Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	25/08/84 
Tajuk/Title  	: 	JAMUAN MAKAN MALAM SEMPENA 
			ULANGTAHUN KE-10 PETRONAS 




 Yang Amat Berbahagia Tun Hussein Onn, Penasihat PETRONAS; Yang Berhormat
Menteri-Menteri; Yang Berbahagia Tan Sri Raja Mohar, Pengerusi
PETRONAS; Yang Berbahagia Tan Sri Abdullah Salleh, Presiden
PETRONAS; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS kerana
menjemput saya ke majlis malam ini sempena ulangtahun ke-10
penubuhannya. Dalam majlis yang berbahagia seperti ini wajarlah kita
merakamkan kesyukuran kita kepada Ilahi kerana limpah rahmatNya ke atas
negara kita ini dengan berbagai-bagai sumber alam yang mana dapat kita
timba hasilnya untuk membangunkan negara.

2. Antara sumber alam yang kini memainkan peranan berkesan dalam kehidupan
kita sehari-hari ialah petroleum. Kesan sumbangan petroleum dalam segala
aspek pembangunan dan ekonomi kita menjadi semakin ketara apabila negara
melibatkan diri secara langsung dalam industri itu sejak satu dekad lalu.

3. Di samping itu, dalam tempoh sepuluh tahun ini juga PETRONAS telah
bertukar sifatnya daripada sebuah badan yang hanya menyelia tentang
pengeluaran petroleum kepada kedudukannya sekarang sebagai sebuah syarikat
minyak yang bersepadu penuh atau 'fully-integrated'. Hari ini, PETRONAS
terlibat dalam hampir kesemua kegiatan yang seharusnya ada pada industri
petroleum iaitu dalam kedua-dua peringkat huluan atau 'upstream' dan
hiliran atau 'downstream'.

4. Strategi PETRONAS selama 10 tahun yang lalu adalah tepat dan adalah
sesuai dengan nationalisme sebuah negara yang baru muncul. Tetapi keadaan
dunia telah berubah dan bersama-samanya berubah juga kedudukan ekonomi dan
pembangunan negara kita. Nationalisme dari segi pemilikan perlu
disesuaikan dengan pembangunan negara yang pragmatik.

Pemilikan semata-mata tidak berfaedah jika hasil tidak seimbang. Oleh itu
satu strategi mesti disusun supaya kos pemilikan tidak terlalu tinggi dan
tekanan yang lebih diberi kepada hasil yang diperolehi. Jika hasil boleh
ditingkatkan dengan usahasama yang berkesan, aspek ini perlu ditimbang
dengan waras tanpa 'jingoism'. Negara memerlukan hasil yang tinggi untuk
pembangunan dan pembangunan ini lebih utama daripada semata-mata memiliki
satu punca kekayaan negara.

Seharusnya kita ingat bahawa bukan pemilikan punca kekayaan yang penting,
tetapi hasil dari punca itu. Segala cara untuk meningkatkan hasil mestilah
diberi perhatian. Hasrat inilah yang perlu diberi pertimbangan dalam
pembentukan strategi baru bagi PETRONAS.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

5. Malaysia kini sudah bersedia untuk memasuki era revolusi
perindustrian. Kesediaan ini lahir dari kemajuan yang kita capai sejak
beberapa tahun lalu -- dari menjadi pengeksport komoditi tradisi hingga
mencapai kedudukan sebagai pengeluar barangan. Kerajaan hari ini telah
memasukkan beberapa idea baru untuk memerangsang kegiatan dan pertumbuhan
perindustrian negara. Sumber petroleum dan gas negara dapat mempercepatkan
lagi proses ini.

6. Dengan penurunan harga minyak dunia dan dengan bekalan yang berlebihan
sekarang, PETRONAS perlu mengambil inisiatif mewujudkan suasana baru bagi
pelaburan dan kegiatan masa depan negara. PETRONAS mestilah membaharui
pemikirannya di samping mengenal-pasti dan mengeksploitasi sepenuhnya
peluang-peluang baru. Perancangan dan pemikiran yang kritis mestilah
seiring dengan setiap usaha yang baru bagi memastikan negara mencapai
matlamat ekonomi yang telah ditetapkan. Peranan yang boleh dimainkan oleh
PETRONAS untuk memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara ialah dengan
meneroka pasaran-pasaran baru di samping meningkatkan jualan minyak mentah
di pasaran-pasaran tradisional yang ada. Usaha mencari pasaran ini
hendaklah diperluaskan hingga meliputi bukan sahaja negara-negara maju
tetapi juga negara-negara dunia ketiga.

7. Sesungguhnya bidang perusahaan petroleum ini amatlah luas. Selain
daripada pemasaran minyak mentah dan yang ditapis kegiatan 'upstream' dan
'downstream' amatlah banyak. PETRONAS perlu menentukan sejauh mana ianya
ingin memasuki satu-satu bidang petroleum itu. Kita mesti ingat pepatah
Melayu: "Ingin hati hendak peluk gunung, tetapi apakan daya tangan tidak
sampai". Dalam bidang petroleum, kemampuan PETRONAS perlu diukur dengan
keinginannya. Adalah lebih baik jika PETRONAS menghadkan penglibatannya
kepada bidang yang ianya mampu sahaja, di mana kemampuan tidak bererti
modal sahaja tetapi 'expertise' dan daya pengurusan.

Peluang perlu diberi kepada lain-lain badan atau syarikat bagi memasuki
kegiatan-kegiatan yang lebih terdaya oleh mereka. Dan di antara pihak lain
ini ialah orang perseorangan dan peniaga kecil yang juga ingin mendapat
peluang dari sumber minyak negara sendiri. Gejala-gelaja yang kurang sihat
mungkin timbul dengan adanya penglibatan orang perseorang dan syarikat
lain daripada PETRONAS, tetapi gejala ini boleh dibendung dengan amanah
yang memang ada pada PETRONAS.

8. Saya telah pun melantik beberapa orang tokoh dari sektor swasta untuk
menganggotai Lembaga Pengarah PETRONAS. Saya yakin langkah tersebut adalah
kena pada masanya memandangkan industri petroleum kini merupakan nadi yang
menggerakkan kehidupan negara. Tujuan tindakan itu ialah semata-mata bagi
meningkatkan lagi kebolehan dan keupayaan Perbadanan ini memandangkan
mereka adalah profesional dalam bidang masing-masing dan mempunyai
pengalaman pengurusan yang luas. Langkah Kerajaan ini juga ialah selaras
dengan usahanya untuk menyusun jentera pentadbiran sektor awam bagi
meningkatkan 'check and balance' dalam pengurusan badan-badan perniagaan
milik Kerajaan.

9. Di sini saya ingin menegaskan pula bahawa minyak dan gas bukanlah
monopoli sesebuah negeri, tetapi ia merupakan hak negara. Soal-soal
logistik mungkin memaksa kita menempatkan berbagai industri yang berkaitan
dengan petroleum atau 'petroleum related industries' di negeri yang
berdekatan dengan telaga minyak. Tetapi sebagai perusahaan milik negara,
di mana soal logistik tidak menghalang, penempatan industri-industri yang
berkaitan dengan petroleum hendaklah disebar ke negeri-negeri lain yang
tidak bernasib baik. Ini adalah sejajar dengan dasar perindustrian negara
di mana kita ingin menabur industri ke seluruh negara. Walaupun demikian
pertimbangan yang serius mestilah diberi pada 'cost penalty' kerana dasar
tersebut. Jika 'cost penalty' melebihi keuntungan sosio-ekonomik, dasar
penaburan industri tersebut tidaklah patut diutamakan.

10. Di samping itu, industri petroleum di negara ini ialah satu sektor
yang semakin berkembang luas. Dalam hubungan ini, usahawan-usahawan
tempatan tidak patut hanya menunggu peluang datang menggolek kepada
mereka. Sebaliknya mereka mestilah sentiasa bersedia dari segi kemahiran
dan modal agar setiap kali peluang wujud, mereka dapat
merebutnya. Penyertaan syarikat-syarikat tempatan akan membolehkan negara
ini menjimatkan pengaliran keluar modal, dan dalam waktu yang sama pula,
menguntungkan mereka dari segi input teknologi dan kepakaran.

11. Satu perkara yang sering menarik perhatian ialah peranan kontraktor
tempatan dalam bidang pembekalan dan pembenaan atau 'supplies and
construction'. Kerajaan dan saya yakin PETRONAS juga tidak berniat untuk
memberi peluang kontrak ini kepada orang asing. Kita ingin mengutamakan
syarikat-syarikat tempatan. Malangnya kerapkali didapati syarikat-syarikat
tempatan bukan sahaja tidak ada kepakaran atau 'expertise', tetapi mereka
tidak berusaha mendapat 'expertise' yang diperlukan. Perkongsian yang
dibuat dengan syarikat asing kerapkali melibatkan individu-individu yang
sudah sibuk dengan perniagaan lain dan oleh itu membiarkan rakan
perkongsian mereka menjalankan semua kerja.

12. Masanya sudah sampai untuk pengusaha dan kontraktor di Malaysia ini
'specialise' dalam satu-satu bidang. Janganlah cuba memasuki semua bidang
dengan harapan jumlah pendapatan yang sedikit dari tiap-tiap satu akan
menjadi banyak. Adalah lebih baik mempunyai penglibatan yang bermakna
dalam satu bidang supaya pendapatan dari bidang itu mencukupi. Pihak
PETRONAS pula hendaklah memberi layanan kepada syarikat-syarikat seperti
ini lebih dari syarikat yang mempunyai nama yang terkenal. Dengan cara ini
kita akan dapat membina kecekapan dalam bidang-bidang tertentu dengan cara
lebih berkesan dan lebih pesat. Sebenarnya dalam bidang 'petroleum based
contruction' syarikat-syarikat gergasi antarabangsa adalah 'specialist'.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

13. Negara kita mempunyai simpanan gas yang besar, iaitu kira-kira 50
trillion kaki padu, atau bersamaan kira-kira 8,500 juta tong
minyak. Simpanan gas ini hampir sama banyaknya di luar pantai Terengganu
dan juga luar pantai Sarawak. Gas asli telah digunakan dengan jayanya di
merata-rata tempat di dunia untuk tenaga dan juga lain-lain
kegunaan. Tetapi di negara kita gas asli masih memainkan peranan yang agak
kecil sebagai sumber tenaga.

14. Memanglah terdapat banyak faktor yang menyekat atau kurang
menggalakkan pembangunan gas asli jika dibandingkan dengan pembangunan
minyak mentah. Dan antara perkara tersebut ialah risiko yang tinggi
memandangkan modal yang amat besar diperlukan dan syarikat-syarikat minyak
multinational tidak memberikan keutamaan kepada usaha untuk memelihara dan
menggunakan gas asli dalam perancangan kegiatan mereka. Gas asli kerap
dibakar sebagai 'waste-product' dalam perusahaan mengeluar minyak. Oleh
kerana eksekutif tertinggi PETRONAS sendiri telah menyatakan betapa banyak
duit kita yang dibakar tiap-tiap hari, saya yakin PETRONAS akan memeriksa
dengan positif segala cadangan untuk menggunakan 'associated gas' untuk
apa juga tujuan. Sikap positif ini lebih-lebih diperlukan apabila cadangan
ini dibuat oleh syarikat asing untuk pasaran luar negeri. Dengan ini
risiko kita akan dikurangkan, gas kita tidak dibakar dan dibazirkan. Dan
kita akan dapat mengurangkan pengaliran pertukaran asing untuk modal dan
mungkin kita akan dapat pertukaran asing dari penjualan luar negara.

15. Satu perkara yang menimbul keghairahan di kalangan pengusaha dan
pengguna ialah penggantian minyak petrol dengan LPG untuk kereta
bermoto. Memang benar LPG adalah lebih murah dari petrol sekarang, tetapi
ini ialah kerana Kerajaan tidak mengenakan cukai ke atas gas yang biasanya
digunakan untuk memasak. Jika LPG diguna secara meluas, penggunaan petrol
akan berkurang dan hasil kutipan cukai Kerajaan akan kurang. Memandang
bahawa Kerajaan memerlukan pendapatan cukai, termasuk untuk membina jalan
dan lain-lain, Kerajaan tentu terpaksa mengenakan cukai ke atas
LPG. Dengan ini harga LPG tidak akan murah lagi. Mungkin ramai pemandu
kenderaaan akan kembali kepada petrol. Pembekal LPG dan stesyen LPG
mungkin terpaksa ditutup, dan ramai yang akan rugi. Oleh itu sebelum
melabur dalam bidang ini ada baiknya kajian mendalam dibuat. Dalam bidang
penggunaan gas sebagai feedstock untuk berbagai jenis industri, galakan
patutlah diberi jika didapati ekonomik.

16. Rancangan grid gas kebangsaan keseluruhannya menawarkan peluang
perniagaan yang tidak terhad. Dalam hal ini sektor swasta bolehlah
menyertai kegiatan-kegiatan hiliran yang bersumberkan gas. Sebagai contoh
kontraktor-kontraktor tempatan bolehlah membekalkan saluran-saluran paip
yang diperlukan untuk menyampaikan gas ke rumah-rumah dan kawasan industri
di seluruh negara. Para kontraktor tempatan mestilah mengatur langkah
untuk menyediakan para pekerja mereka dengan kepakaran dan kemahiran yang
diperlukan untuk memenuhi keperluan itu. Mereka tidak seharusnya berpuas
hati dengan hanya mendapat kontrak-kontrak kecil seperti kerja-kerja
menanam rumput dan mencuci bangunan sahaja.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

17. Antara matlamat utama negara kita hari ini ialah mempelbagaikan
sumber-sumber pendapatan. Pembangunan satu perusahaan minyak dan gas
kebangsaan yang bersepadu, dengan tekanan khas kepada keupayaan pemasaran
kebangsaan bagi memenuhi keperluan pasaran minyak dan gas antarabangsa,
peningkatan pemerosesan petroleum di dalam negeri, dan usaha memajukan gas
asli sebagai sumber alternatif tenaga untuk industri dan penjanaan letrik
adalah faktor-faktor penting yang akan menentukan peranan masa depan
PETRONAS.

18. PETRONAS mestilah mengawasi dan menimbangkan pergolakan-pergolakan
ekonomi dan politik yang berlaku di seluruh dunia, terutama perkembangan
yang boleh membawa akibat langsung kepada perjalanan industri petroleum
kita. Oleh kerana perkembangan-perkembangan itu sedikit sebanyak boleh
mempengaruhi dan menjejas pengeluaran dan harga petroleum dan hasil-hasil
petroleum kita, maka adalah bijak jika kita dapat merangka strategi bagi
mengurangkan kesan pengaruh-pengaruh itu.

19. Akhirnya saya mengucapkan tahniah kepada Lembaga Pengarah PETRONAS dan
kakitangannya sempena perayaan ulangtahun kesepuluh PETRONAS ini.

Terima kasih.

 



 


 











 
Google