home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN 
			TELEVISYEN MALAYSIA 
Tarikh/Date 	: 	31/12/83 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN TAHUN BARU 1983 




Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera kepada
Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.

Dalam ucapan Selamat Tahun Baru yang pertama dibuat oleh saya pada tahun
lalu, saya telah menegaskan betapa kita perlu bersyukur bahawa Malaysia
tidak mempunyai bahaya malapetaka seperti gempa bumi, ribut taufan dan
lain-lain.

Sepanjang tahun 1982 kita sekali lagi terpelihara dari bermacam malapetaka
sama ada semulajadi atau yang disebabkan oleh keganasan manusia. Memang
benar baru-baru ini kita menghadapi banjir yang membawa maut kepada
beberapa orang. Memang benar kematian akibat nahas di jalan raya masih
diparas yang mengeciwakan. Tetapi kita terpelihara dari nasib yang menimpa
beberapa negara yang dilanda ribut taufan, gempa bumi, kebuluran,
pengangguran, peperangan dan penjajahan oleh kuasa-kuasa asing.

2. Dalam bidang ekonomi, sementara banyak negara-negara, termasuk negara
yang maju, mengalami kemerosotan yang teruk, kita di Malaysia, walaupun
terpaksa berjimat cermat lebih dari dahulu tetapi tidaklah hingga terpaksa
meminta bantuan luar, mengemis dan merana. Ekonomi kita masih kukuh, dan
peluang-peluang kerja masih begitu banyak, sehingga banyak kekosongan yang
tidak dapat diisikan oleh warganegara.

3. Dalam bidang politik dan keselamatan negara, kita terus stabil. Pada
bulan April yang lalu, kita telah mengadakan Pilihanraya Umum dalam
suasana yang tenang dan Parti Barisan Nasional sekali lagi diberi
kepercayaan meneraju Kerajaan Malaysia. Sepanjang tahun 1982 tidak ada
perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dan ancaman pengganas komunis
dapat dibendung dengan berkesan. Perhubungan kita dengan negara-negara
asing adalah baik dan persahabatan rapat telah dijalin dengan beberapa
negara kecil dalam konteks kerjasama negara-negara membangun, atau
'south-south cooperation.' 

4. Saya boleh senaraikan lebih banyak lagi nikmat yang telah kita terima
dalam tahun 1982. Sepertimana kita telah bersyukur dahulu, maka kita harus
bersyukur sekali lagi dengan perlindungan yang diberi kepada negara kita
daripada segala ancaman malapetaka dalam tahun 1982. Alhamdulillah. All
praise be to God. Segala puji kepada Allah subhanahu wataala.

5. Nikmat yang kita rasai ini ialah kerana kita menduduki sebuah negara
yang penduduknya tidak lupa daratan, tidak terlalu terpikat dengan
kebendaan. Perasaan kita terhadap negara ini adalah istimewa. Sama ada
kita dari keturunan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau lain-lain,
Malaysia adalah negara kita. Malaysia adalah negara yang kita tumpukan
taat setia kita. Malaysia adalah negara yang kita cintai.

6. Ramai warganegara Malaysia kerap lupa akan keistimewaan negara kita
ini. Tetapi apabila mereka berdagang ke negeri orang dan mereka merasai
berbagai jenis tekanan, bahkan ada kalanya mereka dihina atau dipandang
rendah, maka pada ketika itu mereka akan teringat kepada keistimewaan
negara sendiri. Apabila mereka balik ke tanah air, maka bukan sahaja
mereka akan merasai lega dan senang hati, tetapi perasaan kasih mereka
kepada negara sendiri akan menebal dan melanda hati mereka. Mereka akan
merasai perasaan ini apabila sahaja menjejak semula bumi bertuah Malaysia
tetapi ramai juga yang tidak mahu menyatakannya, kerana sentimen ini
kononnya "out of fashion." Kepada golongan seumpama ini, sekarang adalah
zaman untuk memburuk-burukkan negara sendiri.

7. Kita tidak menyuruh rakyat Malaysia mendabik dada dan bermegah-megah
tetapi kita tidak harus malu kerana kita cintakan negara kita. Pepatah
Melayu berkata "Hujan emas perak di negeri orang, hujan keris lembing di
negeri sendiri, masih juga kita inginkan negeri sendiri." Tidak ada
manusia yang berhati batu hingga ia tidak sedikit pun 8. Tidak ada satu
sebab mengapa kita tidak boleh menyayangi negara di mana kita dilahirkan
dan kita membesar.

Malaysia, negara yang terpelihara dari berbagai bencana, yang indah, aman
dan makmur, yang memberi perlindungan kepada kita, harus menjadi tumpuan
taat setia dan kesayangan kita sebagai tanda kesyukuran kita.

9. Tidak sesiapa meminta negara ini disayangi atau meminta rakyat memiliki
semangat patriotisme sehingga sanggup membelakangkan agama
kita. Kesayangan kepada negara ini tidak melibatkan tentangan terhadap
agama Islam khususnya. Memang benar jika patriotisme kita menimbulkan
perasaan sombong dan bongkak dan melibatkan peperangan dengan negara Islam
lain, seperti yang sedang berlaku di beberapa buah negara, ini adalah
bertentangan dengan Islam. Tetapi kita tidak berperang melainkan dengan
komunis iaitu musuh Islam.

Oleh itu adalah wajar kita memiliki semangat cintakan negara
sendiri. Semangat inilah yang dahulu menghancurkan Malayan Union dan
membawa kepada kemerdekaan. Oleh itu semangat kebangsaan, patriotisme
mestilah disanjung tinggi oleh rakyat, supaya kita terus sanggup
mempertahankan negara kita ini dari semua jenis serangan, yang bersenjata
atau yang tidak, dan kita sentiasa bersyukur dengan perlindungan yang
didapati darinya. Ingat Afghanistan. Yang berjuang untuk membebaskan
Afghanistan ialah orang Afghan sendiri. Hanya dengan semangat kebangsaan
sahajalah yang Afghanistan dapat dibebaskan. Orang lain yang bukan orang
Afghan cuma akan melafazkan simpati.

10. Semangat sayang kepada negara sendiri tidaklah bermakna semata-mata
menikmati segala kemudahan dan kebahagiaan yang boleh dikecap. Mereka yang
sayang kepada negara sendiri mestilah berasa bertanggungjawab untuk
menjadikan negaranya lebih baik, lebih kuat dan lebih dihormati. Setiap
warganegara mestilah mempunyai hasrat untuk menyumbang kepada pembangunan
negara yang dikasihi ini.

11. Semenjak kita merdeka, kita telah melancarkan beberapa rancangan
pembangunan. Tujuan kita ialah untuk membangunkan negara. Masanya sudah
tiba untuk kita memperkatakan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan
pembangunan. Apakah pembangunan cuma bermakna pembinaan jalan dan
lain-lain kemudahan untuk rakyat sahaja? Atau apakah pembangunan juga
bermakna menjadikan negara kita salah satu daripada negara yang maju yang
mempunyai kebolehan tersendiri dalam semua bidang? Ada pendapat dari dalam
dan luar negeri yang berkata memadailah jika kita dapat pendapatan yang
cukup dari pengeluaran bahan mentah. Ada pula yang mahu kita menjadi
negara perindustrian. Kita telah merasai pahit-manis nasib sebagai
pembekal bahan mentah. Sebaliknya, tidak mungkin kita menjadi negara
perindustrian tulen. Untuk menjamin kestabilan dan kekukuhan ekonomi dan
keselamatan negara kita, kita terpaksa bergantung kepada kedua-dua punca
kekayaan. Hanya kita berpendapat keupayaan kita dalam bidang industri
belum seimbang dengan peranan kita sebagai pembekal bahan mentah. Oleh itu
maka adalah mustahak kita tumpukan tenaga dan kekayaan kita kepada
pembangunan industri ke paras yang boleh membebaskan kita dari manipulasi
pasaran bahan mentah oleh negara-negara yang maju. Pengeluaran industri
kita mestilah mampu bersaing dengan keluaran dari negara-negara lain dalam
pasaran dunia.

Hanya yang perlu kita tuntut ialah hak berdagang dalam pasaran dunia
seperti juga negara lain berhak memasarkan barangan mereka di pasaran
kita. Strateji "import substitute industrialisation" mestilah diganti
dengan "export oriented industrialisation" yang tidak bergantung kepada
perlindungan dari Kerajaan untuk mendapat kejayaan.

12. Untuk menjayakan strategi ini kita perlu penyertaan rakyat secara
bersungguh-sungguh. Kita tahu rahsia bagi menjayakan matlamat kita dan
kita mempunyai bekalan tenaga dan material yang cukup untuk melaksanakan
rancangan kita. Tetapi tenaga dan material dengan sendirinya tidak memadai
. Lebih penting dari itu ialah kesanggupan rakyat di semua peringkat
bekerja dengan penuh didikasi dan disiplin. Janganlah kita cuai dalam
menjalankan tugas atau terlalu memilih kerja, atau kita enggan
berdisiplin. Janganlah kita fikir semata-mata berkenaan dengan kepentingan
diri sendiri tanpa mengambil kira kepentingan masyarakat dan
negara. Sebaliknya anggapkanlah pembangunan dan pencapaian matlamat negara
sebagai pembangunan diri sendiri, kerana sebenarnyalah pembangunan negara
akhirnya akan membawa kebahagiaan dan keuntungan kepada diri sendiri.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, 

13. Kita tidak semata-mata ingin menjadikan negara kita negara yang
berindustri, tetapi kita juga ingin persekitaran yang indah. Bagi tujuan
ini arahan telah diberi kepada semua agensi kerajaan dan kuasa-kuasa
tempatan untuk membersihkan kawasan dan memperindahkan alam sekeliling.

Hasilnya sudah pun dapat dilihat. Tetapi sekali lagi usaha seperti ini
tidak akan memberi hasil yang berpatutan jika rakyat tidak
bekerjasama. Bagi masyarakat yang tidak menjaga kebersihan dan keindahan,
seribu arahan dan seribu pekerja tidak akan dapat memperbaiki
keadaan. Oleh itu bersama-samalah kita berusaha menjaga alam sekeliling
kita, membersih dan mengindahkannya supaya tidak siapapun akan
keciwa. Jagalah kampung halaman, bangunan dan bandar, pantai dan taman
seolah-olah semuanya adalah milik kita sendiri. Sepertimana kita tidak
suka orang lain merosak dan mengotorkan alam sekeliling kita, begitulah
pula kita perlu menjaga kebersihan dan keindahan sekitar kita. Kekayaan
tidak bermakna, dan pembangunan tidak berguna tanpa "quality" dalam
kehidupan kita. Malaysia bukan sahaja harus membangun tetapi harus
indah. Akhirnya rakyat juga yang akan menikmati keindahan ini.

Tuan-tuan dan puan-puan.

14. Adalah menjadi satu amalan di kalangan orang Barat bahawa sebagai
menyambut tahun baru, mereka membuat resolusi-resolusi mengenai apa yang
akan diamalkan oleh mereka dalam tahun baru. Amalan ini adalah satu amalan
yang baik jika resolusi yang dibuat adalah untuk berbuat baik dan mereka
betul-betul mengamalkannya.

15. Memandang kepada ini mungkin ada baiknya jika pada hari kita menyambut
tahun 1983 ini, kita membuat beberapa resolusi. Bagi kerajaan, resolusinya
ialah untuk terpelihara dari segala macam bencana yang diramalkan akan
berlaku kepada negara kita. Segala usaha yang diperlukan meneruskan amalan
kepimpinan melalui tauladan, atau "leadership by example." 

16. Bagi rakyat pula, saya syorkan resolusi untuk hidup rukun damai antara
kaum dan keturunan, untuk menyingkirkan tabiat memilih kerja atau malas
bekerja, untuk mengukuhkan disiplin dan akhir sekali untuk menebalkan
semangat cinta kepada negara. Saya tujukan syor ini kepada semua rakyat
Malaysia, tidak kira keturunan atau agama. Bersama-samalah kita berganding
bahu untuk menghadapi cabaran tahun 1983, supaya kita dapat mendirikan
sebuah negara yang indah dan makmur, stabil dan kukuh yang dihormati oleh
dunia.

17. Saya memohon ke hadrat Allah subhanahu wataala supaya permintaan kita
dimakbulkan. Saya mengucapkan "Selamat Tahun Baru" kepada tuan-tuan dan
puan-puan dan saudara-saudari sekelian. Bersuka-sukalah secara sederhana
dan peganglah kepada resolusi-resolusi yang disarankan.

Mudah-mudahan kita akan mendapat kebahagiaan, Insyaallah.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.

 



 


 











 
Google