home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	GENTING HIGHLANDS 
Tarikh/Date 	: 	28/07/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM ANJURAN THE 
			HARVARD BUSINESS SCHOOL ALUMNI 
			CLUB OF MALAYSIA 




 Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Rashdan Baba, Presiden Kelab Alumni Harvard
Malaysia; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Kelab Harvard Alumni yang telah sudi
menjemput saya ke majlis jamuan makan malam ini. Saya tidak bercadang
untuk bercakap dengan panjang lebar, tetapi sudah menjadi kebiasaan bahawa
apabila seseorang itu dijemput ke sesuatu majlis maka ia kenalah
menyampaikan sepatah dua kata.

2. Kini Kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar bagi menggalakan lagi
pertumbuhan ekonomi di negara kita ini. Dalam usaha ini kita telah
mengadakan berbagai insentif dan dasar seperti Dasar Persyarikatan
Malaysia dan Penswastaan.

Sebenarnya Malaysia adalah salah sebuah negara yang telah mengadakan
berbagai insentif kepada pelabur-pelabur untuk melabur di negara
ini. Bahawa dasar-dasar ini adalah praktik dan mendatangkan hasil terbukti
dengan terdapatnya para pelabur asing yang datang ke negara ini. Di
samping itu juga, galakan-galakan ini telah meningkatkan lagi kemajuan
ekonomi negara kita dan juga taraf hidup rakyat.

3. Tetapi seperti mana kita maklum galakan dan peraturan-peraturan hanya
merupakan sebahagian daripada usaha-usaha sesebuah negara dalam
meningkatkan kemajuan ekonomi dan perdagangannya. Pada dasarnya peraturan
dan galakan diadakan sebagai panduan supaya sesuatu itu dapat dijalankan
secara licin, teratur dan berkesan. Peraturan semata-mata tidak dapat
menentu atau menjaminkan kejayaan sesuatu rancangan atau projek itu. Ia
juga tidak dapat menentukan bahawa sesebuah negara itu akan maju dan
makmur.

Apa yang lebih penting ialah kesanggupan para pekerja untuk bekerja dengan
tekun, kuat, bersungguh-sungguh dan dengan penuh dedikasi bagi mencapai
kejayaan. Tidak ada jalan pendek atau 'short-cut' dalam usaha mencapai
kejayaan. Dalam apa juga bidang, untuk mencapai sesuatu matlamat dengan
jayanya memerlukan titik peluh, dedikasi, tanggungjawab, amanah dan
kesanggupan mengorbankan kepentingan individu untuk kepentingan ramai.

4. Nilai-nilai yang saya sebutkan ini bukanlah satu nilai yang baru. Kita
semua tahu akannya. Saya tegaskan ini berkali-kali oleh kerana kita mudah
lupa. Memang seakan-akan sudah menjadi satu kebiasaan kepada kita di
negara ini bahawa apabila ingin membuat sesuatu kita meminta pertolongan
dan perlindungan dahulu. Ahli-ahli perniagaan kita ada kalanya meminta
perlindungan sebelum sanggup menerokai sesuatu perniagaan atau
perindustrian. Tanpa pertolongan dan perlindungan mereka tidak
sanggup. Inilah amalan negatif yang telah kita amalkan sejak beberapa lama
dan akibatnya ialah kita ketinggalan.

5. Memang benar jika dilihat daripada aspek-aspek yang tertentu kita telah
mencapai beberapa kejayaan. Kita telah dapat membuat itu dan ini dan kita
juga telah mendapat keuntungan. Tetapi apabila menghadapi persaingan,
barulah kita mengetahui sejauh manakah sebenarnya kejayaan kita
itu. Apabila mendapat persaingan yang hebat dari luar, maka akan
terdengarlah teriakkan daripada pihak-pihak tertentu meminta Kerajaan
membuat sesuatu bagi menolong mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

6. Pada hemat saya, kita mesti membaharui sikap iaitu sikap untuk
berdikari, sikap untuk meningkatkan dayausaha dan daya pengeluaran supaya
kita benar-benar cekap dan produktif bagi menyaingi para pengusaha dari
negara-negara lain. Jika kita masih mengamalkan sikap-sikap yang negatif
selagi itulah kita akan menjadi pengusaha yang mencapai kejayaan secara
terhad atau 'limited success'. Kita mesti meninggikan daya pengeluaran
kita supaya barang-barang pengeluaran kita bukan sahaja baik tetapi juga
bermutu tinggi. Kita juga harus bertanya kepada diri kita bagaimanakah
pengusaha-pengusaha di negara lain telah mencapai kejayaan. Mereka,
seperti juga ahli-ahli perniagaan kita, menghadapi berbagai cabaran dan
kesulitan tetapi telah dapat mengatasinya. Soalnya sekarang ialah
bagaimanakah mereka memperolehi kejayaan sedangkan kita tidak? Jawapannya
agak mudah. Mereka berjaya kerana mereka sanggup bekerja lebih kuat
daripada kita. Mereka berjaya bukan kerana mereka mempunyai lebih insentif
daripada kita. Mereka maju kerana mereka mempunyai sedikit kelebihan
daripada kita, dan kelebihan itu ialah kesanggupan untuk bekerja kuat.

7. Jelaslah bahawa jika kita ingin maju kita hendaklah meninggikan lagi
prestasi kita dan bergerak sebagai satu pasukan selaras dengan Dasar
Persyarikatan Malaysia. Kita juga seharusnyalah bersama-sama berkongsi
pengalaman serta idea baru bagi kepentingan ramai. Kita juga hendaklah
melipat-gandakan usaha penyelidekan, bukan sahaja dalam bidang di mana
kita mempunyai kebolehan dan pengalaman, tetapi juga dalam bidang-bidang
baru yang masih belum kita terokai. Saya percaya sekiranya kita
benar-benar berusaha dengan tekun dan tabah hati, kita akan dapat mencapai
kejayaan yang lebih lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

8. Saya percaya Kelab Alumni Harvard ini mempunyai peranan dalam
menjayakan dasar-dasar yang telah saya sebutkan tadi. Ahli-ahli Kelab
Alumni Harvard ini terdiri daripada mereka yang bertugas dengan Kerajaan
dan juga swasta. Saudara-saudari sekalian mempunyai banyak persamaan dan
telah bergaul mesra dalam menjalankan tugas masing-masing. Setiap kita
termasuklah saudara-saudari yang ada disini, serta juga para usahawan,
kakitangan kerajaan dan swasta dan individu-individu mempunyai
tanggungjawab tertentu bagi menjayakan dasar-dasar ini agar Malaysia akan
menjadi lebih bersatu, maju dan makmur.

9. Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan
dan puan-puan kerana sudi menjemput saya dan isteri saya ke majlis ini. 
 



 


 











 
Google