Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	LADANG HAWTHORNDEN, SETAPAK, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	26/02/84 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN BANDAR BARU DI 
			LADANG HAWTHORNDEN 




Yang Berhormat Dato' Shahril Samad, Menteri Wilayah Persekutuan; Yang
Berhormat Datin Paduka Rafidah Aziz, Menteri Perusahaan Awam; Yang
Berbahagia Datuk Bandar Kuala Lumpur; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan
puan-puan sekalian.

Syukur Alhamdulillah kerana dengan limpah rahmat Allah maka dapatlah kita
sama-sama hadir di upacara merasmikan bandar baru di Ladang Hawthornden
ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima
kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan kerana memberi peluang kepada
saya untuk merasmikan majlis pada hari ini.

2. Bandar baru di Ladang Hawthornden ini merupakan bandar baru yang kedua
yang sedang dibangunkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Sepertimana
tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum bandar baru yang pertama dibuka,
ialah Bandar Baru Tun Razak yang mula dilaksanakan pada tahun 1975. Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur juga akan mengadakan bandar baru yang lain
termasuklah di kawasan Sentul dan Bukit Jalil dan kedua-dua projek ini
adalah dalam berbagai peringkat perancangan.

3. Projek bandar baru di Ladang Hawthornden ini bukan saja merupakan satu
pembangunan ke arah mewujudkan sebuah bandar baru yang moden, malahan
terdapat beberapa ciri yang tertentu yang patut dibangun dan
diperkembangkan.

Pertamanya, projek ini adalah dijalankan secara usaha sama di antara Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur dan sebuah syarikat tempatan. Penglibatan pihak
swasta dalam projek ini mencerminkan hasrat Kerajaan membangunkan negara
kita ini menerusi konsep Persyarikatan Malaysia. Saya mengucapkan tahniah
kepada Dewan Bandaraya dan Syarikat Paremba di atas usaha samanya
melaksanakan projek yang besar ini.

4. Saya juga difahamkan bahawa perancangan bandar baru di Ladang
Hawthornden ini memberi peluang serta membantu usaha-usaha ke arah
memperkenalkan beberapa cara pembinaan yang lebih moden dan cepat lagi
bukan sahaja kepada kontrektor-kontrektor tempatan malahan juga kepada
para pekerja itu sendiri. Usaha-usaha pemindahan teknologi moden di dalam
industri pembinaan ini adalah merupakan satu cabaran kepada
kontrektor-kontrektor pembinaan, khususnya kontrektor-kontrektor
bumiputera agar mereka tidak ketinggalan.

5. Dalam projek sebesar ini tentulah penggunaan beberapa teknologi moden
akan lebih berkesan, cekap dan menguntungkan, di samping dapat
mempercepatkan lagi tempoh siapnya pembinaan rumah-rumah yang
dicadangkan. Saya merasa bangga mengetahui bahawa sebilangan besar
daripada pekerja-pekerja di projek ini merupakan rakyat tempatan dan
mereka ini nampaknya sudahpun dapat menyesuaikan diri dengan penggunaan
kaedah teknologi yang moden itu.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

6. Seperti mana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum Kerajaan bersetuju
dengan cadangan menjual rumah-rumah pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
kepada penyewa-penyewanya. Saya telahpun diberitahu yang dasar tersebut
telahpun mula dilaksanakan. Rumah-rumah pangsa ini semenjak dari mula
dahulu lagi sememangnya dibina untuk disewakan dengan sewaan bulanan yang
rendah berbanding dengan kadar sewaan rumah-rumah di sektor swasta di
sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Tetapi dengan kelulusan tersebut
ianya bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban kos penyelenggaraan
bagi pihak Dewan Bandaraya malahan juga membantu ke arah mencapai matlamat
Kerajaan untuk memberi peluang kepada seberapa ramai yang mungkin dari
keluarga di negara ini untuk memiliki sebuah rumahnya yang
tersendiri. Sukacita saya menyatakan di sini bahawa melalui projek
usahasama ini boleh dikatakan kebanyakan daripada rumah-rumah yang akan
dibina nanti akan dijual terus kepada orang awam. Pihak Dewan Bandaraya
mungkin akan mengekalkan sebilangan kecil rumah-rumah tersebut untuk
tujuan disewakan kepada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa
dipindahkan disebabkan terlibat dengan projek-projek pembangunan Kerajaan.

7. Kerajaan bersetuju dengan corak perancangan pembangunan di bandar baru
ini yang lebih menekankan ke arah menyediakan kemudahan-kemudahan
sosio-ekonomi yang lengkap bagi sesuatu bandar. Rekabentuk kawasan
kediaman juga memberi penekanan khusus ke arah mencapai jalinan hubungan
interaksi antara penduduk yang lebih kerap. Adalah diharapkan ianya akan
dapat melahirkan satu masyarakat yang lebih padu dan bertimbangrasa serta
mempertingkatkan lagi perasaan saling hormat menghormati antara satu sama
lain di samping memupuk semangat bekerjasama dan bertanggungjawab. Ingin
saya tegaskan di sini bahawa sama ada bandar kecil ini menjadi penginapan
yang selesa dan indah bergantung bukan kepada bangunan dan infrastruktor
yang disediakan tetapi kepada pilihan penghuni rumah-rumah ini. Tidak ada
pentadbiran yang boleh mengawal dan menjaga kesempurnaan mana-mana bandar
jika penduduknya sendiri tidak bersama-sama memelihara kesempurnaan ini
dan memberi kerjasama kepada pihak yang dipertanggungjawabkan secara
rasmi. Jika kita semua patuh kepada peraturan-peraturan dan berbangga
dengan keadaan alam sekeliling kita, bukan sahaja kehidupan kita akan
menjadi lebih bahagia, bahkan perbelanjaan untuk menjaga kawasan di
sekitar kita akan berkurangan. Dan tabungan yang didapati dari pengurangan
belanja ini boleh dibelanjakan untuk lain-lain kepentingan kita.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

8. Satu fenomena yang tidak dapat dielakkan yang berpunca dari pembangunan
yang pesat ialah penghijrahan penduduk-penduduk kampung ke
bandar-bandar. Aliran ini berlaku kerana di bandar-bandar peluang kerja
adalah lebih banyak. Bandar pula mempunyai bermacam jenis hiburan dan
peristiwa yang menarik. Kehidupan di bandar juga boleh dikatakan lebih
murah dari di kampung kerana lebih banyak barang perlu dan tidak perlu
boleh didapati yang tidak tertekan dengan kos pengangkutan. Apa yang
meningkatkan kos kehidupan bandar ialah kediaman dan keinginan
berlumba-lumba dari segi cara hidup dengan jiran-jiran.

9. Kerana penghijrahan inilah di bandar-bandar kita, kita dapati banyak
kawasan setinggan. Di sini terdapat ramai yang baru berhijrah dari
desa. Keadaan di kawasan setinggan amatlah tidak sempurna. Sebenarnya
keadaan adalah lebih buruk dari keadaan di kampung.

10. Kerajaan memang berhasrat supaya ramai dari penduduk kampung berhijrah
dan tinggal di bandar-bandar. Maksud Kerajaan bukanlah supaya mereka
menukar kehidupan kampung dengan kehidupan sebagai setinggan. Maksud
Kerajaan ialah supaya penduduk-penduduk dari kampung mendapat keselesaan
hidup yang ada di bandar-bandar. Kawasan setinggan dan kehidupan sebagai
setinggan tidaklah mencerminkan keselesaan kehidupan di bandar.

11. Hakikat yang mesti diterima ialah tempat tinggal di bandar memerlukan
lebih banyak perbelanjaan daripada tempat tinggal di kampung, walaupun
dari segi lain-lain perbelanjaan di bandar mungkin rendah
sedikit. Hakikatnya juga ialah rumah berasingan seperti di kampung tidak
dapat dibina dalam bandar oleh majoriti terbesar penduduk bandar.

Perumahan di bandar mestilah mengambilkira kos tanah yang amat tinggi dan
betapa sukarnya untuk mendapatkan kawasan tanah. Oleh itu lebih ramai
penduduk terpaksa dan mesti menduduki di atas satu ekar tanah di bandar
berbanding dengan satu ekar di luar bandar.

12. Jika kita ingin tinggal di bandar hakikat ini mesti diterima. Untuk
menurunkan kos tanah, dan dengan itu kos perumahan, kita mesti sanggup
untuk tinggal di rumah bertingkat-tingkat atau berderet-deret. Juga kita
mesti sanggup tinggal di rumah sewa, bahkan berkongsi bilik atau flat jika
sewa mahal. Bagi orang bujang kehidupan tidak boleh seperti orang yang
sudah berkeluarga. Jika belum mampu berkeluarga, tunggulah dahulu sehingga
mampu berkahwin.

13. Janganlah kita angkuh dan berkata kita tidak sanggup tinggal dalam
flat. Di kampung pun, di waktu kita tinggal dengan ibu bapa, kita bernasib
baik jika kita dapat bilik sendiri. Biasanya kita berkongsi bilik bila
bujang ataupun hampar tilam di mana-mana sahaja bila tiba masa tidur. Saya
sendiri pun kongsi bilik kecil dengan abang saya di masa bujang dan
tinggal di rumah ibu bapa saya. Pendek kata kita memang biasa dengan
kehidupan dalam keadaan sempit. Flat-flat di bandar biasanya lebih selesa
daripada keadaan di rumah ibu bapa kita. Sudah tentu flat di bandar adalah
lebih selesa dari rumah-rumah setinggan. Jikalau kita anggap rumah
setinggan kita lebih baik dari flat, ini bermakna kita mampu menyewa atau
membeli rumah kos rendah yang dibangunkan oleh Kerajaan atau swasta.

14. Kawasan-kawasan setinggan sekarang boleh dibangunkan dengan cara yang
membolehkan lebih ramai tinggal di kawasan yang berkenaan. Dengan ini maka
ramailah yang akan hidup lebih sempurna dalam bandar. Kerajaan sedia
membantu untuk tujuan ini jika setinggan-setinggan sendiri sanggup
berkongsi nikmat. Janganlah kita hendak kawasan setinggan kita untuk kita
sahaja atau hendak rumah banglo milik sendiri yang didapati percuma atau
dengan harga murah atau sewa yang lebih rendah dari sewaan rumah setinggan
kita.

Janganlah pandang hina kepada hidup dalam flat. Dan janganlah anggap
bahawa kerana kita tak mampu beli tanah maka kita berhak atas tanah orang
lain. Sepertimana kita tidak suka harta kita dirampas orang, kita
janganlah anggap harta orang adalah hak kita, dan jika tuan punya
memerlukan balik harta mereka maka mereka mesti bayar pampasan kepada
kita.

15. Kita sekarang ini sedang cuba menyemai nilai-nilai yang baik di negara
ini. Bukan sahaja mereka yang berada harus mengamalkan nilai-nilai yang
baik ini tetapi kita semua mesti mengamalkannya. Jika kita terima bahawa
kemiskinan memberi hak kepada kita membelakangkan nilai yang baik, makan
huru-hara akan melanda masyarakat. Yang baik adalah baik samada kita
berada atau tidak berada. Begitu juga yang buruk adalah buruk tanpa
mengira miskin atau kaya.

16. Sebenarnya masalah perumahan boleh diatasi oleh masyarakat
kita. Kerajaan mempunyai cara dan rancangan untuk ini. Tetapi apa jua cara
dan rancangan sekali pun tidak mungkin berjaya jikalau tiap seorang dari
kita mahu kehendak diri sendiri dilayan sepenuhnya.

17. Ada sahaja orang yang hendak jadi jaguh yang kononnya ingin
memperjuangankan hak setinggan-setinggan. Mereka suka setinggan tinggal
sebagai setinggan, kerana jika tidak ada setinggan mereka tidak ada
peluang jadi jaguh. Bukan kepentingan setinggan yang mereka
perjuangkan. Mereka perjuangkan kepentingan mereka sendiri. Jika harta
mereka dirampas walaupun untuk kebaikan setinggan, reaksi mereka berbeza
sekali.

18. Pada hari kita merasmikan rancangan perumahan untuk rakyat ini saya
ingin merayu kepada semua pihak, terutama setinggan-setinggan supaya
memberi kerjasama kepada Kerajaan. Insya-Allah masalah kehidupan dalam
bandar akan dapat diatasi dengan lebih awal jika kita sanggup korban
sedikit sebanyak kemahuan kita. Akhirnya kita semua akan dapat hidup
sempurna.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

19. Selain daripada merasmikan bandar baru ini, saya juga diminta untuk
memberikan nama kepada bandar baru ini. Jadi sejak beberapa hari yang lalu
saya telah memikirkan berbagai-bagai nama dan pada hari ini saya ingin
memberikan nama yang telah dipilih itu. Saya berharap tuan-tuan dan
puan-puan sekalian bersetuju dengan nama bandar baru ini.

Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan bandar baru yang diberi nama
"WANGSA MAJU", iaitu pendekan kepada "Bandar Baru Titiwangsa Maju".

Terima kasih. 
 



 


 











 
Google