home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT (DR), KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 02/12/83 Tajuk/Title : PENERANGAN MENGENAI URUSAN PARLIMEN Tuan Yang Di Pertua, Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menerangkan kepada Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini mengenai perkara yang berkaitan dengan urusan Parlimen. 2. Dalam persidangan Dewan Rakyat pada bulan Julai yang lalu, Dewan ini telah meluluskan beberapa Rang Undang-Undang yang mana kemudiannya telah dibahas dan diluluskan pula oleh Dewan Negara. Rang Undang-Undang berkenaan adalah:- a. Akta Paten 1983; b. Akta Lembaga Kemajuan Ternakan Negara (Pembubaran) 1983; c. Akta Profesion Undang-Undang (Pindaan) 1983; d. Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 1983; e. Akta Probet dan Pentadbiran (Pindaan) 1983; f. Akta Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (Pindaan) 1983; g. Akta Taman Negara (Pindaan) 1983 h. Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 Tujuh daripada lapan Rang Undang-Undang ini telahpun diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang menjalankan tugas-tugas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang sekarang ini masih gering. Rang Undang-Undang yang belum diperkenankan ialah Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983. Tuan Yang Di Pertua, 3. Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 belum lagi diperkenankan kerana Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tidak bersetuju dengan beberapa bahagian daripada pindaan yang terkandung dalam Rang Undang-Undang itu. Bahagian-bahagian yang tidak diperkenankan ialah:- a. Perkara 66(5) berhubung dengan perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke atas Rang Undang-Undang, b. Perkara 150 berhubung dengan Perisytiharan Darurat, c. Perkara mengenai Jadual Kelapan kepada Perlembagaan yang menyentuh perkenan oleh Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri ke atas Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh dewan-dewan undangan negeri. 4. Oleh kerana Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tidak berkenan supaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pindaan-pindaan itu, maka terbuntulah usaha-usaha Parlimen setakat itu. 5. Saya sendiri selaku Perdana Menteri telah berusaha sedaya upaya merafak sembah penjelasan dan rayuan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja supaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pindaan-pindaan itu waktu saya mengadap Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja pada 13hb. Oktober, 1983 di Kota Kinabalu. Walau bagaimanapun, semua hujah-hujah yang saya kemukakan itu telah tidak diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Tuan Yang di-Pertua, 6. Sebagai langkah lanjut, saya telah meminta jasa baik Majlis Tertinggi UMNO supaya dapat mencari formula jalan keluar. Melalui saluran UMNO Ini kita telah menawarkan beberapa cadangan yang tidak mencemar maruah mana-mana pihak. 7. Walau bagaimanapun, cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh wakil-wakil UMNO kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja pada 20hb. November yang lalu di Istana Kayangan, Shah Alam telah tidak diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia. 8. Cadangan-cadangan itu semua merupakan pindaan-pindaan kepada pindaan-pindaan asal yang difikirkan boleh mengatasi kekhuatiran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Penyembahan tawaran pindaan-pindaan yang berkenaan meliputi ke semua Perkara 66(5), Perkara 150 dan Jadual Kelapan. Kerajaan berasa kecewa kerana kegagalan usaha ini. 9. Untuk mengelakkan kegelisahan rakyat, perutusan UMNO itu telah merafak sembah memohon Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja untuk membuat satu kenyataan, dan kenyataan inilah yang telah disiarkan atas nama Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, selepas majlis mengadap pada 20hb. November itu. 10. Perkembangan-perkembangan ini telahpun saya laporkan kepada Jemaah Menteri. Dalam konteks ini pihak Jemaah Menteri berpendapat adalah menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri supaya perkara ini dilaporkan kepada Parlimen. Maka inilah saya memaklumkan perkembangan-perkembangan ini kepada Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini pada hari ini. Tuan Yang di-Pertua, 11. Ingin saya tegaskan di sini bahawa tujuan Kerajaan mencadangkan pindaan-pindaan Perlembagaan adalah untuk melicinkan lagi pentadbiran negara supaya tidak timbul salah tafsiran mengenai peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan. Dengan adanya pindaan-pindaan itu perjalanan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan akan menjadi lebih jelas dan tepat. Tetapi saya merasa dukacita kerana ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah mengambil kesempatan memutar-belitkan perkara ini sehingga menjadi kecoh di kalangan rakyat. 12. Walau bagaimanapun pihak Kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini. Insya-Allah, usaha ini akan mencapai kejayaan akhirnya. Terima kasih. |