Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISION
MALAYSIA, RTM
Tarikh/Date : 30/08/84
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN YANG KE-27
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam bahagia.
Alhamdullilah. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
genap 27 tahun kita telah merdeka dan kemerdekaan tidak membawa bermacam
malapetaka, serangan oleh negara lain atau peperangan saudara seperti yang
sering berlaku kepada beberapa negara lain. Sebaliknya kita telah berjaya
membangunkan negara dengan lebih pesat lagi dan memberi banyak nikmat
kepada rakyat berbilang kaum di negara kita, Alhamdullilah.
2. Bagi mereka yang biasa hidup di bawah penjajah perasaan syukur mudah
sahaja dirasai terhadap kemerdekaan negara sendiri. Tetapi setelah 27
tahun merdeka bilangan mereka yang tahu bersyukur ini sudah
berkurangan. Sekarang hampir 60% daripada penduduk Malaysia terdiri
daripada mereka yang dilahirkan selepas merdeka dan tidak pernah merasai
pahit maung hidup dijajah. Justeru itu ramai daripada golongan muda ini
yang tidak lagi bersyukur dan tidak tahu bersyukur. Mereka menganggap
kemerdekaan Malaysia sebagai perkara biasa sahaja dan bukan satu nikmat
daripada Tuhan Yang Maha Esa. Oleh itu mereka tidak lagi mempunyai
semangat kebangsaan yang mana semangat inilah yang berjaya menjadikan
mereka rakyat yang merdeka. Mereka sebaliknya mencaci pejuang-pejuang
kemerdekaan dan memperkecilkan pencapaian negara sendiri.
3. Mereka yang tidak tahu bersyukur tidak akan dikurniakan dengan lebih
banyak nikmat. Demikian janji Tuhan kepada umatNya. Oleh itu marilah kita
hidupkan semula sifat-sifat yang mulia, dan tidak menidakkan nikmat yang
telah kita terima.
4. Kemerdekaan ialah satu nikmat kerana kita dapat memerintah dan
menentukan nasib kita sendiri, Insya-Allah. Di waktu ini pun terdapat
banyak bangsa dan negara yang dijajah. Mereka ditindas dengan begitu kejam
sehingga kerapkali mereka terpaksa memberontak melawan bangsa yang
menindas mereka walaupun bangsa itu menganuti agama yang sama.
5. Kadang-kadang kita dapati masyarakat yang dijajah itu dipisah daripada
agama, kebudayaan dan bahasa mereka. Akhirnya satu jenis genocide berlaku
di mana yang dijajah telah hilang identiti mereka, dan dengan itu hilang
dari muka bumi ini buat selama-lamanya.
6. Kita di Malaysia amat bernasib baik. Setelah merdeka kita dapat
menghidupkan semula identiti kaum, agama dan bangsa kita. Kita dapat hidup
berharmoni dan membangunkan negara kita. Walaupun ada seliseh faham dan
perpisahan antara kaum, keadaan tidaklah sebegitu buruk sehingga dapat
mencetuskan huru-hara.
7. Sesiapa yang tidak bersyukur dengan keadaan di Malaysia tentulah tidak
tahu mengenang budi dan insaf. Kita akui bahawa banyak lagi yang perlu
dibuat untuk menjadikan kehidupan rakyat lebih selesa. Bermacam-macam
kemudahan perlu diadakan. Pendapatan perlu ditinggikan dan peluang perlu
ditambah. Kita mahu semua ini dengan serta-merta tetapi kita juga
berfikiran waras dan kita tahu ini tidak mungkin tercapai. Kita terpaksa
meninggikan taraf hidup kita secara beransur-ansur.
8. Dalam usaha kita meningkatkan taraf hidup kita dan semata-mata kerana
ianya serupa dengan yang diamalkan oleh penjajah dahulu. Kita perlu pilih
yang mana boleh membawa manfaat dan yang mana yang akan membawa
mudarat. Demokrasi yang kita amalkan sekarang ialah daripada sistem
barat. Kita semua akui bahawa sistem ini baik kerana rakyat berpeluang
menentukan siapa yang akan mentadbir negara. Demokrasi jelas lebih baik
daripada sistem feudal atau otokratik di mana penderitaan majoriti rakyat
mungkin tidak disedari.
9. Namun demikian demokrasi tidak mendatangkan kebaikan semata-mata kerana
sistemnya baik. Banyak negara yang mencuba mengamalkan demokrasi telah
gagal kerana kelemahan-kelemahan lain. Sebenarnya demokrasi memerlukan
satu sikap yang sesuai daripada pengamalnya di semua peringkat. Kebebasan
yang diberi dalam demokrasi bukanlah tidak terbatas. Kebebasan demokrasi
ialah sekadar ianya akan membela rakyat. Jika kebebasan ini diamal tanpa
tanggungjawab terhadap ketenteraman dan keamanan atau kebebasan, jika ia
diguna untuk merebut kuasa bagi menghapuskan demokrasi, maka kebaikan
demokrasi itu sendiri boleh membawa kecelakaan.
10. Sebab itu kita harus berwaspada dan mengawasi orang-orang yang dengan
lantang mengguna demokrasi untuk menegakkan sistem yang akan menamatkan
demokrasi. Mereka ini ingin menegakkan pemerintahan oligarki komunis atau
sistem pemerintahan mullah yang mereka cuba bayangkan sebagai sistem
Islam. Sebenarnya pemerintahan mullah bukan Islam, bahkan bertentangan
dengan Islam. Ia dibentuk beberapa kurun selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w
dan Khalifah Al-Rasyidin di zaman kemerosotan Islam berasaskan rasa
fanatik. Sistem ini adalah satu jenis diktatorship yang didokong oleh
sekumpulan orang-orang yang tertentu yang tamakkan kuasa.
11. Mereka ingin supaya mereka boleh bermaharajalela, untuk menghukum dan
menjalankan hukuman tanpa pengadilan yang teratur. Segala sistem dan
peraturan yang tidak mendewa-dewa dan mencontohi sistem mullah dianggap
sebagai tidak Islam dan sekular. Mereka sudahpun bermula dengan
mengkafirkan orang Islam dengan sewenang-wenangnya, memulau dan
mencaci-cerca sesiapa yang tidak terima tafsiran mereka.
Mereka ingin memaksa semua kaum dan penganut agama supaya tunduk pada
mereka. Hari ini mereka menggunakan demokrasi untuk mendapat
sokongan. Tetapi apabila sudah mendapat kuasa, maka mereka bukan sahaja
akan menghapuskan demokrasi, tetapi mereka akan menindas semua rakyat
dengan pemerintahan mullah. Dalam Islam tidak ada orang perantaraan dan
tidak ada orang yang maksum antara ummah dengan Tuhan.
12. Demokrasi juga tidak boleh membawa kebahagiaan semata-mata kerana kita
boleh memilih Kerajaan yang akan memerintah. Kuasa memilih, seperti juga
lain-lain kuasa boleh mendedahkan kita kepada rasuah. Kita mungkin memaksa
Kerajaan mengambil tindakan yang tidak bijak semata-mata kerana
kepentingan jangka-pendek kita. Demikianlah dengan tuntutan-tuntutan yang
keterlaluan yang dibuat terhadap Kerajaan. Kita tahu bahawa jika
tuntutan-tuntutan itu dilayan, negara dan kita sendiri akan mendapat
akibat yang buruk akhirnya. Tetapi kerana kita tahu kita boleh memberi
kemenangan atau mengalahkan Kerajaan dalam pilihan raya, kita buat juga
tuntutan. Akhirnya akan binasalah negara.
Akan hancurlah demokrasi. Akan rugilah kita. Sekali lagi Demokrasi boleh
membawa keburukan walaupun asasnya baik.
13. Yang ketiga ialah berkenaan dengan pembangunan dalam demokrasi. Dengan
sendirinya demokrasi tidak dapat membangunkan negara. Demokrasi cuma
memberi lebih kemungkinan supaya kita boleh membangunkan negara.
Pembangunan akan tercapai jika kita sanggup mengamalkan nilai-nilai yang
baik yang boleh meningkatkan daya pengeluaran kita. Nilai-nilai yang
dimaksudkan ialah kerajinan, amanah, disiplin dan lain-lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Tema perayaan Hari Kebangsaan tahun ini ialah "Amanah Asas
Kejayaan". Awal-awal lagi patut kita ingat bahawa bukan amanah sahaja yang
diperlukan untuk kejayaan. Walaupun demikian amanah tetap merupakan satu
daripada nilai hidup yang sangat penting jika kita hidup
bermasyarakat. Tidak ada sesuatu kerja yang boleh dibuat dengan sempurna
tanpa amanah.
15. Setiap orang daripada kita berkuasa. Mungkin kuasa ini terhad. Mungkin
cuma berkenaan dengan perbelanjaan wang, atau tugas, tanggungjawab,
pengawasan, pelaksanaan, kawalan, penguatkuasaan aturan atau undang-undang
atau arahan, atau lain-lain lagi yang diamanahkan kepada kita. Jika kita
tidak beramanah sudah tentu segala kerja tidak akan sempurna dan matlamat
tidak akan tercapai. Jika kita menjadi satu bangsa yang tidak beramanah,
maka mustahil bagi kita membangunkan negara untuk kepentingan jangka
panjang kita sendiri.
16. Akibat tidak ada amanah amatlah buruk kepada diri kita dan kepada
masyarakat. Kita tidak dapat membuat apa-apa kerana semua kerja memerlukan
penglibatan orang lain bersama. Bagaimanakah dapat kita membuat sesuatu
jika kita tidak boleh yakin dan percaya kepada orang lain yang
terlibat. Mungkin tugas yang diperlukan adalah kecil, tetapi seperti kata
pepatah 'sedikit-sedikit menjadi bukit'.
Jika masyarakat kita terkenal kerana kurang beramanah, maka bukan sahaja
kita tidak akan jadi efisien dan produktif, tetapi kepercayaan orang lain
kepada kita juga akan berkurangan. Dengan itu keadaan kita akan lebih
sukar dipulih.
17. Sebaliknya jika kita terkenal sebagai orang yang beramanah, bukan
sahaja kepercayaan orang kepada kita akan kukuh tetapi segala kerja akan
berjalan dengan licin dan berkesan. Sudah tentu kita akan menjadi lebih
produktif, yang mana ianya akan membawa kebahagiaan kepada kita.
Alangkah leganya hati jika kita boleh yakin sesuatu yang diamanahkan
kepada seseorang itu akan terlaksana seperti di rancang. Sekali lagi jika
kita terkenal sebagai satu bangsa yang beramanah, agak mudah sahaja kita
mendapat peluang dan mencapai kejayaan.
18. Sebenarnya amanah bukanlah satu beban yang berat. Apa yang dikehendaki
ialah kejujuran kepada diri kita dan kesedaran bahawa akhirnya kita akan
beruntung kerana amanah. Setelah kita menerima bahawa sesuatu yang
diamanahkan kepada kita tidak dapat tidak mesti dibuat, maka beban itu
akan menjadi ringan. Apatah lagi apabila kita tahu kita akan mendapat
nikmat daripada tugas yang dijalankan dengan penuh amanah itu.
19. Jika kita dapat menyemaikan sifat beramanah di kalangan rakyat di
negara ini, maka semua tugas dan kerja akan diselesaikan seperti yang
dirancangkan. Alangkah baiknya jika ini berlaku setiap kali. Sudah
tentulah negara akan berjaya. Sebab itulah kita memberi tekanan utama
kepada amanah pada tahun ini dan seterusnya. Ini tidak bermakna lain-lain
nilai yang baik tidak penting. Hanya yang kita cuba ialah menyerap satu
nilai demi satu nilai kerana kemampuan kita mungkin terhad. Walaupun
demikian nilai-nilai yang lain hendaklah kita cuba amalkan bersama.
20. Desakan supaya beramanah tidak ditujukan kepada rakyat
semata-mata. Kerajaan sendiri diamanahkan supaya memerintah negara untuk
kebaikan semua rakyat. Justeru itu, di hari ini kita bukan sahaja ingin
memberi ingatan kepada rakyat, tetapi juga kepada Kerajaan.
21. Apabila kita menyebut Kerajaan di negara ini, kita bermaksud
pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat untuk memerintah negara. Saya
sedar ini termasuklah diri saya sendiri serta rakan-rakan saya dalam
Jumaah Menteri dan kementerian-kementerian serta wakil-wakil rakyat.
22. Kita tidak lupa akan amanah ini dan kita sering memberi ingatan kepada
diri kita sendiri bahawa tempat dan kuasa yang diberi bukanlah untuk diri
sendiri atau untuk keluarga atau kawan. Tempat dan kuasa ini adalah untuk
rakyat dan negara.
23. Dengan ikhlasnya saya ingin nyatakan bahawa kita telah cuba
menjalankan tugas yang diamanahkan kepada kita. Segala dasar dan tindakan
yang diambil adalah untuk kebaikan rakyat dan negara. Mungkin
kadang-kadang kebaikan ini tidak begitu jelas, terutama dalam jangka
pendek. Mungkin kadang-kadang ada golongan-golongan yang berasa mereka
diabaikan atau tertindas. Tetapi niat Kerajaan apabila membentuk sesuatu
dasar, atau undang-undang, atau mengambil tindakan ialah supaya akhirnya
seluruh masyarakat akan dapat kebahagiaan, termasuklah bagi mereka yang
berpendapat mereka dianaktirikan atau tertindas. Tidak ada pentadbiran di
dunia ini yang boleh memerintah dengan penuh amanah tanpa menimbul
perasaan tidak puas hati kepada sekurang-kurangnya beberapa golongan dalam
negara. Namun demikian Kerajaan akan cuba berusaha supaya amanah yang
diberi kepada Kerajaan tidak membawa masalah kepada sesiapa,
sekurang-kurangnya dalam jangka panjang.
24. Tidak ada manusia yang tidak cacat. Yang penting bagi manusia bukan
kesempurnaan 100% atau perfection, tetapi usaha yang ikhlas ke arah
kesempurnaan. Cuma Tuhan sahaja yang sempurna.
Tuan-tuan dan puan-puan,
25. Pada Hari Kebangsaan yang ke-27 ini, marilah kita mendedikasi diri
kita kepada kebaikan Bangsa dan Negara Malaysia. Marilah kita meningkatkan
amanah supaya kita akan mendapat nikmat darinya, baik di dunia atau pun di
akhirat.
26. Kemajuan negara adalah kemajuan kita dan kemajuan kita adalah kemajuan
negara. Tidak ada sesiapa yang akan rugi kerana mengamalkan nilai-nilai
yang baik terutamanya amanah.
27. Hingga kini kita telah banyak mendapat nikmat, sama ada kerana usaha
kita atau tidak. Marilah kita bersyukur kerananya. Marilah kita insaf
semula akan nasib baik kita kerana kita merdeka dan kita bebas daripada
malapetaka.
Dengan keinsafan dan kesyukuran ini, dengan amanah yang akan menjadi
sebahagian daripada peribadi kita, insya-Allah kita akan terus hidup
bahagia, berharmoni antara semua kaum, aman dan damai.
28. Ingatlah, 'amanah asas kejayaan' dan berpeganglah kepada amanah setiap
kali kita membuat sesuatu. Kita tidak akan kecewa dan kita tidak akan
rugi, Insya-Allah.
29. Rayakanlah hari yang bahagia ini kerana ia adalah tanda kesyukuran
kita, dan keinsafan kita terhadap kemerdekaan serta nikmat
daripadanya. Mudah-mudahan kita akan terus merdeka buat
selama-lamanya. Akhirnya saya ucapkan kepada semua rakyat negara ini
selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-27.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|