Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN CANSELOR TUN ABDUL RAZAK, 
			UKM BANGI 
Tarikh/Date 	: 	08/04/84 
Tajuk/Title  	:	SEMPENA PELANCARAN RASMI KOPERASI 
			PEMBANGUNAN NEGARA BERHAD 




Yang Berhormat Dato' Sanusi Junid, Menteri Pembangunan Negara dan Luar
Bandar; Yang Mulia Professor Di-Raja Ungku Abdul Aziz, Yang di-Pertua
ANGKASA; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian.

Assalamu'alaikum waharamatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah pada pagi ini dapat kita bersama-sama dalam satu perhimpunan
raksaksa gerakan koperasi. Semenjak kebelakangan ini
perhimpunan-perhimpunan yang mengandungi para perwakilan daripada
koperasi-koperasi tanahair nampaknya telah menjadi perkara lazim. Adalah
diharapkan bahawa keadaan yang kita perhatikan ini merupakan satu petanda
yang benar dan nyata bahawa gerakan koperasi di Malaysia telah mencapai
tahap yang membanggakan, di mana sesuatu upacara akan menambahkan lagi
potensi dan imej gerakan ini serta mendapat sambutan daripada semua
koperasi-koperasi sepertimana yang kita saksikan pada hari ini.

2. Saya juga diberitahu bahawa pengisytiharan 'Era Baru Koperasi' dan
Pelancaran Institut Juruaudit Koperasi Malaysia dahulu telah mendapat
sambutan yang menggalakkan. Dari masa ke semasa kita sering mendengar
perbualan-perbualan dan berbagai-bagai perbincangan mengenai gerakan
koperasi. Kalau dahulunya kita selalu mendengar perkara-perkara negatif,
mengecewa, menyedih dan mencemarkan nama baik gerakan koperasi, umpamanya,
penyelewengan yang dilakukan oleh sebilangan orang yang terlibat di dalam
pengurusan koperasi, koperasi gagal di dalam kegiatan-kegiatan perniagaan
yang diusahakannya, koperasi berjalan tanpa mematuhi undang-undang dan
perlembagaan, koperasi tidak bermesyuarat agung untuk beberapa tahun,
masalah kira-kira perniagaan koperasi tidak pernah sampai ke pengetahuan
ahli-ahli dan bermacam-macam perkara lagi, maka pada hari ini kita telah
perhatikan sedikit sebanyak perubahan. Suara-suara lantang yang selalunya
menceritakan keburukan itu dan ini dalam gerakan koperasi telah reda
sedikit. Gara-gara koperasi tidak bermesyuarat dan buku akaun tidak
bertulis nampaknya telah menjadi cerita lama. Alasan-alasan yang bunyinya
munasabah pada masa dahulu dan karenah yang berlaku kepada
koperasi-koperasi dahulu, kalau didengar lagi pada hari ini bunyinya
sumbang dan tidak lagi boleh diterima. Inilah sedikit sebanyak peralihan
yang dapat diperhatikan.

3. Saya berharap perubahan ini akan terus menjadi baik dan gerakan
koperasi dapat bergerak sebagaimana gerakan koperasi patut bertindak di
dalam sebuah negara yang sedang pesat membangun. Perubahan-perubahan ini
berlaku sejak 'Era Baru Koperasi' diisytiharkan pada awal tahun 1982. Pada
hemat saya bukannya tindakan-tindakan yang dilaksanakan yang telah
mengubah sikap dan tingkah-laku pemimpin-pemimpin koperasi, tetapi
semangat yang telah dapat disemai menerusi perkumpulan raksaksa yang
berlangsung di Dewan ini pada 28hb. Januari 1982. Perubahan ini telah
menghidup dan memupuk kembali semangat dan perpaduan ahli-ahli koperasi di
seluruh negara untuk menjalankan kegiatan-kegitan koperasi menurut prinsip
dan perlembagaan serta amalan-amalan lazim gerakan koperasi.

4. Mereka yang cuba menjalankan usaha-usaha di luar daripada peraturan dan
menyalahi amalan-amalan biasa koperasi, akan berasa janggal dan terasa
salah dirinya sendiri kerana semua ahli-ahli koperasi telah sedar cara
mana dan ke arah mana koperasi patut ditadbir dan dikelolakan. Dengan
demikian ahli-ahli koperasi pada hari ini telah dapat menggunakan masa
untuk membincangkan rancangan-rancangan yang perlu dikendalikan sejajar
dengan kemampuan koperasi serta disokong oleh kemudahan-kemudahan khidmat
ekonomi dan perundingan yang ada. Mereka tidak lagi menumpukan banyak masa
membincangkan masalah seperti penyalah-gunaan wang dan harta koperasi
serta lain-lain perkara yang tidak sihat akibat tindak-tanduk beberapa
orang yang tidak bertanggungjawab.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 

5. Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat telah mengenalpasti
bahawa satu daripada sebab-sebab kemiskinan berlaku di kawasan luar bandar
ialah pemilikan tanah yang terlalu kecil yang diusahakan sendiri oleh
petani. Memandangkan kepada hakikat ini kajian telah mengesyorkan bahawa
untuk mengatasi masalah kemiskinan di desa, petani dan nelayan hendaklah
digabungkan dalam koperasi-koperasi yang akan mengusahakan bersama
tanah-tanah yang telah dicantumkan. Tanah yang lebih luas ini akan
mendatangkan hasil yang lebih baik kerana ia diurus dan diusahakan dengan
cara yang lebih effisien.

6. Memandangkan bahawa terdapat ramainya petani dan nelayan, maka
pertanian berkelompok ini tentulah memerlukan banyak koperasi. Sama ada
cara baru ini berjalan dengan licin dan berjaya atau tidak, bergantung
kepada perjalanan dan pentadbiran koperasi-koperasi yang akan
ditubuhkan. Peranan gerakan koperasi tentulah akan meningkat dan ahli-ahli
koperasi akan bertambah. Pendek kata gerakan koperasi sudah diberi
tanggungjawab yang besar dalam usaha mengatasi kemiskinan di luar bandar.

7. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja akan berbangga
dengan kepercayaan yang diberikan kepada gerakan koperasi tetapi juga akan
menyediakan diri, berlatih dan menambah ahli dan bilangan koperasi supaya
kepercayaan yang diberi kepada gerakan koperasi memang kena pada
tempatnya. Di mana perlu, pengurus-pengurus yang professional yang dilatih
khas patutlah diambil untuk mengurus kerja-kerja harian, sementara
jawatankuasa dan ahli-ahli lain mengambil berat dan memerhati perjalanan
koperasi-koperasi baru ini. Tidak ada sesuatu yang lebih penting dalam
gerakan koperasi daripada amanah. Jika jawatankuasa dan pegawai atau
kakitangan yang ditugaskan tidak beramanah, maka akan gagallah
koperasi. Sementara kita percaya bahawa ramai daripada kita mempunyai
amanah, kita tidak boleh biar peluang menggoda nafsu orang-orang yang
terlibat. Oleh itu jawatankuasa dan ahli dan kakitangan mestilah menyemak
secara jujur kerja-kerja yang dibuat oleh semua yang bergerak dalam
koperasi. Hanya jika pengawasan dan penyeliaan yang jujur diadakan,
barulah koperasi boleh berjalan dengan berkesan dalam usaha mencapai satu
daripada matlamat Dasar Ekonomi Baru, iaitu membasmi kemiskinan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 

8. Pada hari ini kita berkumpul untuk menyaksikan pelancaran rasmi
Koperasi Pembangunan Negara Berhad. Koperasi Pembangunan Negara Berhad ini
merupakan sebuah koperasi induk peringkat nasional yang akan menggabungkan
semua koperasi-koperasi di negara dengan tujuan untuk menjalankan
berbagai-bagai perusahaan dan perdagangan. Koperasi ini dapat ditubuhkan
setelah wujudnya keadaan baik sebagaimana yang telah saya terangkan
tadi. Sebagai sebuah Koperasi peringkat nasional yang bertujuan untuk
menjalankan kegiatan-kegiatan secara besar-besaran, hasrat ini mungkin
tidak tercapai jikalau koperasi-koperasi yang menjadi ahli kepadanya
sentiasa berada di dalam kekecohan, sama ada kerana masalah mesyuarat
agung tidak diadakan, atau masalah buku-buku akaun tidak bertulis dan
sebagainya. Hanya dengan wujudnya keadaan yang baik dan dengan adanya
kemahuan dan kesanggupan daripada koperasi-koperasi yang telah sedia
berdaftar untuk membangunkan lagi gerakan koperasi ke tahap yang lebih
kukuh, barulah boleh Koperasi induk ini menjalankan aktiviti-aktivitinya
seperti yang dirancangkan.

9. Koperasi Pembangunan Negara Berhad ini akan bergerak sebagai sebuah
badan pembangunan ekonomi. Ia akan menjalankan kegiatan-kegiatan membekal
bahan-bahan binaan dan alat-alat jentera serta barang-barang gunaan,
mengimport barang-barang yang diperlukan dan juga mengeksport
barang-barang yang akan dikeluarkan oleh koperasi-koperasi di
tanahair. Saya difahamkan bahawa Koperasi ini telahpun dapat mengumpul
lebih daripada 150 buah koperasi sebagai ahli. Saya percaya dan berharap
bahawa selepas pelancaran rasmi ini koperasi-koperasi yang layak menjadi
ahli Koperasi Pembangunan Negara Berhad, tetapi belum lagi mendaftarkan
diri, supaya tampil segera menjadi ahli. Hanya dengan perpaduan yang nyata
dan tegas sahaja yang akan dapat membolehkan Koperasi Pembangunan Negara
Berhad bergerak dan bertindak menjalankan kegiatan-kegiatannya selaras
dengan tujuan dan konsep penubuhannya. Pihak kerajaan juga akan membantu
dan memimpin Koperasi induk ini dengan lebih bererti lagi apabila gerakan
koperasi itu sendiri dapat menunjukkan keyakinan mereka terhadap Koperasi
Pembangunan Negara Berhad.

10. Saya yakin bahawa Koperasi Pembangunan Negara Berhad dapat bergerak
dengan baik dan memainkan peranannya secara berkesan. Apa yang diperlukan
oleh Koperasi ini, selain daripada keahlian yang cukup dengan sumbangan
jumlah sahamnya yang berpatutan, ialah pengurusan yang cekap,
berpengalaman, jujur dan beramanah dalam menjalankan sebuah organisasi
perusahaan peringkat nasional yang mempunyai program urusniaga hingga ke
peringkat antarabangsa.

Para hadirin yang dihormati sekalian, 

11. Koperasi Pembangunan Negara Berhad pada hari ini adalah di peringkat
awal. Dengan kesungguhan ahli-ahli koperasi dan dengan adanya pimpinan dan
penglibatan cerdik pandai, saya yakin Koperasi ini boleh menjadikan
gerakan koperasi di Malaysia sebagai satu sektor ekonomi yang efektif dan
memainkan peranannya secara tegas dan berkesan di dalam usaha pembangunan
negara.

12. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Koperasi
Pembangunan Negara Berhad.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
 



 


 











 
Google