Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : CHANGKAT PAVILLION, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 01/03/84
Tajuk/Title : PERASMIAN PAMERAN
Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur pameran ini JETRO kerana
memberi peluang kepada saya untuk memberi sepatah-dua kata di majlis ini.
2. Sebagai sebuah negara membangun yang sedang berusaha untuk
melipatgandakan prestasinya dalam berbagai bidang, Malaysia harus berusaha
untuk mempelajari apa-apa jua yang dapat membantunya. Negara Jepun
diterima umum, termasuk oleh dunia Barat, sebagai contoh kejayaan dunia
moden.
3. Dasar Pandang ke Timur adalah berdasarkan kesedaran ini. Ia bukan
bermakna Malaysia cuma akan membeli daripada Jepun atau negara-negara
Timur lain sahaja, ataupun mempelajari daripada Jepun atau Korea Selatan
sahaja. Dasar ini adalah usaha ke arah memperimbangkan hubungan
kita; kalau dahulu pengaruh Barat diterima hampir bulat-bulat, sekarang
kita mahukan pengaruh yang baik tidak kira dari mana-mana sahaja, asalkan
berfaedah kepada kita dan tidak bercanggah dengan nilai-nilai baik yang
kita sanjung tinggi.
4. Dasar Pandang Ke Timur mementingkan etika kerja, cara pengurusan dan
ketabahan bekerja dan lain-lain faktor positif yang membawa kejayaan
kepada negara-negara Timur yang berjaya. Kita harus sanggup belajar. Barat
pun sekarang sudah sedar dan merekapun sedang berusaha untuk belajar dari
Timur. Korea sendiripun, mengikut laporan baru-baru ini mahu mempelajari
dari Taiwan. Jadi bagi Malaysia yang masih jauh ketinggalan tentulah logik
bagi kita belajar dari mereka yang berjaya.
5. Salah satu bidang kejayaan negara Jepun ialah teknologi. Sekarang
negara Jepun bukan sahaja dapat menandingi negara-negara maju di Barat,
bahkan ia lebih maju dan berjaya dalam setengah-setengah bidang. Barat
telah takut dengan kejayaan Jepun hinggakan mereka telah cuba melindungi
pasaran mereka.
6. Jepun dapat menguasai pasaran dunia kerana semua sektor di Jepun
bertindak sebagai satu perkongsian hinggakan ditakrifkan sebagai 'Japan
Incorporated'. Orang Jepun sedar dengan hakikat bahawa kejayaan mereka
bergantung kepada kesanggupan mereka untuk bekerjasama sebagai satu
pasukan. Mereka bekerja kuat, taat kepada majikan dan organisasi, bekerja
dengan disiplin sebagai satu pasukan, berdedikasi dan bermotivasi. Hari
ini mereka berjaya, dan kita tidak harus iri-hati dengan kejayaan mereka
bahkan kita harus belajar daripada pengalaman kejayaan mereka.
7. 'Japan Technofair 84' ini dengan jelas membawa kejayaan negara Jepun
bagi tatapan rakyat Malaysia. Berbagai aspek yang dipamerkan, termasuk
teknologi moden seperti penggunaan robot dalam perusahaan, menunjukkan
kepada kita, khususnya rakyat Malaysia, betapa kita jauh ketinggalan dan
betapa pentingnya kita memberi keutamaan bagi mempertingkatkan kemampuan
kita dalam bidang teknologi.
8. Malaysia amat bertuah. Kalau dibandingkan dengan kebanyakan negara
membangun, kita mempunyai hampir semua faktor yang boleh kita gerakkan
bagi kejayaan yang berlipat-ganda daripada apa yang kita telah capai. Cuma
yang kita amat perlukan ialah apa yang pernah saya ulangi, iaitu intisari
Dasar Pandang Ke Timur -- etika kerja, cara pengurusan, serta disiplin dan
dedikasi. Perkara-perkara ini, walaupun tidak mudah untuk dipelajari,
tetapi jika ada kesedaran dan kemahuan tidak ada apapun yang
mustahil. Yang menjadi mustahil ialah kerana bendungan sikap negatif yang
terlalu memikirkan masalah-masalah daripada keutamaan menggunakan
peluang-peluang yang terdapat, dan terlalu banyak berhujah daripada
berusaha dan bertindak.
9. Berkenaan pemindahan teknologi, pengusaha-pengusaha dan penulis-penulis
tempatan sering mengecam pengusaha-pengusaha asing kerana enggan memindah
teknologi kepada kita. Sementara ada bukti bahawa sikap ini wujud, tidak
kurang pentingnya ialah sikap dan kesanggupan kita menerima teknologi
baru. Negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong menghadapi
masalah keengganan pengusaha asing memindah teknologi sama seperti yang
dihadapi oleh pengusaha Malaysia. Tetapi adalah jelas bahawa mereka
berjaya menguasai teknologi baru dan mengadakan perusahaan mereka
sendiri. Jika pemindahan teknologi tidak berlaku di Malaysia, separuh
daripada halangan itu adalah berpunca dari diri kita sendiri. Biasanya
kita tidak mahu meluangkan masa atau berusaha untuk mempelajari teknologi
asing. Ada yang berpendapat mereka sudah tahu dan tidak perlu diajar. Ada
juga pegawai teknikal dari Malaysia yang dengan angkuh berkata kepada
saya, apa dia yang hendak kita pelajari dari Jepun? Orang Jepun pun
belajar dari orang Barat. Lebih baik kita belajar dari sumber asal. Tetapi
ini kata-kata sahaja. Mereka tidak juga mencari dari Barat.
10. Sikap yang seperti inilah yang menyebabkan kita ketinggalan,
berbanding dengan Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, bahkan juga
Singapura. Orang seperti ini tidak dapat melihat kejayaan apabila kejayaan
berlaku, walaupun di hadapan mata mereka. Dan apabila gagal mereka
salahkan orang.
11. Industri elektronik berkembang maju di beberapa negara Timur. Di
Malaysia kita telah lama mengeluarkan 'microchip' dan komponen elektronik
yang lain. Tetapi belum ada satu pun industri tempatan yang mencipta
barangan buatan yang menggunakan 'microchip' dan komponen yang kita
keluarkan dengan banyak. Sebaliknya syarikat-syarikat asing yang
mengeluarkan barang ini sanggup dibekal dengan bermacam-macam bahan
separuh proses daripada kita. Tetapi kita tidak berusaha untuk mendapatkan
teknologi bagi mengeluarkan barangan ini sendiri.
12. Memang benar pemindahan teknologi tidak dapat dilakukan dengan
mudah. Tetapi pemindahan berlaku sepanjang masa. Jika tidak, tentulah
sesuatu teknologi baru dikuasai oleh beberapa orang penciptanya
sahaja. Perkembangan perusahaan yang menggunakan teknologi baru berlaku
kerana teknologi tetap dipindah dari pencipta kepada siapa sahaja yang
sanggup membelinya. Jika kita tidak dapat teknologi baru, soallah diri
kita dahulu sebelum kita kritik dan kecam orang lain.
13. Kita tidak mempunyai banyak masa untuk disia-siakan. Kalau boleh kita
mesti mencari cara singkat atau 'shortcut' bagi mencapai sesuatu. Seperti
kata pujangga 'fools learn from their own mistakes, wise men learn from
other people's mistakes', kita harus mempelajari daripada pengalaman orang
lain.
14. Dasar Pandang Ke Timur lahir daripada kenyataan kejayaan beberapa
negara di Timur. Ketika dunia di persimpangan -- ketika dunia berhadapan
dengan berbagai krisis seperti ekonomi, politik, keselamatan, dan
lain-lain, cuma yang buta hati dan angkuh sahaja yang tidak sanggup
menilai kelemahan diri dan belajar daripada mereka yang terbukti berjaya.
15. Menyentuh tentang import-eksport Malaysia-Jepun, kira-kira 90% eksport
Malaysia ke Jepun merupakan bahan-bahan mentah dan komoditi utama. Ini
sangat berbeza dengan import negara ini dari Jepun yang keseluruhannya
merupakan mesin-mesin perkilangan dan barangan siap. Pemasaran bahan
mentah tidak dapat dikuasai oleh pengeluar tetapi sebaliknya ditentukan
oleh pengguna, dan, yang lebih berpengaruh lagi ialah speculators dan
badan-badan pemasaran seperti LME, NYME, dan berbagai 'commodity
exchanges'. Harga naik dan turun tanpa mengambil kira kos
pengeluaran. Kerapkali pengeluar terpaksa jual dengan harga yang lebih
rendah dari kos pengeluaran dan menanggung kerugian yang besar. 'Brokers'
dan 'dealers' mendapat untung sama ada harga tinggi atau rendah. Jika kita
bergantung kepada penjualan bahan mentah maka ekonomi kita akan dikuasai
orang asing. Memandang kepada perkara ini, salah satu strategi
perindustrian di negara ini ialah meningkatkan nilai atau 'value-added'
kepada barang-barang eksport kita. Kita menggalakkan perkilangan di negara
ini menggunakan seberapa banyak bahan-bahan mentah yang terdapat di negara
ini untuk mengeluarkan berbagai jenis barang buatan. Kita berharap
barang-barang yang telah diproses akan mengganti sebahagian besar dari
bahan-bahan mentah sebagai eksport negara Malaysia akhirnya.
16. Kita berharap Jepun akan memainkan peranan utama menunjukkan contoh
dengan kesanggupan mengimport lebih banyak lagi barang-barang Malaysia
yang telah diproses. Malaysia menghadapi berbagai masalah perdagangan
apabila cuba mengeksport barang-barang yang telah diproses ke
negara-negara maju, termasuklah Jepun. Bersesuai dengan hubungan
perdagangan yang baik antara Jepun dan Malaysia dewasa ini, Jepun
seharusnya dapat menerima lebih banyak barangan siap atau 'finished
products' buatan Malaysia.
17. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh sedikit
tentang pelaburan. Mengikut lapuran agensi-agensi Jepun, pelaburan Jepun
di sektor perkilangan di negara-negara maju telah meningkat. Peningkatan
ini disebabkan 'balance of trade' yang menguntungkan Jepun. Tetapi soal
'balance of trade' ini boleh diatasi tanpa Jepun menolong negara-negara
yang sudahpun maju melalui pelaburan di sana. Jika Jepun memindahkan
kilang-kilang yang sesuai ke negara membangun seperti Malaysia, eksport
negara Jepun ke negara-negara maju akan berkurangan. Sebaliknya eksport
barang Jepun yang dibuat di negara membangun akan terus memberi keuntungan
kepada Jepun. Strategi ini bukan sahaja akan mengurangkan tindakan
'protectionist' tetapi di samping mengekalkan keuntungan syarikat-syarikat
Jepun, ia juga akan menolong membangunkan negara yang belum
maju. Pertolongan ini akan lebih berkesan jika pelaburan dibuat sebagai
'Joint-Venture'. Dengan majunya negara-negara membangun, pihak Jepun akan
dapat menjual lebih banyak barangan buatan membangun ini dapat
mengeluarkan semua barangan buatan yang diperlukan oleh mereka.
18. Pada pandangan Malaysia pelaburan Jepun di negara-negara sudah maju
adalah satu pembaziran, kerana ia merupakan usaha orang kaya menolong
orang kaya. Dunia tidak akan menjadi lebih makmur dan bahagia dengan
amalan yang sempit ini. Sudah tentu amalan ini tidak secucuk dengan Order
Baru Ekonomi Antarabangsa.
19. Walau bagaimanapun Jepun telah memainkan peranan yang penting dalam
pembangunan industri negara ini. Kita berharap Jepun akan sentiasa sedar
tentang cita-cita Kerajaan dan rakyat Malaysia. Dari segi teknologi, kita
tidak hendak terus berada di peringkat yang 'mediocre'. Kita ingin
mencapai tingkat teknologi yang lebih tinggi dan rakyat negara ini
berkebolehan menerima dan mempelajari teknologi yang lebih tinggi
itu. Bagi pelabur-pelabur dan syarikat-syarikat Jepun di Malaysia, kita
berharap mereka akan mengadakan 'forward and backward integration' bagi
mengeluarkan komponen, mesin dan alat yang diperlukan oleh
perusahaan-perusahaan tempatan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JETRO yang telah
menganjurkan beberapa program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada
pengusaha-pengusaha Malaysia.
Sumbangan seperti ini akan merapatkan hubungan perdagangan antara kedua
buah negara.
21. Akhir sekali, saya harap pameran ini serta aktiviti-aktiviti yang
dianjurkan bersamanya akan menarik minat seramai-ramai rakyat Malaysia
kerana ia adalah salah satu peluang bagi rakyat Malaysia berbagai lapisan
mengenal kejayaan Jepun dengan lebih dekat. Dengan ini saya dengan
sukacitanya merasmikan Pameran 'Japan Technofair 84' ini.
Terima kasih.
|