Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 25/05/84
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-35
BISMILLAHIR RAHMAN NIRRAHIM.
ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
Yang Berhormat Pengerusi Majlis; Timbalan Presiden; Naib-Naib
Presiden; Ahli-Ahli Majlis Tertinggi; Ketua-Ketua dan Wakil-Wakil
Parti-Parti Komponen Barisan Nasional; Dif-Dif Kehormat; Para Perwakilan
dan Pemerhati; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
PENDAHULUAN ___________
Syukur Alhamdulillah, dengan limpah kurnia dan izin Allah Subhanahu
Wataala, sekali lagi kita dapat berkumpul menghadiri Perhimpunan Agung
UMNO dalam keadaan tenang dan aman, kali ini buat kali yang ke-35. Bagi
pihak Parti dan Majlis Tertinggi, saya mengalu-alukan kehadiran
saudara-saudari para perwakilan sekalian. Saya juga mengalu-alukan
wakil-wakil dan pemimpin-pemimpin parti Barisan Nasional, yang hadir di
Majlis ini. Marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Ilahi supaya dengan
taufik dan hidayahNya dapat kita menunaikan tanggungjawab kita di
Perhimpunan ini bagi memelihara perpaduan dalam Parti dan mencapai
matlamat perjuangan kita.
2. Walaupun setiap Perhimpunan Agung UMNO menjadi peristiwa yang amat
penting kepada kita ahli UMNO khususnya, dan rakyat serta negara amnya,
namun setiap tiga tahun sekali, Perhimpunan Agung UMNO lebih menarik minat
kerana pemilihan pucuk pimpinan, iaitu Majlis Tertinggi. Kali ini akan
memilih mereka yang akan diamanahkan dan diberi tanggungjawab untuk
menerajui Parti di peringkat yang tertinggi.
3. Di Perhimpunan Agung tahun lepas, saya telah menghuraikan dengan
panjang lebar proses demokrasi dan amalannya dalam UMNO dan saya percaya
para perwakilan tidak perlu diperingati lagi tentangnya. Walau apa pun
yang akan kita lakukan pada bila-bila masa, kita harus mengutamakan
kepentingan Parti lebih daripada kepentingan diri, insya-Allah.
UMNO: PERPADUAN KEBANGSAAN DAN KEISLAMAN __________________
Saudara-saudari sekalian,
4. UMNO adalah parti politik orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu
semuanya beragama Islam, maka UMNO dengan sendirinya menjadi parti orang
Islam Semenanjung Malaysia dan berjuang untuk agama Islam. Tetapi UMNO
bukan hipokrit dan berpura-pura menafikan yang ia adalah parti orang
Melayu seperti yang dibuat oleh sebuah parti lain.
5. UMNO dengan jelas mengakui yang ianya parti kebangsaan Melayu di
samping menjadi parti Islam. Menafi hakikat ini akan menjadikannya
hipokrit atau munafik -- dan orang munafik tidak menjadi orang Islam yang
jujur.
6. Di Malaysia orang Melayu cuma 50% daripada jumlah penduduk dan mereka
adalah golongan yang, secara relatif, lemah dan miskin. Dengan itu UMNO
juga mewakili golongan yang lemah dan miskin dalam negara.
7. Orang yang lemah dan miskin biasanya menarik simpati masyarakat
umum. Tetapi, walaupun lemah dan miskin, orang Melayu telah berjaya
memegang kuasa politik dalam negara Malaysia yang merdeka. Ini menimbulkan
kebencian yang tidak terhingga terhadap mereka di kalangan orang-orang
tertentu di dalam dan di luar negeri. Oleh sebab itulah semenjak merdeka
orang Melayu tidak mendapat simpati, dan negara Malaysia menjadi sasaran
bermacam-macam tuduhan dan tohmahan. Dan sudah tentu parti orang Melayu,
iaitu Parti UMNO, menjadi tumpuan utama segala usaha pihak lawan untuk
mengekalkan orang Melayu di taraf rendah mereka, supaya tidak dapat
menggunakan kuasa politik mereka untuk memperbaiki kehidupan mereka.
8. Tidak ada cara yang lebih berkesan untuk mengekalkan kelemahan orang
Melayu daripada menggunakan orang Melayu sendiri untuk melawan orang
Melayu. Dengan tertubuhnya Parti PAS maka terbentuklah alat utama musuh
orang Melayu. Malang bagi mereka, kebanyakan daripada orang Melayu dapat
meneka strategi pecah-belah ini dan telah terus menyokong UMNO.
9. Sekarang ini usaha ditumpukan kepada melemahkan semangat kebangsaan
Melayu dengan mendakwa Islam menentang kebangsaan. Bahawa kebangsaan orang
Melayu adalah satu alat mempertahankan diri bagi orang Melayu yang
semuanya Islam, sama seperti kebangsaan Mujahidin mempertahankan orang
Islam Afghanistan, dan tidak menjadi satu keangkuhan yang mengenepikan
agama Islam dan orang Islam lain, tidak disebut. Mereka yang mendakwa
bahawa mereka cuma mengakui keislaman mereka dan kononnya menolak semangat
kebangsaan Melayu, tidak pula berani mempertahankan orang yang seagama
dengan mereka di Afghanistan, atau di Lubnan atau di lain-lain
tempat. Keislaman mereka terhad kepada kegiatan di Malaysia sahaja di mana
kebangsaan Melayu UMNO dapat memberi perlindungan kepada mereka. Sifat
mereka ini adalah sifat hipokrit atau sifat talam dua muka. Dan mereka
adalah begitu fanatik kepada parti mereka sehingga mereka tidak menyoal
sama ada pendirian parti mereka baik atau tidak.
Mereka inilah yang sebenarnya dari golongan Asabiyah.
HIPOKRASI DAN EKSTRIMISME MUSUH UTAMA ______________________
Saudara-saudari sekalian,
10. UMNO perlu mendedahkan golongan hipokrit di kalangan orang Melayu
ini. Golongan hipokrit dalam mana-mana masyarakat memang menjadi duri
dalam daging. Pertahanan Madinah di zaman Nabi Muhammad s.a.w. telah
dilemahkan oleh golongan ini. Dalam sejarah Islam, golongan seperti ini
kerap muncul apabila sahaja orang Islam mencapai kejayaan dan merekalah
yang melemahkan semula masyarakat Islam. Sekarang keadaan seumpama ini
sedang berlaku di Malaysia. Adalah menjadi tanggungjawab parti orang Islam
seperti UMNO untuk bukan sahaja mendedahkan gologan hipokrit ini tetapi
juga melawan mereka sehingga mereka tewas. Insya-Allah, UMNO akan berjaya
dalam usaha yang mulia ini dan orang Melayu serta orang Islam di Malaysia
akan kekal dengan perpaduan mereka dan akan terus kuat dan maju.
11. Sebagai satu lagi usaha untuk menentukan kejayaan orang Melayu, kita
telah berusaha menerapkan nilai-nilai Islam. Kita tidak syak bahawa
nilai-nilai Islam akan menjadikan orang Melayu orang yang lebih berjaya di
dunia dan di akhirat. Pentadbiran yang diasaskan kepada nilai-nilai Islam
tetap akan menjadi pentadbiran yang kukuh, adil dan berjaya.
12. Di sini nilai-nilai Islam tidak bermakna rupa-bentuk dan kebudayaan
Arab yang menjadi tumpuan setengah-setengah orang Melayu di
Malaysia. Memang benar rupa-bentuk boleh dijadikan simbol Islam dan ditiru
dengan mudah. Tetapi rupa-bentuk tidak akan membawa kejayaan kepada
kita. Yang akan membawa kejayaan ialah amalan nilai-nilai Islam seperti
amanah, disiplin, taat-setia, rajin dan tekun, bersaudara antara
orang-orang mukmin, berani kerana benar, bertoleransi dan bertimbangrasa,
adil, insaf dan syukur dan lain-lain lagi nilai yang mulia yang tidak
begitu mudah diamal atau dipamerkan.
13. Jika pada hari ini masyarakat Islam berada dalam keadaan yang hina,
berpecah-belah dan berperangan antara satu sama lain, dipermain, ditipu
dan diperalatkan, terlalu bergantung kepada orang-orang bukan Islam dan
diserang oleh berbagai masalah, sebabnya ialah orang Islam tidak
mengamalkan nilai-nilai Islam. Ini termasuklah orang-orang Melayu yang
kerap memperkatakan tentang nilai-nilai yang baik tetapi jarang
mengamalkan nilai-nilai ini.
PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM KE DALAM PENTADBIRAN _______________________
Saudara-saudari sekalian,
14. Dalam ucapan saya di Perhimpunan Agung Tahun 1982, saya telah
menjelaskan tentang hasrat Kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai Islam ke
dalam pentadbiran negara. Maksud saya ialah supaya kita akan mentadbir
dengan amanah, jujur, disiplin, setia, bertanggungjawab, cekap, bersih,
dan lain-lain lagi nilai Islam yang akan menjadikan pentadbiran negara ini
satu pentadbiran yang berkesan dan adil.
15. Malangnya hasrat ini telah dijadikan alasan untuk ajaran dan tindakan
yang membawa masalah dan mengganggu pentadbiran. Islam sengaja digambarkan
oleh kumpulan-kumpulan tertentu sebagai agama yang tidak toleran, sehingga
kakitangan Kerajaan yang beragama Islam dilarang dari berkawan dengan yang
bukan Islam dan melawat mereka di hari kebesaran mereka. Tumpuan diberikan
bukan kepada soal khidmat yang baik dan pegangan kepada janji dan ikrar,
tetapi kepada soal haram-halal, di mana tafsiran dibuat mengikut nafsu.
16. Demikianlah ekstrimnya tafsiran yang dibuat sehingga ada pegawai yang
tidak mahu menyentuh kertas yang ada tertulis di dalamnya perkataan
'babi'. Ada yang sanggup menukar arahan ketua kerana tidak secocok dengan
fahaman ekstrim mereka. Ada yang berpendapat bahawa penerapan nilai Islam
bermakna memakai cador, tetapi kerana gaji, mereka masih sanggup bekerja
di pejabat.
17. Dengan kegiatan menyalah-tafsirkan niat Kerajaan untuk menerapkan
nilai-nilai Islam ke dalam pentadbiran, maka matlamat mengadakan
pentadbiran yang jujur dan kemas tidak tercapai seperti yang
dijangkakan. Tidak ada tekanan diberi oleh kumpulan-kumpulan tertentu ini
kepada amanah, disiplin, kesetiaan dan lain-lain, kerana ini semua
dikatakan sama sahaja dengan nilai-nilai universal, dan oleh itu tidak
menjadi nilai Islam yang khusus. Nilai Islam, kata mereka, ialah yang
mengasingkan orang Islam daripada yang bukan Islam.
18. Walaupun penyelewengan telah berlaku, Kerajaan akan terus berusaha
untuk menjayakan penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran. Mereka
yang sengaja menimbulkan masalah dengan tafsiran yang sempit dan
keterlaluan akan ditentang habis-habisan. Penerapan nilai-nilai Islam oleh
pentadbiran negara akan membentuk Kerajaan yang lebih adil dan lebih
berkesan. Semua rakyat, dari apa juga kaum atau agama, akan mendapat
kebahagiaan daripada pentadbiran yang diasaskan kepada nilai-nilai
Islam. Segala usaha untuk mengkhianati hasrat ini akan gagal, insya-Allah.
KEMELESETAN EKONOMI DAN CABARAN _______________________________
Saudara-saudari sekalian,
19. Malaysia dalam tahun 1983 telah melalui beberapa liku dan menghadapi
beberapa masalah. Kemelesetan ekonomi dunia telah memuncak dan membawa
banyak kesan buruk kepada pembangunan negara dan kehidupan
rakyat. Berbanding dengan negara-negara lain, baik yang membangun atau
yang sudah maju, kesan kepada Malaysia tidaklah begitu teruk. Dari segi
pengangguran umpamanya, Amerika Syarikat mengalami pengangguran sebanyak
11%, sementara kita cuma 6%. Dari segi inflasi pula, inflasi di negara
kita adalah lebih rendah dari negara-negara lain. Di Amerika Selatan,
kadar inflasi meningkat ke paras 150% setahun, tetapi di negara kita cuma
3.6% sahaja. Pertumbuhan ekonomi kita ialah hampir 6% berbanding dengan
pertumbuhan negatif di kebanyakan negara-negara lain. Namun demikian
perkembangan ekonomi di Malaysia tidaklah seperti dahulu, di waktu mana
kita dapat memenuhi banyak daripada kehendak rakyat dan negara dari segi
bekalan wang.
20. Hakikat yang mesti kita akui ialah kedudukan kewangan negara kita
tidaklah baik seperti dahulu. Dalam hal ini, kita mempunyai dua
pilihan. Pertama, kita boleh ketepikan kenyataan dan kita belanja seperti
di masa makmur. Jika tidak cukup wang, kita berhutang. Soal bayar balik
kita lupakan. Tidak usah kita fikirkan bahawa negara akan jadi
bankrap. Yang penting ialah kita popular sekarang.
21. Pilihan kedua ialah kita berjimat cermat, dan belanja setakat yang
kita mampu sahaja. Saya yakin tiap seorang daripada kita akan berkata
pilihan kedualah yang terbaik. Malangnya sementara kita bersetuju dengan
sikap jimat-cermat Kerajaan, kita berharap yang hendak dijimatkan ialah
peruntukan bagi orang lain. Kita lupa bahawa orang lain itu ialah kita
sendiri kalau dipandang dari sudut orang lain. Pendek kata, Kerajaan
disokong supaya berjimat asalkan semua projek diteruskan. Ini adalah
mustahil. Kita semua haruslah berkorban jika usaha jimat-cermat hendak
diamalkan.
22. Dalam keadaan ini datanglah orang yang tidak bertanggungjawab yang
hendak menangguk di air yang keruh. Parti pembangkang akan mengecam dengan
hebat kerana menurut mereka Kerajaan berbelanja secara boros dan berhutang
terlalu banyak. Mereka mencabar supaya kita kurangkan hutang. Tetapi di
masa yang sama mereka mengecam mengapa bekalan wang tidak mencukupi,
pembangunan tidak diadakan dan peruntukan untuk berbagai maksud
dikurangkan. Mereka mengejek-ejek kita kerana tidak membuat itu dan
ini. Dan kadang-kadang ada di antara kita yang melatah dan menari mengikut
rentak mereka. Inilah yang mereka mahu, bukan peruntukan atau
kemudahan. Bagi mereka, tidak ada peruntukan amatlah baik, kerana ini
boleh dijadikan isu untuk menarik perhatian kepada diri mereka. Tidak ada
sesuatu yang lebih mengecewakan mereka daripada kejayaan Kerajaan memenuhi
kehendak rakyat.
23. Ahli-ahli UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO tidak boleh latah. Kita
mesti sedar akan keadaan ekonomi dan kewangan negara. Kita mesti
berjimat-cermat, mesti sanggup mengikat perut buat sementara waktu. Kita
perlu menjelaskan kepada rakyat akan betapa pentingnya kita
bersabar. Akhirnya kita akan mencapai kebahagiaan. Inilah caranya
menghadapi cabaran. Mereka yang mengikut nafsu akan menderita, mereka yang
bersabar akan bahagia.
24. Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat telahpun diumumkan
dan beberapa strategi baru telah digubal. Pemimpin dan ahli UMNO mestilah
menolong menjayakan strategi baru ini. Insya-Allah kita akan dapat
memulihkan dengan lebih cepat lagi keadaan ekonomi negara, terutama
ekonomi orang Melayu di desa.
PINDAAN PERLEMBAGAAN ____________________
Saudara-saudari sekalian,
25. Selain daripada kemelesetan ekonomi, perkara yang mencabar UMNO dalam
tahun 1983 ialah isu pindaan perlembagaan. Saya tidak perlu ulangkan di
sini tentang sebab-sebab Perlembagaan perlu dipinda. Saya telahpun memberi
keterangan yang jelas kepada semua Ketua Bahagian dan Pegawai Penerangan
yang harus menyampaikannya kepada semua ahli UMNO.
26. Saya ingin menyatakan di sini kesyukuran saya dan terima kasih saya
kepada pemimpin serta ahli UMNO yang telah memberi sokongan kepada
tindakan Kerajaan. Majlis-majlis penerangan yang diadakan telah dibanjiri
oleh ahli UMNO dan orang Melayu dan bukan Melayu yang menjadi penyokong
Barisan Nasional sehingga tidak siapa boleh menuduh lagi bahawa pindaan
ini dibuat tanpa mendapat restu daripada majoriti ahli UMNO. Ada yang
menuduh bahawa hanya Presiden dan Timbalan Presiden sahaja yang inginkan
pindaan perlembagaan. Ada yang berkata, Parti tidak diberi peluang
membincang terlebih dahulu.
27. Sebenarnya Perlembagaan Malaysia telah dipinda berkali-kali. Di antara
pindaan-pindaan yang telah diluluskan ialah pemisahan Singapura. Pemisahan
mana-mana wilayah Malaysia dilarang oleh Perlembagaan. Ia memerlukan
persetujuan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. Sudah tentu Parti patut
diberitahu, jika tidak pun diberi peluang membahas. Tetapi sepertimana
kita maklum, tidak ada sebarang rujukan atau rundingan. Setiausaha Agung
UMNO pada ketika itu meletak jawatan kerana membantah cara keputusan
pemisahan Singapura dibuat. Tetapi pindaan terus dibuat, dengan 2/3
daripada ahli Dewan Rakyat menyokong pindaan ini, termasuklah saya
sendiri. Saya tidak membantah kerana matlamat adalah lebih penting dari
cara. Tidak ada gunanya kita mengadakan pemimpin, jika mereka tidak
dibenarkan mengguna budibicara mereka sama sekali terutama apabila
perbahasan umum akan mencetuskan lebih banyak masalah dan ketegangan.
28. Pindaan Perlembagaan yang kita buat baru-baru ini tidak sebesar
pemisahan Singapura, tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan tidak
memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja. Mengungkit soal aturan-peraturan
cuma dibuat kerana kepentingan lain atau kerana sengaja hendak mencari
salah.
29. Memang ada pemimpin-pemimpin UMNO yang agak tidak begitu berminat
dengan pindaan yang telah dibuat. Ini adalah perkara biasa. Tetapi
sepertimana mereka mengungkit soal aturan-peraturan, mereka juga patut
mengikuti aturan-peraturan dalam tindak-tanduk mereka. Jika ahli-ahli yang
tidak bersetuju berpendapat bahawa pindaan ini perlu dirujuk kepada UMNO
terlebih dahulu, kenapakah mereka sendiri tidak rujuk kepada UMNO sebelum
mereka membuat kenyataan umum dan berpakat dengan orang-orang di luar
Parti untuk menghalang tindakan yang diambil oleh pemimpin yang dipilih
oleh Parti? Apakah orang yang tidak dipilih lebih berhak dari orang yang
dipilih? Jika benar, di mana duduknya demokrasi dalam Parti?
30. Apabila saya membuat salah dahulu saya disingkir. Hari ini saya
memimpin parti tetapi kita tidak menyingkir orang yang membuat salah
kepada parti. Siapakah yang lebih demokratik dan siapakah
'Yes-man'? 31. Alhamdulillah. Sekarang isu pindaan perlembagaan sudah
menjadi sejarah. Kita telah mencapai matlamat kita, dan kita semua harus
bersyukur bukan sahaja kerana pencapaian matlamat ini tetapi juga kerana
parti kita masih bersepadu walaupun retak sedikit. Di samping kita
bersyukur, kita harus ingat bahawa retak mudah menjadi belah. Yang gagah
pun akan lemah jika dipalu berkali-kali. Apatah lagi yang sudah retak.
32. Pindaan Perlembagaan sudah pun selesai. Sama ada benar atau tidak
tuduhan bahawa kita terlalu bertolak ansur atau terlalu tamak kuasa, tidak
perlu dibahas. Pemimpin-pemimpin UMNO akan datang dan akan pergi, tetapi
perjuangan UMNO perlu dikekalkan. Pada hemat saya, perjuangan untuk
menghilangkan keraguan tentang kuasa rakyat dan kuasa raja telah
selesai. Kita telah tentukan bahawa akhirnya rakyat yang berhak membuat
undang-undang yang mempunyai kesan terhadap rakyat.
DASAR EKONOMI BARU DAN KENYATAAN ________________________________
Saudara-saudari sekalian,
33. Dasar Ekonomi Baru telah dilaksanakan oleh Kerajaan dengan jujur dan
telah mencapai kejayaan, walaupun, kerana sebab-sebab tertentu, tidak ke
tahap yang dirancangkan. Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia
Keempat, kita telah mencapai 18% daripada 23% bahagian ekonomi yang
ditentukan bagi Bumiputera sehingga tahun 1983.
34. Sekarang kita perlu tanya diri kita, sama ada kita benar-benar mahu
bahagian kita dalam ekonomi negara. Soal ini perlu ditanya kerana
baru-baru ini soal haram-halal Amanah Saham Nasional telah dibangkitkan
semula oleh orang-orang yang berkepentingan.
35. Ekonomi dunia di zaman moden ini bukan dibentuk dan diusahakan oleh
orang Islam. Oleh itu ekonomi moden tentulah ada unsur-unsur yang mungkin
bertentangan dengan ajaran Islam, yang telah dicampur-adukkan dengan
cara-cara serta kegiatan yang boleh diterima oleh Islam. Kadangkala kita
dapat mengasingkan apa yang bertentangan dengan Islam daripada apa yang
diizinkan. Tetapi kerapkali pengasingan ini tidak dapat dibuat, terutama
jika kita sengaja mencari unsur-unsur yang tidak secocok dengan
Islam. Demikianlah pencemaran yang berlaku sehingga kita tidak mungkin
mengamalkan apa-apa ibadat tanpa terlibat secara tidak langsung
sekurang-kurangnya dengan soal haram-halal. Kain yang kita pakai waktu
sembahyang, kapal atau kapalterbang yang kita guna untuk ibadat haji,
kurma yang kita makan di bulan puasa, bahkan fitrah yang kita bayarkan
sedikit sebanyak terlibat dengan sistem bank perdagangan. Cuma mengucap
dua kalimah syahadat sahaja yang mungkin tidak melibatkan bank dan
lain-lain perniagaan yang diragui oleh mereka yang ingin dikenali sebagai
'Muslim purist' yang kononnya tidak pernah tercemar keislaman mereka.
36. Di Malaysia ada yang mendakwa bahawa mereka membuat perniagaan
mengikut ajaran Islam dan oleh itu, mestilah disokong oleh semua orang
Islam. Bahkan ada yang menyatakan bahawa orang Islam tidak boleh membeli
barangan selain daripada apa yang dijual oleh orang Islam. Dengan itu,
maka terdapatlah orang yang menjual mi Islam yang dibuat oleh
mereka. Tetapi sungguhpun mi itu dibuat oleh orang Islam, tepung dibeli
dari orang bukan Islam, bahkan ditanam, diimport dan dijual dengan
pembiayaan bank perdagangan kepunyaan bukan Islam. Pembuatan dan penjualan
barang oleh orang Islam memang patut disokong oleh orang Islam tetapi
janganlah gunakan Islam sebagai iklan, terutama apabila dakwaan yang
dibuat tidak benar. Perbuatan sedemikian menghinakan Islam dan
menjadikannya bahan gelak-ketawa orang lain. Memang benar ada larangan
kepada orang Islam dalam soal makan-minum, pakaian dan kegiatan sosial,
ekonomi dan politik. Larangan ini amat mudah diamalkan. Kita tidak boleh
makan babi, tidak boleh minum arak, tidak boleh berzina, tidak boleh
menipu, tidak boleh menerima ideologi yang menafikan adanya Tuhan, dan
lain-lain lagi yang jelas.
Tetapi mereka yang ingin bertopengkan Islam tidak puas hati dengan
larangan ini sahaja. Mereka mencipta dan mencari bermacam-macam lagi
larangan lain, sehingga membuat takrif dan tafsiran sendiri. Di samping
itu, mereka menjadikan yang sunat itu wajib, yang harus menjadi sunat dan
diwajibkan kemudiannya. Perkara-perkara yang tidak dilarang dijadikan
haram. Tetapi, yang anehnya bagi orang-orang ini yang wajib
diketepikan. Mereka tidak mengambil berat tentang perpaduan ummah, jauh
sekali persaudaraan dalam Islam. Mereka tidak segan-segan berbohong
berkenaan dengan agama, mengkafirkan orang Islam, menyalah-tafsir,
memilih-milih ayat Al-Quran, Hadis dan Sunah Nabi yang secocok dengan
dakwaan mereka sahaja dan lain-lain kegiatan yang dilarang oleh
agama. Mereka menjual ayat-ayat Al-Quran dengan murah.
37. Sepertimana yang saya telah katakan tadi, ekonomi moden bukan dibentuk
dan dikembangkan oleh orang Islam. Ia dibentuk dan diamalkan oleh orang
bukan Islam. Demikianlah berkesannya sistem ekonomi mereka, sehingga
seluruh dunia terpaksa menggunakan sistem ini. Orang Islam sendiri tidak
dapat mengelak daripada menggunakan sistem ini. Jika orang Islam cuba
mengelak, sebelum sistem Islam dikembangkan, akibatnya ialah kita akan
dijajah oleh pengamal sistem ekonomi dunia sekarang. Dan jika kita
dijajah, sistem ekonomi Islam tidak mungkin kembang dan maju.
38. Orang Islam yang berhajat untuk memajukan sistem ekonomi Islam
mestilah tahu menyusun langkah dan menggunakan sistem orang lain
dahulu. Sistem Islam adalah praktikal. Yang menggagalkan sistem Islam,
bukanlah agama Islam, tetapi tindakan buta-tuli penganut-penganut
Islam. Jika Sepanyol, Eropah Timur dan Selatan Rusia sekarang ini tidak
lagi menjadi sebahagian daripada dunia Islam, sebabnya ialah penganut
Islam bertindak mengikut nafsu lebih daripada akal fikiran. Mereka menolak
ilmu kerana ada yang berpendapat bahawa ilmu-ilmu yang tidak berasas
kepada tafsiran Al-Quran, Hadis dan Sunah Nabi adalah sekular dan tidak
Islam. Jika di zaman ini peluang daripada kekayaan minyak yang dikurniakan
oleh Tuhan kepada orang Islam tidak dapat diperalatkan untuk mengembangkan
sistem ekonomi Islam, sebabnya ialah kerana sekali lagi orang Islam tunduk
kepada dorongan nafsu dan tidak menggunakan akal fikiran. Mereka mahu
mengharamkan semua tanpa menyediakan gantinya.
39. Di Malaysia orang Islam berada dalam keadaan cemas kerana mereka
begitu lemah dalam bidang ekonomi. Dalam kecemasan atau darurat banyak
tindakan yang diizinkan oleh agama Islam. Daging babi sekalipun boleh
dimakan jika perbuatan cara itu sahaja yang boleh menyelamatkan nyawa
seorang orang Islam. Ada pemimpin sebuah parti yang baru-baru ini berkata
riba diizinkan dalam darurat. Mereka tahupun ajaran Islam, tetapi
kelonggaran ini mereka gunakan untuk kepentingan politik, kerana tidak
mahu mengakui Bank Islam -- bukan kerana darurat.
40. Oleh kerana orang Islam dalam Malaysia berada dalam keadaan cemas maka
beberapa tindakan perlu diambil. Di antaranya ialah pembentukan Amanah
Saham Nasional. Melalui ASN kita akan dapat menguasai sebahagian daripada
ekonomi negara kita, iaitu 30%. Ekonomi yang dimaksudkan ialah ekonomi
moden. Jika kita mahu menunggu sehingga sistem Islam menguasai seluruh
ekonomi negara ini, kita tidak akan mencapai 30% dalam tahun 1990. Mungkin
kita terpaksa tunggu 100 tahun atau 200 tahun atau lebih. Mungkin pula
kerana gagal mendapat 30% dalam tahun 1990, kita tidak dapat mempengaruhi
dengan berkesan ekonomi negara, jauh sekali mengembangkan sistem ekonomi
Islam. Memandang kepada kemungkinan inilah yang kita bentuk ASN sebagai
alat utama kita.
41. Kerana peranan yang dimainkan oleh badan-badan seperti ASN, PERNAS,
Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dan lain-lainlah yang kita hari ini
menguasai 18% daripada ekonomi negara. Jika badan-badan ini diharamkan
maka kita tidak mungkin mendapat 1% pun dari ekonomi negara, lebih-lebih
lagi jika Bank Islam pun kita tidak mahu terima. Jika ini berlaku orang
Islam akan lumpuh sama sekali. Jauh daripada mengatasi kecemasan, mereka
akan bergelumang dalam lembah kehinaan yang akan mengancam iman mereka.
42. Terpulanglah kepada kita memilih sama ada kita mahu menolong diri kita
sendiri atau menjadi hipokrit yang sanggup bertindak cuma kerana politik
parti sementara berpura-pura dengan keislaman kita. Saya yakin UMNO dan
ahli-ahlinya tidak suka dengan hipokrit. Kita akan berpegang kepada Islam
dan akan menjayakan penganut agama Islam secara ikhlas. Rupa bentuk Islam
bukanlah untuk kita. Bagi kita isi kandungan Islam adalah lebih penting
dan kita akan teruskan usaha kita untuk mencari dan mengamalkan isi
kandungan ajaran Islam.
43. ASN dan lain-lain badan adalah jentera kita untuk memelihara
kepentingan ekonomi bumiputera, orang Melayu dan orang Islam. Sesiapa yang
cuba menggagalkan ASN bererti mengkhianati usaha pemeliharaan dan
pembangunan orang Islam di Malaysia. Kita mesti menentang mereka
habis-habisan.
44. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru telah sampai ke tahun yang ke-14 dengan
pencapaian sebanyak 18% daripada matlamat 30% untuk bumiputera. Sekarang
ini perkara yang hangat dibincangkan ialah sama ada kita akan mencapai
matlamat 30% ini pada tahun 1990 ataupun kita perlu meneruskan DEB selepas
tahun 1990 sehingga tercapai matlamat kita. Di sini, ingin saya tegaskan
bahawa bukan peratusan yang dicapai pada 31hb. Disember, 1990 yang
penting. Yang penting ialah kebolehan kita mengekalkan apa yang sudah
menjadi milik kita. Walaupun pada penghujung tahun 1990 kita telah
memiliki 30%, Dasar Ekonomi Baru tidak bermakna jika pada 1hb. Januari,
1991, kita jualkan bahagian kita untuk wang tunai.
45. Oleh itu yang harus kita lakukan sementara kita berusaha mendapat
bahagian kita, ialah kita mempelajari cara-cara mengurus wang supaya bukan
sahaja hak kita akan kekal di tangan kita tetapi ia akan tumbuh dan
berkembang. Ekonomi bukan perkara yang statik, yang tidak bergerak. Ia
berkembang dan ia tumbuh. Jika kita tidak tahu mengurus bahagian kita
dalam ekonomi dan ia tidak tumbuh dan berkembang, bahagian itu tentu akan
merosot. Dan sekali lagi Dasar Ekonomi Baru tidak akan mempunyai makna.
PENGURUSAN DAN KEJAYAAN _______________________
Saudara-saudari sekalian,
46. Jika kita tidak tahu berjimat-cermat dan mengurus wang dan tidak mahu
belajar tentang selok-belok urusan ini, kita tidak boleh salahkan
sesiapapun melainkan diri kita sendiri. Tabiat boros, tabiat suka
menunjuk-nunjuk, tabiat mengutamakan rupa lebih dari isi, masih ada pada
kebanyakan kita. Singkirkanlah tabiat-tabiat ini dan belajarlah cara-cara
mengurus dan berjimat-cermat. Cuma kecekapan mengurus sahaja yang akan
dapat menjamin keupayaan kita mengekalkan bahagian kita dalam sektor
ekonomi hasil daripada Dasar Ekonomi Baru. Inilah matlamat Dasar Ekonomi
Baru yang sebenarnya. Melanjutkan tempoh Dasar Ekonomi Baru bukanlah
merupakan kunci kepada masalah kita. Ia cuma akan melalaikan kita dalam
pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru dan akan menangguh masalah yang kita tetap
akan hadapi pada satu hari kelak, jika kita tidak mempunyai kecekapan
pengurusan. Oleh itu adalah lebih baik kita tekankan soal kecekapan
pengurusan daripada menumpukan perhatian kepada pemanjangan tempoh Dasar
Ekonomi Baru.
PERKONGSIAN DAN KEMAKMURAN __________________________
Saudara-saudari sekalian,
47. Perjuangan UMNO ialah untuk bangsa, agama dan tanahair. Di tanahair
kita terdapat bukan sahaja orang Melayu tetapi juga bumiputera lain, orang
Cina, orang India dan lain-lain lagi. Oleh itu, perjuangan UMNO terpaksa
mengambil kira kedudukan dan kepentingan orang-orang bukan Melayu yang
menjadi warganegara. UMNO tidak ada niat untuk merampas hak dan harta
orang lain yang diperolehi secara sah. Agama Islam, yang menjadi agama
rasmi dan agama ahli-ahli UMNO, juga tidak menyuruh supaya UMNO merampas
hak orang lain. Apa yang diperlukan oleh UMNO ialah kerjasama daripada
semua kaum supaya keadilan wujud dalam semua lapangan di negara yang kita
cintai ini.
48. Sementara UMNO memberi kerjasama dan membantu kaum-kaum lain, mereka
pula mestilah menolong menjayakan Dasar Ekonomi Baru, dasar-dasar Kerajaan
yang lain dan tindakan yang bertujuan mengurangkan ketidak-seimbangan
antara bumiputera dengan bukan bumiputera. Mereka patutlah ada perkongsian
atau 'partnership' yang bermakna apabila berniaga, menunjuk-ajar rakan dan
kakitangan yang terdiri daripada bumiputera supaya kecekapan diperolehi
dengan secepat mungkin. Lebih cepat kaum bumiputera mencapai kejayaan,
lebih berjayalah negara. Dan di negara yang berjaya, ekonomi akan
berkembang dengan pesatnya dan ini akan menambahkan keuntungan kaum bukan
bumiputera.
49. Kerajaan tidak memandang serong akan perkongsian bumiputera dengan
bukan bumiputera. Sebaliknya Kerajaan memberi galakan. Tetapi, kerjasama
di mana bumiputera cuma meminjamkan nama mereka akan tetap
dikutuk. Bumiputera pula hendaklah menunjuk minat untuk mempelajari
urus-niaga. Janganlah fikir tentang keuntungan hari ini sahaja. Yang lebih
penting ialah kejayaan yang berkekalan, walaupun ianya tidak begitu
lumayan. Tunggulah sehingga betul-betul berjaya sebelum bergaya.
50. Tentulah ada ramai yang berkata peringatan ini tidak perlu. Kita semua
tahu. Pendedahan seperti ini di Perhimpunan Agung UMNO cuma
memalukan. Bagi saya lebih baik malu sekarang daripada malu kemudian.
KESEDARAN DI BARAT __________________
Saudara-saudari sekalian,
51. Buat beberapa lama negara-negara Barat berada dalam khayalan. Mereka
percaya bahawa semua kepandaian dan kecekapan ada pada mereka dan tidak
ada siapa yang boleh menandingi mereka. Oleh itu mereka tidak lagi bekerja
kuat dan lebih suka bersenang-senang. Melalui kesatuan-kesatuan sekerja
mereka, pekerja Barat menuntut bermacam-macam kemudahan, sehingga ada
negara Barat yang membayar elaun yang lebih kepada orang yang menganggur
daripada yang bekerja. Dengan itu, maka ramailah yang memilih untuk tidak
bekerja.
52. Semenjak tamat Perang Dunia Kedua, negara-negara Timur seperti Korea
dan Jepun telah berjaya mengejar dan mengalahkan negara Barat yang khayal
ini. Saya percaya kita juga mungkin dapat berlumba dengan jayanya dengan
negara Barat dalam beberapa bidang.
53. Tetapi dalam lawatan saya ke Eropah dan Amerika pada bulan Januari
tahun ini, saya merasai bahawa semangat baru menjelma di Barat. Mereka
sudah sedar. Di Britain, pekerja tidak mogok dengan mudah lagi -- bahkan
mereka menolak arahan pemimpin kesatuan yang mahukan mereka mogok. Di
negeri Belanda, Kerajaan mengurangkan gaji kakitangan Kerajaan sebanyak
3%. Di Amerika Syarikat, etika kerja Jepun dicontohi dan kesatuan-kesatuan
sekerja yang besar dan megah sudah kehilangan ahli.
54. Barat nampaknya sudah sedar semula bahawa pekerja perlu kerja keras
jika mereka mahu taraf hidup yang tinggi. Saya yakin kesedaran ini akan
sekali lagi menjadikan mereka cukup kuat untuk menangkis segala serangan
dari Timur dan negara-negara yang baru memasuki bidang perindustrian.
55. Tetapi di Malaysia hakikat ini belum disedari umum. Ramai daripada
kita masih khayal. Kita fikir bahawa Barat masih mengamalkan etika kerja
yang lama, yang mereka semai di seluruh dunia melalui pertubuhan sekerja
sedunia. Kita masih meneruskan falsafah yang sudah digugurkan oleh
Barat. Kita masih memikir bahawa cara untuk mendapat pendapatan yang lebih
ialah dengan menggugat 'industrial peace' dan bukan melalui peningkatan
daya pengeluaran.
'IN-HOUSE UNION' ________________
Saudara-saudari sekalian,
56. Oleh kerana negara ingin meningkatkan taraf hidup rakyat maka
ketenteraman dalam perhubungan antara majikan dengan pekerja adalah
perlu. Kerajaan, sebagai majikan yang terbesar di Malaysia, telah cuba
memperbaiki perhubungan dengan kesatuan-kesatuan sekerja kakitangan
Kerajaan, terutamanya CUEPACS. Kerajaan telah menasihatkan majikan lain
supaya memberi perhatian kepada keluhan dan rayuan pekerja-pekerja dan
kesatuan-kesatuan mereka. Majikan hendaklah mengadakan dailog dan
rundingan dengan kesatuan-kesatuan pekerja mereka.
57. Sebagai satu lagi langkah untuk mewujudkan ketenteraman perusahaan dan
memberi peluang kepada perusahaan-perusahaan yang kecil atau yang baru,
Kerajaan telah menggalakkan penubuhan 'in-house union' iaitu kesatuan
sekerja yang terhad kepada pekerja sesuatu syarikat tanpa mengambilkira
jenis kerja. Sepertimana kita semua maklum bukan semua syarikat atau
perusahaan, maju dan mampu membayar gaji seperti syarikat-syarikat besar
yang lama. Jika paras gaji dan kemudahan yang tinggi dikenakan kepada
semua syarikat, perniagaan baru tidak dapat dimulakan, terutama secara
kecil-kecilan. Banyak syarikat bumiputera yang termasuk dalam kategori
ini.
58. Jika pekerja dalam syarikat yang baru dan lemah mengadakan 'in-house
union', maka paras gaji dan lain-lain yang dituntut tentulah akan
mengambilkira kemampuan perniagaan syarikat itu. Sebaliknya jika kesatuan
yang bertaraf nasional mewakili pekerja, mereka terpaksa menjaga
kepentingan pekerja dalam syarikat yang sudah maju, dan oleh itu mereka
tidak akan membenarkan bayaran yang kurang kepada ahli-ahli mereka dalam
syarikat yang lemah.
59. Kita tidak juga boleh membenarkan pekerja tidak berkesatuan kerana
majikan mungkin akan menindas mereka. Sebaliknya, kesatuan sekerja biasa
mungkin akan menghalang penubuhan perniagaan baru atau menganggu
kemajuannya. Oleh itu, jalan yang sesuai ialah dengan mengadakan 'in-house
union'. Dengan semua pekerja dalam sebuah syarikat menjadi ahli sebuah
kesatuan khas untuk syarikat itu sahaja, maka kepentingan syarikat itu
akan diambilkira oleh kesatuan sekerja. Jika syarikat ditekan sehingga
perniagaan menjadi rugi, akhirnya pekerja sendiri yang akan
menderita. Sebaliknya jika kesatuan sekerja menolong menjayakan syarikat
mereka, sudah tentu syarikat akan lebih mampu melayan tuntutan pekerja.
60. Syarikat yang gagal merugikan negara. Syarikat yang berjaya akan
membayar cukai dan menguntungkan negara. Oleh kerana 'in-house union'
lebih bertanggungjawab terhadap kejayaan syarikat, maka kemungkinan
syarikat itu berjaya adalah lebih besar, dan negara juga akan berjaya.
61. Sekali lagi Kerajaan tidak berniat buruk apabila mengesyorkan
'in-house union'. Kita hendak melihat pekerja mendapat hak mereka tanpa
menjejaskan hak orang lain.
PENSWASTAAN ___________
Saudara-saudari sekalian,
62. Baru-baru ini kita telah merancangkan satu cara untuk mengurangkan
perbelanjaan Kerajaan di samping meninggikan daya pengeluaran
negara. Caranya ialah dengan memindahkan beberapa perkhidmatan Kerajaan
kepada pihak swasta. Kita percaya bahawa pihak swasta, jika dipilih dengan
teliti, boleh menjalankan dengan lebih baik lagi beberapa tugas yang
sekarang ini ditanggung oleh Kerajaan. Namun demikian kita tidak mahu
sehingga pekerja menjadi korban. Oleh itu, kita telah mensyaratkan bahawa
segala kemudahan yang diperolehi oleh pekerja sekarang mesti dikekalkan
oleh pihak swasta jika mereka mengambil alih mana-mana perkhidmatan atau
syarikat Kerajaan.
63. Penswastaan telah dikaji oleh Kerajaan secara mendalam dan satu
panduan telahpun disediakan. Mengikut panduan ini penswastaan boleh dibuat
secara menyeluruh atau berperingkat-peringkat. Proses ini tetap akan
mengambil masa kerana ia perlu dilaksanakan dengan teliti. Walaupun
demikian, masalah tentulah akan menyerang rancangan baru ini. Adalah
diharapkan kita tidak cepat melatah dan mengecam penswastaan apabila
sahaja sedikit masalah timbul. Seperti juga dengan dasar-dasar lain, kita
perlu menilaikannya secara menyeluruh selepas satu jangka masa yang
menasabah. Kerajaan yakin jika penilaian yang teliti dan menyeluruh
dibuat, penswastaan akan mencapai matlamatnya.
64. Jika penswastaan berjaya, Kerajaan tidak lagi perlu membuat peruntukan
yang banyak untuk beberapa perkhidmatan. Sebaliknya kita percaya Kerajaan
akan mendapat hasil cukai yang bertambah kerana perkhidmatan yang
diuruskan oleh swasta dipercayai akan memperolehi keuntungan.
65. Dengan pengurangan belanja untuk berbagai perkhidmatan serta
penambahan cukai, lebih banyak kemudahan yang diperlukan oleh rakyat dapat
dibiayai. Pekerja dalam perkhidmatan yang diswastakan juga akan menerima
nikmat secara tidak langsung dari tabung Kerajaan yang lebih besar.
66. Saya bersyukur kerana umumnya konsep penswastaan telah diterima
termasuklah oleh pekerja-pekerja yang akan terlibat. Cuma ada beberapa
orang yang masih terpengaruh dengan falsafah kesatuan sekerja Barat dahulu
yang tidak begitu senang hati. Pekerja-pekerja Barat sudah tentu akan
menyokong orang seperti ini kerana mereka takut kejayaan kita akan
mengancam mereka.
67. Penswastaan juga akan memberi peluang kepada pengusaha bumiputera yang
mampu, ataupun yang boleh mengadakan usahasama dengan pihak-pihak lain,
sama ada dari dalam atau luar negeri, untuk memenuhi Dasar Ekonomi
Baru. Cadangan penswastaan dibuat sekarang kerana pada masa-masa yang
lepas ini, bilangan peniaga dan pengusaha bumiputera sudah bertambah
dengan mencukupi bagi membolehkan penswastaan dilaksanakan tanpa menjejas
Dasar Ekonomi Baru. Sebenarnya penswastaan mungkin dapat menolong
menjayakan matlamat DEB dengan lebih cepat.
68. Banyak negara di dunia telah cuba memilik-negarakan perusahaan dan
perniagaan swasta kerana kononnya semua keuntungan akan didapati oleh
Kerajaan yang kemudiannya akan membelanjakannya untuk rakyat. Tetapi
hakikatnya ialah semua perusahaan yang dimilik-negarakan bukan sahaja
rugi, tetapi juga memerlukan subsidi. Pemberian subsidi kepada perusahaan
yang dahulunya untung dan membayar cukai, tetapi mengalami kerugian
selepas dimilik-negarakan, bermakna peruntukan untuk pembangunan negara
dan rakyat akan berkurangan.
69. Konsep penswastaan adalah bertentangan dengan konsep memilik-negarakan
perusahaan swasta. Dalam dekad-dekad selepas Perang Dunia Kedua hingga ke
tahun 1970an, memilik-negarakan perusahaan swasta dipercayai akan membawa
keadilan dan nikmat kepada rakyat dan negara. Oleh kerana itu banyaklah
negara yang telah memilik-negarakan perusahaan swasta. Malangnya harapan
itu telah tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya negara-negara yang dahulu
kemas ekonominya, sekarang sudah merosot. Apabila kesedaran timbul bahawa
'nationalisation' bukanlah penawar ekonomi yang dilaung-laungkan, maka
sedikit demi sedikit sistem swasta diterima balik.
70. Malaysia telah memilih dasar penswastaan ini agak lebih awal dari
negara-negara lain. Tetapi kita yakin akan kebaikan penswastaan, jika
tidak berlaku sabotaj. Saya berharap ahli-ahli politik, terutama ahli
UMNO, bukan sahaja akan faham dan menerima konsep penswastaan, tetapi juga
akan menolong menjayakannya. Insya-Allah kita semua akan mendapat
kebahagiaan daripadanya.
71. Kerajaan tidak mempunyai niat lain apabila membentuk dasar melainkan
untuk kebaikan. Mungkin kita tidak nampak kebaikan ini jika dilihat dari
terlalu dekat. Tetapi percaya dan yakinlah. Jikalau dasar Kerajaan yang
dipilih oleh rakyat ini, diterima dan dijayakan, kita semua akan dapat
kebahagiaan. Sebenarnya semenjak kita merdeka 27 tahun dahulu, kita telah
menikmati pembangunan yang amat pesat hasil dari dasar-dasar
Kerajaan. Tidak ada sebab mengapa dasar-dasar yang telah dan sedang
dibentuk akan membawa hasil yang berlainan. Percayalah bahawa jika kita
menyerapkan nilai-nilai Islam, jika kita Pandang ke Timur, jika kita
amalkan Kepimpinan Melalui Teladan, jika kita Bersih, Cekap dan Amanah,
jika kita anggapkan negara Malaysia sebagai satu persyarikatan, jika kita
swastakan sebahagian daripada perkhidmatan Kerajaan, jika kita
selenggarakan Dasar Ekonomi Baru dengan tekun dan ikhlas, Malaysia akan
bahagia dan kita semua akan merasai nikmat di dunia, dan di akhirat
juga. Kita tidak akan ketinggalan.
SLOGAN ______
Saudara-saudari sekalian,
72. Semenjak 1981 banyak slogan baru dicipta oleh Kerajaan. Slogan ialah
satu cara untuk menyedar dan memberi panduan kepada kita supaya berusaha
untuk mencapai sesuatu matlamat. Walaupun slogan dicipta untuk tujuan yang
baik, ianya sering dijadikan sasaran kritik yang tidak
bertanggungjawab. Demikianlah dengan slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan'.
73. Maksud slogan ini ialah supaya kita semua, terutama yang menjadi
pemimpin, menunjuk teladan yang boleh dicontohi dan yang akan membawa
kebaikan. Tetapi kita semua adalah manusia biasa dan sering membuat
kesilapan. Pendek kata tidak ada siapa yang boleh dijadikan contoh baik
seratus-peratus sepanjang masa. Sudah tentu tidak ada sekumpulan pemimpin
yang boleh menjadi teladan baik sepanjang masa. Akan ada sahaja kesilapan
atau kesalahan yang dibuat oleh mereka.
74. Oleh itu janganlah sengaja mencari kesalahan pemimpin supaya kita
boleh menolak seribu kebaikan yang boleh dicontohi. Jangan begitu gembira
apabila terdapat kesalahan. Jangan begitu ghairah memekik 'Cakap tidak
serupa bikin'. Perbuatan yang sedemikian menghalang usaha kita untuk
membentuk masyarakat yang lebih bahagia. Sementara yang salah patut
didedah dan dihukum, janganlah jadikannya sebagai alasan kenapa kita tidak
perlu mencontohi teladan yang baik, kenapa 'Kepimpinan Melalui Teladan'
tidak boleh menjadi panduan dan penyedar kepada kita. Buangkanlah yang
keruh dan ambillah yang jernih.
UMNO DAN MASA DEPAN ___________________
Saudara-saudari sekalian,
75. UMNO sekarang memasuki satu era baru, era di mana kepentingan diri
sendiri nampaknya diberi keutamaan yang lebih daripada kepentingan
parti. Dengan semakin ramai orang Melayu menjadi kaya, rebutan jawatan
dibuat dengan menggunakan wang yang banyak. Sekali lagi saya ingin memberi
amaran. Penggunaan wang dan rebutan jawatan akan menghancurkan UMNO dan
melemahkan orang Melayu. Sekiranya ini berlaku, satu hari nanti,
'millionaire' sahaja yang akan memimpin UMNO. Pada waktu itu, UMNO bukan
lagi parti politik. Ia akan menjadi persatuan orang kaya. Dan sudah tentu
rakyat umum tidak lagi akan menyokongnya.
76. Yang melahir dan mengukuhkan UMNO ialah semangat dan bukan wang
ringgit. Di waktu UMNO dianggotai oleh orang-orang yang miskin belaka,
UMNO telah berjaya menumpaskan British. Hari ini peristiwa berkelahi di
mesyuarat cawangan sudah meresapi UMNO sehingga terpaksa memanggil
polis. Yang sudah memimpin menggunakan kuasa untuk menyekat ahli-ahli baru
atau penubuhan Cawangan-Cawangan baru. Yang berminat hendak menjadi
pemimpin menggunakan wang untuk tujuan yang sama. Nama orang-orang
tertentu digunakan untuk mendapat pengaruh. Fitnah dilemparkan dengan
sewenang-wenangnya. Hartawan Melayu dan bukan Melayu dipohon menderma
kepada calon-calon tertentu. Jamuan diadakan untuk berkempen dan kuasa
Kerajaan pun diperalatkan.
77. Ahli-ahli yang membenarkan diri mereka dipengaruhi dengan kempen jenis
ini akan kecewa akhirnya. Apabila pemilihan dibuat, tidak kira siapa yang
menang dan siapa yang kalah, kerjasama dalam parti tidak dapat diadakan
lagi. Semakin lama semakin banyak perpecahan akan berlaku. Dan akhirnya
akan hancurlah UMNO.
78. Bila UMNO sudah hancur, kemenangan untuk menjadi pemimpin tidak
bermakna lagi. Yang akan memenangi pilihanraya bukan lagi UMNO, tetapi
parti lain. Pemimpin parti yang kalah tidak akan dapat keistimewaan yang
diidamkan.
79. UMNO tidak akan kalah melainkan UMNO mengalahkan dirinya sendiri. Saya
telah melihat beberapa klik UMNO yang meletakkan calon bebas untuk
mengalahkan calon rasmi UMNO. Maka calon UMNO pun kalah. Tetapi dalam
pilihanraya sekali lagi, pihak yang dahulunya meletakkan calon bebas
dipilih pula menjadi calon dan ia ditentang oleh calon bebas tajaan calon
UMNO yang kalah dahulu. Dianya juga kalah. Ini jelas menunjukkan bahawa
mereka yang bermain dengan pisau akan mencederakan diri sendiri juga
akhirnya.
80. Saya merayu kepada ahli-ahli UMNO, terutama golongan muda, supaya
tidak membenarkan diri mereka dipengaruhi oleh taktik main duit dan
mengutamakan diri sendiri ini. Taktik menggunakan kemudahan Kerajaan untuk
memancing undi juga tidak boleh digalakkan. Pilihlah mereka yang
mengutamakan khidmat yang jujur dan tidak berhempas-pulas untuk mendapat
tempat. Jikalau kita jual undi kita pada hari ini, satu hari nanti kita
akan jual parti, dan mungkin kita akan jual negara juga. Janganlah kita
benarkan sejarah negeri-negeri Melayu diulangi melalui parti kita ini.
81. Di sini ingin saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih
kepada Bahagian-Bahagian UMNO yang telah menentukan supaya saya tidak
perlu bertanding untuk jawatan Presiden Parti pada tahun 1984 ini.
82. Setahu saya semenjak saya memimpin UMNO dari 1981 hinggalah sekarang,
saya jarang-jarang benar memuji atau melayan sesiapa. Sebaliknya, setiap
kali saya berucap, saya mendedahkan kelemahan-kelemahan ahli-ahli UMNO,
pemimpin-pemimpin UMNO, kelemahan orang Melayu dan kelemahan rakyat
Malaysia. Sepanjang masa saya telah menasihatkan supaya berdisiplin,
bekerja kuat, beramanah, jangan tamak dan lain-lain lagi desakan yang
tidak popular. Saya memaksa rakyat bangun setengah jam lebih awal, berada
di pejabat tepat pada waktu, memakai tanda nama di dada dan lain-lain
peraturan yang dikatakan sebagai 'beban'.
83. Tetapi, segala puji bagi Allah Subhanahu Wataala. Walaupun ada yang
berpendapat bahawa apa yang saya buat mungkin akan menjadikan saya tidak
popular, tetapi nampaknya saya masih mendapat kepercayaan,
sekurang-kurangnya dari sebahagian besar dari Bahagian-Bahagian UMNO untuk
memimpin parti -- yang juga bermakna memimpin negara. Alhamdulillah, saya
tidak minta lebih.
84. Tidak ada apa yang dapat saya tawarkan kepada UMNO dan kepada negara
melainkan khidmat yang masih boleh saya berikan. Selagi ada hayat dan
kemampuan, dan selagi saya dikehendaki, saya akan berkhidmat kepada parti
dan negara. Cuma yang saya pohon kepada Allah Subhanahu Wataala ialah
apabila khidmat saya sudah tidak dikehendaki lagi, saya akan sedar dan
kenal akan tanda-tandanya dan saya dapat mengundurkan diri dengan segala
senang hati.
85. Yang penting ialah UMNO. Kita tidak tubuhkan UMNO untuk memberi tempat
kepada orang-orang tertentu. Mereka cuma dipilih menjadi pemimpin kerana
perjuangan UMNO tidak akan berjaya jika ia tidak berketua. Rakyat
menubuhkan UMNO dan memberi kuasa kepada pemimpin kerana matlamat-matlamat
tertentu. Pada mulanya matlamat UMNO ialah menumpaskan Malayan
Union. Setelah ini berjaya, UMNO telah beralih kepada soal masa depan
orang-orang Melayu. Kemudian UMNO telah berjuang untuk mencapai
kemerdekaan. Sekarang tugas UMNO ialah untuk menentukan bahawa orang-orang
Melayu tidak lagi diancam kerana kelemahan mereka. Untuk ini, politik,
ekonomi dan kedudukan sosial orang-orang Melayu mesti diperkemaskan; bukan
semata-mata melalui bantuan tetapi melalui penghapusan sikap dan
sifat-sifat yang melemahkan orang-orang Melayu.
86. Jika ada mana-mana pemimpin UMNO yang jelas menyeleweng atau sudah
tidak mempunyai idea dan tenaga lagi, kita perlu mencari ganti. Tetapi
kita tidak perlu mengganti pemimpin semata-mata kerana ini diizinkan, atau
kerana ingin memberi kemenangan kepada calon kita. Sudah tentu jika proses
penggantian ini akan membawa kesan yang buruk dan memecah-belahkan parti,
adalah lebih baik jika kita mengelakkan diri daripada mempraktikkan
demokrasi hanya kerana demokrasi. Demokrasi ialah alat dan bukannya
matlamat. Matlamat kita ialah kebahagiaan bangsa, agama dan tanahair.
87. Saya merayu kepada ahli-ahli UMNO supaya cintakan UMNO dan tidak
orang-orang tertentu di dalamnya, termasuk saya. Orang-orang ini berguna
cuma kerana khidmat yang boleh diberikan oleh mereka. Dari mana mereka
datang tidak penting. Sama ada mereka raja atau rakyat, bergelaran atau
tidak, adalah tidak penting. Yang penting ialah khidmat mereka ke arah
pencapaian matlamat UMNO. Jangan sekali-kali begitu sayang kepada
seseorang sehingga sanggup UMNO dipecah-pecahkan. Jangan ada 'personality
cult' dan 'parochialism' dalam UMNO. Cuma yang boleh diberi kepada mereka
yang menawar diri ialah mandat untuk menjalankan tugas, dan untuk maksud
itu, kita berdiri teguh di belakang mereka.
PENUTUP _______
Saudara-saudari sekalian,
88. Hidup adalah sementara sahaja. Tetapi Allah Subhanahu Wataala tidak
menjadikan manusia supaya ia hidup dan kemudiannya mati sama seperti
haiwan. Tuhan mengurniakan akal fikiran dan menyediakan alam sekeliling
dengan sumber-sumber tertentu supaya manusia hidup lebih
bahagia. Segala-gala yang dijadikan Tuhan tidaklah sia-sia sahaja. Lambat
laun manusia yang berakal akan dapat meneka penggunaannya. Manusia yang
menyembah Tuhan mesti menghargai segala-gala yang dikurniakanNya.
89. Nyawa dan masa yang diberikan kepada kita tidak boleh disia-siakan
dengan hanya menunggu maut. Jika kerana asyik menentukan tempat bagi diri
kita seorang di akhirat, kita mengabaikan tanggungjawab kita kepada
masyarakat dan kejayaannya, maka kita akan termasuk dalam golongan orang
yang tamak yang mengutamakan kepentingan diri sahaja. Mustahil orang
seperti ini akan mendapat tempat yang bahagia di akhirat.
90. Oleh itu berilah khidmat kita kepada masyarakat dan jayakanlah usaha
untuk memperbaiki nasib umat. Ingatlah, dalam Islam walaupun kita
menunaikan fardhu ain, kita tidak terlepas dari dosa jika fardhu kifayah
tidak ditunaikan oleh mana-mana anggota masyarakat. Fardhu kifayah
bukanlah untuk orang lain sahaja menunaikannya. Jika setiap orang daripada
kita menunggu orang lain, mungkin tiada sesiapapun yang menunaikannya. Dan
akan berdosalah kita.
91. Penyertaan dalam parti politik seperti UMNO yang bertujuan untuk
berkhidmat dan membawa kejayaan kepada masyarakat, terutamanya bangsa
Melayu, memberi banyak peluang untuk kita menunaikan kewajipan kita. Yang
bertanggungjawab di antara kita haruslah bersedia untuk berkhidmat,
walaupun kita tidak dapat memenuhi kehendak hati kita dari segi tempat dan
ganjaran di dunia.
Saudara-saudari sekalian,
92. Saya berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala supaya Perhimpunan Agung
UMNO 1984 ini berjalan dengan sempurna.
Saya berdoa supaya kita kekal dengan perpaduan kita. Saya berdoa supaya
UMNO selalu bersikap bertanggungjawab dalam menjalankan urusannya. Saya
berdoa supaya kita berjaya.
WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
|