home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue	: 	HOTEL MERLIN, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	19/12/83 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN SEMINAR PENGSWASTAAN DAN 
			HAK TAWAR MENAWAR 




Yang Berbahagia Encik Mohd. Nor, Yang di-Pertua CUEPACS; Dif-Dif
Kehormat; Ahli-Ahli Jawatankuasa CUEPACS; Tuan-tuan dan Puan-puan
sekalian.

Sebelum saya bercakap berkenaan dengan pengswastaan, saya ingin berbicara
sedikit berkenaan dengan Kerajaan, tugasnya dan pembiayaannya. Mungkin
sebahagian dari ucapan saya ini berbunyi seperti syarahan akademik. Saya
memohon maaf terlebih dahulu.

2. Kerajaan pada asalnya cuma merupakan satu jentera untuk menjaga
keamanan dalam masyarakat supaya yang ganas dan yang pintar dalam
masyarakat tidak menindas, menganiaya atau menipu anggota masyarakat yang
lain yang tidak berani, tidak pintar dan yang lemah. Untuk tugas ini
pemerintah cuma memerlukan pasukan keamanan dan cara-cara mengadil. Untuk
mempertahankan negara, selain daripada pasukan pertahanan yang kecil yang
diketuai oleh pembesar, rakyat dikerah apabila perlu.

3. Soal kemasyarakatan seperti pelajaran, kemudahan-kemudahan awam,
kesihatan, kawalan perdagangan serta lain-lain bukanlah pada mulanya beban
dan tanggungjawab Kerajaan. Sama ada rakyat hidup sempurna atau tidak
adalah masalah rakyat. Maka dalam keadaan ini berlakulah perbezaan yang
amat ketara antara miskin dan kaya. Sebenarnya di masa dahulu apabila
Kerajaan cuma bertanggungjawab terhadap keamanan, rakyat terbahagi kepada
dua kelas sahaja -- orang kaya yang memiliki semua harta dan orang miskin
yang bekerja semata-mata untuk memberi hasil kerja mereka kepada
'landlords' dan orang-orang kenamaan yang turun-temurun. Pekerja hidup
sebagai 'serfs' atau 'peasants' atau hamba kepada tuan tanah. Pendapatan
mereka mencukupi setakat boleh hidup dan bekerja sahaja.

4. Keadaan ini tentulah tidak adil. Melalui proses evolusi dan revolusi,
peranan pemerintah ditambah supaya bukan sahaja dapat menentukan keamanan,
tetapi mencegah ketidak-adilan yang terdapat dalam masyarakat. Proses ini
berjalan sepanjang masa dan ideologi-ideologi dibentuk untuknya. Di antara
ideologi ini ialah ideologi 'welfare state', sosialisme dan
komunisme. Pada permulaan semua ideologi baru ini bertujuan untuk
mengurangkan ketidak-adilan melalui peranan dan tindakan yang lebih luas
oleh Kerajaan. Tetapi amalan dan kesan-kesan pelaksanaan ideologi-ideologi
ini tidaklah mendatangkan hasil seperti yang dijangkakan.

5. Dalam sistem komunis, rakyat dilepas dari belenggu feudalisme cuma
untuk dijadikan hamba kepada negara yang dipimpin oleh diktator. Kehidupan
rakyat tidak menjadi lebih baik, walaupun mungkin negara menjadi lebih
kuat.

Sebenarnya di kebanyakan negara komunis penindasan ke atas rakyat menjadi
lebih buruk dari sebelumnya. Keadilan tidak wujud bagi rakyat. Hasil usaha
mereka dibolot oleh negara untuk tentera dan pasukan keamanan yang besar
yang menindas rakyat.

6. Sistem sosialis tidak jauh bezanya dari komunis. Jika sosialisme tidak
membawa pemerintahan diktator di mana rakyat jadi hamba, ia akan membawa
anarki di mana semua orang boleh membuat apa saja sehingga tidak ada satu
kerja yang boleh diurus dan dijalankan dengan sempurna. Di beberapa negara
yang baru merdeka, penerimaan sistem sosialis menyebabkan ekonomi merosot
sehingga tercetus huru-hara, dan penjajahan secara langsung atau tidak
langsung oleh kuasa asing.

7. Satu variasi dari sosialisme ialah 'welfare state' di mana kononnya
pihak pemerintah negara akan melayan dan memelihara setiap orang
warganegara dari saat ianya dilahir sehingga ke liang lahad. Ini adalah
satu khayalan kerana untuk berbuat demikian maka pemerintah mesti
mempunyai ongkos. Ongkos pemerintah adalah daripada hasil yang dikutip
dari perniagaan, perusahaan dan perdagangan swasta. Dengan perkataan lain,
orang-orang yang bekerja untuk menjayakan perusahaan, sama ada eksekutif
atau pekerja biasa, mestilah rela membiayai elaun, bantuan dan subsidi
bagi semua rakyat. Ini bermakna orang yang bekerja inilah yang terpaksa
menanggung beban pemerintahan 'welfare state', bukan sahaja untuk dirinya,
tetapi juga mereka-mereka yang malas, yang tidak mahu bekerja dan yang
tidak berjaya menghasilkan keuntungan apa-apa yang boleh dikenakan cukai
oleh pemerintah. Bukanlah Kerajaan yang membiayai warganegara dari buaian
hingga ke liang lahad, tetapi pekerja sendiri yang membiayainya. 'Welfare
State' bukan bermakna negara atau 'state' yang memberi 'welfare', tetapi
rakyat yang rajin dan cekap yang menanggung beban 'welfare'. Lebih ramai
mereka yang memerlukan bantuan, lebih beratlah tanggungan rakyat. Di
United Kingdom, umpamanya, National Health Scheme dibiayai oleh yuran dari
rakyat. Sebaliknya di Malaysia yang bukan 'Welfare State', rawatan di
hospital hampir percuma dan rakyat tidak perlu membayar apa-apa yuran
tetap.

8. Dalam keadaan di mana bantuan perlu ditingkatkan, maka perusahaan dan
lain-lain mestilah membuat keuntungan yang tinggi, iaitu pengguna mestilah
membayar bayaran yang tinggi atau pekerja tidak mendapat tambahan
pendapatan daripada keuntungan yang bertambah. Sekali lagi bukan Kerajaan
yang membuat peruntukan, tetapi pekerja dan pengguna yang membiayai
tambahan ongkos yang diperlukan.

9. Jika perusahaan dimiliki oleh Kerajaan, kesannya sama sahaja jika ada
keuntungan. Tetapi jika rugi, dan banyak daripada perniagaan dan
perusahaan Kerajaan rugi, bukan sahaja pekerja tidak akan mengecap
keuntungan, tetapi sebahagian dari pendapatan Kerajaan daripada
punca-punca lain terpaksa diguna untuk membantu perusahaan dan perniagaan
yang rugi tadi; dan ini bermakna sebahagian daripada wang yang kononya
untuk membantu rakyat dari buaian ke liang lahad akan kehilangan.

10. Tuntutan untuk bantuan dalam 'welfare state' selalu bertambah. Ada
sahaja yang perlu dibantu. Orang yang tidak bekerja mesti dibayar 'dole'
atau diberi subsidi sara hidup.

'Dole' mesti ditingkatkan mengikut inflasi. 'Dole' tidak boleh dikenakan
cukai kerana tentulah ganjil jika bantuan diberi dan diambil balik
sebahagiannya sebagai cukai. Di beberapa negara Eropah, 'dole' yang
dibayar ialah 80% daripada gaji yang terakhir yang didapati oleh seseorang
pekerja. Seorang penyanyi yang biasa mendapat $10,000/- sebulan mesti
dibayar $8,000/- sebulan. Dengan bayaran 'dole' yang sebegini tinggi
adalah lebih baik tidak bekerja dari bekerja. Apabila terlalu ramai yang
tidak bekerja, maka bayaran 'dole' serta belanja Kerajaan tentulah
meningkat. Dalam masa yang sama perniagaan dan perusahaan tentulah
berkurangan, dan keuntungan dan cukai tentulah juga akan berkurangan. Jika
cukai turun dan belanja 'dole' naik, dari manakah akan datang peruntukan
Kerajaan? Tentulah jelas jika 'welfare state' ini hendak diurus dengan
jayanya, pekerja mestilah bekerja kuat dan menolong meningkatkan
keuntungan dan cukai Kerajaan. Sekali lagi jelas pekerja mesti membiayai
diri sendiri dalam 'welfare state'. Kerajaan cuma merupakan sekretariat
untuk memungut cukai dan membahagi-bahagikan kepada mereka yang tidak
bernasib baik, atau yang malas yang sengaja tidak mahu
bekerja. Demikianlah 'welfare state'.

Tuan-tuan dan puan-puan, 11. Sekarang saya berbalik kepada Kerajaan dan
tugas-tugas Kerajaan. Semakin sofistikated masyarakat, semakin banyak
peranan yang terpaksa dimainkan oleh Kerajaan. Dari semata-mata menjaga
keamanan dan pertahanan, Kerajaan terpaksa melibatkan diri dengan
pelajaran, kesihatan, pembangunan aneka jenis infrastruktur, dan kawalan
bermacam-macam kegiatan masyarakat. Kerajaan juga dikehendaki membangunkan
ekonomi dan menyusun semula masyarakat. Akhir-akhir ini, Kerajaan yang
tidak sosialis pun dikehendaki memasuki bidang perniagaan dan bersaing
dengan swasta.

12. Dengan lebih banyak kegiatan ini maka lebih banyak lagi bekalan wang
yang diperlukan oleh Kerajaan. Di masa-masa yang akhir ini pula, kemudahan
infrastruktur telah meningkat dari segi 'sophistication' dan belanja yang
diperlukan. Peningkatan ini bermakna cukai yang lebih banyak perlu
dipungut, yang mana ini membebankan lagi rakyat. Sebaliknya jika
infrastruktur moden ini tidak diadakan, pertumbuhan ekonomi akan tergugat
dan rakyat akan hidup di tahap yang rendah.

13. Sementara pihak swasta membayar gaji dari keuntungan perusahaan atau
perniagaan, Kerajaan membayar gaji dari cukai. Kutipan cukai ini dipungut
daripada swasta. Jika tugas Kerajaan bertambah, maka bilangan
kakitangannya akan meningkat, dan ini menyebabkan bilangan perniagaan
swasta tentulah berkurangan. Ini bermakna cukai yang boleh dipungut
daripada swasta akan berkurangan. Sebaliknya jika bilangan kakitangan
Kerajaan adalah kecil dan perniagaan dan perusahaan swasta besar, maka
cukai akan bertambah dan bahagian-bahagian untuk kakitangan Kerajaan yang
sedikit tadi tentulah lebih mudah dibiayai.

14. Untuk memahami perkara ini dengan lebih mudah, jika semua penduduk
sebuah negara berkhidmat dengan Kerajaan, maka tidak akan ada swasta yang
akan membayar cukai untuk membayar gaji kakitangan. Sebaliknya, jika semua
bekerja dengan swasta, pungutan cukai Kerajaan akan menjadi tinggi
sekali. Kedua-dua contoh yang keterlaluan ini tidak mungkin berlaku. Yang
mungkin ialah sebahagian menyertai swasta dan sebahagian lagi berkhidmat
dengan Kerajaan. Keadaan yang terbaik ialah lebih ramai yang bekerja
dengan swasta daripada yang berkhidmat dengan Kerajaan.

15. Di Malaysia bilangan yang berkhidmat dengan Kerajaan adalah tinggi
peratusannya berbanding dengan negara-negara lain. Di samping itu
perkhidmatan-perkhidmatan milik Kerajaan, seperti perkhidmatan keretapi,
pelabuhan, pos, telekom, televisyen dan radio, hospital dan lain-lain,
yang sepatutnya membawa keuntungan, biasanya rugi atau tidak begitu
menguntungkan.

16. Cukai yang dikutip dari swasta sekarang cuma cukup untuk perbelanjaan
mengurus sahaja. Untuk pembangunan, wang terpaksa dipinjam. Semakin tinggi
pinjaman, semakin tinggi kos mengurus kerana bayaran faedah dimasuk dalam
kos mengurus.

17. Berhadapan dengan masalah kos mengurus yang melambung naik, dan
kutipan cukai yang tidak meningkat seperti yang dijangkakan, maka Kerajaan
terpaksa mencari jalan keluar.

Satu daripada jalan keluar ialah memberhentikan pembangunan, tetapi ini
akan mejejas pertumbuhan ekonomi dan pertumbuhan cukai juga. Kita boleh
menghentikan pembangunan infrastruktur, seperti jalan, sekolah, telekom,
dan pelabuhan, tetapi kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi akan menjadi
lebih buruk lagi.

18. Kita boleh mengurangkan bilangan kakitangan Kerajaan melalui
pembuangan pekerja, atau 'retrenchment', tetapi ini juga menimbulkan
masalah. Kita boleh menurunkan gaji, tetapi ini tentu tidak popular.

19. Akhir sekali, kita boleh mencari jalan supaya perkhidmatan Kerajaan
diperkecilkan dengan memindah sebahagian daripadanya kepada swasta. Jika
ini boleh dibuat tanpa merugikan kakitangan Kerajaan, maka pembangunan
negara tidak akan terjejas. Jika kerana kecekapan pengurusan swasta,
perkhidmatan yang dahulu rugi atau tidak begitu menguntungkan menjadi
lebih untung, maka bukan sahaja pekerja tidak rugi, tetapi negara akan
menjadi lebih kaya dan Kerajaan akan dapat lebih banyak cukai. Jika
ditambah pula perolehan dari jualan bangunan, alat dan lain-lain harta
Kerajaan kepada swasta, bekalan Kerajaan untuk pembangunan yang tidak
boleh diswastakan tentu akan bertambah.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

20. Saya telah cuba memberi gambaran kenapa pengswastaan beberapa
perkhidmatan menarik minat Kerajaan. Kita tidak lupa akan kepentingan dan
nasib kakitangan Kerajaan. Tetapi kita percaya dan yakin bahawa
pengswastaan akan membawa banyak kebaikan kepada negara tanpa merugikan
pekerja yang terlibat. Sebaliknya ada kemungkinan pekerja akan dapat lebih
banyak nikmat.

21. Manusia tidak suka kepada perubahan. Tetapi kita tahu bahawa cuma
mereka yang berani mengubah nasib sendiri yang akan berjaya. Pengswastaan
adalah satu jenis perubahan. Perubahan ini adalah terancang. Kita tidak
perlu khuatir dengannya. Kita mesti berani menghadapi cabaran di hadapan
kita ini. Jika masalah timbul, kita akan mengatasinya.

Insya-Allah kita akan mendapat nikmat daripada pengswastaan. Walaupun pada
mulanya rancangan pengswastaan mengutamakan kepentingan Kerajaan dan
negara, tetapi matlamat sebenarnya ialah kebaikan bagi rakyat. Pekerja
juga termasuk dalam golongan rakyat dan tetap akan mendapat nikmat apabila
Kerajaan dan negara menjadi lebih teguh dan kaya.

22. Saya percaya CUEPACS pun tahu yang Kerajaan sekarang menentukan garis
panduan serta mengkaji implikasi kepada kakitangan awam, ekonomi dan Dasar
Ekonomi Baru, dan berbagai-bagai kesan lagi berhubung dengan pengswastaan.

Kerajaan juga sedar bahawa walau apapun panduan dan syarat yang dikenakan,
ianya tidak mungkin sunyi dari kecacatan, atau 'perfect'. Di waktu
perlaksanaan, sudah tentu banyak kelemahan akan didapati, dan kajian dan
tindakan terpaksa diambil supaya kelemahan-kelemahan ini dapat
diatasi. Yang penting ialah prinsip, dan prinsip pengswastaan ialah
sementara ia mungkin menguntungkan negara, masyarakat dan mungkin juga
pekerja, ia tidak seharusnya merugikan atau membelakangkan pekerja. Satu
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Unit Perancang
Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah ditubuh untuk membuat penelitian
dan kajian mengenai pelaksanaan konsep pengswastaan. Jawatankuasa ini
tidak akan lupa tentang nasib kakitangan Kerajaan yang terlibat, bahkan
akan mengutamakan soal ini.

23. Sepertimana kita semua maklum, pekerja terutama yang berjawatan
rendah, biasanya mendapat lebih banyak layanan dan jaminan atau 'security'
dalam perkhidmatan Kerajaan daripada pekerja swasta. Di antara layanan ini
ialah kemudahan pencen yang mana telah menjadi yang terbaik sekali dalam
dunia sejak semakan gaji tahun 1980.

24. Saya ingin membuat pengakuan di sini bahawa pemindahan kepada pihak
swasta tidak akan dibenarkan jika, mengikut kajian dan perhitungan yang
teliti dan mendalam, ianya akan merugikan pekerja dari segi pendapatan,
kemudahan dan pencen seperti yang dibenarkan oleh syarat
perkhidmatan. Tetapi sebaliknya, pekerja tidak boleh menghalang
pengswastaan semata-mata kerana mahu lebih dari apa yang dijamin dan
diberi oleh Kerajaan semasa berkhidmat dengan Kerajaan.

25. Setiap pekerja akan diberi option untuk memilih skim Kerajaan atau
skim swasta apabila diswastakan. Masa yang cukup akan diberi iaitu antara
satu atau dua tahun. Jika pekerja memilih skim Kerajaan, maka ia akan
kekal dengan skim itu sehingga pencen. Jika dalam masa khidmatnya dengan
perkhidmatan yang telah diswastakan didapati bahawa skim swasta menjadi
lebih baik, umpamanya jika bayaran bonus diadakan atau saham diuntukkan
khas bagi pekerja, maka pekerja yang memilih untuk kekal dengan skim
Kerajaan tidaklah berhak mendapat kemudahan atau nikmat ini.

Sebaliknya, mereka yang memilih skim swasta berhak mendapat segala
kemudahan yang biasanya tidak diberi kepada kakitangan Kerajaan. Tetapi
mereka yang memilih skim swasta tidak berhak mendapat segala kemudahan
yang sama seperti yang diberi kepada kakitangan Kerajaan, termasuk hasil
apa-apa semakan gaji yang mungkin dibuat oleh Kerajaan di masa hadapan.

26. Pemindahan dari skim asal Kerajaan kepada skim swasta dan sebaliknya
tidak boleh dibuat setelah pemilihan dilakukan dalam masa satu-dua tahun
yang ditentukan untuk membuat pemilihan di waktu pengswastaan
dilakukan. Hak memilih ini juga tidaklah untuk pekerja yang telah bekerja
dengan pihak swasta yang berkenaan sebelum syarikat itu mengambil alih
perkhidmatan Kerajaan.

27. Skim Kerajaan juga tidak boleh dituntut secara hak oleh pekerja baru
yang memasuki kerja selepas pengswastaan, atau oleh kakitangan asal
syarikat swasta yang telah mengambil alih perkhidmatan Kerajaan. Walau
bagaimanapun, tidak ada larangan terhadap syarikat berkenaan bagi
menentukan bahawa skim baru yang kurang baik menjadi sama atau lebih baik
daripada skim Kerajaan.

28. Asas-asas yang saya sebutkan di sini akan dijelas dan dijadikan syarat
kepada pihak swasta yang berminat untuk mengambil alih mana-mana
perkhidmatan Kerajaan. Begitu juga pekerja-pekerja yang terlibat akan
diberi tahu secara terperinci tentang syarat-syarat ini. Kedua-dua pihak
tidak boleh mencari kesempatan dari dasar dan usaha pengswastaan oleh
Kerajaan. Apa yang diperbuat ialah untuk kebaikan bersama, iaitu pekerja,
pihak swasta dan Kerajaan. Dan kepentingan ketiga-tiga pihak ini adalah
kepentingan negara.

Saya yakin kita semua akan mendapat nikmat dari usaha ini.

29. Sekianlah sahaja penjelasan saya berkenaan dengan pengswastaan. Segala
keraguan hendaklah diatasi secara musyawarah dan baik-sangka. Insya-Allah
kita akan menjadi lebih bahagia kerananya.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

30. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada CUEPACS kerana
memberi peluang kepada saya berucap pada pagi ini. Akhirnya, saya dengan
sukacitanya membuka Seminar Pengswastaan dan Hak Tawar Menawar ini dengan
rasminya.

 



 


 











 
Google