home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM JALAN RAJA MUDA 
Tarikh/Date 	: 	15/05/84 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERHIMPUNAN HARI 
			BELIA NEGARA 




 Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
kurniaNya dapat kita bersama-sama di upacara yang begitu bermakna kepada
belia negara ini. Saya mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan
kepada Majlis Belia Malaysia dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
kerana sudi mengundang saya untuk merasmikan Hari Belia Negara 1984 ini.

2. Saya perhatikan bahawa Majlis Belia Malaysia dan Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengekalkan tema perayaan Hari dan
Minggu Belia tahun lepas iaitu "BELIA BERDISIPLIN NEGARA
PROGRESIF". Pengulangan tema ini adalah wajar kerana kebahagiaan belia
serta peranannya sebagai golongan pelapis yang menyakinkan, bergantung
kepada disiplin. Tanpa disiplin tenaga belia tidak dapat dipadukan. Tenaga
yang tidak dipadukan tidak mungkin menggerakkan negara ke arah kemajuan.

3. Statistik menunjukkan bahawa 76% penduduk di negara kita ini adalah di
bawah umur 35 tahun. Terdapat lebih kurang 4.6 juta belia yang berumur di
antara 15 hingga 34 tahun. Dari ini adalah jelas belia merupakan
sebahagian besar penduduk di negara ini, dan tenaga belia menjadi sumber
yang penting bagi pembangunan negara. Lebih berdisiplin belia, lebih mudah
mereka dilatih, dan lebih tinggi lagi nilai sumbangan yang boleh diberi
oleh mereka kepada negara. Oleh kerana inilah maka kita sering mendengar
slogan seperti "Belia Harapan Bangsa", "Belia Tunggak Negara", "Belia Hari
Ini Pemimpin Hari Esok", "Belia Erat Negara Aman", "Belia Bersatu Negara
Maju" dan lain-lain lagi.

4. Memandang kepada hakikat inilah maka Kerajaan sentiasa memberi
perhatian kepada aspirasi golongan muda, dan berusaha melengkapkan mereka
dengan segala pengetahuan dan kecekapan yang diperlukan oleh
mereka. Insya-Allah, apabila sampai giliran bagi belia mengambil alih
tempat orang dewasa, negara tidak perlu khuatir kerana mereka layak dan
mampu membangunkan negara dengan lebih pesat lagi.

5. Kerajaan mengalu-alukan sumbangan yang diberi oleh belia kepada
pembangunan negara dan kebajikan masyarakat. Melalui persatuan-persatuan
belia dan badan-badan kebajikan, secara langsung dan tidak langsung, belia
telah berjaya membantu Kerajaan dalam berbagai bidang pembangunan. Di
samping itu melalui aktiviti sukan, belia bukan sahaja memelihara
kesihatan badan, tetapi kejayaan mereka dalam berbagai pertandingan telah
meningkatkan imej negara.

6. Walaupun demikian, kita tidak boleh berpuas hati kerana belia serta
negara masih menghadapi bermacam-macam masalah. Di antaranya ialah
merebaknya penyalah-gunaan dadah di kalangan belia. Mereka yang terlibat
menjadi beban bukan sahaja kepada keluarga mereka tetapi juga kepada
masyarakat dan negara. Jika tidak dihentikan dengan cepat, penyalah-gunaan
dadah ini akan membawa maut sebelum belia itu mengenal hidup dewasa.

7. Dadah adalah satu malapetaka yang perlu diperangi oleh belia secara
habis-habisan. Jika tidak, mungkin tidak akan ada pengganti kepada orang
dewasa yang ada sekarang. Tidak akan ada kepala keluarga apabila ayah dan
ibu meninggal. Tidak akan ada pengganti kepada anggota masyarakat yang ada
sekarang. Dan akhirnya akan tamatlah riwayat bangsa.

8. Belia yang insaf dan bertanggungjawab tidak boleh membenarkan
malapetaka dadah ini menimpa masyarakat kita. Tindakan yang positif mesti
diambil. Lebihkan kegiatan persatuan supaya minat kepada persatuan serta
aktivitinya menyekat muda-mudi dari tercebur dengan jenayah
dadah. Dekatkan diri dengan ibu-bapa dan keluarga ahli persatuan supaya
kebebasan tidak melampaui batas. Tingkatkan kegiatan sukan supaya
terpelihara dari kegiatan yang tidak sihat.

9. Satu lagi cabaran yang terbesar bagi rakyat Malaysia ialah mewujudkan
perpaduan kaum dan membentuk satu bangsa yang berdaulat. Dasar-dasar
Kerajaan seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan,
Dasar Ekonomi Baru dan Rukunegara merupakan beberapa dasar pokok yang
bertujuan membentuk satu bangsa, tanpa menghapuskan identiti dan
kebudayaan kaum-kaum yang berada di Malaysia. Tugas ini amatlah berat
tetapi matlamat ini bukanlah perkara yang mustahil jika ada minat dan
usaha.

10. Belia dari semua kaum harus mengadakan lebih banyak kegiatan yang
membawa kepada aktiviti bersama. Ini perlu kerana kebanyakan dari
persatuan belia dikhaskan untuk kaum-kaum yang khusus. Pertandingan antara
persatuan-persatuan belia dari berbagai kaum perlu diadakan dengan
semangat kesukanan dan persaudaraan. Yang penting bukan kemenangan tetapi
peluang untuk bercampur-gaul dan beramah mesra.

11. Untuk menentukan usaha ini mencapai matlamatnya, persatuan belia perlu
diberi kursus berkenaan dengan adat-resam dan sensitiviti kaum
masing-masing. Belia mestilah melatih diri supaya sensitif kepada
pantang-larang masing-masing. Janganlah sengaja mencari amalan yang boleh
memisahkan belia dari berbagai kaum.

12. Pada hemat saya, sempena dengan Tahun Antarabangsa Belia pada tahun
hadapan, satu program yang berkesan untuk belia hendaklah diwujudkan,
terutamanya bagi meningkatkan lagi minat kaum belia menyertai
pertubuhan-pertubuhan belia. Saya difahamkan bahawa sehingga kini, hanya
lebih kurang 1.3 juta belia yang menjadi ahli dalam berbagai pertubuhan
belia yang berdaftar di negara ini. Majlis Belia Malaysia dan Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan seharusnyalah berusaha dengan lebih giat lagi
supaya dapat menarik para belia menyertai pertubuhan-pertubuhan
belia. Penyertaan belia dalam organisasi belia dan pertubuhan sukarela
yang lain, hendaklah disemai di kalangan belia kita sejak di peringkat
persekolahan lagi. Pelajar-pelajar di semua peringkat persekolahan,
termasuk pusat pengajian tinggi, hendaklah digalakkan menyertai atau
memimpin sesuatu organisasi di peringkat masing-masing.

13. Menyentuh tentang belia umumnya, saya merasakan amat perlu bagi Majlis
Belia Malaysia dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan memberi
perhatian kepada para belia di bandar. Mereka ini memerlukan bimbingan dan
penyesuaian dengan nilai hidup di bandar. Pembangunan bandar tidak akan
mencapai matlamat sebenarnya sekiranya gejala-gejala masyarakat di bandar
tidak dibendung ke arah kehidupan yang baik, sesuai dengan kebudayaan di
negara ini.

14. Sepertimana kita semua maklum, negara sedang berusaha untuk menjadikan
bandar-bandar kita lebih selesa sebagai tempat tinggal untuk lebih ramai
rakyat dalam negara ini.

Semakin maju negara, semakin besarlah bandar dan semakin ramai
penduduknya. Tetapi jika keadaan di bandar hodoh dan kotor, penambahan
penduduk bukan sahaja akan menambahkan masalah tetapi akan memburukkan
lagi keadaan di bandar.

Sebenarnya tidak ada bandar yang boleh bersih dan cantik semata-mata
kerana adanya kakitangan dan pekerja yang ditugaskan. Kebersihan bandar
bergantung kepada tabiat penduduknya. Jika kebersihan menjadi sebahagian
dari tabiat penduduk, maka bersihlah bandar. Oleh itu, adalah penting kita
mendidik muda-mudi kita supaya menghargai kebersihan dan mempunyai "civic
pride" terhadap bandar-bandar di mana mereka tinggal. Persatuan belia
hendaklah memainkan peranan yang aktif dalam memupuk nilai-nilai yang baik
ini supaya bukan sahaja kita akan hidup sempurna tetapi tidak akan berasa
malu dengan keadaan negara kita. Sementara menunggu nilai yang baik
diserapkan, kumpulan-kumpulan belia hendaklah memainkan peranan dalam
kempen-kempen kebersihan. Mereka tidak perlu menunggu sehingga kempen
diadakan, tetapi hendaklah mengadakan kempen mereka sendiri sepanjang
masa.

15. Saya mengalu-alu dan mengucapkan syabas kepada Majlis Belia Malaysia
dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kerana telah mengambil
tindakan yang konkrit menganjurkan program 'Kempen Gerak Belia' di seluruh
negara. Saya percaya ini bukanlah semata-mata sebagai satu program Tahun
Belia Antarabangsa, tetapi sebaliknya 'Kempen Gerak Belia' ini adalah
program jangka-panjang yang teratur dan sistematik yang akan memberi
kesan. Semua agensi Kerajaan serta pertubuhan belia di semua peringkat di
seluruh negara diharapkan dapat turut sama membantu dan bekerjasama dalam
menjayakan 'Kempen Gerak Belia' di peringkat masing-masing.

16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Hari Belia Negara tahun
ini, dan sempena upacara ini saya juga merasmikan pelancaran Kempen Gerak
Belia Negara.

Terima kasih. 
 



 


 











 
Google