Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : LABUAN
Tarikh/Date : 16/04/84
Tajuk/Title : SEMPENA UPACARA MENANDATANGANI
PERJANJIAN LABUAN
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang telah melimpahkan
rahmat serta hidayatNya ke atas kita semua sempena peristiwa bersejarah
yang berlangsung pada pagi ini.
2. Upacara menandatangani Perjanjian Labuan telahpun disempurnakan oleh
saya dengan Y.A.B. Ketua Menteri Sabah, dengan disaksikan oleh Yang
Berbahagia Ketua Setiausaha Negara bagi pihak Kerajaan Persekutuan dan
Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Sabah bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah.
3. Kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan pada hari ini membawa erti yang
amat besar bukan sahaja bagi kita semua tetapi juga bagi generasi yang
akan datang. Ia mempunyai erti yang besar kepada kita semua oleh kerana ia
merupakan satu lagi kejayaan yang boleh kita banggakan dalam perkembangan
dan kemajuan negara ini sejak tertubuhnya Malaysia dahulu.
4. Sememangnya menjadi hasrat kita semua untuk menjalin dan mengeratkan
lagi kemesraan sesama kita di Semenanjung, di Sabah dan di
Sarawak. Walaupun kita terpisah agak jauh oleh Laut Cina Selatan, tetapi
ini tidak seharusnya menjadi sebab mengapa kita terasa berbeza atau
terasing di antara satu sama lain. Memang ada jalan untuk meluputkan
perasaan itu dari sanubari kita sekiranya kita berusaha mencarinya.
5. Saya yakin pewujudan Wilayah Persekutuan Labuan adalah merupakan satu
usaha yang positif dan konkrit ke arah mencapai matlamat integrasi dan
perpaduan negara yang kita semua harapkan. Saya berdoa ke hadrat Ilahi
supaya kita semua -- baik di Semenanjung, di Sabah dan di Sarawak -- akan
sentiasa berdiri teguh, sehati dan sejiwa sebagai rakyat Malaysia. Kita
tidak seharusnya terlalu sensitif dan mudah tersinggung. Inilah yang
menjadi harapan dan impian kita semua yang ikhlas bagi negara ini, agar
pada satu hari nanti, perasaan perbezaan dari segi perkauman, bangsa,
agama dan kenegerian atau kewilayahan yang berunsur negatif akan lenyap
dari bumi Malaysia, negara yang kita kasihi ini.
6. Bagi pihak Kerajaan Persekutuan, saya mengambil kesempatan ini untuk
menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan Kerajaan Persekutuan kepada
Kerajaan Negeri Sabah yang telah bersetuju menjadikan Labuan sebagai
Wilayah Persekutuan. Sesungguhnya ini adalah satu pengorbanan yang amat
besar di pihak Kerajaan Negeri Sabah yang telah mengenepikan kepentingan
sendiri demi untuk kemajuan dan kesejahteraan negara dan rakyat. Semangat
pengorbanan ini sudah menular dan tidak lama lagi Pahang pula akan
menandatangani perjanjian yang sama.
7. Kepada rakyat Malaysia yang tinggal di Pulau ini, saya suka memberi
jaminan bahawa hak keistimewaan mereka tidak sedikitpun akan berubah atau
terjejas dengan berubahnya kedudukan Labuan menjadi Wilayah
Persekutuan. Kehidupan mereka dan begitu juga pentadbiran dan
aktiviti-aktiviti harian di Labuan akan terus berjalan seperti biasa
berasaskan kepada undang-undang yang sedia wujud di Pulau ini. Untuk
maksud ini Kerajaan telah membuat tawaran penyerapan kepada
pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan Kerajaan Negeri Sabah yang
berkhidmat di Pulau Labuan agar mereka dapat terus menyumbangkan khidmat
mereka di Labuan, yang kini menjadi Wilayah Persekutuan. Perkhidmatan
mereka adalah perlu bagi membantu menjayakan rancangan-rancangan
pembangunan yang diatur oleh Kerajaan untuk Wilayah Persekutuan Labuan.
8. Rakyat Malaysia di Labuan juga tidak seharusnya berasa bimbang yang
mereka akan kehilangan wakil di Parlimen. Ulangkaji persempadanan kawasan
pilihanraya yang sedang dijalankan pada masa ini akan memperuntukkan satu
bahagian pilihanraya Parlimen diwujudkan untuk Wilayah Persekutuan Labuan,
tanpa menjejaskan jumlah bilangan bahagian pilihanraya Parlimen Sabah
sekarang. Ulangkaji tersebut juga akan membuat peruntukan supaya bilangan
bahagian-bahagian pilihanraya Negeri Sabah akan tetap sama bilangannya
seperti sekarang ini.
9. Sememangnya menjadi salah satu matlamat Kerajaan Persekutuan untuk
berusaha memajukan Labuan sebagai satu pusat pentadbiran dan pertumbuhan
yang dinamik. Bersesuaian dengan matlamat ini, Kerajaan akan terus
memperkukuh dan memperkembangkan Pulau ini bukan sahaja sebagai sebuah
pusat pelancungan yang benar-benar menarik, tetapi juga sebagai sebuah
pusat 'entrepot' yang penting di ASEAN, sesuai dengan kedudukannya
sekarang sebagai sebuah pelabuhan bebas cukai. Usaha ini dijangka akan
menggerakkan lagi pertumbuhan pelbagai aktiviti ekonomi yang akan
menambahkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan di Labuan. Semuanya
ini adalah dalam rancangan Kerajaan Persekutuan yang akan berusaha untuk
mencorak dan memesatkan lagi pembangunan Pulau ini agar ia menjadi daya
penggerak kepada pembangunan di rantau ini. Hasil dari semua usaha ini
sudah tentu akan mendatangkan faedah yang besar kepada rakyat Malaysia di
rantau ini, khasnya yang berada di Labuan sendiri, serta di Sabah dan juga
di Sarawak.
10. Saya mempunyai penuh keyakinan dengan penubuhan Wilayah Persekutuan
ini. Labuan akan terus maju dan makmur, menjadi lambang perpaduan di
antara rakyat Malaysia di Semenanjung, di Sabah dan di Sarawak bagi
mencerminkan kemajuan bangsa dan negara Malaysia yang setanding dengan
negara-negara lain yang maju di dunia ini.
11. Saya berdoa mudah-mudahan Allah Subhanahu Waatala akan memberkati
segala usaha kita dan memberikan perlindungan serta taufik dan hidayatNya
kepada kita semua pada setiap masa.
12. Dengan ini, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan iaitu mulai dari
hari ini, 16 haribulan April 1984, bersamaan dengan 14 haribulan Rejab
Tahun Hijrah 1404, Wilayah Persekutuan Labuan ditubuhkan.
13. Semoga Wilayah Persekutuan Labuan ini berkekalan sebagai simbol
perpaduan, keamanan dan kemakmuran bagi rakyat Malaysia untuk
selama-lamanya.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
|