home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM KUBU, MELAKA 
Tarikh/Date 	: 	15/05/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PEMBUKAAN MUSABAQAH MEMBACA 
			AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN, 




Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah dan
kurniaNya Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun ini
dapat diadakan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Saya mengucapkan terima
kasih kepada Jawatankuasa Penganjur kerana menjemput saya untuk
menyampaikan sepatah dua-kata dan seterusnya untuk merasmikan Musabaqah
ini.

2. Saya sangat tertarik dengan tema Musabaqah Membaca Al-Quran tahun ini,
iaitu 'Berilmu, Berusaha Tuntutan Al-Quran'. Memang tidak dapat dinafikan
bahawa ilmu pengetahuan memainkan peranan yang utama dalam membentuk
peribadi seseorang. Ilmu pengetahuan menjadi pengukur yang penting di
dalam menilai kualiti seseorang. Orang yang berilmu akan memberi manfaat
bukan sahaja kepada dirinya sendiri, tetapi juga kepada orang
lain. Lantaran itu memanglah kena pada tempatnya jika orang yang berilmu
itu mendapat tempat yang terhormat dan dipandang mulia oleh masyarakatnya.

3. Sejarah telah membuktikan bahawa orang-orang yang berjasa dalam tamadun
kemanusiaan, adalah mereka yang berilmu pengetahuan yang tinggi dan
berusaha untuk beramal dengan ilmu tersebut. Nama-nama seperti Ibn Farabi,
Ibn Taimiyiah dan Imam Ghazali adalah sebahagian kecil daripada
tokoh-tokoh dalam tamadun Islam yang boleh dijadikan bukti. Sebenarnya
banyak contoh yang hampir dengan kita yang dapat dilihat, direnung dan
difikirkan untuk dijadikan pengajaran. Sesuatu kejayaan, kebaikan dan
keselesaan hanya dapat dicapai melalui persiapan ilmu yang lengkap dan
sempurna.

Sesungguhnya keperluan terhadap ilmu tidak sama sekali dibatasi oleh
sempadan geografi, bangsa atau warna kulit. Sebab itu kita dapat melihat
semua bangsa di dunia ini terus berlumba-lumba untuk mencari ilmu, kerana
mereka tahu bahawa tanpa ilmu pengetahuan, masa depan mereka akan
tercabar. Semangat inilah yang mesti ada pada umat Islam, lebih-lebih lagi
di zaman yang serba mencabar seperti sekarang. Baik-buruk dan maju-mundur
umat Islam adalah terserah kepada umat Islam sendiri, kerana Allah
Subhanahu Wataala tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa kecuali bangsa
itu sendiri yang mengubahnya.

4. Menuntut ilmu pengetahuan merupakan satu tugas utama kepada
manusia. Dengan ilmu pengetahuan, manusia akan dapat membezakan yang baik
dengan yang buruk, yang berfaedah dengan yang tidak. Malahan peranan ilmu
pengetahuan dalam kehidupan manusia lebih jauh dari itu. Orang yang
berilmu pengetahuan akan dapat mengatur segala perancangan dan
program-program dalam kehidupan sehariannya dengan tersusun, kemas dan
praktik. Orang yang mementingkan ilmu pengetahuan tidak akan jemu dan
bosan untuk mempelajari apa sahaja ilmu pengetahuan yang boleh memberi
manfaat kepada diri dan juga masyarakatnya. Lantaran itu, mereka tidak
akan mensia-siakan masa begitu sahaja tanpa memberi apa-apa faedah.

5. Islam sebagai agama yang sempurna dan lengkap yang berpandukan kepada
ajaran Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. amat menitikberat terhadap
ilmu pengetahuan. Menuntut ilmu pengetahuan merupakan satu kewajipan bagi
setiap orang Islam. Demikianlah pentingnya ilmu pengetahuan dalam Islam
sehingga wahyu yang pertama yang diturunkan kepada Nabi Besar Muhammad
s.a.w. ialah "Iqraa'" iaitu "Baca". Pada ketika itu belum ada Al-Quran
yang hendak dibacakan. Yang ada ialah buku-buku ilmu yang lain.

6. Lantaran itu, apabila tabiat suka membaca dan menulis itu menjiwai diri
seseorang, maka ia akan memperolehi banyak pengetahuan, yang mana ini
boleh menjadi panduan kepadanya dan kepada masyarakatnya. Lebih banyak
pengetahuan yang diperolehi, lebih banyaklah manfaat yang akan
didapati. Sudah tentu masyarakat yang mempunyai lebih ramai orang yang
terpelajar dan berpengetahuan, maka lebih maju dan bahagialah masyarakat
itu. Sebaliknya jika masyarakat itu mundur, maka bilangan orang yang
terpelajar tentulah berkurangan. Dan masyarakat Islam yang mundur menjadi 

7. Suruhan dan tuntutan di sini bukanlah bererti sebarang buku dan apa
sahaja ilmu perlu dipelajari. "Knowledge for the sake of knowledge" atau
"Mengejar ilmu kerana ilmu" bukanlah slogan yang secucuk dengan agama
Islam.

Pengetahuan yang dituntut oleh Islam ialah yang boleh membawa kepada
kebaikan ataupun yang boleh memberi perlindungan kepada orang Islam. Di
samping ilmu yang ada kaitan secara langsung dengan keimanan dan
amal-ibadat, orang Islam perlu juga mempelajari ilmu yang boleh memberi
manfaat kepada kehidupan mereka. Al-Quran menuntut supaya kita perhatikan
langit dan bumi dan haiwan yang dijadikan oleh Tuhan. Kerana perhatian ke
langitlah yang orang Islam boleh belayar menyeberangi lautan dan
mengembangkan Islam.

Tanpa kebolehan ini maka Islam akan terhad kepada Semenanjung Arab sahaja,
dan orang Melayu akan kekal dengan kejahilan mereka. Bintang di langit
tidak menambah pengetahuan agama, tetapi kerana bintang di langit, Islam
berkembang dengan luasnya. Begitu juga kerana gelombang radio, ajaran
agama dapat disampaikan kepada tiap-tiap rumah orang Islam setiap hari,
walaupun berjauhan dari pensyarah agama. Pengetahuan tentang bintang di
langit dan gelombang radio di angkasa adalah penting dan secara tidak
langsung dituntut oleh agama.

8. Dari sini jelas bahawa tuntutan Islam dalam mempelajari dan menuntut
ilmu pengetahuan itu, bukanlah setakat ilmu-ilmu yang membicarakan
masalah-masalah berhubung dengan iman dan amal-ibadat, atau halal-haram
dan sah-batal semata-mata. Ilmu-ilmu lain yang penting untuk kesejahteraan
manusia juga dituntut oleh Islam. Di samping itu, harus kita ingat bahawa
walaupun ada ilmu yang boleh mendatangkan keburukan, ini bukanlah
disebabkan oleh ilmu itu sendiri. Keburukan ilmu itu datang dari
penyalahgunaannya. Sepertimana sebilah pisau boleh mengukir patung dari
kayu, pisau yang sama boleh juga mengukir khalimah "Laillaha Illallah,
Muhammad Rasulullah". Yang salah bukannya pisau tetapi pengukir yang
mengukir patung. Yang melakukan kebaikan juga pengukir, bukannya
pisau. Begitu juga dengan ilmu pengetahuan.

9. Menuntut ilmu pengetahuan, selain dari memberi faedah yang dapat
dilihat semasa hidup di dunia ini, juga dijamin oleh Allah Subhanahu
Wataala dengan beberapa ganjaran di akhirat. Rasulullah s.a.w
bersabda: "Siapa yang keluar kerana menuntut ilmu akan mendapat pahala
seperti pahala orang yang berjuang pada jalan Allah sehingga ia kembali".

10. Terdapat beberapa kelebihan bagi orang yang memiliki ilmu pengetahuan
yang tinggi. Orang yang berilmu biasanya berfikiran lebih maju dan
rasional. Ia dapat mengatasi masalah dengan lebih mudah. Sudah tentu ia
dapat memberi pertolongan yang lebih wajar dan berkesan kepada
masyarakatnya. Dengan demikian, bukan sahaja ia hidup lebih bahagia tetapi
masyarakat juga dapat menumpang berlindung dengan pengetahuannya.

11. Ilmu mempunyai kaitan yang rapat dengan usaha. Usaha tanpa ilmu tidak
akan membuahkan hasil yang baik dan kadangkala boleh membahayakan diri
sendiri. Demikianlah juga ilmu tanpa usaha, ia akan jadi beku dan tidak
berfaedah. Pepatah Arab mengatakan bahawa: "ilmu tanpa usaha, gila; dan
berusaha tanpa ilmu bererti sia-sia". Kedudukan berusaha dalam Islam
adalah sama dengan nilai ilmu pengetahuan, selagi seseorang itu
berkemampuan untuk melakukannya. Islam sangat menyanjung umatnya yang
rajin bekerja seperti sabda Rasulullah s.a.w bahawa: "sesungguhnya Allah
itu cinta kepada orang mukmin yang bekerja (iaitu tidak menganggur)".

12. Berusaha untuk menyara kehidupan yang sempurna adalah perkara yang
diwajibkan oleh Al-Quran bagi seseorang orang Islam. Surah Al-Jumu'ah,
Ayat 10 menyatakan: "kemudian setelah selesai sembahyang, maka
bertaburanlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing),
dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah
akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di
dunia dan di akhirat)".

13. Ayat yang ringkas ini memberi pengertian kepada kita bahawa Islam
tidak menyuruh kita sembahyang sehingga tidak berhenti untuk mencari
rezeki dari kurnian Tuhan.

14. Dalam Islam masa ditentukan untuk ibadat-ibadat yang wajib. Penentuan
ibadat kepada yang wajib dan yang sunat, serta penentuan masa bagi yang
diwajibkan, tentulah kerana Islam mahu penganutnya mendapat masa yang
lapang untuk urusan lain, seperti mencari nafkah. Jika tugas dan kerja
kita bercanggah dengan kegiatan keagamaan, seperti mendengar syarahan atau
zikir dan wirid yang berpanjangan, sebabnya bukanlah kerana agama Islam
menjadi halangan kepada tugas kita, tetapi kerana kita sengaja ingin
menjadikan ibadat sebagai alasan untuk kita mengelak dari menjalanlan
tugas atau bekerja. Sebenarnya ibadat yang diwajibkan oleh Islam adalah
begitu mudah dan singkat, dan mempunyai beberapa kelonggaran. Dengan itu,
tidak ada sebab kenapa ibadat boleh menghalang kerja atau kerja menghalang
ibadat. Jikalau ada pertembungan antara ibadat yang wajib dengan kerja
kita, maka ini adalah perbuatan kita sendiri. Islam tidak boleh disalahkan
jika orang Islam ketinggalan dalam menuntut ilmu atau mencari nafkah.

15. Penjelasan ajaran Al-Quran mengenai ilmu pengetahuan dan berusaha
adalah berhubung rapat dalam menentukan taraf kehidupan manusia di dunia
ini, dan seorang Islam yang beriman mestilah yakin bahawa kehidupan di
dunia ini bukan berakhir dengan kematian, malahan akan dibangkitkan semula
dengan satu kehidupan yang abadi. Maka sudah semestinyalah kita umat
Islam, di samping beribadat dan selalu mengingati Allah, melengkapkan diri
dengan berbagai ilmu pengetahuan, dan berusaha memajukan diri kita
sepanjang masa. Kehidupan dan kesenangan dunia hendaklah dijadikan
jambatan untuk mencapai kebahagiaan di akhirat. Ingatlah kemiskinan adalah
hampir kepada kekufuran.

16. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka yang telah menganjurkan
Musabaqah membaca Al-Quran pada tahun ini. Saya juga mengucapkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pusat Musabaqah,
Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Kamaruddin, dan seluruh Ahli Jawatankuasa
yang bekerja keras sehingga majlis yang mulia ini dapat dijalankan. Saya
berdoa semoga Musabaqah pada tahun ini akan meninggalkan kesan yang lebih
bermakna kepada umat Islam, bukan sahaja di Melaka tetapi juga di seluruh
negara.

17. Akhir kata, dengan nama Allah Yang Amat Pemurah lagi Amat Penyayang,
saya dengan sukacitanya mengisytiharkan Musabaqah membaca Al-Quran
Peringkat Kebangsaan Kali Yang Ke-26 ini dibuka dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah, wassallamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 



 


 











 
Google