Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PASIR GUDANG, JOHOR
Tarikh/Date : 03/11/84
Tajuk/Title : MAJLIS PEMBUKAAN RASMI KOMPLEK
PEMBINAAN PEMBINAANDAN
PERKHIDMATAN KERETAPI MSE
Yang Berhormat Datin Paduka Rafidah Aziz, Menteri Perusahaan Awam; Yang
Amat Berhormat Dato Ajib bin Ahmad, Menteri Besar Johor; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Saya berasa gembira dengan undangan MSE pada hari ini untuk merasmikan
Komplek Pembinaan dan Perkhidmatan koc dan gerabak keretapinya. Saya
mengucapkan tahniah kepada semua pekerja MSE di atas usaha dan semangat
penerokaan mereka. Saya percaya usaha-usaha ini akan menjadi satu
'catalyst' dan akan membuka jalan bagi perusahaan-perusahaan baru
ditubuhkan dan secara tidak langsung menyelamatkan pertukaran wang asing.
2. Dalam akhir tahun 1978, Kerajaan telah mencadangkan kepada MSE supaya
mengkaji kebolehan membina koc dan gerabak keretapi sekiranya sesuai. Idea
ini adalah berikutan dengan kemudahan dan kelebihan MSE daripada segi
tempatnya, besar tanahnya dan juga mempunyai perkhidmatan kejuruteraaan
yang lengkap. Kerajaan berpendapat bahawa Keretapi Tanah Melayu harus
menumpukan segala usahanya kepada operasinya dan rancangan pembinaan
koc-koc baru dan kerja-kerja rehabilitasi koc-koc yang ada patut diberi
kepada sektor swasta. Saya berasa gembira MSE telah menyambut cabaran itu
dan telah berusaha menjayakan idea itu, walaupun menghadapi kesulitan pada
peringkat permulaannya. Sungguhpun begitu MSE telah berjaya memulakan
pembinaan koc dan gerabak dalam tahun 1982. Dengan ini saya bersama-sama
gembira dengan semua yang bertanggugjawab di MSE ini bersempena upacara
pagi ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. MSE membuat koc-koc dengan kerjasama syarikat Korean Shipbuilding and
Engineering Corporation. Dengan ini akan timbullah persoalan mengenai
pemindahan teknologi atau 'transfer of technology'. Apabila kita sebut
sahaja pemindahan teknologi maka akan berbunyilah keluhan bahawa orang
lain tidak mahu buat pemindahan dengan jujur. Saya percaya bahawa terdapat
kurang kejujuran oleh pihak lain.Tetapi apakah mereka sahaja yang
bersalah? Apakah kita tidak salah sedikit pun?
4. Saya mendapati di beberapa tempat di mana projek usahasama dijalankan
tidak adapun jurutera atau pembantu teknik tempatan yang ditugaskan untuk
bekerja bersama-sama dengan orang asing. Jika adapun, tumpuan diberi
kepada 'desk-work', kerapkali sebagai sambilan kerana ramai orang
profesional di negara kita lebih gemar menjadi 'taukeh' daripada menjadi
pekerja dengan sesiapa. Kerapkali tidak ada orang yang berkelayakan di
'work-site'.
5. Untuk menjayakan pemindahan teknologi, pihak yang ingin mendapatkannya
perlu membuat persediaan. Mereka perlu membaca rencana-rencana mengenai
teknologi baru yang sedia ada. Mereka perlu melihat dengan teliti
kerja-kerja yang dibuat. Mereka perlu bertanya bermacam-macam
soalan. Mereka perlu rujuk pula kepada 'literature' yang sedia ada. Mereka
juga perlu membuat kajian dan mencatatkan semua yang mereka pelajari dalam
kertas mereka sendiri sebagai satu kajian, lengkap dengan lukisan
kejuruteraan dan sebagainya. Mereka perlu teruskan dengan mengkaji 'state
of the art' daripada lain-lain punca. Akhirnya, mereka harus menerbitkan
esei atau tesis mereka dalam jurnal profesional.
6. Jika kita mempunyai persediaan untuk menerima teknologi, barulah
teknologi dapat dipindahkan. Sebelum orang Jepun dan Korea mendapat
teknologi, mereka menghadapi masalah yang lebih besar lagi. Pihak barat
tidak mahu sama sekali memindahkan teknologi. Tetapi mereka bertekun dan
berjaya sedikit kemudiannya. Ada negara barat yang sekarang inipun
mengenakan syarat yang menyekat pemindahan teknologi apabila menjual
barangan mereka.
7. Kerajaan boleh mendesak dan mengenakan syarat kepada orang asing supaya
pemindahan teknologi dilakukan. Tetapi selagi kita tidak bersedia dan
sanggup menghadapi rintangan dan halangan kita tidak akan berjaya. Soal
yang kita perlu tanya ialah mengapa orang lain boleh mendapat teknologi
daripada orang asing, tetapi kita tidak?
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Keretapi adalah satu cara pengangkutan awam yang penting bagi negara
kita. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk memperbaiki dan mempermodenkan
keretapi supaya cara pengangkutan ini akan lebih cekap, selamat dan
sederhana tambangnya kepada orang ramai yang menggunanya. Rancangan
permodenan keretapi ini sedang dipertimbangkan oleh satu jawatankuasa yang
akan melibatkan beberapa fasa, termasuklah mengganti koc dan gerabaknya
yang lama dengan yang baru. Bagi permulaan, koc-koc yang baru yang
dibekalkan oleh MSE dengan kerjasama Samsung dan Korean Shipbuilding
adalah merupai koc generasi baru yang mencerminkan kecantikan dan
kebudayaan negara kita. Sebahagian besar daripada koc-koc ini telahpun
digunakan oleh KTM, tetapi banyak lagi yang akan diperkenalkan. Pembinaan
koc-koc di MSE ini adalah di bawah pengawasan yang teliti oleh satu badan
professional yang dilantik oleh KTM supaya keselamatan dan kualiti
pembinaannya tidak diabaikan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Penyelidikan dan pembangunan atau 'research and development' adalah
penting bagi kemajuan sesuatu perusahaan itu. Bahkan penyelidikan dan
pembangunan ini menjadi tulang belakang untuk beberapa industri, seperti
industri teknologi tinggi, industri penerbangan, industri farmasi, dan
industri pengangkutan jalan.
10. Lagi maju sesebuah firma itu, lebih tinggi peratusan pendapatannya
yang diperuntukkan bagi penyelidikan dan pembangunan. Begitu juga dengan
negara-negara maju -- peruntukan penyelidikan oleh Kerajaan dan firma
keseluruhannya sangatlah tinggi. Bagi Malaysia sebagai negara yang sedang
pesat membangun, kita berharap lebih banyak firma-firma yang akan memberi
penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan ini. Pada masa ini
peruntukan untuk penyelidikan dan pembangunan bagi kedua-dua sektor awam
dan swasta di negara kita adalah sangat berkurangan.
11. Walaupun terdapat beberapa institusi awam dan swasta di negara kita
yang telah menubuhkan bahagian penyelidikan dan pembangunan mereka
sendiri, kita mesti sedar bahawa kejayaannya masih lagi bergantung kepada
sifat-sifat yang kreatifnya setiap orang kakitangan penyelidikan
berkenaan. Peruntukan kewangan, peralatan dan kemudahan lain untuk
penyelidikan memang penting tetapi kita tidak boleh lupa faktor manusia
ini. Kita berharap adunan rapi antara kemudahan dan peralatan penyelidikan
yang disediakan dengan kakitangannya yang berdedikasi dan kreatif akan
menempa kejayaan masa depan.
12. Kerajaan tidak setakat membuat seruan sahaja. Dalam belanjawan tahun
lalu, Kerajaan telah memperkenalkan galakan cukai atau 'tax incentives'
untuk mendorong sektor swasta menjalankan usaha penyelidikan dan
pembangunan. Galakan tersebut merupakan tambahan kepada kelonggaran cukai
atau 'additional tax allowances' bagi perbelanjaan yang ditanggung dalam
sesuatu usaha penyelidikan dan pembangunan itu. Untuk tahun-tahun akan
datang, Kerajaan berharap usaha-usaha penyelidikan ini akan diperluaskan
dikedua-dua sektor awam dan swasta.
13. Galakan penyelidikan dan pembangunan yang seharusnya diberi perhatian
dan keutamaan ialah usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan yang selaras
dengan strategi perindustrian negara. Ini bermakna kita menggalak
usaha-usaha penyelidikan terutamanya bagi industri yang berasaskan sumber
atau komoditi tempatan seperti getah, kayu-kayan, dan minyak kelapa
sawit. Pada masa ini industri-industri yang berasaskan sumber utama
tempatan banyak menggunakan teknologi asing. Melalui usaha ini sahaja kita
berharap akan dapat memajukan keupayaan tempatan bagi memperbaiki proses
pengeluaran, rekabentuk dan pembungkusan.
14. Walaupun galakan utama diberikan kepada industri-industri yang
berasaskan sumber tempatan, usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan
haruslah ditingkatkan di semua bidang terutama oleh sektor swasta. Usaha
penyelidikan oleh syarikat-syarikat asing di negara ini pada amnya
dijalankan oleh syarikat-syarikat induk atau 'parent companies' di luar
negeri. Kerajaan mungkin tidak dapat mempengaruhi syarikat-syarikat asing
ini menjalankan penyelidikan mereka di Malaysia, tetapi syarikat-syarikat
tempatan haruslah dapat meningkatkan usaha-usaha penyelidikan ini.
15. Bagi MSE, kumpulan penyelidikan dan pembangunannya hendaklah berusaha
supaya permodenan gerabak dan koc keretapi untuk Keretapi Tanah Melayu
akan dapat dilaksanakan dari masa ke semasa. Oleh kerana kedua-dua badan
ini mempunyai kepentingan Kerajaan, saya berharap beberapa susunan atau
'arrangement' dapat diadakan demi kebaikan bersama. Janganlah berlaku
keadaan sehingga terdapat misalnya penempahan gerabak dan koc di firma
swasta lebih murah dan lebih bermutu daripada MSE. Justeru itu, pasukan
penyelidikan dan pembangunan dan juga pengurusan MSE keseluruhannya
hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan pembaharuan yang memberi
manfaat dan keuntungan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16. Saya yakin kakitangan MSE akan terus berusaha untuk menjayakan segala
aktiviti pembinaan, pembuatan dan lain-lain yang dijalankan oleh syarikat
ini. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya membuka Komplek Pembinaan
dan Perkhidmatan Keretapi MSE ini dengan rasminya.
Terima Kasih.
|