Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KUCHING, SARAWAK, 
Tarikh/Date 	: 	10/12/83 
Tajuk/Title  	: 	DI UPACARA PERLETAKAN BATU ASAS 
			BANGUNAN SATOK 




Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri
Sarawak; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya mengucap ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan juga
kepada Lembaga Simpanan dan Kemajuan Tanah, atau LCDA, kerana sudi
menjemput saya datang ke Kuching untuk merasmikan upacara Perletakan Batu
Asas Bangunan Satok ini.

2. Saya datang ke Sarawak dengan perasaan penuh gembira, bukan sahaja
kerana sambutan orang-orang Sarawak sentiasa begitu meriah dan
bersemangat, tetapi kerana tiap kali saya datang ke sini, saya nampak
pembangunannya semakin pesat.

3. Pembinaan projek Bangunan Satok ini merupakan satu projek yang akan
memberi peluang kepada Bumiputera menyertai lapangan perniagaan dengan
lebih teratur dan sempurna lagi. Saya berharap mereka yang akan mendapat,
atau yang telah dibahagikan kedai-kedai di kawasan ini, tidak akan
menjualkannya untuk mendapat keuntungan yang segera. Gunakanlah
kedai-kedai yang baru itu nanti bagi membuktikan Bumiputera boleh maju
seperti kaum-kaum lain dalam lapangan perniagaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan.

4. Setiap individu, setiap kaum dan masyarakat mempunyai maruah. Kita
tidak ingin dicemoh, disindir dan diperkecil-kecilkan oleh orang
lain. Sebagai satu golongan, bumiputera pun tidak ingin dicemoh, disindir
dan diperkecil-kecilkan. Kalau begitu kemahuan kita, tangggungjawab
meningkatkan maruah itu adalah ditanggung oleh setiap orang anggota
masyarakat bumiputera.

5. Salah satu lapangan di mana bumiputera hendak memelihara maruahnya
ialah lapangan perniagaan. Kita harus mengakui bahawa masih banyak lagi
yang mesti kita usahakan dan yang kita harus lakukan untuk mencapai
peringkat yang dicapai oleh kaum bukan bumiputera. Kita mestilah melangkah
lebih besar lagi untuk mencapai kejayaan seperti itu. Justeru itu,
sekarang ini bukan masanya untuk bumiputera mencari keuntungan jangka
pendek dan mencari jalan senang bagi keselesaan hidup masa kini. Kalaulah
begitu sikap kita, bumiputera bukan sahaja dicemoh dan diperkecil-kecilkan
oleh kaum lain, tetapi akan dicemoh dan diperkecil-kecilkan oleh keturunan
kita sendiri. Keturunan kita akan tahu bahawa ibu-bapa dan datuk-nenek
mereka telah menggadai maruah dengan tidak berusaha, tidak bekerja kuat
dan tamakkan wang untuk kesenangan beberapa tahun sahaja. Yang paling
sedih sekali apabila sebahagian dari keturunan kita mengikut jejak langkah
yang tidak sihat ini. Sekiranya ini terjadi, maka berpanjanganlah maruah
bumiputera tidak dapat ditebus.

6. Sebaliknya, sekarang ini janganlah berlaku lagi gejala kurang semangat
ini. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan di sini, dan bumiputera seluruh
negara, tidak mahu ini berlaku. Dengan itu kita berusaha
bersungguh-sungguh dan bertekad untuk mencapai kejayaan. Setiap usaha kita
ada hasilnya. Kejayaan kita hari ini akan kita nikmati dan nikmatnya itu
akan menjadi pendorong kepada generasi muda kita dan seterusnya. Semasa
hayat kita, kita harus meninggalkan sesuatu yang boleh dikenang oleh
keturunan kita. Kejayaan ini juga akan menaikkan maruah bumiputera. Saya
yakin tuan-tuan dan puan-puan mempunyai semangat kuat ini dan kita akan
berjaya.

Tuan-tuan dan puan-puan.

7. Sarawak akan menghadapi pilihanraya tidak lama lagi. Seperti
pilihanraya-pilihanraya yang lalu, saya pasti semua parti politik rancak
menegak prinsip dan perjuangan parti mereka. Berbagai perkara termasuk
mencaci dan mengutuk parti-parti lawan akan dilaungkan di sana-sini. Ini
termasuklah dakwaan bahawa satu-satu parti itu boleh melaksanakan itu dan
ini. Ada kata-kata yang boleh dikotakan, dan ada yang tinggal kata-kata
sahaja. Berkata-kata itu senang, apatah lagi di musim pilihanraya ini, di
mana ramai yang dapat memperkatakan dengan teori-teorinya, petikan dari
rujukan dan sebagainya. Tetapi melaksanakan apa yang dikatakan susah
sekali. Di musim inilah rakyat Sarawak sepatutnya berhati-hati supaya
jangan memberi kepercayaan kepada mereka yang pandai berkata-kata, tetapi
tidak bijak melaksanakannya.

8. Rakyat Negeri ini hendaklah juga memikirkan kestabilan dan masa depan
negara ini. Berkaitan dengan kestabilan ini, parti-parti yang berpengaruh
di kalangan satu-satu kaum dan puak sahaja tidak mungkin dapat menjamin
kestabilan. Kebanyakan parti-parti politik di negara kita ini dapat
menarik sokongan dari satu-satu suku kaum tertentu, tetapi sekumpulan
parti-parti itu telah berusaha bekerjasama supaya pertimbangan dan
tindakan mereka mengambil kira kepentingan semua kaum. Bagi menjaga
kestabilan, perpaduan dan hubungan rapat antara kaum supaya kemajuan
negara berjalan lancar, maka tertubuhlah Parti Perikatan, dan kemudiannya
diperbesarkan kepada Barisan Nasional. Walaupun parti-parti komponen
menarik perhatian satu-satu kaum, Barisan Nasional dapat memerintah dengan
menjaga kepentingan berbagai kaum negara ini. Dengan saling bekerjasama
antara semua parti komponen, maka dapatlah kita mewujudkan
kestabilan. Saya harap janganlah dibiarkan emosi kita sewaktu pilihanraya
ini mencacatkan perpaduan atau persaudaraan kita.

9. Dalam kontek perpaduan ini, saya berbangga bahawa Bahasa Kebangsaan
tidak menjadi isu kebangsaan lagi, tetapi dihebuhkan oleh satu dua
golongan semasa pilihanraya sahaja.

Memang ada kelompok-kelompok kecil di sana sini yang masih membangkitkan
hal ini, tetapi golongan mereka semakin lama semakin kecil, sehingga tidak
menjadi isu kebangsaan, tetapi isu pilihanraya untuk satu dua kawasan
tertentu. Ini disebabkan semakin hari semakin ramai dari kita yang
menyedari pentingnya satu bahasa bagi menjadi alat penghubung antara
rakyat negara ini.

10. Di musim pilihanraya ini timbul juga soal Kebudayaan
Nasional. Seolah-olah kebudayaan semua suku kaum akan hapus, dan
sebaliknya kebudayaan pribumi sahaja yang akan timbul dan yang lainnya
tenggelam. Saya telah mengambil peluang menerangkan hal ini beberapa
kali. Kita mengambil ciri-ciri dan pola-pola kebudayaan pribumi yang boleh
menjadi identiti, atau pengenalan kepada kebudayaan negara ini. Dalam kita
membentuk kebudayaan nasional, amalan kebudayaan kaum-kaum lain tidak
pernah dihalang dan ini dibuktikan dengan tindak tanduk kerajaan sejak
kita merdeka 26 tahun yang lalu. Selama 26 tahunlah kita telah membuktikan
bahawa kita tidak memaksa seseorang mengamal kebudayaan yang asing bagi
mereka.

11. Dari segi pembangunan, rakyat Sarawak patut berasa bertuah kerana
Kerajaan Negeri yang stabil selama ini telah dapat membawa kadar
pembangunan yang membanggakan di Negeri ini. Berbagai projek pembangunan
dalam sektor pertanian, perindustrian dan kemudahan infrastruktur telah
dilaksanakan sejak Sarawak memasuki Malaysia.

12. Walau bagaimanapun, ada golongan yang nampak pembangunan Sarawak ini
di Kuching dan Bintulu sahaja. Saya tidak nafikan bahawa terdapat beberapa
projek besar di dua tempat ini. Apabila sesuatu itu besar, maka senanglah
nampak. Yang kecil pula jarang kita nampak, tetapi yang kecil itu banyak
bilangannya. Yang sebenarnya, apa yang dikatakan kecil itu bukanlah kecil
setakat dua-tiga ribu ringgit, bahkan beratus ribu ringgit hingga perpuluh
juta ringgit. Dari segi pertanian, projek-projek melalui Lembaga Kemajuan
Tanah dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak, projek pertanian
bersepadu, dan sekim perairan memakan perbelanjaan beratus juta
ringgit. Pembangunan infrastruktur seperti jalanraya, jambatan, elektrik
dan air terus diperluaskan. Pembangunan dari segi pelajaran, kesihatan dan
aspek sosial yang lain berjalan terus dengan rancaknya. Kepada orang-orang
tertentu, terutama pemimpin parti-parti pembangkang, kalau dilihat pun,
projek-projek seperti itu diperkecil-kecilkan.

13. Seperti yang saya katakan tadi, memang terdapat beberapa projek besar
seperti di Bintulu. Kita mendapati projek LNG dan projek baja urea ASEAN
disana. Projek-projek seperti ini adalah projek pembangunan ekonomi yang
memberi hasil kepada negara. Misalnya, penjualan gas cecair asli ke luar
negeri membawa masuk aliran tukaran wang asing ke negara kita. Hasil
inilah yang kita gunakan untuk projek-projek pembangunan yang lain.

14. Rakyat Sarawak di pendalaman dan kawasan-kawasan lain tidak harus
berasa kurang senang apabila Kerajaan lebih membangunkan dua-tiga tempat
sahaja di Negeri Sarawak ini. Kalau kita perhatikan benar-benar,
projek-projek besar membuka peluang-peluang kerja yang banyak bukan sahaja
untuk penduduk setempat, tetapi juga untuk penduduk Sarawak dari
pendalaman dan tempat-tempat lain. Dengan itu, kita sendiri dapat melihat
projek-projek besar di Kuching dan Bintulu bukan sahaja memberi peluang
pekerjaan kepada penduduk setempat,tetapi dari tempat-tempat lain di
Sarawak. Apabila ramai rakyat Sarawak yang berkelayakan dan mempunyai
kemahiran yang diperlukan, saya pasti ramai lagi yang akan mendapat
peluang pekerjaan di projek-projek besar ini. Ini termasuklah mengambil
alih pekerjaan yang sekarang ini diuruskan oleh warganegara asing.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, 

15. Saya menyeru sekali lagi supaya penduduk Sarawak memikirkan kestabilan
dan kesejahteraan masa depan Malaysia dan juga masa depan Sarawak, apabila
diberi peluang memilih Kerajaan Negeri di pilihanraya akan datang
ini. Kerajaan Barisan Nasional dibawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato'
Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud telah membuktikan kebolehan dan
dedikasinya memperjuangkan nasib dan taraf hidup rakyat Negeri ini.

15. Akhirnya, saya mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Kerajaan
Negeri Sarawak dan LCDA kerana memberi peluang kepada saya melakukan
upacara Meletak Batu Asas Bangunan Satok ini.

Terima kasih.

 





 











 
Google