Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 10/02/84
Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM ULANG
TAHUN SEMPENA MENYAMBUT JUBLI PERAK
BANK NEGARA MALAYSIA
Saya bersyukur kerana dapat bersama-sama hadir di majlis perayaan Jubli
Perak Bank Negara Malaysia malam ini. Setelah tiga minggu dalam musim
sejuk di luar negeri, keselesaan di negara sendiri tidak ada bandingannya.
2. Lawatan saya ke Kanada, Amerika Syarikat, Perancis dan Switzerland
adalah berfaedah sekali, lebih-lebih lagi kerana dapat melihat tanda-tanda
pemulihan ekonomi dunia dari kemelesetan yang paling buruk semenjak
1930an. Di Amerika, pemulihan ekonominya adalah semakin menggalakkan
dengan penjualan runcit, perumahan dan penjualan kereta
meningkat. Walaupun ramai yang masih bimbang dengan kurangan kewangan atau
'fiscal deficit', juga dengan kadar faedah yang tinggi, kebanyakan mereka
masih yakin bahawa pertumbuhan akan berterusan ke tahun 1985. Di Eropah,
pemulihan ekonomi negara-negara di sana masih lembab. Negara-negara
'welfare state' di Eropah mengalami pertumbuhan daya pengeluaran yang
perlahan dan pengangguran mereka berjumlah hampir sama banyak dengan
penduduk Malaysia. Walaupun tahun ini dikatakan tahun yang malang oleh
ahli-ahli nujum, tahun 1984 ini mungkin membawa perkembangan ekonomi
dunia, sekiranya tiada kekecohan politik yang menimpa kita semua.
3. Kita berwaspada dengan perkembangan sejarah yang genting di arena
antarabangsa dan dalam negara dewasa ini. Dunia masih mengalami perebutan
kuasa di antara kuasa-kuasa besar, dengan negara-negara kecil tersepit di
tengah-tengahnya. Banyak negara-negara kecil ini, oleh kerana perpecahan
dalam negara masing-masing, telah menjadi 'surrogate fighters' atau
berperang bagi pihak kuasa-kuasa besar. Tanahair mereka menjadi tempat
mencuba senjata-senjata pembunuhan yang terbaru. Secara kasarnya dunia ini
semakin hampir kepada pengorbanan besar-besaran apabila kuasa-kuasa
nuklear mengancam sama sendiri dengan meningkatkan pergeseran dan
penggunaan senjata di seluruh dunia. Dari segi ekonomi pula, pertumbuhan
ekonomi di Barat adalah berlandaskan peningkatan penggunaan atau
'consumption', dan tidak berlandaskan pelaburan atau 'investment' yang
perlu bagi pertumbuhan yang berterusan. Kita bimbang pemulihan ekonomi
Barat ini tidak berterusan. Walaupun Amerika dan Eropah telah sedar akan
cabaran kuat dari segi teknologi dan daya pengeluaran dari beberapa negara
timur Pasifik, mereka masih dalam peringkat awal menyesuaikan diri
menghadapi cabaran itu berlandaskan persaingan atau 'competitive
basis'. Sementara itu, mereka menggunakan 'protectionism' yang berbagai
bentuk yang membawa implikasi buruk kepada negara-negara membangun,
terutamanya negara-negara perusahaan yang sedang membangun, atau 'newly
industrialising countries'. Malaysia adalah salah sebuah daripada negara
yang mungkin ditafsir sebagai NIC jika kita berjaya dengan rancangan
perindustrian kita.
4. Di negara kita pula, di sebalik kurangan akaun bayaran luar yang
berterusan, harga-harga komoditi yang meningkat sejak pertengahan tahun
lalu telah mula memberi kesan yang menggalakkan kepada ekonomi
negara. Kita sepatutnya dapat keuntungan dari pemulihan ekonomi
negara-negara maju dengan pengeluaran yang bertambah, terutama dalam
sektor pertanian, perlombongan dan pembuatan. Pertumbuhan pada tahun 1984
ini sepatutnya di antara 6+ hingga 7 peratus. Di samping itu, kurangan
imbangan bayaran dan kurangan kewangan negara juga akan
berkurangan. Kerajaan akan terus memperkukuhkan kedudukan kewangannya dan
menyediakan kemudahan dan peluang bagi sektor swasta berkembang dalam
suasana kestabilan harga dan kestabilan kewangan. Ini memerlukan kedua-dua
sektor swasta dan awam berganding tangan dengan semangat Persyarikatan
Malaysia, menyusun semula operasi masing-masing dan bersaing dengan cergas
dan secekap-cekapnya di pasaran antarabangsa.
5. Perayaan Jubli Perak Bank Negara ini adalah satu peristiwa yang
gemilang dalam sejarah politik, ekonomi dan sosial kita. Kita mengalami
bukan sahaja perubahan dalam sistem bank tetapi juga keseluruhan suasana
sosial dan ekonomi kita. Selepas 27 tahun merdeka, generasi baru telah
mengambil tempat mereka dalam sistem bank, perusahaan dan perkhidmatan
awam. Mereka yang bersama-sama merebut kemerdekaan negara dan yang sempat
menyaksikan proses pembangunan negara pada awal kemerdekaan semakin
berkurangan. Dalam masa 10 tahun lagi, generasi muda yang lahir selepas
merdeka, dan bersekolah serta melanjutkan pelajaran di negara ini akan
menyertai kumpulan pemimpin-pemimpin kita. Kesan perubahan ini adalah
mendalam dengan cabaran yang baru dan dengan cabaran yang tidak dapat
diduga. Walau bagaimanapun kita tidak patut menentang perubahan
ini. Sebaliknya kita gunakan tenaga-tenaga baru ini bagi meneruskan proses
pembangunan negara. Malaysia sangat bertuah kerana mempunyai sumber-sumber
asli yang banyak, institusi-institusi yang kukuh, generasi muda yang
sentiasa sedia belajar, taraf pelajaran dan kesihatan yang tinggi, dan
tingkat pembangunan yang menarik perhatian negara-negara membangun yang
lain. Justeru itu tugas kita sebagai pemimpin bagi menjayakan semua ini
adalah berat. Kita patut menyediakan suasana untuk pertumbuhan, tetapi di
samping itu kita mesti berwaspada supaya kemajuan dijayakan melalui
evolusi dan kestabilan, dan supaya 'consensus' sosial dan perpaduan
dijagai di setiap peringkat pembangunan. Soalnya ialah apakah
syarat-syarat untuk pertumbuhan ini? Pengalaman menunjukkan bahawa
'entrepreneurship' dan innovasi, dan penyesuaian kepada idea-idea baru
adalah syarat-syarat yang perlu, tetapi ianya sahaja tidak mencukupi bagi
membawa perubahan. Kita bertuah oleh kerana kita mempunyai ramai
pengusaha-pengusaha yang gigih dan mempunyai asas yang kuat untuk
mewujudkan sebuah negara yang maju. Yang diperlukan ialah mewujudkan
suasana yang sesuai untuk pengusaha-pengusaha kita di kedua-dua sektor
swasta dan awam mencuba, mengubah dan membuat barang-barang baru,
perkhidmatan baru dan mencari pasaran baru untuk barang-barang perusahaan
dan pertanian. Industri-industri utama ini akan seterusnya menjadi agen
perubahan kepada ekonomi kita.
6. Dari segi ini, sistem bank boleh memainkan peranan penting sebagai
'catalyst' perubahan yang kita idamkan ini. Sebagai penyimpan tabungan
negara, sebagai penggerak simpanan dan saluran kredit yang penting bagi
penggunaan dan pelaburan, sistem bank sendiri mestilah sentiasa
berubah. Di bawah naungan Bank Negara Malaysia, sistem kewangan Malaysia
telah menyesuaikan dirinya dengan baik dengan perubahan masa dan perubahan
keadaan. Tetapi di tahun-tahun yang akan datang ini, jangkaan dan kehendak
pelanggan ke atas sistem kewangan akan meningkat, oleh kerana
perusahaan-perusahaan moden tidak berasas kepada asset tetapi sebaliknya
berasas kepada idea dan 'knowledge'. Industri baru seperti 'genetic
engineering', elektronik, cara-cara pengangkutan yang baru bukanlah jenis
industri yang boleh dinilaikan seperti yang berbentuk asset atau
harta. Asset mereka ialah pengetahuan yang tidak boleh ditentukan
nilainya. Oleh itu masanya sudah tiba untuk mewujudkan jenis modal yang
dikenali dengan nama 'venture capital'. Bank Negara mestilah mengkaji dan
merancang untuk membolehkan institusi kewangan mengeluarkan 'venture
capital' di mana kajian menunjukkan bahawa modal jenis ini adalah perlu,
dan menentukan cara-cara penilaian dan urusan supaya 'crackpots, cranks
and confidence tricksters' tidak mendapat peluang.
7. Khususnya, institusi-institusi kewangan mestilah mencipta mekanisme
kewangan baru bagi mengumpul jumlah tabungan yang diperlukan dan yang
penting bagi proses pembangunan. Pada tahun-tahun hadapan ini, Malaysia
akan memerlukan jumlah pelaburan yang tinggi bagi meningkat atau 'upgrade'
sektor perusahaan, pertanian dan perlombongannya supaya dapat terus
mengatasi segala persaingan. Di samping itu, semakin tinggi taraf hidup,
semakin tinggi jangkaan pengguna. Sistem bank mesti mencuba sedaya upaya
bagi menanam tabiat untuk menabung di kalangan muda-mudi kita, dan
menebalkan sifat melabur bagi masa depan dan bukan berbelanja untuk masa
kini sahaja. Kita mempunyai tradisi menabung yang tinggi. Kita mesti terus
menggunakan sewajar-wajarnya sumber-sumber yang terhad ini dan jangan
terperangkap dengan tabiat boros berbelanja. Terutamanya, bank-bank
perdagangan atau 'commercial banks' sebagai institusi yang paling rapat
dengan orang ramai mestilah menumpukan perhatian bukan sahaja kepada harta
dalam imbangan bayaran mereka, tetapi juga menggalakkan penabungan di
semua peringkat. Sistem bank mestilah sentiasa membantu Kerajaan dan
sektor swasta melalui kemudahan kewangan dan kepakaran profesional
mengenai kewangan.
8. Bank saudagar atau 'merchant banks' terutamanya mestilah melibatkan
diri dengan aktif memberi nasihat kepada agensi-agensi Kerajaan dan sektor
swasta mengenai 'viability' satu-satu rancangan atau projek dan
pembiayaannya. Tingkat kepakaran menilai dan menganalisa projek merupakan
jurang yang besar dalam kebolehan kita melaksanakan projek perusahaan yang
menguntungkan. Dengan hubungan antarabangsa atau 'international network of
contacts' dalam dunia banking dan perusahaan, bank-bank saudagar mempunyai
'back-up' yang diperlukan bagi menghulurkan bantuan kepakaran tersebut.
9. Lebih-lebih lagi bank-bank perdagangan boleh membantu sebagai orang
tengah atau 'intermediary' antara pelabur luar negeri dan pelabur tempatan
bagi menarik pelaburan asing untuk pembangunan negara. Mereka boleh
membawa 'partners' dari luar negeri yang mempunyai teknologi dan kepakaran
pemasaran. Mereka boleh membantu mencari pasaran baru untuk barang-barang
Malaysia dan kemudahan kewangan eksport untuk pengeksport-pengeksport
kita. Semua ini memerlukan usaha semua pihak yang terlibat bagi
mempastikan perkhidmatan-perkhidmatan ini disediakan bagi meningkatkan
eksport.
10. Saya memang bersetuju sekiranya dikatakan bahawa sistem bank adalah
industri rakyat atau 'people-oriented industry'. Penabungan tidak dapat
digalakkan melalui kempen-kempen, sekiranya rakyat tidak yakin dengan
sistem bank. Keyakinan ini timbul dari keyakinan terhadap amanah dan
kecekapan mereka yang menguruskan bank. Kita yang berkhidmat dalam
perkhidmatan awam juga sedar yang rakyat mengharapkan perkhidmatan yang
bersih, cekap dan amanah. Ahli-ahli bank pula mempunyai tanggungjawab yang
lebih besar oleh kerana mereka memegang secara amanah segala penabungan
rakyat kita, baik yang miskin dan yang kaya. Perkhidmatan kepada rakyat
adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh kita abaikan. Di samping
berusaha mencari keuntungan dan pertumbuhan di kalangan bank dan sektor
swasta, kita mesti sentiasa ingat yang kepercayaan dan keyakinan orang
ramai terletak dalam tangan kita.
11. Bersempena perayaan Jubli Perak ini, saya ingin mengucapkan tahniah
kepada Gabenor, Lembaga Pengarah dan semua kakitangan Bank Negara kerana
berjaya mewujud dan menyelenggarakan Bank Negara ini sebagai satu contoh
keutuhan dan keyakinan rakyat terhadap matawang kita. Keyakinan ini adalah
menepati inspirasi kita semua dan keyakinan itu diiktiraf oleh masyarakat
perdagangan antarabangsa.
Terima kasih.
|