home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA NEGARA 
Tarikh/Date 	: 	28/08/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT 
			PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN DAN 
			BINTANG-BINTANG SERTA PINGAT-PINGAT 




Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Almutawakkil
Alallah Sultan Iskandar D.K. Yang Di-Pertuan Agong Malaysia.

Ampun Tuanku.

Bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat serta diri patek sendiri, patek
mohon menyembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Tuanku, sempena Majlis Mengadap dan Istiadat Pengurniaaan
Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat pada hari ini.

2. Sempena hari yang bahagia ini, patek sekalian berdoa ke hadrat Allah
Subhanahu Wataala, semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan
hidayahNya kepada Kebawah Duli Tuanku serta Raja Permaisuri
Agong. Demikian juga, patek sekalian berdoa semoga Tuanku berdua sentiasa
di dalam kandungan sihat walafiat, serta kekal memerintah dan memegang
teraju tertinggi pemerintahan negara Malaysia, dengan bertambah daulat dan
kemuliaan.

Ampun Tuanku, 

3. Pengalaman menunjukkan bahawa cabaran yang dihadapi oleh negara
membangun adalah amat besar. Walaupun negara kita Malaysia telah
membuktikan kemampuannya, dan kita dianggap sebagai sebuah negara
membangun yang 'resilient' dan berjaya, namun kita masih mempunyai tugas
yang berat dan besar untuk menjamin kebahagiaan dan kemakmuran yang
meningkat dan berterusan bagi negara dan rakyat. Ini merupakan cabaran
bukan sahaja kepada Kerajaan bahkan cabaran kepada setiap rakyat Malaysia.

4. Kunci kepada kejayaaan ialah usaha dan disiplin -- usaha dan disiplin
di semua peringkat dan kalangan.

Turun-naik dan mundur-majunya sesebuah negara dan masyarakat adalah hasil
daripada usaha yang gigih dan disiplin. Itulah sebabnya kita harus memberi
keutamaan kepada kedua-dua faktor ini.

5. Keadaan kemelesetan ekonomi dunia, walaupun akhir-akhir ini menunjukkan
tanda-tanda akan pulih, telah membawa kesan yang pahit kepada semua,
lebih-lebih lagi kepada negara-negara kecil yang sedang berusaha untuk
membangun.

Alhamdulillah, kesan kemelesetan terhadap negara kita tidak begitu
teruk. Dengan langkah-langkah tertentu, dan dengan asas-asas ketahanan
yang kita bina selama ini, kita telah dapat melalui tempoh genting
kemelesetan ekonomi dunia dengan selamat. Insya-Allah, kita akan terus
berjaya dengan usaha-usaha kita.

6. Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan terus berusaha untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya dalam semua bidang dan
lapangan, supaya masyarakat kita keseluruhannya akan dapat mengecapi
nikmat dan faedah daripada azam dan cita-cita ini. Kita juga berharap
semua pihak termasuk negara-negara sahabat akan terus memberi kerjasama
untuk memupuk suasana kemajuan bagi faedah bersama.

Ampun Tuanku, 

7. Kerajaan Kebawah Duli Tuanku telah membentangkan dokumen Kajian Separuh
Penggal Rancangan Malaysia Keempat.

Asas-asas perubahan bagi mempergiatkan lagi usaha pembangunan bagi faedah
rakyat telah diperkukuhkan.

Strategi-strategi yang diwujudkan adalah bagi faedah jangka pendek dan
jangka panjang dan dibuat dengan tujuan untuk menjamin ketahanan rakyat
dan negara dalam menghadapi cabaran-cabaran dalam negeri dan peranan kita
di peringkat antarabangsa.

8. Kita di Malaysia adalah amat bertuah. Allah Subhanahu Wataala telah
melimpahi kita dengan berbagai rahmat dan nikmat. Tetapi rakyat harus
berwaspada terhadap ancaman yang mungkin melanda jika kita tamak dan tidak
berhati-hati.

Insya-Allah segala usaha kita akan diberkati Allah Subhanahu Wataala, dan
negara akan terus aman dan makmur. Patek sekalian yakin bahawa dengan cara
pemerintahan yang mendukung cita-cita rakyat dan mengutamakan kepentingan
negara, semua pihak akan dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan
berkesan.

9. Patek, bersama-sama dengan Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri,
dan sekalian pegawai dan kakitangan Kerajaan, akan terus menumpukan usaha
dan tenaga untuk menyempurnakan tugas dan tanggungjawab patek sekalian
dengan semangat dan komitmen bagi menjamin kemakmuran, keselamatan dan
kebahagiaan rakyat dan negara Malaysia.

10. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, bagi pihak diri
patek, Kerajaan dan seluruh rakyat, patek dengan segala hormat dan
takzimnya mohon menyembah ikrar taat-setia yang tidak berbelah bagi kepada
Kebawah Duli Tuanku.

Ampun Tuanku, 

Sekian, sembah patek harap diampun. 
 


--------------------------------------------------------------------------------

Sumber : Pejabat Perdana Menteri
 


 











 
Google