home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT, PARLIMEN 
Tarikh/Date 	: 	19/03/84 
Tajuk/Title  	: 	MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG 
			PERLEMBAGAAN (PINDAAN) (NO. 2) 1984 




Tuan Yang di-Pertua,
1. Saya mohon mencadangkan iaitu satu Akta untuk meminda Perlembagaan
Persekutuan bagi mengadakan peruntukan mengenai penubuhan Wilayah
Persekutuan Labuan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya, dan bagi
membuat pindaan-pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan, dibaca bagi
kali yang kedua sekarang.

2. Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 ini adalah
dibahagikan kepada 3 bahagian. Bahagian pertama adalah mengenai
perkara-perkara berhubung dengan penubuhan Wilayah Persekutuan
Labuan. Bahagian kedua adalah mengenai pindaan-pindaan yang perlu kepada
Perlembagaan Persekutuan bagi melaksanakan penubuhan Wilayah Persekutuan
Labuan. Dan bahagian ketiga adalah berkaitan dengan beberapa pindaan lain
kepada Perlembagaan Persekutuan.

Tuan Yang di-Pertua, 

3. Sebagaimana Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan Persekutuan
dan Kerajaan Negeri Sabah telah mencapai persetujuan bagi menjadikan Pulau
Labuan dan pulau-pulau di bawah pentadbirannya sebagai Wilayah
Persekutuan. Wilayah ini akan ditadbirkan sepenuhnya oleh Kerajaan
Persekutuan. Tujuan utama menjadikan Pulau Labuan sebagai Wilayah
Persekutuan adalah untuk memesatkan lagi pembangunan pulau itu. Pulau
Labuan mempunyai potensi yang besar untuk berkembang sebagai sebuah
kawasan pelancungan dan pusat bagi persidangan rantau dan antarabangsa.

Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk mengambilalih usaha bagi
mencorak dan memesatkan lagi pembangunan Pulau Labuan agar usaha-usaha
pembangunan dapat dijalankan dengan teratur dan menjadi contoh daya
penggerak kepada pembangunan di rantau itu. Memandangkan jauhnya jarak
yang memisahkan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, langkah ini akan
menjadikan Pulau Labuan sebagai lambang mendekatkan lagi Kerajaan
Persekutuan ke negeri-negeri itu. Saya percaya langkah ini dapat
mengeratkan lagi hubungan Kerajaan Persekutuan dengan negeri-negeri
tersebut serta mempertingkatkan proses integrasi negara.

Tuan Yang di-Pertua, 

4. Penubuhan Wilayah Persekutuan yang baru ini merupakan satu lagi
peristiwa yang bersejarah bagi Malaysia. Saya suka melahirkan rasa
penghargaan penuh Kerajaan Persekutuan di atas pandangan jauh serta
kemurahan hati Kerajaan Negeri Sabah kerana bersetuju menyerahkan Pulau
Labuan untuk dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan.

5. Penyerahan Pulau Labuan kepada Kerajaan Persekutuan tidak melibatkan
apa-apa bayaran pampasan atau ganti rugi kepada Kerajaan Negeri Sabah. Apa
yang diminta oleh Kerajaan Negeri ialah supaya bangunan 'Sri Labuan' yang
ada di pulau itu serta tanah yang menjadi tapak dan kawasan bangunan itu
akan terus kekal menjadi hakmilik Kerajaan Negeri Sabah sebagai rumah
rehat Kerajaan Negeri. Kerajaan Persekutuan telah memberi persetujuan
terhadap permintaan itu.

6. Kerajaan Persekutuan akan meneruskan segala usaha pembangunan yang
sedang dijalankan di Labuan oleh Kerajaan Negeri serta menambahkan lagi
kemudahan infrastrukturnya. Sejajar dengan cita-cita ini, Kerajaan juga
akan berusaha memperkukuhkan lagi peranan Pulau Labuan sebagai sebuah
pelabuhan bebas cukai dan seterusnya sebagai pusat perdagangan entrepot
bagi rantau ASEAN. Usaha ke arah mencapai matlamat ini dijangka akan
memesatkan pertumbuhannya dengan perubahan struktur dan pembentukan
ekonomi moden yang membuka banyak peluang pekerjaan dalam
kegiatan-kegiatan yang produktif. Semuanya ini akan mendatangkan faedah
kepada rakyat Malaysia, terutama sekali rakyat di rantau tersebut.

Tuan Yang di-Pertua, 

7. Sebagaimana Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan dahulu,
perubahan kedudukan Pulau Labuan sebagai Wilayah Persekutaun bermakna juga
pemindahan kuasa dan bidang-bidang kuasa yang lengkap ke atas Pulau Labuan
daripada Kerajaan Negeri Sabah kepada Kerajaan Persekutuan. Ini
diperuntukkan dalam fasal-fasal 3,4,5 dan 9 dalam Bahagian I Rang
Undang-Undang ini. Beberapa pindaan kepada Perlembagaan yang terkandung
dalam Bahagian II serta Jadual kepada Rang Undang-Undang ini juga
memperuntukkan perkara-perkara yang berkaitan, serta yang berbangkit dari
langkah-langkah untuk menjadikan Pulau Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

8. Dalam hal ini, Kerajaan akan memberi keutamaan agar pemindahan kuasa
dan bidangkuasa tersebut tidak akan menimbulkan apa-apa gangguan dalam
pentadbiran harian Pulau Labuan ataupun kesulitan kepada
penduduknya. Beberapa peruntukan telah diadakan dalam Undang-undang ini
bagi menjamin agar masalah seumpama ini tidak akan timbul.

Antara peruntukan-peruntukan ini adalah:- 
a. Fasal 6 yang memperuntukkan agar apa-apa undang-undang yang sedia
terpakai di Pulau Labuan, melainkan Perlembagaan Negeri, terus
berkuatkuasa selepas ianya menjadi Wilayah Persekutuan sehinggalah
undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen berkuatkuasa; 
b. Fasal 8 yang membolehkan supaya pentadbiran Pulau Labuan diteruskan
sebagai Majlis Perbandaran serta juga sebagai pelabuhan bebas cukai; 
c. Fasal 17 yang membolehkan penggunaan bahasa peribumi di Mahkamah Anak
Negeri (Native Courts) diteruskan; 
d. Fasal 19 yang mengekalkan hak kemasukan penduduk-penduduk asal Labuan
ke Sabah dan pemastautin mereka di negeri itu.

9. Saya juga suka memaklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa
sebuah Jawatankuasa Peringkat Pegawai yang diketuai oleh Ketua Setiausaha
Negara telah ditubuhkan oleh Kerajaan untuk menyelaraskan segala tindakan
pentadbiran bagi mempastikan supaya tidak timbul apa-apa masalah kelak.

Jawatankuasa ini juga sedang menyelaraskan tindakan bagi menyerap
pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri Sabah yang berkhidmat di
Pulau Labuan pada masa ini untuk membolehkan mereka terus menyumbangkan
khidmat mereka apabila Labuan menjadi Wilayah Persekutuan.

10. Selain daripada itu, saya ingin juga menarik perhatian Dewan yang
mulia ini bahawa peruntukan telah juga diadakan dalam Fasal 15 Rang
Undang-undang supaya seseorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan
Negeri Sabah yang kawasan pilihanrayanya sekarang ini meliputi Pulau
Labuan, akan terus menduduki kerusinya selepas penubuhan Wilayah
Persekutuan Labuan sehingga Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri Sabah
dibubarkan. Ulangkaji persempadanan kawasan pilihanraya yang sedang
dijalankan pada masa ini akan memperuntukkan satu bahagian pilihanraya
Parlimen diwujudkan untuk Wilayah Persekutuan Labuan tanpa menjejaskan
jumlah bilangan bahagian pilihanraya Parlimen Sabah sekarang. Ulangkaji
tersebut juga akan membuat peruntukan supaya bilangan bahagian-bahagian
pilihanraya Negeri Sabah akan tetap sama bilangannya seperti sekarang ini.

Tuan Yang di-Pertua, 

11. Berhubung dengan penubuhan Wilayah Persekutuan Labuan, beberapa
kemusykilan telah ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai hak
rakyat Sabah, dan samada satu pungutan suara telah diadakan di
Sabah. Soalan seumpama ini tidak seharusnya timbul kerana sebenarnya tidak
terjadi kehilangan hak bagi sesiapa pun. Semasa Kuala Lumpur dicadang
menjadi Wilayah Persekutuan dahulu, pungutan suara tidak pernah
diadakan. Setelah Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan tidak ada
sesiapa yang kehilangan hak. Sebagaimana yang telah saya tegaskan di
Persidangan Dewan ini yang lalu, rakyat Sabah samada di tanah besar Sabah
atau di Pulau Labuan adalah juga rakyat Malaysia yang mempunyai hak yang
sama dengan semua rakyat Malaysia. Telah juga saya nyatakan tadi bahawa
perubahan kedudukan Pulau Labuan sebagai Wilayah Persekutuan adalah
bertujuan bagi memperkukuhkan lagi hubungan yang telah terjalin antara
Kerajaan Persekutuan dengan Negeri Sabah. Apa-apa kemajuan yang tercapai
di pulau tersebut adalah untuk dinikmati oleh semua rakyat Malaysia,
apatah lagi rakyat Malaysia di Sabah yang berhampiran sekali dengannya.

12. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Majlis Raja-Raja dalam
mesyuaratnya yang lalu telah pun bersetuju dengan penubuhan Wilayah
Persekutuan Labuan dan cadangan undang-undang Persekutuan untuk maksud
ini. Dewan Undangan Negeri Sabah dalam mesyuaratnya baru-baru ini juga
telah meluluskan Undang-undang Negeri berkaitan dengan perkara ini. Pendek
kata, kesemua kehendak Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan telah dipenuhi.

Tuan Yang di-Pertua, 

13. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan beberapa pindaan
kepada peruntukan-peruntukan tertentu yang lain dalam Perlembagaan
Persekutuan.

14. Di antara pindaan-pindaan yang dicadangkan itu, saya ingin menjelaskan
sedikit mengenai cadangan pindaan kepada Perkara 55 dan Perkara 113(2).

15. Adalah dicadangkan supaya Perkara 55 dipinda dengan mengadakan Fasal
(5), (6) dan (7) yang baru di bawah Perkara tersebut bagi menentukan
supaya rang undang-undang yang belum selesai dibahas dalam Parlimen tidak
luput pada waktu penggal Parlimen diberhentikan (prorogued) dan supaya
rang undang-undang yang menunggu pertimbangan semula oleh Parlimen menurut
Fasal (4A) Perkara 66, atau yang menunggu persetujuan Yang di-Pertuan
Agong di bawah Fasal (4)(a) atau Fasal (4A) Perkara 66, tidak terluput
disebabkan Parlimen diberhenti atau dibubarkan.

16. Pindaan kepada Perkara 113 pula adalah:- 
-a. untuk membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya memulakan urusan
persempadanan semula bahagian-bahagian pilihanraya pada bila-bila masa
selepas genap 8 tahun daripada tarikh berakhirnya urusan persempadanan
semula yang lepas. Urusan persempadanan itu hendaklah diselesaikan dalam
tempoh 2 tahun daripada tarikh ianya dimulakan; 
-b. untuk membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya menjalankan persempadanan
semula sementara (an interim review of constituencies) apabila jumlah
keanggotaan Dewan Rakyat atau mana-mana Dewan Undangan Negeri
diubah. Persempadanan semula ini akan hanya meliputi kawasan yang terlibat
dengan perubahan dan tidak akan mengubah tempoh minima 8 tahun yang
ditetapkan di antara dua persempadanan semula (the general review). Urusan
persempadanan semula sementara ini hendaklah diselesaikan dalam tempoh dua
tahun daripada tarikh berkuatkuasanya undang-undang yang mengubah
keanggotaan Dewan Rakyat ataupun Dewan-Dewan Undangan
Negeri. Persempadanan semula sementara ini akan dijalankan mengikut Jadual
Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan; 
-c. memperuntukkan tarikh-tarikh permulaan dan berakhirnya sesuatu urusan
persempadanan semula bagi mempastikan supaya tempoh-tempoh yang
disyaratkan akan dikira dengan tepat.

17. Di samping itu, adalah perlu diadakan satu peruntukan sementara
(transitional provision) bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya
menyelaraskan secara sah urusan persempadanan semula yang sedang berjalan
sekarang.

Tuan Yang di-Pertua, 

18. Cadangan pindaan kepada Perkara-Perkara yang lain tidaklah perlu saya
jelaskan oleh kerana telah sedia terkandung dalam Huraian kepada Rang
Undang-Undang. Pindaan-pindaan tersebut adalah bertujuan untuk
mengemaskinikan beberapa peruntukan tertentu selaras dengan kehendak
pembangunan dan kemajuan negara.

Tuan Yang di-Pertua, 

19. Saya mohon mencadangkan.

 



 


 











 
Google