home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL MING COURT, KUALA LUMPUR. 
Tarikh/Date 	: 	27/10/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA PERAYAAN 
			JUBLI PERAK PERSATUAN DOKTOR-DOKTOR 
			PERUBATAN MALAYSIA 




 Yang Berbahagia Datuk Dr. K. Sarvananthan, Presiden Persatuan
Doktor-Doktor Perubatan Malaysia; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan
puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan
Doktor-Doktor Perubatan Malaysia kerana menjemput saya dan isteri saya ke
Majlis Perayaan Jubli Perak Persatuan ini.

2. Izinkan saya merakamkan penghargaan saya kepada Persatuan ini kerana
sudi mengurniakan Ahli Kehormat ke atas diri saya. Saya memang sudahpun
beberapa kali diberi penghormatan seumpama ini oleh beberapa persatuan
lain, tetapi sebagai seorang doktor, saya berasa bertambah besar hati
dikurniakan kehormatan seperti ini oleh satu Persatuan yang saya pernah
menjadi ahlinya.

3. Persatuan ini kini menyambut Jubli Peraknya dan sepertimana kita maklum
dalam tempoh waktu tersebut Persatuan ini telah memberi sumbangan kepada
negara dan masyarakat. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
tahniah kepada saudara-saudara sekalian di atas sumbangan membina yang
telah diberikan di masa-masa yang lalu. Saya percaya saudara-saudara akan
terus berusaha untuk meningkatkan lagi sumbangan yang diberikan ini.

4. Sebagaimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, usaha-usaha memberi
perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat merupakan salah satu
keutamaan kerajaan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa semenjak merdeka,
kerajaan telah mengadakan berbagai kemudahan kesihatan yang berkesan untuk
keseluruhan masyarakat. Daripada segi kewangan, ini merupakan jumlah
peruntukkan wang yang besar. Malahan bolehlah dikatakan, perkhidmatan
kesihatan di negara kita yang membangun ini merupakan satu perkhidmatan
yang unik. Ia unik kerana ia adalah satu perkhidmatan yang hampir percuma
bagi semua rakyat termasuk mereka yang mampu membiayai kos perubatan
sendiri. Banyak negara-negara yang maju pun tidak mampu memberi
perkhidmatan sepertimana yang kita adakan sekarang ini. Ini, jelas
menunjukkan bahawa perkhidmatan kita terlalu tinggi menerima subsidi
kerajaan sehingga yang mampu membayar juga mendapat perkhidmatan
percuma. Malahan ada di antara yang mampu ini telah menyalahgunakan
kemudahan perkhidmatan ini. Memandangkan kepada hal ini dan memandangkan
kepada kedudukan kewangan akibat daripada ekonomi antarabangsa yang tidak
menggalakkan, kerajaan terpaksa membuat sesuatu bagi mengadakan
perkhidmatan kesihatan yang benar-benar memanfaatkan mereka yang
memerlukannya. Oleh itu kerajaan telah mencadangkan supaya sebahagian
daripada perkhidmatan kesihatan ini diswastakan. Dengan cara ini kita akan
dapat menumpukan lebih perhatian dan kemudahan kepada mereka yang
berpendapatan rendah dan yang benar-benar layak menerima perkhidmatan
kesihatan kerajaan. Melalui cara ini juga lebih ramai lagi mereka yang
memerlukan akan dapat menikmati kemudahan ini. Sepertimana yang telah saya
jelaskan beberapa kali, penswastaan sebahagian daripada perkhidmatan
kesihatan ini tidak akan menyusahkan mereka yang berpendapatan rendah dan
daif.

5. Penswastaan baik di bidang kesihatan ataupun di lain-lain bidang yang
tertentu, sudah tentu akan membawa peluang-peluang yang baru. Saya percaya
penswastaan dalam bidang kesihatan juga akan memberi manfaat dan kesan
yang baik. Sayugia diingatkan bahawa tujuan mengadakan penswastaan ini
bukanlah untuk memberi peluang dan kesempatan kepada mereka untuk
mendapatkan keuntungan yang berlebih-lebihan, tetapi adalah bertujuan
untuk meluaskan lagi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat keseluruhannya.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

6. Kita sering mendengar doktor-doktor Kerajaan meletakkan jawatan untuk
memasuki sektor swasta, sama ada untuk membuka klinik sendiri atau bekerja
dengan klinik persendirian yang sedia wujud. Tarikan yang paling kuat
ialah pendapatan yang lebih lumayan di sektor swasta, apabila dibandingkan
dengan yang didapati dalam perkhidmatan Kerajaan. Walaupun gejala ini
tidak begitu menyenangkan hati Kerajaan, ianya ada juga
kebaikannya. Sekurang-kurangnya ia menyebabkan sektor perubatan swasta
menjadi lebih bersaing atau 'competitive'. Ini, di antara lain, akan
mewujudkan kecekapan dalam memberi perkhidmatan perubatan dan kadar
bayaran pun seharusnya semakin munasabah.

7. Saya, tidak bermaksud supaya doktor-doktor dalam perhidmatan awam
digalakan berpindah ke sektor swasta. Kerajaan telah berusaha menambahkan
beberapa kemudahan, seperti kenaikan pangkat yang lebih cepat untuk
menjadikan perkhidmatan dalam Kerajaan lebih selesa dan menarik
lagi. Walaupun begitu, saya akui Kerajaan memang tidak berupaya menandingi
lumayannya pendapatan di sektor swasta. Semakin maju negara kita, semakin
jauhlah perbezaan antara pendapatan di sektor awam dengan sektor swasta.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

8. Pendapatan yang lumayan bukanlah faktor mutlak yang boleh menjamin
kepuasan bekerja atau 'job satisfaction' dalam apa-apa profesyen sekali
pun, dan ini termasuklah perkhidmatan perubatan. Pendapatan yang lumayan
dapat memberi kepuasan hanya sehingga tahap yang tertentu sahaja dan
pendapatan yang melebihi peringkat tertentu itu tidak semestinya memberi
kepuasan yang maksima.

9. Salah satu faktor yang memberi kepuasan bekerja dalam profesyen ialah
peluang untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat, terutama sekali
berkhidmat kepada mereka yang tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk
mendapatkan rawatan melalui klinik-klinik swasta. Peluang berkhidmat ini
terdapat di klinik-klinik di peringkat mukim, daerah, negeri dan di
hospital-hospital besar di seluruh negara. Kepuasan bekerja dengan memberi
rawatan kepada mereka yang tidak mungkin ke klinik-klinik swasta adalah
satu-satunya yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

10. Ada di antara kita berasa senang dengan menderma wang dan terdapat
juga yang berasa puas hati dengan menderma tenaga. Bagi para doktor di
dalam perkhidmatan awam, masyarakat semakin hari semakin sedar bahawa
mereka sedikit sebanyak berkorban untuk kesejahteraan dan kesihatan
rakyat. Walaupun para doktor tersebut menerima gaji, pengorbanan mereka
termasuklah kesanggupan menerima gaji yang kurang lumayan sekiranya
dibandingkan dengan pendapatan yang boleh diperolehi daripada pihak
swasta.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

11. Saya percaya Persatuan ini akan terus memberi sumbangannya kepada
masyarakat keseluruhannya. Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan kepada
semua ahli Persatuan ini selamat menyambut 'Perayaan Jubli Perak'.

Terima kasih
 
 



 
Google