home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ODITORIUM DEWAN BANDARAYA, 
			KUALA LUMPUR, 
Tarikh/Date 	: 	08/09/84 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PELANCARAN YAYASAN SENI 



 Yang Berbahagia Puan Mahani Idris, Pengerusi Yayasan Seni; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan.

Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pengerusi dan
Ahli-Ahli Lembaga Amanah Yayasan Seni kerana sudi menjemput saya dan
isteri ke majlis ini.

2. Saya sendiri secara peribadi sangat gembira dengan cita-cita dan usaha
hendak menubuhkan sebuah yayasan khusus untuk seni dan kebudayaan. Dalam
zaman individu dan masyarakat mengejar kemajuan dan kemakmuran ini, tidak
ramai di kalangan kita yang rela mengorbankan masa dan tenaga bagi
menjalankan kerja-kerja yang dianggap tidak mendatangkan untung dari segi
wang ringgit. Bukan itu sahaja, malah tidak ramai di kalangan kita yang
rela memberikan sokongan moral kepada kehidupan seni dan budaya kerana
tidak ramai yang betul-betul berminat dalam bidang itu.

3. Pada tahun-tahun enampuluhan, Kuala Lumpur telah menjadi pusat seni dan
kebudayaan. Hampir setiap bulan ada sahaja aktiviti kebudayaan seperti
drama pentas yang dipertunjukkan kepada ramai, bukan sahaja oleh
badan-badan sukarela tetapi juga oleh institusi-institusi pengajian
tinggi. Sambutan orang ramai juga sungguh menggalakkan. Keghairahan
kehidupan seni itu menyebabkan timbul desakan supaya Kerajaan membina
sebuah kompleks kebudayaan atau 'cultural centre' yang serba moden untuk
menampung dan menggalakkan perkembangan seni kita. Walaupun kerajaan
mempunyai hasrat untuk mengadakan kemudahan seperti itu, kekurangan wang
menyebabkan kita harus memikirkan soal keutamaan pembangunan atau
'development priorities'.

4. Mujur juga kerajaan tidak terus membelanjakan berjuta-juta ringgit
untuk membina kompleks kebudayaan negara. Jika kita melihat kepada
kegiatan dan perkembangan seni pada tahap sekarang, kita akan mempunyai
'seekor gajah putih' di Kuala Lumpur. Buat apa dengan dewan yang cantik
dan penuh dengan kelengkapan moden kalau tidak ada pertunjukan? Buat apa
dengan dewan yang besar kalau pertunjukan kita disaksikan oleh beberapa
kerat penonton sahaja? 5. Saya bersetuju bahawa untuk mengalakkan
kehidupan seni kita perlu menyediakan kemudahan-kemudahan asas. Tetapi
apakah di Kuala Lumpur belum ada kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan
itu? Saya rasa jikalau kita hendak mementaskan sebuah drama atau satu
pertunjukan kebudayaan setiap bulan, kita sudah mempunyai kemudahan yang
cukup.

6. Setiap pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur mempunyai sebuah dewan
besar yang moden dan lengkap. Badan berkanun seperti Dewan Bahasa dan
Pustaka, Dewan Bandaraya dan Majlis Perbandaran lain juga mempunyai
kemudahan yang sama. Apabila kompleks UMNO siap, kita akan mempunyai satu
lagi tempat yang besar bagi mengadakan pertunjukan. Selain itu beberapa
hotel terkemuka juga mempunyai berbagai kemudahan pementasan. Jika dikira
dari segi kemudahan, tentu sudah lebih daripada cukup.

7. Ada orang-orang tertentu berkata mereka tidak boleh menggunakan
kemudahan yang sudah ada kerana kadar bayarannya mahal. Saya ingin
menegaskan kalaupun kerajaan membina kompleks kebudayaan, setiap badan
yang hendak menggunakannya perlu membayar sewa. Jika tidak, bagaimanakah
dapat kita membayar kos pembinaan kompleks itu? Soal bayaran tidak patut
timbul kerana setiap penganjur pertunjukan seni dan kebudayaan boleh
mendapat wang itu melalui penjualan tiket, penajaan dan sebagainya.

8. Soal yang lebih penting yang perlu banyak difikirkan ialah soal mutu
dan nilai setiap aktiviti seni. Saya perhatikan bahawa kekuatan dayacipta
masih perlu ditingkatkan. Sama ada masyarakat penonton akan memberikan
sambutan yang memberangsangkan atau tidak terhadap sesuatu pertunjukan,
banyak bergantung kepada kekuatan dayacipta kita.

9. Dayacipta ini bukan sahaja terletak pada soal cerita atau bahan cerita
tetapi juga meliputi soal pelakon, penari, pengarah hingga kepada juruhias
pentas. Prinsip yang perlu ada dan perlu diamalkan ialah setiap hasil itu
perlu mengandungi kesegaran. Kesegaran ciptaan ini boleh didapati melalui
pelbagai 'innovations'. Pengarang dan penulis drama terkenal seperti
W.S. Rendra banyak menggunakan eksperimen dan innovations untuk memberi
nafas baru kepada kehidupan teater negara. Malah pada suatu waktu, beliau
berjaya mempopularkan seni berzanji di kalangan masyarakatnya.

10. Seperkara lagi yang ingin saya ingatkan ialah seni tidak diasaskan
semata-mata kepada bakat semulajadi. Bagi mereka yang ada bakat sekalipun,
latihan yang berulang-ulang mesti dibuat sebelum mencapai tahap yang
tinggi dan menarik. Apatah lagi bagi mereka yang tidak begitu
berbakat. Sebenarnya seni memerlukan minat bekerja sama seperti
kerja-kerja lain. Adalah salah kalau mereka yang berbakat menganggap
mereka tidak perlu berlatih atau lebih penting lagi, belajar dari orang
lain. Sifat yang angkuh ini akan menghalang "the quest for perfection".

11. Saya berharap badan-badan seperti Yayasan Seni akan dapat membantu
menggiatkan semula kegiatan seni dan budaya terutama di Kuala Lumpur. Di
samping pembangunan fizikal, kita juga perlu memupuk dan menggalakkan
pembinaan akal menerusi apresiasi dan penghayatan seni. Kerana setiap
kerja seni juga boleh mencerminkan ketinggian tamadun bangsa kita.

12. Oleh itu, di samping kita memperkenal dan menggilap kembali unsur seni
yang menjadi warisan, kita juga perlu mencipta untuk masa depan. Kita juga
perlu meninggalkan tradisi generasi kita ini untuk generasi akan
datang. Segala ciptaan seni kita tidak akan menjadi tradisi jika
masyarakat kita tidak menerimanya. Jadi kita perlu mencipta untuk menjadi
jurubicara masyarakat bagi sesuatu zaman, bukan bersuara untuk diri
sendiri. Dengan cara itu, masyarakat dapat menerima, menghayati dan
menyanjungi ciptaan-ciptaan kita. Apabila ada sokongan yang kuat daripada
masyarakat, kehidupan seni akan bertambah subur.

13. Pembinaan seni dan kebudayaan ini tidak boleh dibiarkan kepada
pencinta-pencinta seni atau kerajaan semata-mata. Semua golongan perlu
memberi sokongan dan kerjasama. Pihak swasta juga perlu mempergiat usaha
ke arah ini melalui bantuan kewangan atau kemudahan. Kita perlu
bersama-sama mencari bakat-bakat baru, mengasah mereka dan mendedahkan
mereka kepada masyarakat. Di sinilah media massa, terutama televisyen,
boleh turut membantu.

14. Kerajaan memberikan lesen penyiaran kepada TV3, misalnya, bukan
semata-mata sebagai satu bentuk perniagaan, tetapi supaya ia juga membantu
kerajaan membina identiti nasional, memupuk keperibadian nasional. TV3
patut memulakan rancangan bagi membantu badan-badan seni seperti Yayasan
Seni dengan menyiarkan pertunjukan atau pementasan mereka yang bernilai
dan yang mencerminkan keperibadian kebangsaan kepada orang ramai.

15. Dengan cara itu, bukan sahaja kita mengasuh masyarakat kita supaya
menerima dan menghayati seni yang sesuai dan tinggi mutunya tetapi ia juga
membantu badan-badan seni itu memperbaiki mutu persembahan
mereka. "Pervasive exposure" kepada bentuk-bentuk dan corak seni yang
bernilai inilah yang boleh membantu kita membina kebudayaan kebangsaan,
bukannya semata-mata dengan mengadakan peraturan, dasar atau
undang-undang.

16. Saya sangat gembira pada malam ini bukan sahaja kerana sebuah lagi
pertubuhan bukan kerajaan lahir untuk berkhidmat kepada masayarakat dalam
bidang yang bukan menjadi rebutan semua orang, tetapi juga kerana tokoh
yang mengusahakannya ialah isteri seorang anggota Kabinet kita. Sementara
semua orang tahu bahawa suaminya, YB Encik Daim Zainuddin ialah usahawan
yang sangat berjaya, Pengerusi Yayasan seni, Puan Mahani pula terkenal
sebagai pencinta seni dan budaya.

17. Gabungan mereka berdua ini boleh dianggap sebagai gabungan hidup yang
ideal. Selalunya seniman terpaksa mencari patron untuk terus mencipta
kerana biasanya mereka bukan terdiri dari golongan yang pandai mencari
duit. Bagi Puan Mahani tidak payah cari jauh-jauh. Patronnya sentiasa ada
di sisinya. Kita berharap dengan hakikat itu dan dengan sokongan semua
pihak, Yayasan Seni akan dapat melaksanakan cita-cita dan janjinya kepada
masyarakat.

18. Sekarang dengan segala sukacitanya saya melancarkan Yayasan Seni ini
dengan rasminya.

Terima kasih
 
 



 
Google