Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN BANKUET, BANGUNAN PARLIMEN 
Tarikh/Date 	: 	23/04/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERPISAHAN RASMI OLEH 
			KERAJAAN BAGI KEBAWAH DULI-DULI 
			YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA 
			YANG DIPERTUAN AGONG DAN RAJA 
			PERMAISURI AGONG, 




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patek harap diampun.

Patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, ingin menyembah junjung
kasih kepada Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, di atas limpah perkenan Tuanku
berdua berangkat ke Majlis Perpisahan oleh Kerajaan ini kepada Kebawah
Duli Tuanku berdua.

2. Ampun Tuanku, patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat sekalian terlebih
dahulu ingin merakamkan terima kasih atas jasa dan perkhidmatan Kebawah
Duli Tuanku kepada negara sejak 5 tahun yang lalu. Negara kita telah
mengalami kemajuan pesat dalam semua lapangan seperti ekonomi, sosial dan
pendidikan, semasa di bawah naungan Kebawah Duli Tuanku. Walaupun negara
ini telah sama-sama mengalami kesan kemelesetan ekonomi dunia 3 tahun yang
telah lalu, Kerajaan di bawah naungan Tuanku telah berjaya mengurangkan
kesan itu, bahkan negara telah berjaya maju ke hadapan dengan kadar yang
sederhana.

3. Patek sekalian sungguh menyanjung tinggi minat Tuanku dalam beberapa
lapangan. Kebawah Duli Tuanku memang layak sekali digelar sebagai 'peminat
sukan utama'. Minat Tuanku itu dapat disaksikan oleh rakyat, bukan sahaja
tatkala Kebawah Duli Tuanku beramah mesra dengan ahli-ahli sukan negara
ini, bahkan dapat disaksikan juga tatkala Tuanku sendiri menyertai bersama
di dalam beberapa permainan yang diadakan, sama ada di Ibu Kota ataupun di
tempat-tempat lain. Bahkan Kebawah Duli Tuanku merupakan seorang Raja yang
telah mengetuai persatuan bolasepak peringkat negeri yang ulung sekali di
negara ini. Di samping itu patek dan rakyat sekalian sungguh menyanjung
tinggi apabila Kebawah Duli Tuanku berkenan dijadikan ahli kehormat seumur
hidup Persatuan Bolasepak Malaysia, iaitu Raja yang ulung juga
dianugerahkan dengan kehormatan dalam bidang sukan bolasepak di negara
ini. Patek dan Kerajaan mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan setinggi
tahniah kepada Kebawah Duli Tuanku di atas penganugerahan pingat emas
'Olympic Order' oleh Majlis Olimpik Antarabangsa baru-baru ini. Melalui
arena sukan inilah Kebawah Duli Tuanku dapat mendekati hati kecil nurani
bukan sahaja peminat-peminat sukan tanahair, bahkan juga rakyat jelata
negara ini.

Ampun Tuanku,

4. Kebawah Duli Tuanku terkenal juga sebagai seorang peminat kesusasteraan
dan mengambil berat tentang perkembangannya. Kebawah Duli Tuanku bukan
sahaja menghadiri sendiri beberapa upacara dan perjumpaan kesusasteraan,
tetapi pernah juga membaca puisi dan sajak di upacara-upacara
tersebut. Patek dan rakan-rakan lain menganggap minat Kebawah Duli Tuanku
itu sebagai penggalak utama kepada perkembangan kesusasteraan di negara
ini sejak 5 tahun yang lepas. Patek berharap minat Kebawah Duli Tuanku
akan terus menjadi penggalak kepada perkembangan bidang ini di masa
hadapan.

5. Patek dan anggota-anggota Kerajaan ingin merakamkan terima kasih yang
tidak terhingga kepada Kebawah Duli Tuanku kerana telah memberi panduan
dan galakan dalam beberapa perkara semasa patek dan anggota-anggota
Kerajaan menjalankan tugas harian mentadbir negara ini. Patek yakin
Kebawah Duli Tuanku akan terus memberi sumbangan bagi kesejahteraan negara
pada masa hadapan.

6. Patek bagi pihak Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Kebawah
Duli Tuanku di atas peranan yang dimainkan oleh Kebawah Duli Tuanku
menjadi 'Duta Di-Raja' kepada negara ini. Kebawah Duli Tuanku telah
melakukan beberapa lawatan ke luar negeri dan negara ini menerima
manfaatnya dengan lebih dikenali oleh rakyat di negara-negara yang
dilawati oleh Kebawah Duli Tuanku itu. Kebawah Duli Tuanku telah juga
menaikkan imej negara ini melalui kemesraan Kebawah Duli Tuanku tatkala
berkenan menerima kunjungan pelawat-pelawat utama dari luar negeri.

7. Patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat, berdoa semoga Allah Subhanahu
Wataala mencucuri rahmat ke atas Kebawah Duli Tuanku. Patek berdoa semoga
Kebawah Duli Tuanku akan terus aktif di dalam bidang yang diminati oleh
Tuanku seperti sukan dan kesusasteraan. Menjelang keberangkatan Kebawah
Duli Tuanku ke Negeri Pahang, patek berdoa semoga negeri Pahang dan
rakyatnya akan terus makmur.

Ampun Tuanku, 

8. Patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat juga ingin merakamkan penghargaan
dan junjungan kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Raja Permaisuri Agong yang sentiasa menjadi inspirasi kepada
kesejahteraaan negara ini. Di samping selalu berada di sisi Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Kebawah Duli
Tuanku Raja Permaisuri selalu berkenan menghadiri upacara perasmian di Ibu
Negara ini dan di tempat-tempat lain. Patek dan rakyat sekalian berdoa
semoga Kebawah Duli Tuanku Raja Permaisuri Agong akan dicucuri rahmat oleh
Allah Subhanahu Wataala.

9. Sekali lagi patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat menjunjung kasih
kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan
Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri
Agong kerana sudi berangkat ke Majlis Perpisahan rasmi ini.

Ampun Tuanku, 

Wabillahi taufik, walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 



 


 











 
Google