home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) Tarikh/Date : 31/12/83 Tajuk/Title : PERUTUSAN TAHUN BARU 1984 Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat sejahtera kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmatNya dapat sekali lagi saya berucap kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian sempena tahun baru 1984. 2. Kita semua patut bersyukur kerana sepanjang tahun 1983, negara kita sekali lagi terpelihara daripada malapetaka dan bahaya yang besar. Walau bagaimanapun banjir telah berlaku di beberapa kawasan di Malaysia. Ianya telah mengakibatkan kesusahan, kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa. Namun demikian kita harus bersyukur bahawa jentera Kerajaan yang bersiap-sedia untuk menghadapi keadaan telah menjalankan usaha-usaha bantuan dan pertolongan dengan licin dan teratur bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir itu. Jabatan-jabatan Kerajaan yang berkenaan, akan terus memberikan bantuan sewajarnya. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, sama ada dari Kerajaan atau badan-badan sukarela yang telah bekerja dengan tidak mengenal penat lelah untuk menolong membantu mangsa-mangsa banjir. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 3. Keadaan politik negara kita juga stabil. Ini membolehkan ekonomi terus kukuh dan berkembang, dan rakyat dapat menjalankan tugas tanpa merasa takut dan bimbang. Meskipun kita turut mengalami kesan-kesan buruk akibat kemelesetan ekonomi dunia, tetapi dengan berjimat cermat dan dasar fiskal serta kewangan yang realistik dan praktikal, kita dapat menghadapi kemelesetan ini dengan lebih berkesan dan berjaya, jika dibandingkan bukan sahaja dengan negara-negara membangun, tetapi juga dengan negara-negara maju. Peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan tetap wujud dan taraf kehidupan rakyat pada umumnya tidak terjejas. 4. Keadaan keselamatan negara juga adalah terjamin dan bertambah baik. Ancaman saki baki pengganas komunis di sempadan Malaysia-Thailand dapat kita bendung dengan berkesan. Percubaan penyokong-penyokong mereka dapat kita patahkan. Pasukan keselamatan kita sentiasa teguh dan sedia menghadapi apa juga cabaran. 5. Kestabilan, kemakmuran dan suasana aman damai yang kita nikmati ini adalah satu rahmat besar yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada kita. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita semua pula, untuk menentukan supaya keadaan stabil, makmur dan aman ini kekal abadi. Memang masih ada rakyat yang hidup miskin dan kurang sempurna. Sebab itulah kita perlu terus berusaha. Kerajaan akan terus menjalankan berbagai ikhtiar untuk menghapuskan kemiskinan. Kerajaan berazam untuk menentukan kehidupan yang wajar dan sempurna untuk seluruh rakyat yang rajin dan sanggup berusaha. 6. Sebagai satu bangsa yang sentiasa membuat perubahan dan melaksanakan rancangan yang boleh membawa kemajuan, kita sentiasa saja berhadapan dengan masalah, tuntutan dan cabaran. Salah satu cabaran yang paling menarik perhatian umum dalam tahun 1983 ini, ialah perkara pindaan perlembagaan. Alhamdulillah, salah faham dan kebimbangan yang timbul daripada hal ini telah dapat kita selesaikan menurut cara dan tradisi kita. Kejayaan ini memperkuatkan keyakinan Kerajaan, bahawa dengan sumbangan dan sokongan, serta perpaduan rakyat, tidak ada masalah yang tidak dapat kita selesaikan. Kita akan terus memelihara sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, 7. Sepanjang tahun 1983 ini, saya telah mengajak tuan-tuan dan puan-puan bekerja kuat dan mengamalkan etika kerja yang baik. Saya juga telah meminta tuan-tuan dan puan-puan sama-sama ikut menjayakan Dasar Pandang ke Timur, Persyarikatan Malaysia, Pengswastaan dan konsep serta dasar-dasar lain. Saya telah meminta tuan-tuan dan puan-puan sama-sama mengamalkan konsep Kepimpinan Melalui Teladan dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam segala bidang kehidupan. 8. Tidak ada dasar atau konsep dalam dunia ini yang baik seratus-peratus. Tentulah ada keburukan dan kelemahan padanya. Tetapi sebagai makhluk yang boleh berfikir kita boleh buang yang keroh dan ambil yang jernih. Dasar dan konsep yang telah kita tentukan tidaklah mempunyai banyak aspek yang keroh. Oleh itu kita tidak perlu menghabiskan masa membahas dengan panjang lebar kebaikan dan keburukan sementara dasar dan konsep tadi dibiarkan tanpa diamal dan dilaksanakan. 9. Di samping itu kita tidak sepatutnya terlalu taksub dengan kebendaaan dan mengukur sesuatu semata-mata dari segi keuntungan jangka pendek bagi diri kita. Kita juga harus berfikir tentang keuntungan bagi masyarakat dalam jangka panjang. Keuntungan masyarakat akhirnya akan membawa manfaat dan kebaikan kepada kita. Juga orang lain yang perlukan bantuan akan mendapat nikmat tanpa mengurangkan nikmat yang kita terima. Perasaan tamak, jika dijadikan asas kehidupan kita, tetap akan merosakkan masyarakat dan membawa bermacam malapetaka. Oleh itu dalam menjalankan tugas, janganlah kita fikir semata-mata tentang upahan, tetapi juga terhadap kemuliaan khidmat yang baik dan jujur. Insya-Allah, kita tidak akan rugi kerana kebaikan dan kejujuran kita. 10. Berkenaan dengan penerapan nilai-nilai Islam janganlah kita tumpukan semata-mata kepada larangan dalam Islam tetapi sebaliknya hendaklah kita amalkan tabiat dan sikap yang baik yang diutamakan oleh Islam. Kerajinan, amanah, kejujuran, bertimbangrasa, bertanggungjawab adalah nilai-nilai yang mulia dalam Islam dan masyarakat Islam mestilah mengamalkannya. Bagi orang bukan Islam nilai-nilai ini juga dipandang mulia dan tidaklah timbul percanggahan jika mereka juga mengamalkan nilai-nilai ini. Dengan ini maka masyarakat majmuk di Malaysia akan lebih kuat perhubungannya dan segala kebaikan yang datang dari amalan yang baik ini akan dikecapi oleh semua rakyat dari semua kaum dan agama. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 11. Pada saat-saat menjelang tahun baru 1984 ini, marilah kita berganding bahu, bekerja dan menunaikan kewajipan masing-masing dengan tekad dan azam yang lebih kuat. Matlamat kita ialah mewujudkan satu keadaan di mana setiap rakyat -- di mana juga mereka berada -- dapat hidup bahagia dan sempurna, dan menegakkan negara Malaysia yang maju dan bermaruah. Selamat tahun baru dan selamat sejahtera. Semoga Allah Subhanahu Wataala memberkati segala usaha kita. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |