home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN BANKUET, BANGUNAN PARLIMEN, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	14/07/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM PERPISAHAN BAGI 
			BEKAS KETUA SETIAUSAHA NEGARA, 
			YANG BERBAHAGIA 
			TAN SRI HASHIM BIN AMAN 




 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan salam bahagia.

Yang Berbahagia Tan Sri Hashim bin Aman, Tetamu yang kita raikan; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Kita berkumpul pada malam ini bagi merai dan mengucapkan selamat bersara
kepada Yang Berbahagia Tan Sri Hashim Aman, bekas Ketua Setiausaha
Negara. Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Hashim dan Puan Sri
Zawiah kerana sudi bersama-sama kita pada malam ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

2. Jawatan Ketua Setiausaha Negara merupakan puncak dalam perkhidmatan
awam di negara kita. Tan Sri Hashim merupakan salah seorang yang telah
diamanahkan memegang jawatan tertinggi ini. Saya bagi pihak Kerajaan
mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Hashim kerana telah menumpukan sepenuh
perhatian dan tenaga dalam menjalankan tugas jawatan tertinggi itu dengan
cemerlang.

3. Walaupun Tan Sri Hashim telah berkhidmat selama hampir 27 tahun di
berbagai jabatan dan agensi awam, termasuk sebagai Ketua Setiausaha di
Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan, dan sebagai Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam, saya mula mengenali Tan Sri Hashim Aman secara
dekat semasa beliau berkhidmat sebagai Pengarah Kerajaan Negeri Kelantan
apabila Negeri itu diisytiharkan dalam keadaan darurat pada akhir tahun
1977 dahulu. Melalui usaha yang gigih, beliau telah berjaya mendapatkan
kerjasama daripada golongan pemimpin politik dan golongan pentadbiran
Negeri serta Persekutuan untuk kemajuan dan kesejahteraan negeri
Kelantan. Walaupun tempoh beliau memegang jawatan itu singkat, saya yakin
perkhidmatan beliau di Kelantan merupakan salah satu kenangan yang manis
bagi Tan Sri Hashim.

4. Tan Sri Hashim bolehlah dianggap sebagai seorang pegawai perkhidmatan
awam yang tidak suka menonjolkan diri -- beliau adalah seorang yang
'publicity-shy'. Ini merupakan satu nilai peribadi yang boleh dipuji. Saya
tahu ramai yang sukakan publisiti dan kalau boleh hendak membuat seberapa
banyak kenyataan dan pengumuman supaya mendapat perhatian masyarakat
ramai. Tan Sri Hashim sebaliknya membuat kenyataan hanya apabila perlu
sahaja. Dengan itu peluang media massa untuk memetik pemikiran dan
kenyataan beliau sangat terhad. Kalau ada pun hanyalah pada
upacara-upacara seperti pembukaan kursus-kursus dan upacara-upacara
seumpamanya. Walau bagaimanapun Kerajaan mengetahui kewibawaan dan
keutuhan beliau dalam menjalankan tugas sehariannya, bukan sahaja melalui
fail-fail, mesyuarat dan rundingan-rundingan, tetapi juga melalui
nasihat-nasihat dan kepimpinan beliau sewaktu meneraju beberapa agensi
Kerajaan dan semasa menjadi Ketua Setiausaha Negara. Kerajaan sentiasa
menghargai kesungguhan, kecekapan dan keutuhan yang ditunjukkan oleh Tan
Sri Hashim.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

5. Perkhidmatan awam di negara kita ini telah menunjukkan kematangannya
yang semakin hari semakin meningkat. Walau bagaimanapun kakitangan awam
hendaklah sentiasa berusaha bagi meningkatkan lagi kecekapan masing-masing
terutama dengan peluang yang terbuka dengan bertambahnya teknologi moden
dan pengetahuan baru. Di dalam kita mencari langkah-langkah yang sesuai
bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran awam, elok juga kita sekali-sekala
meresapi semangat dan keutuhan tokoh-tokoh pentadbiran awam yang telah
menunjukkan kecekapan dan menaburkan jasa bagi kesejahteraan negara dan
masyarakat.

6. Saya tidak bertujuan menyeru kakitangan awam mencari 'hero' dari masa
ke semasa dalam perkhidmatan awam. Ini hendaklah dielakkan. Apa yang
diperlukan ialah dari masa ke semasa mestilah kita cuba menerima dan
memupuk nilai-nilai positif yang telah ditunjukkan oleh mereka yang telah
diberi kepercayaan memegang jawatan-jawatan tertinggi dalam perkhidmatan
kerajaan seperti jawatan Ketua Setiausaha Negara, Ketua-Ketua Setiausaha
Kementerian, Ketua-Ketua Pengarah Jabatan atau agensi awam. Setiap pegawai
mungkin mempunyai sedikit-sebanyak nilai-nilai negatif, tetapi saya yakin
apabila mereka memegang jawatan-jawatan tertinggi, nilai negatif itu
sangat berkurangan dan janganlah pula kita menjadikan nilai negatif itu
sebagai alasan untuk mengenepikan semangat dan nilai positif yang telah
ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin perkhidmatan awam.

7. Di sini saya yakin Tan Sri Hashim telah menunjukkan beberapa contoh dan
kepimpinan yang bukan sahaja dihargai oleh Kerajaan, tetapi juga oleh
pegawai-pegawai dalam pentadbiran kerajaan. Saya juga yakin bahawa Tan Sri
Hashim akan terus memberikan perkhidmatan yang terdaya olehnya kepada
Kerajaan. Seperti yang kita maklum, Tan Sri Hashim telah dilantik sebagai
Pengerusi PERNAS. Saya percaya PERNAS akan mendapat manfaat daripada
pengalaman yang diperolehi oleh Tan Sri Hashim.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

8. Tan Sri Hashim sekarang sedang bercuti sebelum bersara mulai
1hb. September ini. Mungkin terlalu awal bagi saya mengucapkan selamat
harijadi yang ke-56 kepada beliau, tetapi saya bagi pihak Kerajaan
mengucapkan kepada beliau selamat bersara dari perkhidmatan awam. Saya
berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala mencucuri kesihatan kepada beliau
untuk meneruskan khidmatnya kepada masyarakat dan negara.

9. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bertugas
kepada Yang Berbahagia Tan Sri Sallehuddin bin Mohamed sebagai Ketua
Setiausaha Negara yang baru.

10. Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan selamat sejahtera kepada Tan
Sri Hashim dan keluarga. Kerajaan akan sentiasa menghargai sumbangan yang
beliau telah berikan kepada negara dan masyarakat.

Terima kasih.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
 


 


 











 
Google