Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DAYABUMI FASA 3, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 05/05/84
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN PROJEK DAYABUMI
FASA 3
Hari ini kita akan merasmikan sebuah bangunan yang teristimewa sekali di
Kuala Lumpur. Projek Dayabumi Fasa 3 telah menjadi tumpuan perhatian ramai
bukan sahaja kerana keindahannya tetapi juga kerana ianya telah dijadikan
satu simbol oleh satu golongan yang ingin menggagalkan dasar Pandang Ke
Timur Kerajaan.
2. Saya telah berkali-kali menegaskan bahawa Dasar Pandang Ke Timur tidak
bermakna memberi kontrak atau mendapat bekalan daripada negara-negara
Timur. Sebaliknya Dasar Pandang Ke Timur ialah untuk mempelajari dari
negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan mengenai etika kerja,
cara-cara mengurus dan apa juga teknologi yang boleh didapati daripada
mereka. Sejak Dasar ini dilaksanakan ramai dari pelatih-pelatih kita telah
diterima oleh Kerajaan Jepun dan Korea Selatan dan juga firma-firma
mereka. Apa yang tidak dapat dinafikan ialah sebelum Dasar Pandang Ke
Timur, kita juga telah memberikan kontrak dan mendapat bekalan dari
negara-negara asing, tetapi tidak ada skim dan biasiswa latihan secara
teratur dan besar-besaran yang dibuat oleh mereka yang mendapat manfaat
dari kontrak-kontrak di Malaysia. Dasar Ekonomi Baru juga dihormati oleh
syarikat-syarikat dari negara-negara Timur ini. Walaupun banyak daripada
firma-firma tempatan menafikan adanya pemindahan teknologi, hakikatnya
berbeza sekali dari dakwaan mereka. Di Pulau Pinang umpamanya, sebuah
syarikat bumiputera sekarang dapat mengeluarkan 'pre-stressed concrete
beam' yang terbesar sekali yang digunakan untuk pembinaan jambatan Pulau
Pinang. Sebuah Syarikat di Kuala Lumpur pula telah berjaya mengeluarkan
'curtain wall' untuk projek Dayabumi ini. Cara-cara mengurus projek besar
telah juga dijelaskan kepada PNB dan agensi-agensi Kerajaan yang
lain. Selain daripada ini ramai juga juruteknik, jurutera dan pekerja
mahir yang dilatih di tempat kerja atau 'on site training'.
3. Kerajaan berpuas hati bahawa pemindahan teknologi atau 'technology
transfer' adalah salah satu daripada hasil pemberian kontrak kepada
kontraktor asing, khususnya kontraktor-kontraktor dari Jepun dan Korea
Selatan.
4. Namun demikian, kontrak-kontrak yang dimenangi oleh kontraktor asing
adalah kerana tawaran mereka didapati yang terbaik sekali setelah
mengambilkira semua aspek. Harga murah bukanlah faktor penentu dalam
pemberian tender. Kita tahu betapa kerapnya penender yang murah akhirnya
menghadapi masalah, lewat menyiapkan kerja, meminta tambahan bayaran dan
kadang-kadang meninggalkan kerja. Oleh itu 'past performance' penender
mestilah diambilkira. Jika sesuatu firma yang biasanya mengambil masa yang
panjang untuk menyiapkan sesuatu projek, dan tendernya biasanya tinggi,
tetapi dalam tender tertentu, tiba-tiba ia mengemukakan tender yang amat
rendah dan membuat janji akan siap dalam jangkamasa yang pendek, kita
tidak boleh lari dari keraguan sama ada syarat-syarat tender akan
dipatuhi. Sistem yang digunakan untuk pembinaan, mutu kerja dan lain-lain
faktor juga mesti diambilkira dalam menentukan siapa yang memenangi
tender.
5. Kriteria ini diguna untuk semua tender yang terbuka kepada firma
tempatan bersama firma asing. Sebenarnya bukan sahaja Kerajaan yang
mengguna kriteria ini. Pihak swasta juga menggunakan kriteria ini tanpa
apa-apa kaitan dengan Dasar Pandang Ke Timur.
6. Pihak Kerajaan berpuas hati bahawa dalam Projek Dayabumi Fasa 3 ini,
semua kriteria telah diambilkira. Dan Kerajaan berpendapat bahawa hasilnya
memberi 'justification' kepada keputusan pihak yang memutuskan tender bagi
projek ini. Bukan sahaja syarat masa, iaitu siap dalam 26 bulan, dipatuhi
tetapi mutu kerja amat baik, latihan diberi kepada pekerja-pekerja
tempatan, dan firma bumiputera dapat memainkan peranan dalam projek ini.
7. Kerajaan tidak akan membatalkan Dasar Pandang Ke Timur. Sebaliknya,
Kerajaan berpendapat bahawa Dasar ini tepat dan sudahpun mendatangkan
hasil yang sewajarnya. Malaysia tetap akan mendapat manfaat yang banyak
dari Dasar Pandang Ke Timur. Janganlah cuba menghasut bumiputera supaya
menentang Dasar ini. Jika ada masalah atau kejadian di mana pihak orang
asing tidak mematuhi syarat atau tidak memberi layanan yang sewajarnya,
pihak-pihak yang bertanggungjawab hendaklah diberitahu dan masalah
diselesaikan secara rundingan. Tetapi janganlah kita bersikap terlalu
sensitif sehingga tidak boleh ditegur sama sekali walaupun kita
bersalah. Saya dapati banyak kesalahan yang dilakukan berkali-kali kerana
kita tidak suka menegur kerana takut terentak hati.
8. Projek Dayabumi Fasa 3 ini telah mencatit beberapa rekod istimewa. Ia
adalah projek 'turnkey' yang terbesar dalam bidang binaan. Kita cuba
sistem 'turnkey' ini kerana kita telah menghadapi kerugian yang banyak
mengikut sistem lama di mana kita menggunakan perunding atau 'consultant'
dan kontrak yang dipecah-pecahkan. Kerugian dalam pembinaan Dermaga
Pelabuhan Kuantan ialah hampir $200 juta tanpa mengambil kira pendapatan
yang hilang oleh kerana kelewatan pembinaannya selama 4 tahun. Di samping
itu pakar perunding juga hilang ghaib sama sekali. Dermaga Pasir Gudang
pula mengalami nasib yang sama di mana Kerajaan kerugian puluhan juta
ringgit. Ada projek-projek yang terlewat lebih daripada sepuluh tahun
kerana bermacam-macam sebab. Oleh kerana itu kita cubakan sistem
'turnkey'. Bahawa projek ini telah siap sedia dalam masa yang dijanjikan,
iaitu 26 bulan, menunjukkan bagaimana berkesannya sistem 'turnkey'
ini. Siapnya bangunan ini mengikut jadual bermakna bangunan ini dapat
disewakan dengan lebih awal lagi. Biasanya bangunan seperti ini akan
mengambil masa empat tahun untuk dibina. Ini bermakna kerugian sewa
sebanyak 22 bulan. Kutipan sewa daripada projek ini adalah dianggarkan
lebih kurang sebanyak $2.3 juta sebulan. Dengan perkataan lain, oleh
kerana projek ini siap 22 bulan lebih awal, maka ia menyelamatkan
pendapatan kira-kira sebanyak $50.6 juta.
9. Rekod yang kedua yang dicatit oleh projek ini ialah penggunaan sistem
'steel frame' dan bukan 'reinforced concrete'. Sistem inilah yang
menyebabkan bangunan ini siap sedia dalam 26 bulan. Sistem 'steel frame'
ini belum pernah digunakan di Malaysia.
10. Soal keselamatan pekerja juga diberi perhatian yang 'serious'. Tidak
ada bangunan lain yang menggunakan jaring dan lain-lain alat keselamatan
yang kemas seperti yang digunakan dalam pembinaan bangunan ini.
11. Saya juga diberitahu bahawa peruntukkan 'contingency' sebanyak $20
juta tidak digunakan oleh kontraktor dan akan dipulangkan balik kepada
pemilik bangunan ini iaitu UDA.
12. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Konsortium
Resilient-Takenaka-Kumagai sebagai kontraktor kerana menepati janji dan
menjalankan tugas dengan kemas. Juga saya mengucapkan terima kasih kepada
Syarikat Takenaka-Kumagai yang telah memberi latihan kepada
pelatih-pelatih dari Malaysia di tempat kerja serta juga di beberapa
lokasi di Jepun. Saya juga mengucapkan tahniah kepada UDA yang telah
menyelia projek ini dengan cekap. Saya percaya pegawai-pegawai UDA telah
mendapat pengalaman yang amat bernilai di waktu menyelia projek ini. Saya
rasa ada baiknya sekiranya sebuah buku dikarang untuk menyenaraikan
masalah dan liku-liku yang dihadapi dan bagaimana semuanya diatasi supaya
ia akan menjadi panduan kepada semua yang ingin tahu cara 'project
management' sebuah projek yang sebesar ini.
13. Saya juga ingin mengucap tahniah kepada semua pihak lain yang telah
menolong menjayakan projek ini.
14. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada UDA kerana menjemput
saya berucap di majlis pada pagi ini. Dengan ini saya dengan sukacitanya
membuka Projek Dayabumi Fasa 3 ini dengan rasminya.
Terima kasih.
|