasakan merekalah yang penting dan kepentingan mereka mengatasi
segala-gala yang lain, negara mereka tidak lagi dapat ditadbirkan dengan
berkesan. Desakan dan tuntutan oleh pihak-pihak yang berkepentingan
melemahkan jentera pentadbiran negara.

3. Di Barat kita lihat falsafah pertentangan atau 'confrontation' sebagai
asas cara hidup bermasyarakat. Orientasi ini tidak banyak bezanya dengan
'dialectics' di dalam ideologi komunis. Yang berbeza ialah, di dalam
konteks demokrasi liberal pertentangan digalakkan dan golongan-golongan
berkepentingan mempunyai pengaruh yang besar hinggakan kepentingan ramai
sanggup diketepikan. Satu peristiwa yang memberi gambaran tentang akibat
falsafah 'confrontation' telah terjadi baru-baru ini di Belanda. Oleh
kerana kemelesetan ekonomi, Kerajaan Belanda mengambil keputusan
mengurangkan gaji pekerja awam, termasuk polis, sebanyak 6%. Pada satu
hari Perdana Menteri Belanda diserang oleh beberapa orang kakitangan
Kerajaan. Pihak polis yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan Perdana
Menteri cuma melihat tanpa menolong Perdana Menteri. Dalam sistem komunis
pula, pertentangan tidak mempunyai tempat, dan semua pihak mesti mengikut
kehendak pemerintah semata-mata -- walaupun pada teorinya kuasa berada di
tangan pekerja atau rakyat, tetapi sebenarnya, kuasa sentiasa berada di
tangan segolongan kecil yang tidak membenarkan sesiapa jua bersuara.

4. Kalau kita teliti, di negara kita, keutamaan ramai sentiasa
dipentingkan, dan kebebasan yang tidak menghalang kepentingan dan adat
resam masyarakat sentiasa terjamin. Ini adalah cara yang mendatangkan
manfaat kepada semua -- kepada individu dan juga kepada masyarakat.

Saudara-saudari sekalian, 

5. Kemampuan dan potensi sesuatu masyarakat, sebahagian besarnya terletak
kepada persefahaman dan semangat kerjasama. Bagi faedah dan manfaat semua,
kita tidak harus melihat sesuatu dengan kaca mata konflik atau
konfrontasi. Di sini saya anggap konflik sebagai tenaga yang disalurkan
kepada sesuatu yang negatif, dan kerjasama atau persefahaman sebagai
tenaga atau 'energy' yang disalurkan kepada sesuatu yang positif.

6. Itulah sebabnya falsafah hidup kita harus memberi keutamaan kepada
kerjasama dan persefahaman. Konsep Persyarikatan Malaysia, misalnya,
mencerminkan falsafah ini. Dalam hubungan perusahaan juga, konsep
persefahaman dan kerjasama harus mengambil alih konsep 'dialectics' atau
konfrontasi. Banyak manfaat yang akan dinikmati oleh semua pihak dengan
falsafah dan konsep ini.

7. Konsep konflik hanya menjadikan pihak-pihak yang harus bekerjasama
sebagai musuh -- yang satu meragui yang lain dan tidak mengambil kira
kepentingan yang lain. Akhirnya, kedua-dua pihak juga yang rugi. Semua
perkara menjadi masalah, dan masalah yang kecil menjadi masalah besar.

8. Perkara ini semakin disedari. Di Amerika, misalnya, ada kesatuan
sekerja yang telah beransur-ansur mengubah sikap terhadap pengurusan dan
memandang kerjasama sebagai cara yang paling 'logical' bagi kebaikan
bersama. Tetapi, kesedaran ini hanya timbul setelah kemelesetan ekonomi
menjejas industri-industri mereka dan pengangguran yang amat ketara
melanda Amerika Syarikat.

9. Manusia tidak semestinya melalui peristiwa pedih sebelum insaf. Bagi
kita di Malaysia pengalaman masyarakat dan negara lain harus memberi
keinsafan dan mengukuhkan falsafah hidup kita yang mementingkan
persefahaman dan kerjasama.

10. Bagi sesebuah negara membangun, daya pengeluaran yang tinggi setiap
rakyat amat perlu bagi menjamin masa depan yang cerah dan
berjaya. Tentulah kestabilan dan keselamatan menjadi faktor utama yang
menyediakan 'environment' bagi peningkatan daya pengeluaran. Tetapi,
kestabilan dan suasana keselamatan yang wujud tidak akan membawa kesan
kepada daya pengeluaran jika rakyat tidak mempunyai orientasi dan sikap
positif terhadap daya pengeluaran.

11. Semasa meneliti Dasar Pandang ke Timur satu perkara yang menarik ialah
peningkatan pendapatan yang cepat di kalangan pekerja-pekerja di Korea,
Jepun dan Taiwan. Sebenarnya pekerja di ketiga-tiga buah negara ini dahulu
mendapat pendapatan jauh lebih rendah daripada pekerja Malaysia di waktu
yang sama. Tetapi, sekarang pendapatan mereka jauh lebih tinggi daripada
pendapatan pekerja Malaysia. Apabila dikaji kita dapati bahawa pelaburan
di ketiga-tiga negara ini meningkat dengan cepat kerana semua perusahaan
mendapat keuntungan yang besar. Keuntungan yang besar ini disebabkan oleh
produktiviti pekerja mereka yang tinggi. Apabila industri bertambah kerana
untung, bilangan pekerja yang menganggur menurun sehingga
syarikat-syarikat berebut-rebut untuk mengambil pekerja. Dalam keadaan ini
gaji terpaksa dinaikkan supaya pekerja tertarik dengan tawaran
syarikat. Lebih tinggi produktiviti, lebih untung syarikat, lebih banyak
pelaburan, lebih banyak pula pekerja yang diperlukan -- dan lebih
tinggilah gaji yang ditawar.

12. Sebaliknya di Eropah di mana tuntutan gaji tidak ada kaitan dengan
produktiviti, perniagaan merosot dan pengangguran bertambah sepanjang
masa.

13. Biasanya yang menjadi keutamaan kepada para pekerja ialah gaji yang
lebih tinggi dan kemudahan-kemudahan yang disediakan. Tetapi, gaji tinggi
dan kemudahan, jika tidak selaras dengan daya pengeluaran yang meningkat,
hanya akan memburukkan keadaan. Apabila gaji dinaikkan semuanya akan naik,
dan yang akan menderita ialah orang yang berpendapatan rendah. Bagi
mereka, mengikut pepatah Melayu, yang berlaku ialah "menang jadi arang,
kalah jadi abu". Hanya dengan peningkatan daya pengeluaran yang tinggi
sahaja yang akan menghalang inflasi mendahului kenaikan pendapatan.

Saudara-saudari sekalian, 

14. Kemelesetan ekonomi bukanlah alasan yang dibuat-buat untuk tidak
berbuat sesuatu bagi kepentingan kakitangan awam. Kakitangan awam kita
seharusnya berasa bertuah kerana di musim kemelesetan ekonomi inipun
Kerajaan sentiasa membuat penelitian untuk memperbaiki lagi keadaan
mereka.

15. Baru-baru ini Kerajaan telah meluluskan garis dasar mengenai memberi
peluang-peluang naik pangkat daripada skim perkhidmatan dalam kumpulan
rendah kepada skim perkhidmatan dalam kumpulan yang lebih tinggi, dengan
mengutamakan pengalaman dan kebolehan. Dengan itu, lantikan ke kumpulan
yang lebih tinggi tidaklah lagi berdasarkan hanya kepada kelayakan
akademik. Misalnya, seseorang Pembantu Teknik dalam Kumpulan B boleh
dilantik ke jawatan Jurutera dalam Kumpulan A sekiranya ia mempunyai
pengalaman dan kebolehan bagi jawatan yang tinggi itu.

16. Peluang ini juga terbuka kepada mereka di dalam Kumpulan C dan D yang
boleh dilantik ke jawatan dalam kumpulan yang lebih tinggi. Di sini saya
ingin tegaskan bahawa mereka yang benar-benar berpengalaman dan
berkebolehan sahaja yang berpeluang ditimbangkan oleh Kerajaan untuk
menyandang jawatan dalam kumpulan yang lebih tinggi itu. Kebiasaannya,
mereka yang berpengalaman ini adalah mereka yang telah berjaya untuk
ditimbangkan bagi memegang jawatan Tingkatan Kanan, Tingkatan Khas, dan
Tingkatan Tertinggi bagi satu-satu jawatan itu. Justeru itu
pekerja-pekerja awam hendaklah membuktikan kemampuan mereka menjalankan
tugas masing-masing.

17. Sebagaimana saudara-saudari maklum, Kerajaan telah mengumumkan
beberapa dasar baru setahun dua yang lalu. Salah satu yang menarik
perhatian kesatuan-kesatuan sekerja ialah dasar pengswastaan beberapa
perkhidmatan yang diuruskan oleh Kerajaan. Saya tidak hairan tentang
kecurigaan sebahagian daripada ahli kesatuan sekerja mengenai perkara
ini. Sudah tentulah ahli-ahli mengharapkan kesatuan melindungi kepentingan
mereka. Ini adalah sesuatu yang dijangkakan, dan dengan itu Kerajaan juga
mengharapkan kesatuan-kesatuan sekerja, seperti CUEPACS, MTSU dan
lain-lain, sentiasa cuba mendapatkan penjelasan yang wajar mengenai
dasar-dasar Kerajaan yang melibatkan kepentingan pekerja, dari masa ke
semasa.

18. Seperti yang saudara-saudari maklum, kakitangan awam yang terlibat
dalam urusan pengswastaan boleh memilih sama ada untuk terus berkhidmat
dengan Kerajaan, atau berkhidmat untuk majikan swasta yang baru. Inilah
pilihan yang ada pada dasarnya, tetapi Kerajaan sedar bahawa bagi mereka
yang terlibat, ada berbagai perkara lain yang terpaksa juga
ditimbangkan. Atas kesedaran inilah Kerajaan terus membuat kajian dan
semakan supaya kakitangan yang terlibat tidak mengalami kerugian.

19. Dengan semangat supaya seberapa ramai kakitangan yang terlibat tidak
akan rugi, Kerajaan akan melancarkan dasar pengswastaan ini dengan penuh
berhati-hati dan secara berperingkat-peringkat. Segala kelemahan peringkat
awal akan dikaji dan diatasi. Tetapi, saya yakin, sebahagian daripada
kakitangan yang terlibat akan mendapat keuntungan, sama ada dari segi
kewangan, pengalaman baru atau kepuasan kerja dan cabaran baru.

20. Walaupun masalah permulaaan atau 'teething problems' sudah tentu akan
timbul, terutama dari kaca mata kesatuan-kesatuan sekerja, saya berharap
kakitangan yang terlibat akan sentiasa memikirkan semangat atau 'spirit'
dan tujuan Kerajaan dalam melaksanakan dasar ini, yang antara lainnya
diharap akan mengurangkan beban kewangan Kerajaan dalam mengendalikan
perkhidmatan-perkhidmatan tertentu, dan juga bagi meningkatkan kecekapan
atau efisiensi menguruskannya. Seluruh rakyat, termasuklah kakitangan yang
terlibat dan keluarga mereka, akan menikmati keuntungan daripada
perkhidmatan yang baik. Sekiranya keuntungan kepada negara dan rakyat umum
sentiasa difikirkan, saya yakin apa-apa masalah pelaksanaan dasar ini
tidak akan menjadi isu dan persengketaan, tetapi akan dianggap sebagai
beban dan cabaran bersama yang harus diatasi oleh Kerajaan,
kesatuan-kesatuan sekerja dan pihak pengurusan badan-badan berkenaan
secara teratur, tenteram dan menguntungkan semua pihak.

21. Dasar Pengswastaan sedang dilaksanakan. Kerajaan telah memilih firma
swasta bagi mengendalikan Rangkaian Ketiga TV. Sistem aerobus yang akan
dilaksanakan di ibukota Kuala Lumpur juga akan
diswastakan. Perkhidmatan-perkhidmatan ini adalah perkhidmatan baru dan
belum ada kakitangan awam yang terlibat. Ini adalah salah satu langkah
berhati-hati Kerajaan, iaitu melaksanakan dasar ini dengan badan-badan
baru yang tidak melibatkan kakitangan awam. Dengan cara ini kita dapat
mempelajari dengan lebih mendalam selok-belok mengenai pengswastaan bagi
menjamin kejayaannya.

22. Saya harap kesatuan-kesatuan akan lebih sensitif terhadap isu-isu yang
sedang diperjuangkan, atau yang mendapat perhatian Kerajaan. Misalnya daya
pengeluaran. Kesatuan sekerja merupakan salah satu institusi yang
berpengaruh bagi menggalakkan ahli-ahli meningkatkan daya pengeluaran
mereka. Kerajaan telah melancarkan Bulan Daya Pengeluaran Negara baru-baru
ini, dan saya harap kesatuan-kesatuan sekerja akan memainkan peranan
mereka bagi memupuk semangat meningkatkan daya pengeluaran atau hasil
kerja setiap ahli masing-masing.

23. Daya pengeluaran yang lebih tinggi seharusnya mendapat sanjungan bukan
sahaja oleh majikan, tetapi juga oleh rakan sekerja dan masyarakat. Faktor
utama bagi mencapai cita-cita ini ialah kerajinan dan dedikasi, dan ianya
harus dipupuk di kalangan setiap peringkat ahli kesatuan.

24. Memang pernah terjadi bahawa yang rajin itu kadang-kadang disindir
atau dianggap tidak mengikuti norma kumpulan atau 'group'. Ini berlaku
bukan sahaja dalam perkhidmatan awam, bahkan juga dalam firma swasta, dan
ini sudah semestinya merugikan majikan, dan akhirnya pekerja-pekerja
sendiri yang akan rugi. Di sinilah kesatuan-kesatuan sekerja dapat
sama-sama berusaha untuk membawa kesan-kesan positif kepada peningkatan
daya pengeluaran. Kesatuan-kesatuan sekerja mestilah bersama-sama memupuk
nilai supaya kerajinan dimuliai dan dihargai di kalangan ahli-ahli. Dengan
usaha bersama oleh semua pihak bagi menanam tabiat kerajinan ini, kita
berharap daya pengeluaran negara kita akan meningkat dan kita akan
mencipta satu era yang lebih cerah bagi semua.

Saudara-saudari sekalian, 

25. Mengenai tuntutan-tuntutan oleh kesatuan-kesatuan sekerja perkhidmatan
awam, saya difahamkan MTSU telah mengemukakan beberapa rayuan kepada
Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam. Saya berharap, dengan hubungan
rapat antara MTSU dan JPA, beberapa perkara yang tidak menjadi halangan
kepada Kerajaan akan dapat ditimbangkan dari masa ke masa. Saya yakin,
beberapa perkara yang dikemukakan telah difikirkan oleh Kerajaan, dan
satu-dua tuntutan itu adalah di peringkat pertimbangan.

26. Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada MTSU kerana
memberi peluang kepada saya untuk berucap hari ini. Dan dengan ini juga,
saya dengan sukacitanya membuka Persidangan Dua Tahunan yang ke 17 MTSU
ini dengan rasminya.

Terima kasih.

 



 


 











 
Google