home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	22/10/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PEMBUKAAN RASMI KAMPUS UTAMA 
			INSTITUT TADBIRAN AWAM 
			NEGARA (INTAN) 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berbahagia Menteri-Menteri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan
sekalian.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pengarah INTAN kerana
telah menjemput saya untuk merasmikan Kampus Utama INTAN di Bukit Kiara
ini.

2. INTAN memang tidak asing kepada kita semua. Bagi saya, saya telah
berdamping rapat dengan INTAN dan telah beberapa kali diberi penghormatan
untuk merasmikan seminar-seminar dan juga mengambil bahagian di dalam
forum-forum yang dianjurkan oleh INTAN. Sempena dengan pembukaan rasmi
Kampus Utama ini, sukacita saya mengambil kesempatan untuk merakamkan
penghargaan saya kepada INTAN di atas usahanya menyediakan latihan untuk
mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam di negara ini. Saya harap INTAN
akan terus berusaha untuk menjamin prestasinya, bukan dengan jumlah kursus
dan peserta latihan-latihan yang dianjurkannya tetapi dengan mutu atau
kualiti cara bekerja, tingkah-laku, sikap dan kemampuan mengurus mereka
yang mendapat latihan.

3. Sebagaimana kita maklum, perkhidmatan awam adalah jentera penggerak
pembangunan negara. Sebagai jentera, perkhidmatan awam mestilah berjalan
dengan licin dan berkesan. Objektif jentera ini mestilah dicapai dengan
cara yang efisien dalam jangkamasa yang sependeknya.

4. Kesedaran mengenai perubahan peranan perkhidmatan awam dari satu
peranan tradisional "maintenance of law and order" kepada peranan
penggerak ke arah pencapaian objektif pembangunan negara mestilah menjadi
permulaan di dalam semua usaha kita. Saya yakin perkara ini memang
disedari, tetapi yang harus ditanya ialah sama ada tindakan untuk membawa
kepada perubahan peranan ini benar-benar berjaya. Dari segi INTAN pula,
yang perlu ditanya ialah sama ada melalui latihan kita telah dapat
melahirkan para pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang dapat menerima
amanah peranan baru ini dengan amalan-amalan yang nyata yang dapat dilihat
dengan hasil-hasil atau result yang konkrit.

5. Jentera kerajaan, khususnya perkhidmatan awam, sebagaimana sebuah
organisasi merupakan satu organisme yang harus berfungsi di dalam satu
persekitaran yang bergolak dan dinamis. Ia cuma dapat berperanan jika ia
sentiasa memberi perhatian kepada fungsi-fungsi utamanya, iaitu: berusaha
mencapai matlamat dan objektifnya, kedua menghasilkan output yang maksima
daripada sumber-sumber input yang ada, ketiga menjamin perjalanan sistem
yang menghasilkan output dengan kemas dan baik, dan akhirnya menyesuaikan
diri dengan kehendak dan suasana yang berubah sepanjang masa. Mengabaikan
salah satu daripada fungsi ini bermakna jentera tersebut tidak akan dapat
memainkan peranannya sebagaimana yang diamanahkan kepadanya dan diharapkan
daripadanya.

6. Di samping memberi perhatian kepada fungsi-fungsi ini, perkhidmatan
awam juga perlu memberi perhatian kepada prestasinya. Dalam soal ini,
memandangkan bahawa peranan dan struktur perkhidmatan awam begitu
kompleks, menggunakan sesuatu kriteria prestasi sahaja adalah tidak
mencukupi. Oleh itu, pada hemat saya, perkhidmatan awam haruslah mengukur
prestasinya dengan beberapa ukuran atau kriteria, mengikut keadaan. Di
antara kriteria-kriteria ini ialah: pencapaian objektif-objektif yang
ditentukan; kuantiti dan kualiti hasil daripada sesuatu jenis
input; dengan penggunaan input yang minima, atau menjamin hasil yang sama
dengan pengurangan input; wang dari pelaburan; disediakan dan yang
dicita-citakan.

7. Sebagai institusi latihan saya percaya aspek-aspek ini tidak merupakan
aspek-aspek yang asing kepada INTAN. Tetapi yang penting ialah bagaimana
kita dapat menjamin para pegawai dan anggota awam dapat mengamalkan
cara-cara dan alat-alat ini di dalam tugas-tugas harian mereka. Dalam hal
ini INTAN haruslah memberi keutamaan untuk menerapkan nilai-nilai
mementingkan kriteria prestasi di kalangan peserta kursus dan di kalangan
anggota perkhidmatan awam. Di samping itu sistem-sistem penilaian prestasi
hendaklah dibentuk dan dipraktikkan sepanjang masa untuk mengukur
kecapaian.

8. Satu perkara lagi yang ingin saya sentuh ialah orientasi latihan
berhubung dengan sikap, dan ilmu pengetahuan dan kemahiran di kalagan
anggota perkhidmatan awam. Pada pendapat saya INTAN haruslah
memperseimbangkan aspek ilmu pengetahuan atau "knowledge" dengan aspek
falsafah dan sikap berserta dengan aspek kemahiran atau "skill". Aspek
falsafah dan pembentukan sikap mestilah diberi keutamaan bagi menjamin
pengetahuan dan kemahiran akan berfungsi dan diamalkan. Tentulah
usaha-usaha latihan akan menjadi sia-sia jika pengetahuan dan kemahiran
tidak diterima dan seterusnya diamalkan. Besar kemungkinannya ini akan
berlaku jika para pegawai dan anggota perkhidmatan awam tidak dilengkapkan
dengan falsafah dan sikap yang positif dan membina. Ini merupakan satu
cabaran yang besar kepada INTAN, dan INTAN dengan mottonya "Latihan Untuk
Pembangunan" akan hanya tinggal sebagai hiasan tanpa berfungsi jika ia
tidak dapat mengubah pemikiran, gerak-geri dan cara bertindak, serta amali
para pegawai dan anggota perkhidmatan awam. Apa yang saya katakan ini juga
adalah "applicable" kepada semua institusi latihan dan pelajaran dan saya
tidak membuat perhatian ini kerana ingin mengkritik tetapi kerana ia
merupakan satu perkara yang akan menentukan jaya tidaknya sesuatu program
latihan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

9. Dalam beberapa tahun yang akhir ini Kerajaan telah menganjurkan
beberapa pendekatan dan dasar untuk mempertingkatkan lagi proses
pembangunan negara dan mutu perkhidmatan awam. Segala perubahan ini dan
orientasi baru yang dibuat adalah dengan tujuan untuk menjamin kebahagiaan
masa depan negara kita yang tidak dapat tidak perlu menghadapi
cabaran-cabaran baru.

10. Sebagai sebuah negara membangun yang kecil adalah sukar bagi kita
untuk mencapai tahap pembangunan negara-negara maju kecuali jika kita
insaf dengan kelemahan-kelemahan kita dan bertindak mengatasi
masalah-masalah dan cabaran-cabaran yang kita hadapi dengan tegas dan
berani. Kalau tidak kita akan terus menjadi satu negara yang lemah, yang
perlu bergantung kepada orang lain. Tetapi kita juga harus insaf mempunyai
berbagai-bagai sumber dan kita mempunyai potensi untuk mengubah nasib
kita. Jika negara Jepun yang segala kekurangan dari segi sumber aslinya
dapat menjadi kuasa ekonomi yang utama di dunia di dalam tempoh masa satu
generasi, tidak ada sebabnya mengapa kita tidak dapat memperbaiki
kedudukan kita. Itulah sebabnya kita harus mempelajari dari negara Jepun
dan lain-lain negara yang boleh kita pelajari. Itulah sebabnya kita
memandang ke Timur dan kita mengutarakan persyarikatan Malaysia dan kita
menganjurkan Kepimpinan Melalui Teladan. Dan itulah sebabnya kita
melaksanakan sistem perakam waktu, fail meja dan lain-lain lagi.

11. Berbalik kepada latihan dan perkhidmatan awam, soalnya ialah sama ada
pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan perkhidmatan awam yang menjalani
latihan benar-benar dapat memahami orientasi dan falsafah di sebalik
orientasi yang dianjurkan dan sejauh mana pula mereka telah membuat
sumbangan mereka di dalam tugas seharian mereka. Apakah kebersihan menjadi
amalan seharian, dan adakah pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan yang
mengikuti latihan dapat membawa balik fail meja untuk diamalkan? Adakah
prosidur-prosidur usang telah dihapuskan ataupun masih disimpan dan
dirumitkan lagi? 

12. Kita harus sedar bahawa belanja membiayai perkhidmatan awam adalah
tinggi, proses-proses bagi berbagai perkhidmatan begitu panjang,
kelulusan-kelulusan memakan masa, kutipan-kutipan hasil terbengkalai
ataupun lewat dibuat, sedangkan masing-masing bertungkus-lumus
menyelesaikan masalah-masalah yang kecil-kecil. Jika semuanya dapat
diatasi, katakan sesuku sahajapun, ini bermakna kita telah dapat
mempertingkatkan daya pengeluaran kita sebanyak 25%, bahkan bermakna kita
dapat mengurangkan hutang negara dan mempercepatkan proses
pembangunan. Masa adalah sumber yang amat berharga dan kita tidak harus
membiarkan tindakan-tindakan dilewat-lewatkan kerana akhirnya kita juga
yang rugi. Di dalam Islam bukan sahaja menyalahgunakan kuasa berdosa,
bahkan membuangkan masa dan melengah-lengahkan tindakan juga berdosa. Jika
kita membiarkan prosidur-prosidur yang boleh memberi kesan kepada
pencapaian kita, ini juga bermakna kita berdosa.

Para hadirin sekalian.

13. Proses pembangunan negara adalah rumit. Ia tidak dapat berjalan dengan
berkesan tanpa keinsafan tentang perlunya proses ini bagi kita
semua. Walaupun tugas seseorang itu kecil, kesannya dirasai oleh
ramai. Kalau seseorang anggota perkhidmatan awam tidak menjalankan
kerjanya dengan tekun dan cekap, ia akan mendatangkan masalah kepada orang
lain, mungkin masalah yang amat besar sekali. Di sini harus diingat bahawa
pegawai itu sendiri akan menjadi "orang lain" apabila ianya pula
berkehendak kepada khidmat Kerajaan. Tentulah jelas bahawa khidmat yang
baik menguntungkan kita sendiri.

14. Anggota perkhidmatan awam harus insaf bahawa kelayakan, ilmu
pengetahuan dan kemahiran belum dapat menjamin seseorang itu akan menjadi
anggota perkhidmatan awam yang baik. Dalam analisa yang akhir yang
membezakan seseorang anggota awam yang baik dengan yang tidak baik ialah
rasa peri kemanusiaan untuk berkhidmat kerana sedar dan insaf akan
tanggungjawab yang diberi kepadanya.

15. Masalah yang dihadapai oleh seseorang adalah besar walaupun pada
pandangan seseorang anggota perkhidmatan awam masalah itu kecil. Dan
masalah ini adalah lebih besar jika seseorang itu daif, berpendapatan
rendah dan kurang kemampuan serta pengetahuan. Oleh itu kita boleh
rumuskan bahawa apa yang dikatakan perkhidmatan awam ialah kesanggupan dan
kemampuan untuk menganalisa perasaan dan kesusahan orang awam dengan
tujuan untuk mengatasinya.

16. Satu perkara lagi yang ingin saya sentuh ialah pembangunan negara yang
mana asasnya ialah di peringkat "grassroots". Dari segi pentadbiran, ini
bermakna pentadbiran pembangunan di peringkat daerah.

17. Peringkat daerahlah yang menentukan mundur majunya negara
kita. Masalahnya kompleks dan cabarannya besar. Pada pendapat saya bagi
menggerakkan pentadbiran pembangunan daerah latihan yang diberikan
mestilah latihan yang dianjurkan di tempat berkenaan yang melibatkan semua
pegawai dari semua jabatan dan tujuannya mestilah bagi membolehkan mereka
menyediakan rancangan pembangunan daerah yang kemas dan dapat dilaksanakan
oleh mereka. Latihan bertindak dan "problem solving" ini mungkin tidak
mampu dibuat oleh sesuatu institusi seperti INTAN sahaja. Saya cadangkan
supaya usaha ini dibuat dengan memetik tenaga dari MAMPU, SERU, Unit
Perancangan Negeri dan Pejabat Pegawai Kemajuan Negeri. Usaha bersepadu
seperti ini, jika dilaksanakan sebagai satu program yang menyeluruh untuk
menggerakkan pembangunan daerah, saya yakin dapat mempercepatkan proses
pembangunan negara. Dalam keadaan seperti ini pihak-pihak doktor, Khadi,
Pegawai Pelajaran dan lain-lain lagi - akan berkesempatan untuk
menganalisa masalah secara bersama dan dapat pula menyediakan rancangan
bertindak masing-masing secara bersepadu. Dengan penglibatan agensi-agensi
yang saya sebutkan tadi hampir semua masalah boleh diatasi dan saya yakin
cara ini akan memberi manfaat yang besar kepada semua, lebih-lebih lagi
kepada rakyat. Sebagai permulaannya beberapa daerah di negeri-negeri yang
kurang maju bolehlah dipilih sebagai projek permulaan.

18. Saya percaya INTAN sedang berusaha untuk memperkemaskan program
latihannya. Itulah sebabnya saya telah mengutarakan beberapa cadangan
untuk dipertimbangkan supaya rancangan masa depan INTAN dapat diselaraskan
untuk membantu mengatasi masalah dan cabaran semasa.

19. INTAN mempunyai potensi yang besar. Potensi ini tidak terletak kepada
bilangan pegawai yang ramai; INTAN cuma perlukan satu kumpulan pegawai
yang berfikiran jauh dan dinamis. Potensinya adalah terletak kepada
kemampuannya untuk mengisi program latihan yang benar-benar akan membawa
kesan yang nyata kepada cara pemikiran dan tindakan para anggota
perkhidmatan awam.

20. Hari ini adalah hari yang bersejarah bagi INTAN. Satu kampus yang
serba moden dan serba lengkap akan dibuka dengan rasminya. Kampus dan
lain-lain kemudahan fisikal mudah diadakan tetapi ia tidak menjamin
perkhidmatan yang baik. Yang menjaminkan perkhidmatan yang cemerlang ialah
ilmu yang diperolehi di Kampus ini dan sifat-sifat yang baik yang telah
saya sebutkan tadi.

21. Dengan harapan bahawa pelaburan yang telah dibuat oleh negara akan
mendatangkan hasil yang dirancangkan saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan Kampus Utama INTAN di Bukit Kiara ini.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh. 
 

 



 
Google