home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	21/05/84 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PEMBUKAAN PAMERAN 
			TAMADUN ISLAM 




 Saya amat berbangga dengan usaha dan inisiatif Muzium Negara dan Berita
Harian untuk menganjurkan Pameran Tamadun Islam, dan juga terhadap
sokongan yang diberi oleh berbagai pihak, individu dan golongan bagi
menjayakannya.

2. Usaha ke arah membina negara Malaysia yang makmur dan berjaya, dengan
masyarakat progresif yang mengamalkan nilai-nilai mulia dan tinggi, serta
berkemampuan dalam semua bidang tidak boleh dilaksanakan semata-mata oleh
Kerajaan. Usaha ini memerlukan sokongan dan penglibatan semua
pihak. Pameran Tamadun Islam menggambarkan kemampuan berbagai pihak di
negara kita untuk bekerjasama ke arah mencapai matlamat murni
negara. Dengan ini maka terlaksanalah konsep 'Malaysia Incorporated'.

3. Pameran Tamadun Islam bertujuan untuk memperkenalkan kepada orang Islam
dan bukan Islam di Malaysia tentang perkembangan seni dan kebudayaan, ilmu
pengetahuan, sains dan teknologi, dan lain-lain kemajuan yang telah
dicapai oleh umat Islam semenjak Nabi Muhammad s.a.w. diutus sebagai
Rasulullah untuk menyampaikan agama Islam. Tiada ada sesiapa yang melihat
pameran ini yang tidak akan kagum dengan pencapaian orang Islam di zaman
silam. Mungkin ramai yang tidak pun tahu bahawa adanya begitu banyak
kemajuan masyarakat Islam dalam bidang-bidang yang sekarang ini dikuasai
oleh orang-orang Barat. Sudah tentu sebilangan daripada orang Islam akan
berasa bangga dengan sejarah tamadun Islam.

4. Walaupun demikian, pameran ini tidak boleh dianggap berjaya jika orang
Islam yang menyaksikannya cuma berbangga dengan apa yang
dilihat. Masyarakat yang bermegah-megah dengan kegemilangan sejarahnya
adalah masyarakat yang sudah menjadi mundur dan tidak lagi dapat berbangga
dengan keadaannya sekarang. Sebenarnya masyarakat Islam termasuk dalam
kategori ini. Zaman keagungan Islam sudah lepas, dan sekarang ini walaupun
orang Islam kaya, mereka secara langsung dan tidak langsung dijajah oleh
orang lain. Dan mereka tidak berupaya untuk melepaskan diri mereka
daripada penjajahan ini.

5. Pameran ini hanya boleh dianggap berjaya jika ia dapat menyedarkan
orang Islam tentang warisan mereka, tentang kelemahan mereka sekarang
berbanding dengan dahulu, dan membangkitkan semangat untuk sekali lagi
berusaha supaya zaman kegemilangan Islam kembali semula. Jika dahulu orang
Islam dapat menegakkan tamadun yang meliputi seluruh dunia, tidak ada
sebab mengapa tamadun Islam tidak boleh sekali lagi mempengaruhi dunia.

6. Islam telah berkembang secara besar-besaran di luar dari Semenanjung
Arab selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w.

Demikianlah luasnya perkembangan ini sehingga Sepanyol dan Peranchis di
barat dan China serta Filipina di timur termasuk dalam wilayah
Islam. Orang-orang Islam yang membawa tamadun Islam ke tempat-tempat ini
bukan sahaja arif dalam bidang agama tetapi telahpun menerap dan meneroka
bermacam-macam ilmu baru. Daripada orang-orang Arab Jahiliah yang cuma
tahu menggunakan unta dan kuda untuk menyeberangi padang pasir, mereka
sudah menjadi satu bangsa yang tahu menyeberangi laut dengan menggunakan
'celestial navigation', mencipta dan menggunakan kompas, pakar dalam
bidang astronomi, 'architecture', mengubat bermacam-macam penyakit,
membedah, mengguna logam, mencipta ilmu hisab baru termasuk Aljibra,
mengkaji Alchemy dan bermacam-macam lagi ilmu selepas memeluk agama Islam.

7. Adalah jelas bahawa agama Islam telah membuka mata dan hati orang Arab
Jahiliah yang memeluk agama Islam sehingga mereka menjadi bangsa yang
berjaya. Islam tidak menutup pintu kepada ilmu, sebaliknya telah membuka
peluang kepada orang Islam supaya menuntut ilmu dan menggunakannya untuk
mendirikan satu tamadun yang teragung sekali. Ilmu yang sudah ada pada
orang-orang Greek dan tamadun lain telah dipelajari, diselidiki dan
ditokok-tambah sehingga akhirnya orang-orang Eropah terpaksa pergi ke
universiti-universiti dalam empayar Islam untuk menuntut ilmu. Pameran ini
dapat menunjukkan sebahagian kecil sahaja daripada hasil ilmu yang
dikuasai dan dimiliki oleh orang-orang Islam yang menjadikan tamadun Islam
begitu gemilang.

8. Malangnya selepas lapan ratus tahun, tamadun Islam di barat Eropah
telah merosot. Di timur Eropah pula kemerosotan mula berlaku dalam abad
ke-18, dan di Asia Tengah pada suku abad yang pertama abad ini. Proses
kemerosotan ini masih berlaku, dengan banyak wilayah Islam yang terlepas
ke tangan orang, dan orang-orang Islam tidak dapat menegak dan
mempertahankan tamadun mereka. Jikalau dahulu orang Eropah terpaksa
mencari ilmu dari universiti-universiti Islam, hari ini tidak kurang
daripada 300,000 penuntut Islam terpaksa menuntut ilmu yang dahulu
diterokai oleh orang Islam di universiti-universiti bukan Islam. Di
samping itu ramai pula orang Islam yang berhijrah dan terpaksa tinggal di
negara-negara bukan Islam kerana keadaan di negara mereka sendiri tidak
sempurna.

9. Kemerosotan tamadun Islam berpunca daripada dua perkara. Yang pertama
ialah pemimpin-pemimpin negara Islam yang memerintah mengikut sistem
feudal telah khayal dengan kemewahan hidup mereka sehingga lupa kepada
ajaran-ajaran Islam. Mereka ini menyimpan beratus gundek untuk memenuhi
kehendak nafsu mereka, sementara pemerintahan tidak dipedulikan.

10. Yang kedua ialah wujudnya kumpulan-kumpulan ulamak yang membawa
tafsiran Islam yang sempit. Mereka ini menolak semua ilmu lain sebagai
sekular melainkan yang khusus berkenaan dengan agama. Dunia ini kata
mereka ialah untuk orang kafir. Dengan ini maka perkembangan ilmu
pengetahuan yang telah menolong menegakkan tamadun Islam dan menyebarkan
Islam ke seluruh dunia pun tersekat. Semakin lama semakin kurang bilangan
orang-orang Islam yang terpelajar dalam bidang sains, teknologi, hisab dan
lain-lain. Sementara itu, tafsiran agama semakin lama semakin sempit
sehingga Islam terhad kepada ibadat dan soal-soal seks. Soal ilmu
pengetahuan, pertahanan, kemasyarakatan, kebajikan dan lain-lain yang
menjadi asas peradaban sesuatu masyarakat tidak mendapat perhatian yang
sewajarnya.

11. Sementara kemerosotan berlaku di negara-negara Islam, orang-orang
Eropah telah melalui satu proses pertukaran yang amat besar kesannya
kepada tamadun Islam. Di zaman kegemilangan Islam, orang Eropah berada
dalam 'Dark Ages' atau zaman kegelapan. Agama mereka melarang mereka
daripada mempelajari berbagai ilmu kerana dikatakan bertentangan dengan
kuasa Tuhan. Dengan itu tamadun mereka tidak bergerak dan mereka terus
jahil. Jika ada sesiapa yang cuba meneroka ilmu baru, ianya mungkin
dibakar hidup-hidup.

Tetapi, ada di antara mereka yang membelakangkan larangan ini dan telah
belajar di universiti-universiti Islam atau meneliti buku-buku ilmiah
karya saintis Islam. Apabila negara-negara Islam ditewas, ilmu yang ada
pada orang Islam telah dirampas oleh orang Eropah dan mereka mula
mempelajari ilmu-ilmu ini dengan meluas. Inilah permulaan 'The
Renaissance' atau zaman 'Kelahiran Semula' orang Eropah.

Mereka telah memperluaskan bidang pelajaran dan menggunakan pengetahuan
yang mereka perolehi untuk menyerang wilayah-wilayah Islam. Di penghujung
abad ke-19 dan permulaan abad ke-20 telah kelihatan kehancuran tamadun
Islam di tangan orang Eropah. Hampir semua negara Islam dijajah. Apa yang
tinggal, ialah beberapa bangunan dan khazanah yang membuktikan tamadun
Islam di zaman yang telah berakhir beratus tahun dahulu.

12. Pameran ini memberi peluang kepada semua pihak menyaksi dan memahami
tamadun Islam. Orang-orang Islam boleh berbangga dengannya tetapi tidak
boleh khayal. Orang Islam sepatutnya menjadikan pameran ini sebagai
peringatan tentang tugas dan tanggungjawab mereka. Di zaman ini pun
terdapat kedua-dua faktor yang saya sebutkan tadi. Ada kekayaan yang
mengkhayalkan pemimpin-pemimpin beberapa negara Islam sehingga mereka lupa
akan ajaran Al-Quran. Dan ada juga kumpulan yang cuba menghalang pelajaran
ilmu pengetahuan yang tidak khusus mengenai agama. Dengan adanya kedua-dua
faktor ini, tamadun Islam tidak mungkin mencapai kegemilangan yang
diidamkan.

13. Jika kita tidak mahu menjadi bahan pameran kelemahan tamadun Islam
abad ke-15 Hijrah oleh zuriat-zuriat kita, kita harus hapuskan kedua-dua
faktor tadi, dan kita jadikan sebagai teladan orang-orang seperti Ibn
Khaldum, Ibn Rushd, Ibnu Sina, Musa Al-Khwarizmi, Ibn Batuta, Tariq ibn
Ziyad dan lain-lain tokoh Islam yang telah menjadikan tamadun Islam begitu
gemilang sehingga kita kagum dan boleh menumpang bangga dengannya. Jika
kita dapat mencontohi mereka dan membawa balik zaman kegemilangan Islam,
maka dapatlah kita berkata bahawa pameran ini sedikit sebanyak telah
berhasil.

14. Sebenarnya kebangkitan tamadun Islam yang baru dan cemerlang bukanlah
satu perkara yang mustahil. Kita mempunyai cerdik-pandai yang hampir
setanding dengan tokoh-tokoh yang saya sebutkan tadi. Tetapi, kita tidak
memberi galakan dan peluang kepada mereka. Kerana kita tidak menghargai
mereka, maka kita tidak mengadakan kemudahan untuk mereka menjalankan kaji
selidik mereka dan kita tidak memberi upahan yang wajar. Demikianlah
rendahnya nilai mereka dalam masyarakat Islam sehingga ramai daripada
mereka terpaksa berhijrah ke Eropah dan Amerika yang sanggup membekalkan
apa yang diperlukan oleh mereka. Sudah tentu hasil karya mereka diperolehi
oleh negara-negara yang memberi tempat kepada mereka. Alangkah ruginya
orang Islam apabila ini berlaku.

15. Sementara itu satu kempen sedang dijalankan untuk menghapuskan ilmu
yang kononnya sekular, walaupun ilmu-ilmu ini telah diterokai oleh
orang-orang Islam sendiri.

Universiti-universiti Islam memberi tumpuan cuma kepada pelajaran
agama. Ilmu-ilmu lain tidak mendapat perhatian ataupun diajar secara cetek
sahaja, tanpa kajian yang mendalam seperti yang dibuat oleh pakar-pakar
Islam di zaman kegemilangan Islam.

16. Jika kita benar-benar menghargai tamadun Islam, maka kita harus
berusaha sekarang ini juga untuk memperbaiki kedudukan orang
Islam. Pembaziran wang, peperangan sesama sendiri dan kekolotan pandangan
terhadap perkembangan ilmu mestilah dihapuskan. Sebaliknya segala kekayaan
orang-orang Islam hendaklah diguna untuk menegak semula pengetahuan,
kecekapan dan pembangunan umat Islam. Insya-Allah, jika tidak kita
sendiri, generasi akan datang mungkin akan dapat menikmati tamadun Islam
yang gemilang semula. Bahawa kita tidak mungkin dapat menyaksikannya tidak
mengapa. Tugas kita ialah untuk membina asas yang kukuh untuk
generasi-generasi yang akan datang dan ini patut menjadi satu
tanggungjawab yang mulia yang harus kita pikul dengan bangganya. Ingatlah
sesuatu tamadun tidak menjelma dalam sekelip mata. Berpuluh, bahkan
beratus tahun akan berlalu sebelum sesuatu tamadun mencapai
puncaknya. Tetapi semua tamadun mesti ada permulaan. Apa yang kita harus
buat ialah mengambil langkah-langkah permulaan ini. Jika pameran ini dapat
menggerakkan kita untuk mengambil langkah ini maka berhasillah ia. Jika
tidak maka sia-sia sahajalah segala usaha yang mulia ini.

17. Walaupun saya belum boleh pastikan hasil pameran ini, saya ingin
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Muzium Negara dan Berita Harian
dan lain-lain badan kerana menganjurkan Pameran ini. Saya yakin
sekurang-kurangnya usaha ini, sedikit sebanyak akan memberi sumbangan
kepada langkah-langkah Kerajaan untuk mempertingkatkan lagi kefahaman
mengenai tamadun Islam di kalangan masyarakat Malaysia.

18. Akhir kata, dengan segala sukacitanya saya membuka Pameran Tamadun
Islam ini dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu 'alaikum warahmatullhi wabarakatuh. 
 



 


 











 
Google