Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL SUBANG VIEW, SUBANG
JAYA, SELANGOR
Tarikh/Date : 21/07/84
Tajuk/Title : MAJLIS PEMBUKAAN PERHIMPUNAN AGUNG
MIC YANG KE-32
Yang Berhormat Datuk Samy Vellu, Presiden MIC; Ahli-Ahli Jawatankuasa
Pusat MIC; Para Perwakilan; Wakil-wakil Parti-Parti Komponen Barisan
Nasional; Dif-Dif Kehormat;
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Samy Vellu dan
Jawatankuasa Pusat MIC kerana menjemput saya untuk melakukan upacara
pembukaan Perhimpunan Agung MIC yang ke-32 ini. Saya juga mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bersidang kepada saudara-saudari
sekalian dan semoga persidangan ini akan melahirkan rumusan-rumusan yang
akan mengukuhkan lagi parti MIC, Barisan Nasional dan seterusnya rakyat
dan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Barisan Nasional telahpun wujud selama lebih satu dekad. Di bawah
sistem 'perkongsian' kuasa yang unik ini, negara kita telah dapat
melaksanakan berbagai program untuk kesejahteraan rakyat dengan
jayanya. Urusan pentadbiran negara berjalan dengan licin dan
teratur. Kalau adapun sedikit sebanyak masalah yang kita hadapi, ianya
dapat diatasi dengan semangat kerjasama, musyawarah dan saling hormat
menghormati antara satu sama lain. Justeru itu adalah menjadi tugas dan
tanggungjawab kita bersama bagi mempastikan bahawa Barisan Nasional bukan
sahaja teguh, hidup dan maju, bahkan juga semakin hari semakin kuat dan
kukuh.
3. Walau bagaimanapun, kita harus sentiasa mengingatkan diri kita
sekali-sekala tentang tanggungjawab memelihara keharmonian dan perkongsian
Barisan Nasional, semoga tidak terdapat mana-mana parti komponen melukakan
hati parti komponen lain. Ingat mengingati tentang tanggungjawab ini mesti
dilakukan dari masa ke semasa supaya kita tidak tergelincir, tidak
terkeluar dari batasan. Dengan cara ini kita dapat mempastikan Barisan
Nasional akan terus memegang teraju Kerajaan.
4. Kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa setiap parti komponen
mendapat sokongan daripada sesuatu kaum tertentu. Dengan itu setiap parti
komponen hendaklah menjaga kepentingan kaum yang memberi sokongan
kepadanya. Barisan Nasional memang menggalakkan parti komponennya mendapat
kepercayaan satu-satu kaum. Secara inilah setiap parti komponen akan kuat
dan seterusnya Barisan Nasional pun akan kukuh.
5. Walau bagaimanapun dalam kita memperjuangkan kepentingan kaum yang kita
wakili, parti-parti komponen dalam Barisan Nasional mestilah mempastikan
tidak timbulnya sebarang sentimen atau perasaan perkauman yang
keterlaluan. Kita mesti mempastikan setiap tindakan atau ucapan kita tidak
menimbulkan prasangka dan sentimen yang mungkin sensitif kepada
parti-parti komponen yang lain ataupun agensi-agensi atau pentadbiran yang
didokong oleh Barisan Nasional. Bercakaran dengan parti-parti pembangkang
sudahlah menjadi adat, tetapi percakaran di antara parti atau pentadbiran
Barisan Nasional adalah tidak sihat. Sekali-sekala perkara seperti ini
timbul. Sama ada ianya berlaku secara sengaja atau tidak, tindakan susulan
hendaklah diambil dengan segera untuk mengurangkan kesan buruk
daripadanya.
6. Saya berharap apa-apa perasaan kurang puashati terhadap sesuatu
tindakan yang dilakukan oleh mana-mana parti komponen Barisan Nasional
yang lain, atau oleh agensi-agensi dan pentadbiran yang didokong oleh
Barisan Nasional, hendaklah kita salurkan melalui saluran yang
sewajarnya. Kita memang tidak akan dapat mengelak daripada masalah yang
timbul dari masa ke semasa sepanjang perkongsian kuasa kita ini. Kita juga
harus maklum bahawa tidak semua tuntutan oleh satu-satu parti komponen
akan berhasil, disebabkan kita mesti mengambil kira kepentingan semua
pihak. Dengan itu apa-apa prinsip yang kita persetujui dan yang kita
fikirkan berpatutan patutlah diteruskan untuk kepentingan masa depan
Barisan Nasional sendiri.
7. Di samping itu, sistem perkongsian kuasa seperti Barisan Nasional ini
hendaklah kita jagai benar-benar dengan penuh perasaan cemburu. Janganlah
perselisihan terjadi sehingga tidak dapat diselesaikan sesama
sendiri. Janganlah gejala merujuk perselisihan politik ke pihak ketiga
seperti mahkamah dibiar berterusan. Kita mesti mencari 'jalan politik'
atau 'political means' untuk menyelesaikan masalah dalam parti. Selagi
cara ini kita ikuti, selagi itulah kita akan dapat menentukan apabila
terdapat perselisihan pendapat, ianya akan berkisar dalam parti sahaja,
dan tidaklah perlu kita mendedahkan segala masalah dan keburukan dalam
parti kepada orang ramai.
8. Pendedahan seperti ini dan penglibatan orang luar dalam masalah parti
akan mengurangkan kepercayaan ahli dan orang ramai terhadap parti. Jika
ada perselisihan pendapat, perlembagaan dan saluran yang sedia ada dalam
parti hendaklah digunakan untuk mencari penyelesaian. Dan apa juga
keputusan yang dibuat hendaklah kita terima dengan rela hati. Mahkamah
yang tertinggi sekalipun mungkin membuat keputusan yang boleh
dipertikaikan. Tetapi oleh kerana masyarakat memahami perlunya keputusan
muktamad dibuat bagi tiap-tiap masalah, masyarakat akan menerima keputusan
tersebut dengan tenang. Sudah tentu jika anggota masyarakat mencabar
keputusan mahkamah tertinggi maka huru-hara akan terdapat sepanjang
masa. Demikian juga dengan keputusan dalam parti.
9. Saya tidak tujukan nasihat ini kepada MIC sahaja, tetapi kepada semua
parti komponen Barisan Nasional. Penyakit mengutamakan diri lebih daripada
parti, bahkan lebih daripada negara sudah merebak dan jika tidak
berhati-hati, riwayat kita sebagai pemerintah negara yang kita cintai ini
akan tamat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Saya ingin mengucapkan syabas kepada MIC atas pendiriannya tidak mahu
campur tangan, bahkan tidak memberi komen, tentang pengenaan visa oleh
Kerajaan India bagi mereka yang ingin melawat ke negara tersebut. India
adalah sebuah negara asing yang menjadi sahabat kita sejak beberapa
lama. Kita menghormati negara-negara asing yang menghormati Malaysia
sebagai sebuah negara yang berdaulat. Kita tidak harus campur tangan dalam
apa-apa tindakan sebuah negara yang lain. MIC dikutuk kerana tidak mahu
campur tangan dalam hal visa ini oleh ahli-ahli pembangkang
tertentu. Sikap pembangkang ini menimbulkan banyak tanda tanya. Apakah
ianya menganggap orang-orang keturunan India di Malaysia perlu diberi
layanan istimewa oleh negara asing?
11. Seperti biasa parti pembangkang menangguk di air yang keruh. Mereka
suka memainkan sentimen rakyat Malaysia keturunan India supaya memberi
sokongan kepada mereka. Pada prinsipnya tidak ada satu pihak pun di negara
ini, baik parti pembangkang sekali pun, yang patut campur tangan dalam
hal-ehwal negara-negara asing. Oleh kerana sikap tamakkan pengaruh,
prinsip ini pun mereka abaikan. Mereka ini memang suka melaung di
sana-sini, kadang-kadang kita pun tidak faham apa yang dilaungkan. Orang
seperti ini sanggup melaung siang dan malam sekiranya kelakuan sebegitu
akan dapat menarik perhatian kepadanya. Janganlah kita turut melatah
dengan kelakuan seperti ini. Mereka memang mengharapkan kita melatah dan
itulah saat-saat yang menggembirakan bagi mereka yang suka melaung di
sana-sini.
12. Kita harus bangga oleh kerana kematangan politik rakyat di negara ini
semakin meningkat. Kita tidak menafikan terdapatnya golongan yang akan
terpengaruh dengan kata-kata manis dan laung-laungan kosong parti-parti
pembangkang, tetapi bilangan mereka semakin hari semakin kecil. Pemikiran
yang matang ini memang ditakuti oleh mereka yang suka melaung di
sana-sini. Kita akan menghormati pandangan yang rasional -- yang baik
dipuji dan bagi yang tidak baik pula dicadangkan penyelesaian yang
wajar. Kita tidak menghormati mereka yang tidak berhenti-henti mengkritik,
tetapi kekeringan idea tentang bagaimana hendak menyelesaikan sesuatu
masalah itu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Akhir sekali, saya berharap Perhimpunan Agung MIC kali ini akan
membawa manfaat kepada ahli-ahli parti ini, dan memberi sumbangan kepada
keutuhan Barisan Nasional dan negara. Dengan harapan ini, saya dengan
sukacitanya membuka Perhimpunan Agung MIC Yang ke-32 ini dengan rasminya.
Terima kasih.
|