Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	INTAN, JALAN ILMU, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	27/07/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN 
			PERTUBUHAN-PERTUBUHAN WANITA 
			SUKARELA KEBANGSAAN 




Yang Berhormat Puan Sharifah Dora, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur kerana memberi
peluang kepada saya berucap dan seterusnya merasmikan Persidangan
Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Sukarela Peringkat Kebangsaan ini.

2. Tema untuk persidangan ini iaitu 'Ke arah Pembentukan Program Bersepadu
Serta Penggunaan Sumber-Sumber Secara Optima' adalah sesuai dengan keadaan
sekarang. Ini adalah selaras dengan konsep 'cekap' di dalam segala usaha
yang dilakukan baikpun dalam bidang pekerjaan dan lain-lain aktiviti
berkaitan dengan pembangunan masyarakat. Usaha untuk menyepadukan program
dan menggunakan sumber-sumber persatuan wanita secara optima adalah satu
usaha yang patut diutamakan.

3. Sumbangan pertubuhan-pertubuhan wanita di dalam pembangunan negara
adalah besar. Pertubuhan-pertubuhan wanita semakin hari semakin bertambah
bilangannya dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh
pertubuhan-pertubuhan itu semakin rancak. Ada pertubuhan wanita yang
bercorak pendidikan yang memenuhi keperluan wanita seperti kelas
masak-memasak, jahit-menjahit dan pendidikan dari segi rohani. Ada
pertubuhan yang bersifat rekreasi, ada pertubuhan yang menumpukan
perhatian kepada kegiatan politik dan pertubuhan-pertubuhan yang memberi
khidmat kepada pihak tertentu mengikut matlamat yang tercatit dalam
perlembagaan masing-masing.

4. Di negara kita terdapat lebih kurang 120 buah persatuan wanita dan ini
termasuklah pertubuhan-pertubuhan yang ditubuhkan di dalam Kementerian,
Jabatan dan Agensi-Agensi Kerajaan serta pertubuhan-pertubuhan wanita
sukarela. Dari segi bilangan, kita tidak dapat menafikan persatuan wanita
di negara ini adalah besar dan kuat. Walau bagaimanapun kekuatan
sebenarnya ialah kejayaan dan pencapaian pergerakan wanita keseluruhannya,
dan dalam kita menilai kejayaan dan pencapaian pergerakan wanita, saya
rasa elok juga jika kita melihat kemajuan dan aktiviti-aktiviti yang
dijalankan oleh kaum wanita di beberapa buah negara lain seperti
negara-negara jiran.

5. Kerajaan sekarang sedang menggubal rancangan pembangunan lima tahun
yang kelima. Di masa-masa lalu rancangan pembangunan tertumpu kepada
pembangunan fizikal dan infrastruktur. Oleh itu telah timbul masalah
perseimbangan di antara rancangan pembangunan fizikal, infrastruktur dan
pembangunan tenaga manusia. Saya berharap dengan matlamat Kerajaan untuk
meningkatkan kependudukan ke angka 70 juta, maka rancangan pembangunan
tenaga manusia akan mendapat perhatian yang lebih lagi.

6. Salah satu dasar ke arah tujuan ini ialah memberi keutamaan kepada
pembangunan keluarga, oleh kerana keluarga adalah asas sesebuah masyarakat
atau bangsa. Di sinilah wanita sebagai ibu dan pendidik di dalam
rumahtangga dapat memainkan peranan yang penting.

7. Seperti yang kita dapat lihat hari ini, nilai-nilai hidup wanita juga
turut terpengaruh dan sedikit sebanyak bertukar dengan kemajuan
pembangunan. Pembangunan boleh kita capai tanpa mengenepikan nilai-nilai
kebudayaan, adat resam dan agama. Perubahan sosial yang kita alami dalam
tempoh 27 tahun yang lalu telah membawa banyak kebaikan, tetapi ada juga
daripada perubahan-perubahan sosial ini yang mengancam kebudayaan,
perpaduan, adat resam dan agama.

Itulah sebabnya saya menekankan pembangunan keluarga untuk mempastikan
hidup berkeluarga yang lebih stabil, zuriat yang lebih sihat, yang cerdik,
berbudi bahasa, berdisiplin, dan yang akan menjadi warganegara yang
bertanggungjawab.

8. Kita berasa bangga dengan ramainya jumlah kaum wanita yang memegang
jawatan-jawatan professional, jawatan-jawatan tertinggi dalam politik,
perkhidmatan awam dan swasta. Wanita yang mempunyai kerjaya, atau 'career
women', memanglah digalakkan. Di samping itu, pembangunan keluarga
hendaklah diutamakan juga.

9. Wanita dahulupun memang telah menjalankan berbagai pekerjaan di samping
menjaga dan mendidik anak-anak dan menjaga kebajikan keseluruhan
keluarga. Walau bagaimanapun peranan wanita berubah dengan tempo
pembangunan yang dialami oleh masyarakat. Dengan ramainya ibu yang
bekerja, maka ramai pula yang terpaksa mencari pembantu-pembantu rumah
untuk memelihara anak-anak dan menjaga rumahtangga. Pembantu rumah yang
bersilih ganti akan menjadikan anak-anak kurang mendapat jagaan dan
kemesraan yang sepatutnya.

Justeru itu, walaupun kita gembira dengan pembangunan negara dari segi
fizikal dan infrastruktur, tetapi sistem kekeluargaan kita telah terjejas
sedikit. Akibatnya ialah bertambah ramai anak-anak yang terjerumus ke
lembah kegiatan yang merugi dan merosakkan. Yang bertanggungjawab bukan
saja ibu, tetapi juga kaum bapa. Tetapi dalam hal ini tidak dapat
dinafikan bahawa kaum ibu yang memainkan peranan yang lebih positif.

10. Di sini saya berharap kaum wanita negara ini, terutama
pertubuhan-pertubuhan wanita, akan mencari langkah-langkah yang dapat
mengimbangkan kemajuan kekeluargaan dengan kemajuan ekonomi dan sosial
yang dialami oleh kaum wanita di negara ini. Langkah-langkah yang
berpatutan mestilah difikirkan supaya ibu-ibu dapat menjalankan peranan
yang sepatutnya terhadap keluarga masing-masing di samping mencari
kemajuan dari segi pekerjaan dan kerjaya.

11. Sebahagian dari masalah ini mungkin dapat diatasi dengan mengatasi
saikologi yang sekarang ini mempengaruhi wanita dan masyarakat
kita. Misalnya, semakin ramai ibu hari ini menyusui bayi masing-masing,
hasil daripada kempen tentang manfaatnya berbuat demikian. Seharusnya juga
kempen yang serupa patut diusahakan supaya ibu-ibu menjaga anak
masing-masing apabila keadaan membenarkan. Ibu-ibu yang bekerja di
peringkat dan sektor tertentu mungkin dapat berhenti dari bekerja apabila
bilangan anak meningkat dan pendapatan suami dapat menampung keluarga
dengan selesa.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

12. Pembangunan fizikal hanya akan berjaya jika disertai dengan pemupukan
aspek-aspek rohani, serta keluarga yang sempurna, berperibadi, berakhlak
dan beramanah. Kaum lelaki memerlukan bantuan wanita untuk menjayakan
pembinaan keluarga yang sihat. Wanita boleh berfungsi sebagai pendorong
untuk menentukan arah dan peraliran masyarakat hari ini. Mereka mesti
bersama, memainkan peranan dan mengeluarkan kritik membina. Mereka adalah
hati nurani masyarakat.

13. Di dalam bidang ekonomi pula, sumbangan wanita diperlukan di dalam
usaha pembangunan ekonomi negara memandangkan jumlah kaum wanita yang sama
banyak dengan kaum lelaki. Selain dari itu, di dalam bidang politik dan
dunia awam, atau 'public life', penglibatan dan kematangan kaum wanita
bolehlah dibanggakan seperti yang dapat kita lihat di dalam arena politik
negara kita hari ini. Semakin hari semakin ramai wanita di negara ini yang
terlibat secara aktif dalam bidang politik. Seperkara yang menggalakkan
ialah ramai daripada mereka yang telah berjaya memegang jawatan penting
dalam arena politik.

14. Pihak Kerajaan akan memberi perhatian kepada persoalan-persoalan yang
berkaitan dengan masalah wanita dalam Kerajaan. Saya berharap Persidangan
ini akan dapat mencadangkan usaha-usaha yang dapat dilaksanakan oleh
Kerajaan bagi memudahkan lebih ramai wanita bergiat dan menceburkan diri
dalam kegiatan-kegiatan sosial, ekonomi dan politik di samping memelihara
keutuhan dan kebajikan keluarga.

15. Selain daripada itu, kaum wanita harus juga memberi perhatian dan
pertimbangan kepada kemajuan teknologi supaya tidak ketinggalan dan
menyertai usaha-usaha Kerajaan di dalam bidang pertanian moden, dan juga
di dalam bidang perindustrian.

16. Aspek-aspek peranan wanita yang saya sebutkan tadi adalah aspek-aspek
yang boleh dikaji dengan lebih mendalam di dalam Persidangn ini. Saya
yakin usaha ini bukanlah satu usaha yang sukar dicapai memandangkan telah
terdapat pun beberapa pertubuhan wanita di kebelakangan ini yang disertai
oleh para intelek wanita, iaitu wanita-wanita dari golongan profesional,
akademik dan pegawai tinggi Kerajaan, dan saya percaya ramai daripada
puan-puan yang hadir di Persidangan hari ini termasuk dalam golongan yang
saya sebutkan tadi.

17. Akhirnya, saya berharap persidangan ini akan menghasilkan satu
resolusi yang dapat memanfaatkan kita semua dan pihak Kerajaan akan
memberi perhatian yang sewajarnya. Dengan harapan itu, saya dengan
sukacitanya membuka Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Sukarela
Kebangsaan ini dengan rasminya.

Terima kasih. 
 



 


 











 
Google