home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL SUBANG VIEW, SUBANG 
			JAYA, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	09/11/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH 
			KEWARTAWANAN ANJURAN INSTITUT 
			AKHBAR MALAYSIA, 




Yang Berbahagia Encik Mazlan Nordin, Pengerusi Jawatankuasa
Penganjur; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Institut Akhbar Malaysia kerana
menjemput saya sekali lagi untuk menyampaikan hadiah kepada para wartawan
yang memenangi Hadiah Kewartawanan 1983 bagi karya yang terbaik pada tahun
lalu. Kepada pemenang "Hadiah Kajai", hadiah terulung, saya mengucapkan
tahniah istimewa. Begitu juga saya mengucap tahniah kepada
pemenang-pemenang hadiah dalam kategori lain.

2. Seperkara yang menarik perhatian saya ialah bagi kali pertama "Hadiah
Khidmat Bakti Masyarakat" diadakan pada tahun ini. Bahawa akhbar-akhbar di
Malaysia, sambil menjual akhbar dan majalah, juga berlumba-lumba untuk
berbakti kepada masyarakat adalah satu petanda baik.

3. Namun demikian saya ingin menarik perhatian kepada beberapa
perkembangan dalam dunia akhbar. Peranan akhbar dalam masyarakat dewasa
ini sudahpun berubah. Akhbar tidak sahaja membuat laporan mengenai
peristiwa-peristiwa yang berlaku, tetapi adalah alat yang paling berkesan
dalam membentuk fikiran masyarakat. Demikianlah berkesannya peranan akhbar
sehingga ada Presiden dan Kerajaan yang jatuh kerana pendedahan dan
rencana dalam akhbar. Dengan perkataan lain, akhbar sudah menjadi satu
daripada kuasa terpenting dalam masyarakat, kuasa yang boleh menegak
sesuatu pemerintahan atau menjatuhkannya. Sudah tentu lain-lain sasaran
lebih mudah ditentukan nasibnya oleh akhbar.

4. Dari satu sudut, kuasa ini amat baik dan berguna. Segala keburukan dan
kecuaian yang terdapat dalam masyarakat dapat didedah dan pembetulan
dibuat. Tetapi kuasa, seperti kata pepatah Inggeris, membawa kepada
rasuah, dan kuasa yang tidak terhad membawa rasuah yang juga tidak
terhad. Demikian juga dengan kuasa yang ada pada akhbar sekarang ini.

5. Di Eropah pembunuh ditawarkan beribu pound untuk mendapat ceritanya. Di
Amerika cerita rekaan disiarkan sebagai 'fact' untuk menarik minat
pembaca. Cerita lucah dan seks dilaporkan tanpa segan-segan. Rahsia negara
didedah sehingga musuh dapat mengetahui semua kelemahan. Sesiapa yang
berkuasa dijadikan sasaran berita skandal sehingga ianya jatuh. Dan
penggantinya juga akan mengalami nasib yang sama.

6. Aliran ini sudah sampai ke Malaysia. Berita yang benar kerap kali tidak
dihiraukan. Jika ada mesyuarat atau lawatan atau pameran atau apa-apa jua
peristiwa, yang diberi perhatian bukan peristiwa itu tetapi soal-soal lain
yang menjadi minat akhbar. Soalan dibuat dalam berbagai bentuk dan
bertalu-talu untuk menjadikan sesuatu perkara itu sebagai isu yang
hangat. Selepas menyoal seseorang, maka disoal pula orang-orang lain yang
diketahui mempunyai pandangan yang bertentangan -- untuk memberi pandangan
terhadap pendapat sasaran pertama. Maka dengan itu akan terjadilah satu
kontroversi -- yang dipuja dan dihembus oleh akhbar sehingga panas berapi.

7. Bahawa akibatnya ialah ketegangan dan kegelisahan dalam masyarakat
sehingga terjejas ekonomi, kestabilan politik dan perpaduan, tidak sama
sekali dipedulikan. Yang penting ialah akhbar yang kononnya ingin melapor
yang benar.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

8. Satu lagi perkara yang ingin saya sebutkan ialah tentang pemberita kita
yang tidak segan-segan menjadi tali barut kepada akhbar-akhbar di luar
negeri. Mereka ini apabila menulis dalam akhbar tempatan lain
bunyinya. Tetapi untuk akhbar luar negeri, mereka mencerca dan menghina
negara sendiri, mencaci pemimpin dan Raja-Raja dan sanggup menjatuhkan
maruah negara mereka sendiri. Nama mereka sendiri tidak disiarkan tetapi
mereka tentulah dipuji oleh wartawan asing. Sebenarnya mereka sudah
menjadi alat kepada bangsa-bangsa yang tidak senang melihat kejayaan
Malaysia. Saya amat kesal adanya manusia jenis ini di kalangan pemberita
kita.

9. Saya memberanikan diri untuk membuat teguran ini walaupun imej saya
boleh dirosakkan oleh akhbar. Malaysia belum menjadi negara yang maju dan
kuat, yang kebal dan yang tidak boleh dihancurkan. Kita masih
lemah. Biarlah amalan masyarakat yang kukuh dan kuat di negara barat
tinggal di barat. Kita perlu berhati-hati. Jika tidak, mungkin kita akan
kekal dengan kelemahan kita tanpa sedikitpun mengecap kejayaan. Dan kita
akan terus diperhamba dan dihinakan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

10. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana
mengadakan pertandingan ini yang antara lain akan dapat meningkatkan lagi
mutu profesionalisma serta penulisan di kalangan wartawan. Saya difahamkan
bahawa pertandingan ini mendapat sambutan baik daripada para wartawan dan
ini sangatlah menggalakkan. Walau bagaimanapun, saya ingin melahirkan
sedikit pendapat saya mengenai hadiah-hadiah kewartawanan yang telah
diadakan sejak beberapa waktu.

11. Dengan kejayaan Dasar Pelajaran Kebangsaan, bilangan terbesar rakyat
Malaysia yang hampir kesemuanya dari golongan generasi muda memahami dan
fasih dalam Bahasa Malaysia. Oleh yang demikian, akhbar dalam Bahasa
Malaysia adalah akhbar yang dibaca oleh sebilangan besar masyarakat
Malaysia. Di samping itu pula, akhbar-akhbar dan majalah-majalah yang
diterbitkan dalam bahasa-bahasa lain menyiarkan berita-berita yang
menyentuh masyarakat keseluruhannya atau dalam lain-lain perkataan
berita-berita nasional atau regional dan tidak semestinya mengenai
golongan-golongan atau kumpulan-kumpulan yang tertentu
sahaja. Laporan-laporan di dalam akhbar-akhbar kita, selain daripada
menyiarkan peristiwa di luar negeri, adalah berita-berita mengenai
masyarakat dan negara kita Malaysia dan ia ditulis, saya harap, dari
kacamata rakyat Malaysia sendiri. Maka sudah tentulah skop, semangat dan
keikhlasannya adalah mengikut jiwa rakyat Malaysia, walaupun ianya ditulis
di dalam berbagai bahasa.

12. Memandangkan kepada hal ini, saya berpendapat ada baiknya jika kita
memberi penghargaan kepada tulisan-tulisan yang secocok dengan semangat
pembangunan dan perpaduan negara kita, walaupun tulisan ini dibuat dalam
bahasa yang lain daripada bahasa kebangsaan. Oleh itu, saya syorkan supaya
hadiah-hadiah diadakan, selain daripada yang sedia ada, bagi memberi
penghargaan kepada isi kandungan yang menarik tetapi membina.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

13. Kebebasan akhbar memang terdapat di negara kita. Tetapi kebebasan
dalam apa jua bidang memang ada hadnya. Sepertimana kita maklum, akhbar
kita bebas membuat teguran-teguran yang kritikal dan ini memang
dialu-alukan. Walau bagaimanapun apa yang mengecewakan kita ialah
kadangkala terdapat di mana sesebuah akhbar itu, sama ada secara sedar
atau tidak, telah termasuk ke dalam perangkap golongan-golongan tertentu
dalam menyuarakan kepentingan golongan tersebut. Kerana terlampau asyik
dengan isu-isu yang disuarakan oleh golongan yang tidak mendapat sokongan
kuat daripada rakyat itu, akhbar-akhbar atau majalah-majalah tersebut
secara tidak langsung telah sedikit sebanyak diperalatkan oleh
mereka. Dengan secara tidak langsung juga akhbar atau majalah berkenaan
telah hilang kebebasan mereka. Ini adalah satu perkara yang
mendukacitakan.

14. Akhbar yang bertanggungjawab seharusnya boleh menghalusi jiwa
masyarakat. Memang untuk bersikap bertanggungjawab bukanlah mudah. Tetapi
sebaliknya kita tidak boleh lari atau mengelakkan diri daripada kewajipan
ini. Semakin besar dan semakin kukuh kita, maka sewajarnyalah semakin
besar tanggungjawab yang kita pikul. Dan kita tidak harus mengabaikan
perkara ini kerana ia merupakan satu amanah yang besar. Pengabaian kepada
tanggungjawab terutamanya oleh akhbar-akhbar yang mempunyai pengaruh yang
besar dalam membentuk peribadi masyarakat, mungkin akan membawa akibat
yang buruk kepada kita semua.

15. Peranan akhbar-akhbar kita di dalam negara yang sedang meningkatkan
usahanya ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih sejahtera adalah
penting. Akhbar-akhbar tidak seharusnya bersikap "berikan sahaja apa yang
digemari oleh pembaca". Sikap mengambil mudah dan cuai seperti ini yang
lambat laun akan memberi kemudaratan kepada masyarakat kita, haruslah
dibanteras sebelum ianya melarat. Sebenarnya ini adalah satu penyakit yang
amat merbahaya jika dibiarkan tanpa kawalan. Sebaliknya, akhbar-akhbar
kita haruslah dapat mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang akan
mendatangkan atau memberi kesan yang negatif kepada masyarakat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

16. Saya juga tertarik hati dengan penubuhan Organisasi
Pengarang-Pengarang Akhbar baru-baru ini dan persetujuan yang telah
dicapai mengenai kod etika kewartawanan. Saya difahamkan bahawa di antara
tujuan-tujuannya ialah untuk meningkatkan mutu kewibawaan dan menerima
aduan-aduan terhadap sesebuah akhbar atau wartawan, selain daripada
menegakkan kebebasan akhbar. Bahawa kebebasan akhbar terjamin di negara
kita telahpun terbukti, antaranya dengan terbitnya sekian banyak akhbar
dan majalah dalam pelbagai bahasa. Bahawa Organisasi Pengarang-Pengarang
Akhbar ini ditubuhkan oleh mereka sendiri, menjadi satu lagi bukti
kebebasan akhbar di negara kita.

Terima kasih.


 
 



 
Google